Datuk Paduka Pena: Blog-blog 'sampah' dipromosikan di Facebook? Apa kejadahnya semua ni?







Bulan Jun ini menyaksikan proses penjenamaan semula blog "yazidrosly_da-blog" sedang dilakukan. Perubahan dan pembaharuan dilakukan bagi memantapkan lagi blog ini. Beberapa ruangan baru diperkenalkan hasil daripada tinjauan dan cadangan yang diberikan oleh rakan-rakan. Difahamkan, blog ini tidak lagi sekadar menjadi blog peribadi, sebaliknya akan dijenamakan semula untuk dijadikan blog umum.

Terima kasih diucapkan. Pembaharuan yang dibuat ini akhirnya memberi peluang buat Datuk Paduka Pena (DPP) muncul dalam ruangan Bisik-bisik Datuk Paduka Pena. Ada juga sedikit ruang untuk DPP bersuara.

Baru-baru ini DPP buka Facebook setelah agak lama mendiamkan diri. Nampaknya kini budaya 'share mengeshare' link, laman web atau blog menjadi satu kegilaan. Share di Facebook bagi benda yang baik-baik bagus, tapi kalau benda yang nak melaga-lagakan orang, dengan kata kasar, "pergi mampus" sajalah. Kata orang, niat tak menghalalkan cara. Maka, jangan niat yang suci, tapi tindakan tak betul, dan akhirnya dosa sahaja yang diperoleh.

DPP bercakap berdasarkan pemerhatian, sebab ada sesetengah blog yang dipromosikan di Facebook mengundang pertelingkahan. Nak berdakwah asalnya, tapi tak sensitif dengan kaum lain, sampai kaum lain tersinggung dengan blog tersebut.

DPP banyak perhatikan blog-blog peribadi dipromosikan di Facebook. Bagus juga. Sekurang-kurangnya boleh juga meningkatkan jumlah trafik blog masing-masing (sesetengah blog bergantung pada bilangan trafiknya untuk meningkatkan jumlah pulangan iklan-iklan yang dipaparkan di blog masing-masing). Makanya, DPP selalu juga merajinkan diri masuk ke blog-blog tersebut.

Garu kepala DPP selepas tu. Mengapa?

Bukan mahu menghina atau mengguris hati. Tapi sesetengah blog yang DPP lihat, buatkan diri rasa macam mengalami tekanan penyakit mental. Kononnya nak berkongsi luahan hati, tapi bila buka blognya, DPP rasa tak ubah macam blog sampah. Benar, bagus berkongsi isi hati, malah segala luahan itu sangat bagus dan sesuai dipaparkan di blog mereka, namun persembahan blog mereka sangatlah mengecewakan.

Inilah blog-blog sampah yang DPP maksudkan.

Nampak bersepah dan tak tersusun. Memeningkan kepala bila masuk blog tersebut. Susun atur posnya, susun atur gambarnya, susun atur gadget-gadget tambahan dalam blognya sangat-sangat mengharu-birukan. Tak tahu yang mana perlu dibaca, yang mana perlu diabaikan.

Baru-baru ini DPP buka satu blog yang dipromosikan dalam Facebook (nama blog tersebut dirahsiakan). Nama blog tersebut sangat menarik perhatian. Unik juga namanya, dan yang jelas nama blog tersebut menunjukkan betapa blog ini mempunyai ciri-ciri Islamik. Sebuah blog bercirikan luahan rasa seorang muslimah (berdasarkan nama blog yang saya baca), maka saya klik link blog tersebut. Sebaik page baru terbuka, dada diurut tanda terkejut.

MENGECEWAKAN.....

Tak tahu di mana silapnya, blog tersebut sangat memeningkan. Tak tahu, macam mana tuan blog ini menyusun atur blognya, memlilih design bagi blognya, namun yang pasti, pemilik blog ini ternyata gagal untuk menghasilkan tarikan bagi blognya. Tak tahu DPP untuk menghuraikan tarikannya kerana memang tiada tarikan langsung bagi blog tersebut.

Pertama, saiz tulisan bagi nukilan dan posting yang dipaparkan pemilik blog ini sangatlah kecil. Malah, mungkin bagi mereka yang rabun, terpaksa mengambil kanta pembesar untuk membacanya. Sudahlah kecil, pemilihan jenis font juga tidak kena. Sudahlah jenis font tak kena, warna font juga tak menarik. Bila dibuka blog ini, baru DPP sedar, blog ini tiada header. Satu lagi kegagalan pemilik blog bagi mencipta tarikan blognya. Sepatutnya, blog ini perlu dan harus mempunyai header, supaya pengunjung tahu nama blog yang sedang mereka kunjungi.

Bila DPP buka saja blog ini, mula-mula ingat ini blog kosong....hmmm.

Seperkara lagi bagi blog ini, gadget-gadget tambahan bagi blog ini seperti dedaun yang bergerak, kekunci tetikus berubah menjadi bentuk bunga, pemilihan lagu latar blog tersebut, malah kedudukan meletakkan ruangan undian (poll) dalam blog ini bolehlah dikatakan 'GAGAL'.

