"Aisyah (Nota Tiga)"




“Bila dah berbisik, maka cepat-cepatlah bersua. Bila hati dah tersangkut, maka cepat-cepatlah menurut. Kalau dah suka, maka katakan padanya. Kalau dah terpesona, maka lekas-lekaslah mencari mukadimah ikatannya. Susah-susah sangat, kalau dah angau terus saja jumpa si ayahnya. Katakan terus, dia nak dijadikan isteri saya. Susah sangat ke?”

Pagi bermula dengan secawan kopi pekat tanpa gula. Ibarat Cikgu Sya’arie lakonan P.Ramlee, kopi sejuk diteguk bersama sesisir pisang. Maka, perjalanan seterusnya ialah sekolah. Hanya berjalan kaki dalam tempoh hampir lima belas minit, maka sampailah Rizqullah meneruskan lagi tugas rutin seorang guru.

Mata cikgu-cikgu yang masih bertaraf ‘Cik’ memandang dan merenung sebaik Rizqullah berjalan menuju ke bilik guru. Setiap kali tiba, maka terpesona itu dirasai buat si wanita rakan-rakan sekerja Rizqullah. Wajah manis ditambah pula dengan sebuah ketampanan, maka hasilnya Rizqullah telah mewujudkan peminat senyap dalam kalangan cikgu wanita.

“Ibarat zoo pula bila kaki dijejak, mata banyak yang memerhati. Ibarat macam haiwan peliharaan, ditatap, sampai nak segan pula aku ni berjalan,” bisik Rizqullah menebalkan muka.

Umum tahu, dalam kalangan keluarga, Rizqullah individu yang paling pemalu. Senantiasa membisu, dan bila berbicara hanya beberapa patah kata dan kemudian diam kembali. Hanya bila disoal baru berbicara, dan bila ingin sampaikan perkara penting, barulah mulutnya berkata-kata.

“Cikgu jangan masuk campur!”

Sergahan mengejutkan Rizqullah yang baru sahaja selesai mengajar di kelas. Perjalanan keluar terhenti. Seorang pelajar perempuan berdiri di belakangnya.

“Jangan fikir kamu hidup bahagia sampai mati atas mulianya orang menyanjung bapak kamu,” balas Rizqullah tersenyum berjalan dengan tenang keluar dari kelas.

Pertelingkahan Rizqullah dengan seorang pelajar perempuan tersebut hari demi hari semakin panas. Dek malasnya anak murid menyiapkan kerja diberi, ditambah pula dengan sikap endah tak endah bila pembelajaran berlangsung, maka teguran demi teguran diberi dengan harapan berlaku perubahan. Namun susu dibalas tuba, bila maki hamun menjadi balasan sebagai satu reaksi marah.

“Anak orang berpengaruh kadang kala lupa, nama bapanya tak akan mengharumkan nama anaknya....”

Bicara pengetua sekali lagi beri semangat. Acap kali masalah melanda, maka Rizqullah dengan pantas merujuk pengetua. Mungkin dirinya dilihat seperti lemah, namun bagi Rizqullah itulah terbaik kerana pengetua penuh dengan ilmu menghadapi pelajar.

Perjalanan pulang ternyata berbeza seketika. Ani menawarkan diri menjadi teman berjalan menuju ke rumah. Tanpa membantah dan sebarang bicara, Rizqullah sekadar menurut sahaja. Kisah kekalutan pada sebelah malam  seminggu yang lalu segar muncul di fikiran. Kisah Ustaz Hamzah yang muncul tiba-tiba di muka pintu hadapan rumahnya mengundang wajah yang sangat pucat bagi Rizqullah.

“Apa benar yang dihidu itu satu bau maksiat dengan wanita itu senang hati masuk ke rumah kamu?” soal Ustaz Hamzah.

Lidah Rizqullah langsung kelu tak mampu berbicara. Kata-kata dilemparkan Ustaz Hamzah adalah benar. Mengakui kata-kata itu hanya sekadar memngundang maut bagi hasrat menyambung ikatan bersama Abyatina.  Jika basah ditangkap malam itu, maka hanguslah pinangan yang dalam proses pertimbangan di pihak Abyatina itu.

“Moga selamatkanlah aku dari segala fitnah dunia...” bisik Rizqullah malam itu.

Kasut tumit tinggi dipegang Ustaz Hamzah. Hasilnya, tindakan seterusnya, Ustaz Hamzah masuk ke dalam rumah mencari si wanita yang mungkin bersembunyi di sebalik dinding rumah si jejaka. Maka usaha mencari jejak dimulakan. Lutut Rizqullah hampir gugur ke tanah. Ibarat kaca terhempas rasanya.

