Sembang-sembang Selasa: Menyelusuri kenangan SMK Dr. Burhanuddin
Sabtu yang lalu, saya menjadi sedikit sibuk dek pertembungan aktiviti di empat buah sekolah. Sekolah Kebangsaan Pengkalan Aur mengadakan Hari Sukan 2011, dan saya menghantar adik-adik saya bersama mak ke sana. Pada hari itu juga, Sekolah Menengah Kebangsaan Dr. Burhanuddin mengadakan Hari Kantin, dan di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, adik lelaki saya Izhar kembali ke sekolah lamanya, menghadiri Hari Sukan sekolah lamanya itu. Ayah saya pula awal-awal pagi pergi ke sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Mudzaffar Shah, Gunong Semanggol kerana hari itu juga turut berlangsung Hari Sukan sekolah tersebut. Benar, pagi itu rumah menjadi sunyi sepi. Masing-masing sibuk pagi itu.
Saya berkesempatan menyelusuri kembali kenangan lama apabila berpeluang menjejakkan kaki semula ke SK Pengkalan Aur, sekolah saya dari tahun 1996 hingga 2001. Setelah hampir sepuluh tahun saya tinggalkan sekolah tersebut, inilah pertama kali saya kembali muncul menghadiri Hari Sukan sekolah ini. Peluang yang diberikan ini membuatkan saya terkenang kembali saat saya sewaktu di sekolah rendah. Saya meluangkan sedikit masa melihat acara perbarisan, sebelum meninggalkan majlis tersebut untuk menuju pula ke SMK Dr. Burhanuddin, sekolah saya dari tahun 2002 hingga 2004 bagi menghadiri pula Hari Kantin di sana.
Banyak yang berubah selepas tujuh tahun saya tinggalkan sekolah tersebut. Dalam tempoh tujuh tahun tersebut, pernah beberapa kali saya berkunjung atas urusan tertentu. Pada hujung tahun 2005, saya muncul semula di sekolah tersebut mengikuti pengumuman keputusan PMR tahun 2005 SMDB. Saya muncul kerana mahu mengetahui keputusan PMR seorang sahabat saya yang muda setahun dari saya.
Hujung tahun 2006, saya berkunjung semula, dan kali ini saya muncul bersama Razif, sahabat lama untuk mengambil sijil PMR yang baru keluar. Tahun 2007, saya muncul lagi. Kali ini saya berjumpa sahabat lama di sekolah tersebut. Kami berbual agak panjang pada tengah hari Jumaat, selepas tamat sesi pagi sekolah tersebut. Dan beberapa tahun kemudian, saya kembali lagi, kali ini hadir untuk menghadapi ujian Medsi (Ujian kelayakan guru) di sekolah tersebut.
Hakikatnya, banyak yang telah berubah. Jika dulu, jalan masuk ke sekolah merupakan jalan sehala. Namun kini, jalan telah diubah menjadi dua hala, bagi memberi laluan untuk projek pembinaan jejambat berhampiran sekolah tersebut. Jika dulu, terdapat kolam ikan yang dilatari dengan hiasan lanskap taman yang cukup indah. Namun kini, semuanya telah tiada, dan digantikan dengan dataran kawad serta tempat parkir kereta berbumbung. Kawasan dataran kawad sebelum ini pula telah digantikan dengan dewan sekolah yang baru. Dalam kata yang lebih mudah, kehijauan rumput dan pepohon yang banyak mengindahkan sekolah lama saya ini telah pun hilang sebaik saya berkunjung semula ke sekolah tersebut.
Hari Kantin menjadi peluang saya untuk melakukan sesi lawatan semula menyulusuri kenangan lama. Kunjungan saya bukanlah mahu menghabiskan wang membeli makanan yang dijual, namun saya hanya sekadar meninjau-ninjau keadaan sekolah lama saya ini.