Gadget dedaun diletakkan tak kena pada tempat. Pemilihan bunga bagi kursor tetikus di skrin juga tak kena. (sekali lihat, dah macam kursor untuk blog golongan gothik sahaja). Lagu latar juga tak kena (lagu nasyid, tapi tajuk lagu nasyidnya nampak tak sesuai dengan blog tersebut), boleh menyerabutkan sahaja bila nak baca tulisan yang diposkan dalam blog tersebut.

Tulisan bergerak yang tertulis nama blog tersebut, yang menjadi latar blog tersebut ternyata tiada signifikan. Yalah, siapa nak pedulikan sangat tulisan yang menerawang di belakang nukilan tulisan yang diposkan dalam blog tersebut? Pembaca hanya akan menumpukan tulisan yang diposkan di blog berbanding untuk membaca tulisan kecil yang bergerak di belakang pos tersebut.

Seperkara lagi, gadget yang digunakan dalam blog ini ternyata telah melembabkan paparan blog tersebut. Agak lama DPP menunggu sebelum blog tersebut dipaparkan sepenuhnya di skrin. Bila dah buka, masih lembab lagi apabila tersangkut-sangkut untuk menarik kursor bagi membaca posting yang dipaparkan.

Gaya penulisan pemilik blog ini juga kelihatan tiada tarikan. Tidak menarik, dan tiada keunikannya. Sekadar bicara ala-ala romantis berlandaskan Islam, namun gagal meletakkan suatu tarikan untuk pembaca merasa seronok bila membaca. DPP rasa, pemilik blog ini perlu tajamkan dulu kemahiran menulis sebelum mampu mempromosikan blognya.

Maka tak hairanlah bila poll yang dipaparkan dalam blog tersebut menyatakan bahawa 50% bersetuju bahawa blog tersebut perlu diperbaiki penulisannya supaya mampu menarik perhatian pembaca.

DPP sekadar menyatakan apa yang dirasakan, kerana itulah hakikatnya. Moga pemilik blog tersebut dapat lakukan perubahan dan pembaharuan dalam blognya. Punyai tarikan dari sudut pemilihan nama blog, namun gagal dari sudut isu dan persembahan blognya. Tak mengapa, kita belajar untuk melakukan kesilapan, kerana silap itulah yang mengajar kematangan.

Blog perlulah ringkas dan padat namun mempunyai daya tarikan. Blog juga perlulah pantas dan mesra pembaca. Blog juga haruslah memudahkan pelawat blog untuk membuka blog tersebut. Blog juga haruslah disusun atur dengan baik. Blog juga perlulah membuatkan pengunjung merasa relaks bila mengunjungi blog tersebut.

Kreativiti dan syok sendiri adalah dua perkara yang berbeza. Kreativiti perlukan kritikan, syok sendiri tidak mengambil pendapat orang lain. Banyak blog lain yang menggunakan pelbagai gadget, namun menarik perhatian. Mereka ini kreatif dan pada masa yang sama mendengar pendapat orang lain.

DPP ingin berkongsi beberapa blog peribadi yang sangat menarik dan wajar menjadi contoh buat blogger-blogger lain. Moga-moga dengan melihat blog-blog mereka ini, pemilik-pemilik blog yang tak ubah macam blog sampah itu mampu menukar blog mereka menjadi sebuah blog yang menarik.

http://missnanaindahouse.blogspot.com

http://disebalikkulit.blogspot.com

http://zulhazri90.blogspot.com

http://butterflystori.blogspot.com

http://farhanfarhana.blogspot.com

Sekadar berkongsi beberapa blog yang menarik.


* Bisik-bisik Datuk Paduka Pena adalah ruangan khas bagi mengkritik sebarang perkara dan isu. Namun, kritikan yang dilemparkan tidak akan menyentuh sebarang isu sensitif, dan tidak akan menyentuh juga isu-isu perkauman. Individu atau organisasi yang dikritik juga tidak akan disebut dalam bicara ini.

(blog ini dalam proses penambahbaikan. Memang banyak kekurangan yang sedang diperbetulkan. Terima kasih kepada beberapa sahabat beri nasihat untuk mantapkan blog ini)

Ulasan

gelarezz berkata…
Antara gajet yg boleh dikategori sampah adalah mp3 player yang takde button untuk pause atau stop. kadang2 tu macam nak sakit jantung tiba2 keluar lagu kuat kemain.haha
setuju sgt2.
bukan semua org yg buka blog nak dgr lagu. kdg2 nak suasana yg senyap bila baca.
Tanpa Nama berkata…
ouh abg yazid, i'm too new in blogging...i read lots of your posts to learn how to write well...i'm still learning=)
p/s : gaya penulisan Bahasa Melayu abg yazid paling matang pernah saya baca dalam byk2 blog yg pernah sy singgah=)

Catatan Popular