"Adina (Bicara Sembilan)"
“Aku terima nikahnya, Siti Abyatina binti Yusman, dengan maskawin seratus satu ringgit tunai”
Seluruh isi rumah di ruang tamu menghilangkan suara. Suasana senyap dan tiada perbualan sesama mereka. Masing-masing memberikan tumpuan terhadap apa yang sedang berlaku di ruang tamu.
“Abyatina kini milik Rizqullah,” bisik ibunya.
“Subhanallah.....”
Kekaguman diluahkan Abyatina. Kesyukuran dijelmakan pada wajahnya. Debaran yang dirasakan berada di penghujungnya. Segala kerisauan ditamatkan dengan tenang. Maka, cabaran baru bermula dengan pembukaan fasa baru. Inilah pengkisahan Abyatina menjadi isteri buat si Rizqullah.
Dengan persalinan baju Melayu serba putih beserta songkok hitam kemas disarungkan di kepala, ternyata ketenangan dijelmakan oleh Rizqullah. Dengan hanya sekali lafaz tanpa sebarang kegusaran ditonjolkan, maka ikatan telah disambung. Hasrat hati telah tercapai.
“Moga Allah berkati kamu,” ucap kadi sebaik lafaz Rizqullah disahkan oleh saksi.
Solat sunat kemudian didirikan Rizqullah. Menuju ke bilik sebentar mengambil masa seketika sebagai tanda kesyukuran akan kejayaannya mewujudkan ikatan yang sah. Senyuman dikuntumkan tanda kegembiraan. Abyatina tertunduk tanda kelegaan.
“Sarungkan cincin ke jarinya. Tanda ikatan telah dijalinkan,” bicara Ustaz Man selepas Rizqullah selesai menunaikan solat sunat.
Maka, kaki dengan tenang perlahan-lahan melangkah. Abyatina menanti sambil disaksikan kaum keluarga. Sebaik dihampiri, cincin diberikan kepada Rizqullah. Kisah berikutnya, jarinya menyentuh jari Abyatina. Maka itulah pertama kali Rizqullah dan Abyatina merasai sebuah sentuhan.
“Subhanallah. Sejuknya jari kamu,” bisik Abyatina di dalam hati. Sentuhan jari Rizqullah menyarungkan cincin ke jarinya dirasakan cukup indah. Dalam penuh debaran, perlahan-lahan cincin disarungkan ke jarinya.
Tangan Rizqullah dikucup Abyatina. Dahi Abyatina pula kemudian dikucup Rizqullah. Agak lama juga, ditambah pula dengan usikan sanak saudara, maka kucupan dahi Abyatina itu berlangsung dalam tempoh yang agak lama. Saat itu juga pancaran-pancaran cahaya kamera memenuhi ruang tamu tersebut. Bermula dari saat cincin disarungkan sehinggalah kepada kucupan dahi Abyatina, semuanya diambil dan ditangkap saat itu dengan sebaiknya.
Keriuhan itu juga tersembunyi wajah individu yang kalah dalam perjuangan mendapatkan hati Abyatina. Berbeza situasi diharapkan, kini dia masih muncul memberi sokongan tanda menumpang gembira. Ramai yang kagum akan sifat matang yang ditonjolkan. Ramai yang tersenyum akan nilai hormat yang ditonjolkan Yaqzan.
“Jurukamera tanpa diminta,” bisik Raiqah ke telinga ibunya.
Yaqzan menjadi antara orang yang sibuk bergerak ke sana dan ke sini, mencari posisi terbaik. Tugasnya hari itu memegang sebuah kemera, mengambil gambar majlis perkahwinan Abyatina dan Rizqullah.
“Mungkin juga mahu sorokkan rasa kecewanya? “ bicara Absyar kepada Zabarjad apabila adiknya itu terlihat Yaqzan muncul dengan sebuah kamera.
Perjalanan diteruskan dengan upacara berikutnya. Selepas cincin disarungkan dengan hadiahnya sebuah kucupan suami buat isterinya, kisah berikutnya pemberian maskawin kepada si isteri. Helaian wang kertas dengan not satu ringgit berjumlah seratus satu helai, dilipat menjadi origami berbentuk bunga dan disusun semua helaian itu di atas dulang dan kemudian ditutup dengan plastik lutsinar. Maka dulang dipersembahkan oleh si suami buat si isteri. Si isteri tersenyum, menerima dengan tapak tangan kemudian menyambut dulang tersebut. Tangan dikucup si isteri tanda menerima dengan senang.