Saya menghabiskan setengah jam berjalan-jalan melihat dan meninjau gerai-gerai yang dibuka. Saya akui, gerai-gerai yang dibuka lebih banyak berbanding sewaktu tahun-tahun saya belajar di sekolah ini. Pada waktu inilah, saya terlihat Ustaz Razak, guru Sejarah saya sewaktu di tingkatan dua. Wajahnya tetap sama, dan saya melihatnya kesibukan di gerai menjual makanan. Maka saya sekadar melihatnya dari jauh tanpa menegurnya, tidak mahu mengganggu kesibukannya.
Selepas puas membuat tinjauan, saya putuskan untuk melihat-lihat pula persekitaran sekolah. Maka bermulalah perjalanan saya dari satu blok bangunan ke blok bangunan yang lain.
Keadaan bangunan kebanyakannya masih sama. Namun beberapa kemudahan baru disediakan. Water cooler telah diletakkan di sebelah pejabat, manakala bersebelahan blok satu tingkat yang pernah menjadi blok yang menempatkan kelas saya sewaktu di tingkatan satu dan dua (tak ingat blok berapa...) telah diletakkan dua meja bulat batu yang boleh digunakan pelajar untuk berehat dan bersantai. Malah bumbung tambahan telah ditambah di kawasan yang sebelum ini terdedah dengan cahaya matahari. Blok setingkat itu juga telah dilakukan perubahan, apabila dinding kayunya telah diganti dengan dinding konkrit. (Cemburunya...)
Gelangggang banminton di hadapan bengkel Kemahiran Hidup masih kekal sama. Di sinilah tempat perhimpunan pelajar sesi petang sebelum masuk ke kelas terapung (kelas ini diwujudkan kerana bilangan bilik kelas yang tidak mencukupi disebabkan waktu pertama bagi kelas sesi petang adalah pada jam 12.30 pm, yang bertindih dengan pelajar sesi pagi. Maka, kelas pada waktu ini akan diadakan di tempat-tempat tertentu, seperti di surau, di pusat sumber, dan kelas-kelas kosong).
Kerusi-kerusi batu yang mengelilingi gelanggang badminton ini masih kekal sama. Saya masih ingat, kerusi-kerusi batu inilah yang menjadi tempat untuk saya letakkan beg saya sewaktu perhimpunan lima minit diadakan. Kerusi batu ini jugalah dijadikan oleh guru bertugas untuk berdiri dan mebuat pengumuman sekiranya terdapat maklumat yang ingin disampaikan. Selalunya, Cikgu Khushairy, guru disiplin sesi petang pada waktu itu yang akan mebuat pengumuman kerana suaranya cukup kuat apabila bercakap. (saya sangat rapat dengan Cikgu Khushairi kerana tahun itu saya menjadi Bendahari Agung Pengawas sesi petang)
Saya meninjau juga keadaan surau sekolah. Semuanya masih sama seperti dulu. Malah, permaidani surau masih sama seperti waktu saya bersekolah di sini dahulu. Terkenang zaman saya sewaktu di tingkatan satu dan dua dulu. Inilah tempat saya dan pelajar-pelajar lain solat jemaah bagi solat Zohor dan solat Asar. Setiap pelajar diwajibkan memakai kain pelikat sewaktu solat, dan jika terlupa membawa, maka rotanlah hukuman yang menanti. Saya pernah sekali dirotan di tapak kaki, namun semua itu berlaku dek salah faham. Tak pasal-pasal saya dirotan oleh Ustaz Halim pada waktu itu.
Sebaik kaki melangkah melepasi kawasan surau, saya terlihat kelibat seorang lelaki berjalan bersama dua orang anaknya. Saya ternyata mengenali lelaki itu. Lantas tangan diangkat melambai lelaki tersebut. Itulah Ustaz Kamal, guru Pendidikan Islam, antara guru yang paling rapat dengan saya sewaktu di SMDB.
Tangan dihulur berjabat tangan. Pada pemulaan, Ustaz Kamal tidak mengecam saya. Katanya saya sangat berbeza berbanding sembilan tahun yang lalu. Sudah semestinya, kerana sewaktu Ustaz Kamal mengajar saya di tingkatan dua, saya masih berada di awal remaja.