“Nak makan lauk yang Ani masak tak?” soal Ani sambil berjalan di sebelah Rizqullah. Lamunan kisah beberapa hari yang lalu terhenti.

“Kerana lauk kamu itulah, aku terperangkap dengan sebuah fitnah yang boleh tercipta....” bisik Rizqullah.

Situasi hampir teperangkap terungkai apabila Ustaz Hamzah tidak menjumpai wanita yang dihidu itu. Kehairanan Rizqullah dalam sebuah kelegaan, dia tertanya-tanya kelibat Ani yang telah masuk ke dalam rumahnya, namun hilang entah ke mana.

“Memang hairan, tapi tiada keraguan. Tapi soal bagaimana kasut perempuan boleh ada di rumah kamu, masih suatu perkara yang sangat ganjil,” bicara Ustaz Hamzah.

Nasib dikurniakan buat Rizqullah. Ibarat seperti gerak hati, Ani menghidu kehadiran orang asing di pintu rumah Rizqullah. Maka lekas-lekas dia meluru ke pintu dapur berjalan pulang ke rumahnya dengan hanya berkaki ayam.

“Jika tidak, malam yang sekadar nak hantar lauk mungkin bakal menjadi malam pertama pengikat kasih buat Cik Ani tu,” kata sahabat Rizqullah.

Hanya tersenyum sebaik mengetahui kisah sebenar, pagi berikutnya Rizqullah meluru menuju ke pondok telefon. Ibunya ditelefon sebagai satu luahan selepas sebuah kejadian yang hampir meragut maruah dan air mukanya. Selepas berfikir panjang malam itu, maka Rizqullah telah memutuskan tindakan untuk memberitahu pula ibunya.

“Abyatina mesti menjadi isteri Rizqullah,” kata Rizqullah menerusi telefon.

Setelah berfikir panjang, peristiwa hampir terperangkap dengan tangkapan basah itu, maka Rizqullah merasakan sudah tiba masanya dipercepatkan ikatan dirinya dengan Abyatina.

“Carilah jalan, walau apa cara sekalipun, biar Abyatina akhrirnya memilih Rizqullah,” pintanya.

Ketawa kecil mencetuskan kelucuan buat ibu Rizqullah. Kelihatan seperti anaknya itu terdesak dengan disulami angau yang mungkin telah melanda. Rizqullah berada keresahan takut hasrat hati tak kesampaian dek keayuan Abyatina mencairkan kata hatinya.

“Kenapa perlu keresahan lagi. Tak perlu kalut kalau niat tu satu perkara yang baik”

Berita tanpa disangka. Niat di permulaan mahu mendesak ibunya mencari usaha mendapatkan dan memikat hati Abyatina supaya akhirnya nanti, perebutan peminangan Yaqzan dan dirinya berkesudahan dengan penerimaan Abyatina terhadapnya. Fikiran malam sebelum itu melahirkan hasrat hati yang cukup kuat untuk menjadikan Abyatina sebagai isterinya secepat yang mungkin. Kini perbualan bertukar dengan sebuah kejutan.

“Keputusan yang diberikan Abyatina malam semalam menerusi perbualan telefon, kamu orang yang terpilih memenangi pertandingan merebut hati Abyatina,” bicara ibunya buat Rizqullah.

Terkelu lidah dalam kebisuan. Kejutan diberikan ibarat letupan sebuah kegembiraan. Kisah tak terduga mencetuskan jeritan dalam hatinya.

“Pucuk dicita, ulam mendatang”

“Alhamdulillah buat kamu,” bicara ibunya.

Kisah kembali semula kepada perjalanan pulang ke rumah. Agak janggal berjalan berdua dengan Ani,dengan kebisuan tanpa bicara mencetuskan perbualan, maka perjalanan itu dirasakan agak lama. Kisah penerimaan Abyatina terhadap peminangannya tidak langsung diketahui oleh mana-mana rakan Rizqullah di Sabah. Malah, kisah perminangan Rizqullah dan sebab kepulangan sebentar dirinya ke Semenanjung juga tidak diketahui sesiapa.

“Boleh saja kalau Ani ada lauk yang lebih untuk dihulurkan”

Bicara Rizqullah menghilangkan kesenyapan. Soalan yang diajukan Ani beberapa minit sebelumnya baru dibalas Rizqullah. Mungkin mahu menjimatkan duit, atau mungkin juga perut yang berkeroncong tak mampu lagi menunggu dengan kesabaran menjamah makanan. Jika membeli di kedai berhampiran, maka lambat lagilah untuk dirinya menjamah makanan.