Sesi bergambar diteruskan kemudian. Bilik pengantin menjadi tempat utama sesi berlangsung. Beberapa rakan dan kenalan, termasuk beberapa ahli keluarga kedua-dua pihak menjadi antara jurugambar bagi sesi tersebut. Wajah Abyatina tidak semanis yang sepatutnya. Ibarat serba tak kena walaupun senyuman dikuntumkan sambil si suaminya berada di sisi dalam sesi bergambar tersebut.
“Mengapa si alien ini wujud di alam permulaan bahagia yang baru bermula? Apakah kamera dipegang sekadar mahu mengganggu bahagia aku tanda cemburu yang tak berkesudahan?” bisik si Abyatina.
Ternyata saat itu Abyatina tidak begitu selesa. Yaqzan merupakan salah seorang jurukamera yang mengambil gambar. Senyuman terpaksa dibuat-dibuat. Perasaan bercampur antara geram dan serba salah. Kegeraman dek wajah si Yaqzan masih berterusan mengganggu hidupnya. Perasaan serba salah dek keputusan yang telah diberikan dengan pengakhiran Yaqzan ditolak, Rizqullah dipilih.
“Di mana pelaminnya?” soal seorang jurugambar, kenalan si Rizqullah dengan namanya Azizi.
Kisah tiada pelamin menjadi tarikan dalam majlis perkahwinan tersebut. Ibarat adat Melayu, tiada pelamin, maka bukanlah majlis perkahwinan namanya. Namun ibarat kata Melayu itu bukanlah tradisi keluarga Abyatina mahupun Rizqullah. Ustaz Man sangat menentang amalan bersanding dalam majlis perkahwinan. Maka dek itu, pelamin ditiadakan dalam senarai persiapan majlis.
“Haram bagi kamu, jika apa yang kamu junjung sebagai adat itu menyerupai amalan bagi agama lain,” bicara Ustaz Man di masjid dalam kuliah Maghrib beberapa hari sebelum majlis perkahwinan Abyatina.
Malah di kampung juga, adat bersanding jarang diamalkan. Jika terdapat majlis perkahwinan itu menyelitkan aturcara bersanding dalam perjalanan majlisnya, maka akan berlakulah pemulauan penduduk kampung terhadap majlis tersebut.
“Itulah yang terjadi pada Pak Seman dulu. Kendurinya hilang meriah dek sikitnya yang berkunjung ke majlis perkahwinan anaknya,” kata Absyar pada Abyatina sewaktu persiapan majlis sedang rancak berlaku.
“Bersanding mungkin adat yang dikatakan memeriahkan majlis. Katanya, menaikkan seri pengantin dan menceriakan lagi hari perkahwinan. Namun apa gunanya adanya majlis bersanding jika hanya menambahkan dosa,” kata ibu Abyatina pula.
“Banyak yang kata, bila bersanding tiada, maka tiada juga seri majlisnya. Tapi kalau berkatnya tiada, benarkah ada serinya dalam majlis?” bicara pula Mawaddah adik Rizqullah yang turut serta dalam persiapan majlis. Hanya Mawaddah menjadi wakil tunggal dihantar keluarga Rizqullah bagi memberikan sedikit pertolongan meringankan beban.
Perjalanan majlis berterusan dari sesi bergambar diteruskan lagi dengan upacara santapan. Abyatina merasa sedikit kaku bercampur malu. Dalam hati tidak percaya dirinya dah bersuami, dan pada masa yang sama, mata yang terlalu banyak memerhati setiap gerak langkahnya menyebabkan rasa segan dirasakannya.
Itulah saat paling merimaskannya. Setiap suap nasi dirasakan terlalu sukar. Untuk ditelan terasa terlalu perit. Dia mengawal dirinya takut tersalah lakukan kesilapan. Ibarat puteri raja, senyuman senantiasa dikuntumkan, dan tatacara senantiasa dijaga.
“Cantik dan mengkagumkan!” bicara seorang penduduk kampung dari jauh.
Santapan yang berlangsung di ruang tamu utama menarik perhatian setiap jemputan yang berada di ruang tamu. Ada juga yang menjenguk-jenguk dari tingkap beranda. Masing-masing mahu melihat wajah Abyatina yang diangkat tarafnya menjadi pengantin.