Perbualan panjang berlangsung selepas itu. Perkhabaran dihulurkan sambil bertanya perkembangan saya sekarang. Dia ternyata bangga apabila mendapat tahu saya kini merupakan pelajar UPSI dalam jurusan TESL. Katanya, tugas menjadi seorang guru ini sangatlah mencabar dan apabila saya telah memilih bidang perguruan ini, maka hendaklah saya menerima dengan sepenuh hati. Ya, saya memang memilih bidang perguruan kerana memang saya minat dan memang saya meminatinya dengan sepenuh hati.
Ustaz Kamal kini tidak lagi mengajar di SMDB. Dia kini mengajar di SMK Klian Pauh sebagai guru Pendidikan Islam, mata pelajaran di luar opsyennya. (Ustaz Kamal opsyen Bahasa Arab, dan merupakan graduan dari Universiti Yarmuk, Jordan).
Ustaz juga kini telah mempunyai lima cahaya mata. Nampaknya dah besar jumlah keluarganya. (Sewaktu mengajar saya, ustaz baru ada dua orang anak). Tujuh tahun tak bersua, ternyata banyak perubahan yang berlaku.
Akhir bicara, salam dihulurkan buatnya, dan sebelum berpisah, saya meminta nombor telefon ustaz agar perhubungan tidak lagi terputus. Ustaz Kamal berjalan menuju ke tapak hari kantin, dan saya kembali meronda-ronda sekitar sekolah lama ini.
Setelah puas berjalan-jalan, saya kemudian berehat di kerusi batu, berhadapan dengan bengkel Kemahiran Hidup 1. Merenung kembali bengkel tersebut, teringat kembali akan kenangan saya belajar dalam kelas Cikgu Leman, guru KH saya sewaktu di tingkatan tiga. Inilah guru yang paling saya takuti waktu itu, dan setiap kali hari Isnin dan Jumaat, hati saya pasti berdebar-debar dek gerun terhadap Cikgu Leman. Hakikatnya, Cikgu Leman agak baik dalam kelas, namun ketegasannya itu mungkin menyebabkan dia kelihatan seperti seorang guru yang garang.
Idea tercetus untuk meninjau pula kelas lama saya sewaktu di tingkatan tiga. Kelas 301 yang terletak di bangunan blok C saya tujui. Kelas tersebut berada di tingkat atas hujung bangunan blog C. Pada waktu itu, inilah satu-satunya kelas tingkatan tiga yang berada di aras tersebut. Kelas bersebelahan dan kelas-kelas yang lain di aras tersebut merupakan kelas bagi pelajar tingkatan enam atas.
Saya melangkah mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas. Fikiran kemudian terus melayang kembali terkenang saat saya di tingkatan tiga. Di tangga yang saya daki inilah merupakan tangga yang saya gunakan setiap hari untuk menuju ke kelas saya. Terasa seperti kembali ke zaman tersebut sebaik mendaki tangga tersebut.
Mata saya kemudian tertumpu pada pintu kelas lama saya. Saya tak percaya, saya kembali semula ke kelas tersebut setelah hampir tujuh tahun meninggalkannya. Inilah kelas 301 saya, dan saya kemudian masuk ke dalam.
Pintu hadapan kelas 301 |
Sebaik masuk, saya terus terkenang kembali keriuhan kelas semasa di tingkatan tiga. Terbayang saya keriuhan Solehuddin dan Taufiq bergurau senda, dan kemudian ditambah pula dengan Faizal yang menambahkan lagi keriuhan. Teringat juga Firdaus yang membelek-belek buku teks Geografi, dan terkenang juga Fatinah dan Nurul Amirah berbual-bual sambil Faziela menyapu di dalam kelas.
Pemandangan keseluruhan kelas dari pandangan belakang |
Saya meninjau kembali keadaan di dalam kelas tersebut. Semuanya masih sama, kecuali susunan mejanya sahaja. Jika dulu, meja disusun secara bertiga, namun kini meja disusun secara berdua. Jika dulu, layar putih untuk paparan LCD tidak disediakan, namun kini kelas tersebut telah dilengkapi dengan kemudahan tersebut. Keadaan kelas agak bersepah, dan mungkin kelas ini kini digunakan oleh pelajar kelas hujung.