“Dari pintu sahaja Ani akan bagi lauk,” bicara Ani kemudian. Belajar dari pengalaman, kisah meluru masuk ke dalam rumah bujang lelaki pasti tidak lagi ingin diulangi Ani.

Sahabat rapat Rizqullah, Qiyaman pulang lebih awal hari ini. Sahabat-sahabat lain masih belum kelihatan di rumah. Mungkin menikmati hidangan di pekan Tawau. Kepulangannya ke rumah diberikan sedikit kejutan. Kunjungan tetamu tanpa dirancang, dengan perkhabaran datang jauh dari Semenanjung, maka bila dilihat wajah tetamu yang datang itu, ternyata Rizqullah tak mengenali lelaki tersebut.

“Nama saya Yaqzan”

Salam dihulurkan dan bermulanya sebuah perkenalan. Kejutan diterima Rizqullah. Tetamu yang hadir ternyata mengejutkan, namun kejutan lebih dirasakan apabila mengetahui individu yang muncul di rumahnya itu ialah pesaing dalam sebuah pertandingan merebut hati Abyatina yang baru sahaja berakhir.

“Salam perkhabaran, dan selamat datang,” bicara Rizqullah.

Kisah amukan Ustaz Khumaini lantas mencuri fikirannya. Kekecohan pada pagi kunjungan Rizqullah sekeluarga untuk melihat wajah Abyatina ternyata satu kisah yang cukup segar. Kisah kekecohan itu akhirnya berakhir dengan kehadiran isteri Ustaz Khumaini yang muncul tak lama kemudian. Dengan tenang, isterinya menenangkan Ustaz Khumaini.

“Bagaimana, dan mengapa? Dan siapa yang beritahu saya di sini?” soal Rizqullah mencari kepastian.

“Kunjungan sekadar menjalinkan persahabatan, dan kebetulan terlanjur sampai atas urusan pekerjaan. Maka nama kamu terlintas di fikiran, dan apa salahnya berjumpa dan sapa-menyapa dalam kesempatan yang terbuka,” kata Yaqzan.

“Ironi juga, dalam perebutan dua pihak, akhirnya terjalin sebuah persahabatan. Walaupun mungkin bersaing, namun permusuhan tak wujud,” tersenyum Rizqullah.

“Jadi, apa cerita Abyatina?”

“Sepatutnya Yaqzan yang sekampung dengannya lebih tahu dari saya yang jauh di Sabah ni,” balas Rizqullah.

“Tapi, tarafnya, Rizqullah ni bakal tunang Abyatina, dan saya ni sekadar teman sekampungnya”

Senyuman menguntum setiap kali berbicara. Manis mulut bagai dah lama bersua. Kemesraan terjalin menidakkan permusuhan. Maka itulah hari Yaqzan dan Rizqullah, dua nama menjadi satu sahabat.

“Tapi, sebelum pertunangan dimulakan, elok rasanya jika dikongsikan kisah Abyatina yang harus diceritakan. Kejujuran itu penting dalam sebuah ikatan,” bicara Yaqzan serius.

“Apa kisahnya? Dan mengapa dikatakan harus sebuah kejujuran?”

Bisikan Rizqullah terjelma penuh kehairanan. Seolah-olah mukadimah sebenar kemunculan Yaqzan telah dibuka. Saat kehairanan, kekalutan terjelma dengan sebuah panggilan separuh jeritan.

“Rizqullah, cepat.... tolong Ani kat sini!”

Jeritan Ana teman serumah Ani memecahkan perbualan Rizqullah dan Yaqzan. Terkejut dan akhirnya Rizqullah meluru keluar menuju ke rumah Ani.

“Apa yang berlaku? Siapa Ani?” soal Yaqzan terpinga-pinga tanda tiada kefahaman.

Soalan tak dijawab. Yaqzan terus ditinggalkan. Rizqullah menuju ke rumah Ani penuh tanda tanya ditambah rasa kehairanan. Kekalutan tercipta dalam persoalan yang tak terjawab.



*ditamatkan dahulu Nota Tiga*

Perjalanan sebuah cabaran diteruskan di lain bicara

**Aisyah ialah “Aku Insan Seperti Yang Abyatina Harapkan”

p/s: ‘ Aisyah’ adalah sebuah rentetan bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup ayah saya, Rosly bin Hanipah. Kisah kekuatan dan kecekalan seorang ayah dan bapa kepada enam orang anak ini pencetus kisah kepada rantaian bicara saya.

‘Aisyah’ adalah bicara cerminan dari sudut Rizqullah yang menjadi pelengkap kisah ‘Adina’ yang merupakan cerminan dari sudut Abyatina.






Ulasan

Catatan Popular