“Abyatina adalah ciptaan terindah yang pernah aku lihat,” bisik Yaqzan sambil mengambil gambar.
Saat bergelar isteri, tugas mentaati suami menjadi perkara utama. Perjalanan baru tanda permulaan sebuah lagi kematangan dalam zaman awal kedewasaan. Dalam usia 20 tahun, si gadis ayu anak Ustaz Man meninggalkan status lama, kini menjadi teman hidup Rizqullah. Dalam debaran menggalas tugas baru, Abyatina kerisauan takut tugas yang akan dipikulnya tidak berjaya dilaksanakan sebaiknya.
“Bagaimana cita-citamu?” soal Raiqah di sisi Abyatina sewaktu majlis akad nikah berlangsung.
Ibarat terus terlupa dengan hasrat cita-citanya, meniti sebuah alam perkahwinan ternyata mengasyikkannya. Keindahan alam rumah tangga menenggelamkan impian yang ditanamnya sebelum ini. Bahagia yang dirasai ditambah pula dengan belaian hati, dirasai ketika berdua-duan bersama Rizqullah pertama kali di sebelah petangnya, selepas tamatnya majlis, maka Abyatina seakan-akan melupakan segala susunan impiannya. Itulah saat pertama dia merasai satu gelodak jiwa dengan hatinya benar-benar terasa disentuh Rizqullah.
“Inilah mungkin keindahan sebuah perkahwinan,” bicara diluahkan, ditulis di atas sehelai kertas, menyambung bicara-bicara luahan dari mata penanya.
Malam itu suasana sunyi. Bilik Abyatina berubah wajah dengan hiasan penuh indah bertukar menjadi sebuah bilik pengantin. Rizqullah di ruang tamu berbual dengan Ustaz Man, dan turut bersama di ruang tamu itu ialah Absyar, Zabarjad dan adik-beradik Abyatina yang lain. Abyatina pula terus leka di bilik menulis sebaik yang mungkin, mengumpulkan segala kenangan indahnya hari ini ke dalam bicara-bicara tulisannya.
“Assalamualaikum”
Pintu diketuk serentak dengan kemunculan Rizqullah. Salam dijawab Abyatina dengan degup jantung yang tiba-tiba kuat. Debaran bercampur gementar, dan hakikatnya itulah pertama kali seorang lelaki muncul di biliknya pada malam yang dingin itu.
Berdua-duan dengan masing-masing berdebar. Mata bertentang mata. Senyuman dibalas senyuman. Rizqullah menghampiri Abyatina, dan pena tanpa sedar terlepas dari tangan Abyatina. Terhenti luahan bicara tulisannya. Keasyikan melihat jejaka yang kemudian memegang jari jemarinya. Usapan perlahan-lahan dirasainya membelai rambutnya.
“Moga kamu bahagia,” bisik Rizqullah ke telinga Abyatina. Tangannya menggenggam tangan Abyatina dan kemudian dihulurkan dengan perlahan sehelai kertas diletakkan di tapak tangan isterinya itu.
“Bila sayang kamu dari aku?
Bila saat pertama dahimu dikucup
Kamu isteriku...
Janji padamu: Kamu seluruh hidupku.
Maka dari aku, sayang itu kamu terima”
Abyatina tersenyum sebaik membaca tulisan yang dinukilkan di kertas itu. Bahagia dirasai tidak terucap dengan kata-kata.
Dahinya dikucup, tangan disentuh. Belaian demi belaian menenangkan jiwanya. Kemesraan terjalin dan kertas yang diberikan itu disimpan kemas diselitkan dalam diarinya. Segala yang haram sebelumnya kini menjadi halal, dan nikmat halal itu tak terucap dengan bicaranya.
“Abyatina di alam bahagia....”
Lemas dalam kebahgiaan dan kenikmatan dalam sebuah ibadah. Kisah berlanjutan tanpa bicara yang mampu merungkaikan perasaan Abyatina.
*Tamat sudah Bicara Sembilan*
Menyambung kisah di lain bicara...
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
Ulasan
nk dpt pendapatan dari nuffnang ni kena rajin menulis dan rajin promosikan blog. makin byk trafik dlm blog, makin byk duit yg boleh dpt.