Keadaan kelas lama 301 yang agak bersepah. Pada tahun 2004, kelas ini sangat bersih dan tersusun sehingga pernah dipilih sebagai kelas terbersih. |
Saya kemudian terus menuju ke meja lama saya. Meja di bahagian kanan kelas, terletak di barisan kedua itu masih segar di ingatan saya. Meja saya bersebelahan dengan tingkap. Sebaik duduk, terasa seperti kembali menjadi pelajar semula. Aura zaman di tingkatan tiga kembali terasa, dan saya benar-benar terasa seolah-olah berada kembali di zaman itu.
Meja saya sewaktu di kelas 301 (2004). Barisan kedua di tepi tingkap (kerusi berwarna merah). Di sebelah meja itu merupakan meja Firdaus. |
Melihat meja guru, teringat kembali saat Pn. Baishah (guru kelas 301) mengajar saya untuk subjek Bahasa Melayu. Di meja guru inilah, saya masih terkenang kembali saat perbincangan ayah saya dengan Pn. Baishah sewaktu hari mengambil laporan prestasi akademik saya.
Meja guru. Di sinilah ayah dan Cikgu Baishah pernah berbincang mengenai prestasi akademik saya pada waktu itu. |
Saya juga masih teringat sewaktu Ustazah Kamaliah bercerita mengenai gurauan dengan alatan tajam. Katanya, di dalam kelas inilah seorang pelajar yang pada mulanya bergurau dengan rakannya menggunakan pisau tanpa sengaja telah melukakan tangan rakannya itu. Ustazah Kamaliah berkata begitu untuk menasihati Solehuddin yang bergurau dengan gunting di dalam kelas.
Apabila berada di meja lama saya ini, saya terkenangkan kembali sahabat yang duduk di sebelah saya. Itulah Firdaus Mokhtar (kini di Universiti Malaya), sahabat karib saya pada waktu itu. Dia sangat rajin menyalin setiap nota yang diberikan cikgu di papan putih. Saya dan Firdaus berkongsi minat yang sama terhadap mata pelajaran Sejarah dan Geografi. Dua mata pelajaran ini senantiasa menjadi perbincangan antara saya dan Firdaus.
Di sebelah Firdaus ialah Hakimi. Dan di hadapan Hakimi ialah Faisal, Fakhrul, dan Hafiz. Rakan sekelas lain yang berada di barisan tengah pula ialah Taufiq, Faizal, Sollehuddin, dan Zaki.
Di barisan tengah ini, Solehuddin, Taufiq, Zaki, dan Faizal duduk. |
Saya kemudian merenung keluar menerusi tingkap kelas dari tempat duduk saya. Dapat dilihat dengan jelas bangunan tiga tingkat yang menempatkan kelas untuk tingkatan empat dan tingkatan lima. (saya tak pasti sekarang bangunan tersebut masih digunakan oleh pelajar tingkatan yang sama) Teringat kembali pada waktu dulu, apabila bosan dengan pembelajaran dalam kelas, atau mungkin terasa mengantuk, maka saya akan merenung seketika ke luar tingkap menghilangkan sekejap letih dan mengantuk. Saat melihat kesibukan pelajar bergerak ke sana dan ke sini di blok tiga tingkat itu, saya menjadi tenang seketika. Dari tingkap itu juga saya dapat melihat dengan jelas blok satu tingkat yang terletak bersebelahan dengan blok C. Di blok itulah menempatkan kelas 201 (2003), dan 101 (2002) saya.
Pemandangan dari tingkap. Bangunan tiga tingkat dan bangunan satu tingkat. Di bangunan satu tingkat itulah merupakan kelas saya dari tahun 2002 hingga 2003. |
Kadangkala, apabila elektrik terputus (selalu berlaku di SMDB pada waktu itu), sayalah antara orang bertuah. Angin yang meniup memasuki tingkap pasti akan saya rasai dengan lebih kuat berbanding pelajar lain dek meja saya yang betul-betul di tepi tingkap kelas.
Saya kemudian bangun dan kemudian berdiri di hadapan kelas. Terus terlintas di fikiran saya terhadap ujian lisan Bahasa Melayu, dan oral test Bahasa Inggeris saya. Di tempat saya berdiri inilah, saya bercakap di hadapan kelas bagi ujian lisan tersebut. Bagi oral test yang dikendalikan Pn. Marduati, saya memperkatakan mengenai sinopsis dalam short story The Pencil karya Ali Majod. Pada waktu itu, saya kurang fasih bercakap Bahasa Inggeris, dan saya merangka dulu di atas kertas sebelum menghafalnya dan kemudian dipersembahkan di dalam kelas.
Semasa berdiri juga, saya merenung kembali meja di penjuru berhampiran pintu hadapan kelas. Itulah letaknya meja Fatinah (kini di Mesir) yang merupakan perlajar terbaik dalam sekolah pada waktu itu. Di sebelah Fatinah pula ialah Nurul Amira, juga merupakan antara pelajar terbaik di sekolah. Pada waktu itu, Sollehuddin (kini di USM), Firdaus, Fatinah, Nurul Amira, dan saya bersaing di dalam kelas dalam dalam peperiksaan dan ujian. Masing-masing pernah menjadi pelajar terbaik sekolah, dan ternyata persaingan pada waktu itu sangat menyeronokkan.
Meja Fatinah di tepi pintu. Di sebelahnya ialah meja Nurul Amira. |
Saya kembali ke meja lama saya. Sebaik itu, saya teringat pula Cik Norbie (kini Pn. Norbie), guru Geografi saya. Selalu setiap kali masuk ke kelas, Cik Norbie akan memperkatakan mengenai drama Samarinda di TV3 yang bertajuk Sephia. Maka saat ini terlintas pula di kepala akan lagu yang dijadikan lagu tema drama tersebut iaitu lagu Berhenti Berharap nyanyian Sheila On 7. Sollehuddin antara rakan saya yang cukup meminati lagu tersebut. Maka lantas saya keluarkan telefon bimbit, dan kemudian terus mendengar lagu tersebut. Sekadar mahu merasai kembali kenangan lama yang menjadi kenangan manis saya.
Benar, lagu mampu mengembalikan ingatan terhadap memori lama. Maka, saat ini saya benar-benar terasa seperti berada dalam kelas 301 tahun 2004. Walaupun hanya saya seorang sahaja berada dalam kelas tersebut, namun saya dapat merasakan seolah-olah kelas itu dipenuhi dengan riuh rendah pelajar-pelajarnya. Benar, kenangan lama semuanya menjelma. Kerinduan terhadap sesi kelas dari awal pagi 7.30 sehingga ke pukul 1.40 tengah hari sangat dirasakan. Saya kini telah meninggalkan alam persekolahan hampir lima tahun. Ternyata kerinduan itu ada asasnya.
Tahun berikutnya iaitu tahun 2005, saya berpindah ke MRSM Taiping setelah mendapat keputusan cemerlang dalam PMR. Saya akui, pengalaman baru di sana ternyata masih segar dalam ingatan. Namun, apabila dikenang secara keseluruhan perjalanan saya sebagai pelajar sekolah dari tahun 1996 hingga tahun 2006, tahun 2004 iaitu sewaktu saya di tingkatan tiga SMK Dr. Burhanuddin merupakan kenangan paling manis saya sehingga kini.
Mengapa?
Pada tahun itulah saya berada di kemuncak kejayaan. Tahun tersebut diharungi dengan mudah tanpa banyak dugaan. Pada tahun itu jugalah Adrina, adik bongsu saya dilahirkan. Tahun itu jugalah saya berada di tahap terbaik dari aspek kesihatan. Tahun itu juga merupakan tahun terbaik pengurusan masa saya. Malah, tahun itu juga disiplin saya berada di tahap yang paling tinggi. Pengurusan kewangan saya juga tidak terkecuali, apabila saya mampu menguruskan kesemua elaun yang diberikan ayah saya dengan baik, tanpa perlu meminta elaun tambahan dari ayah saya. Saya mempunyai sahabat karib yang cukup ramai, dan pada waktu itu tidak ada langsung musuh. Tahun 2004 juga turut menyaksikan saya tidak langsung mengalami sebarang tekanan dalaman, dan pada waktu itu jugalah tiada langsung istilah ‘perkara sensitif’ wujud dalam kotak fikiran pada waktu itu.
Maka tidak hairanlah, saya mampu memberikan keputusan yang terbaik bagi PMR untuk dihadiahkan kepada mak dan ayah. Pada waktu itu, saya benar-benar memberikan tumpuan pada pembelajaran tanpa diganggu langsung oleh anasir-anasir luar.
Sehingga kini, saya tidak lagi dapat merasai kemanisan seperti yang pernah saya lalui pada tahun 2004. Trauma yang menimpa pada tahun 2005 telah meruntuhkan kesemua sistem pengurusan diri saya, dari aspek pengurusan masa, akademik, dan sosial. Pada waktu itulah saya terkapai-kapai mencari kembali formula yang pernah saya gunakan sewaktu di tingkatan tiga, dalam usaha mengembalikan saat manis yang pernah saya rasai pada tahun 2004.
Saya gagal.
Namun, walaupun saya tak berjaya menngembalikan kenangan manis seperti yang pernah saya rasai pada tahun 2004, saya akui saya masih berjaya mendapatkan kejayaan walaupun pada masa yang sama pelbagai dugaan menimpa. Siri kekecewaan tahun demi tahun berterusan. Saya akui, mungkin itu dugaan Allah untuk saya bagi memantapkan lagi diri.
Sehingga saya masuk ke UPSI pada pertengahan tahun 2010, saya belum berjaya mengembalikan saat manis itu. Pelbagai kecelaruan masih belum selesai, dan saya masih lagi terus terkapai-kapai mencari formula terbaik dalam mendapatkan pengurusan diri yang sangat mantap. Benar, mungkin kenangan-kenangan pahit yang dilalui dari tahun 2005 hinggalah tahun 2010 masih belum dapat dipadamkan.
Moga tahun 2011 yang kini berada di pertengahan mampu menjadi antara tahun termanis saya kembali. Walaupun saya sedar, saat manis 2004 itu mungkin tidak lagi dapat dikembalikan, saya berharap agar separuh dari kemanisan yang pernah saya rasai pada waktu itu dapat dirasai kembali pada tahun 2011.
Itulah kisah perjalanan menyelusuri kembali kenangan lama, saat termanis di SMK Dr. Burhanuddin, Taiping. Setelah hampir sejam meluangkan masa berada di dalam kelas tersebut, saya keluar dan kemudian pulang.
Kelas 301 tahun 2004 kini menjadi kelas 2UITM |
Moga kunjungan ke SMDB yang baru dilalui akan memberikan satu motivasi buat saya mencari kembali kegembiraan dan kemanisan yang telah hilang itu.
Wallahualam.
Ulasan
nice lah,
mengungkap nostalgia lame,
M FIRDAUS M,
=)
nak bgtau yg klas tu tahun 2011 dikongsi antara dua tingkatan.form 2 n form 3.n mcm yg dilihat form 2uitm.mmg tu klas blkg.form 3 pulak 3um/305.so,budk pagi n petg yg share.yg decorate sume tu budak pagi.n yg bg sepah budak petg.hehehe..memg betol pon!n actually mase awal tahun 3um/305 ade menang klas bersih.n lps tu kitorg tatau pe jd,klas tu da mcm hutn.pagi kitorg kemas,esok dtg sepah balek.n then masing2 da fed up na kemas.tu yg jd camtu.n bagi saya pon,saya admit form 3 mmg the most amazing year.sorry if i sound rude.it's just that saya syg sgt klas tuh.ta na ada misunderstanding.BTW,nice to meet you,senior!