Elipsis impian, rahsia yang penuh tersirat
Impian adalah satu matlamat yang diletakkan, menjadi satu hala tuju kayu pengukur sebuah kejayaan. Setiap dari kita pasti berimpian, menyimpan angan-angan serba indah; merencana perjalanan hidup yang diharapkan menjadi serba sempurna.
Iya, barangkali impian itu serba indah. Bermain dalam kotak fikiran dengan bayangan yang penuh kemanisan dan kenikmatan. Sifat manusia, mempunyai akal dan fikiran; mempunyai kemampuan berimaginasi sejauh infiniti. Angan-angan dan impian itu nilainya percuma, tak perlu dibayar untuk berimaginasi.
Memang itulah sifat manusia. Tidak akan pernah rasa puas dengan setiap apa yang dimiliki. Akan sentiasa bermotivasi untuk mencapai sesuatu. Selagi mana namanya manusia, maka kita akan terus bergerak ke hadapan untuk mencapai impian.
Dalam teori keperluan Maslow, kehendak dan keperluan manusia didorong oleh motivasi yang dibahagikan kepada beberapa peringkat. Untuk mencapai ke peringkat lebih tinggi, maka keperluan asas yang harus ada perlu dicapai. Dalam erti kata yang lain, sebaik kita mencapai satu tahap impian, kita akan beralih ke peringkat seterusnya untuk mencapai impian yang seterusnya. Manusia hakikatnya tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Disebabkan itulah, kita akan sentiasa berimpian dan terus berimpian.
Namun, tak semua impian itu adalah yang terbaik buat kita. Hakikatnya, fikiran kita terbatas, bukanlah berifiniti tanpa sempadan. Manusia sifatnya lemah, tidak semua perkara mampu ditafsir dan difahami. Ada waktunya, kita merasakan impian itu adalah yang terbaik buat kita. Barangkali, setiap perkara yang kita rancangkan itu juga dirasakan yang terbaik untuk masa hadapan. Benar, kita adalah perancang yang terbaik, dengan segala kemampuan untuk berfikir kurniaan akal. Namun perancang yang sebaik-baiknya bukanlah datang dari kita. Maha Pencipta, itulah perancangan yang terbaik sebaik-baiknya.
Ada waktunya, apa yang kita impikan tidak pernah tercapai; sebaliknya kita dikurniakan dengan perjalanan sisi yang lain. Jalan yang kita rencanakan dalam perjalanan hidup akhirnya bertukar arah; namun arah yang baru itu bukanlah jalan yang salah. Malah ada kalanya, jalan yang baru itu lebih baik daripada jalan yang kita impikan.
Di suatu masa dahulu, impianku adalah untuk menjadi seorang peguam yang berjaya. Sejak di bangku sekolah, memang itulah cita-citaku; tidak pernah malap impian tersebut. Dari zaman sekolah rendah, menuju ke menengah malah sehingga ke zaman pra-universiti; hasrat tersebut tidak pernah luput dalam ingatankan. Padaku, ia adalah cita-cita dan impian terbaik buat diriku. Namun, segalanya berubah sekelip mata, di saat aku dalam dilema dengan masalah kesihatan dan masa hadapan.
Nasihat dari ayah, maka akhirnya aku menukar di saat akhir jurusan yang dipohon untuk ke universiti. Dengan keputusan peperiksaan yang aku peroleh, hakikatnya aku memang sangat layak untuk mengambil bidang undang-undang. Namun atas nasihat dan dorongan ayah; aku bertukar arah ke bidang pendidikan.
Maka, impian menjadi peguam ditamatkan. Namun aku tak pernah menyesal. Berkat mendengar nasihat ayah, tatkala aku mendalami dan mengharungi dunia mahasiswa pendidikan; hatiku mula sedikit demi sedikit jatuh hati terhadap dunia pendidikan. Iya, aku bersyukur menjadi pendidik, walaupun ia bukanlah kerjaya impianku satu masa dahulu.
Di sebalik kisah menjadi seorang guru, aku juga tidak pernah berimpian untuk menjadi guru Bahasa Inggeris. Impianku tatkala bertukar arah ke bidang pendidikan; aku mahu menjadi seorang guru Sejarah sama seperti ayah. Namun perancangan Allah itu adalah sebaik-baiknya untukku. Tanpa semena-mena, aku ditawarkan bidang kursus TESL; suatu bidang yang tak terjangkau dek akal. Hakikatnya, aku tak pernah memohon TESL, namun rezeki barangkali tak salah alamat; aku ditawarkan bidang itu.
Faktanya, Bahasa Inggeris ialah subjek yang paling tidakku suka. Namun yang dibenci itulah akhirnya menjadi bidang masa depanku.
Iya, tahun-tahun awal di UPSI, memang aku agak terkial-kila mebiasakan diri dalam dunia TESL. Namun perlahan-lahan aku dapat biasakan diri, dan akhirnya aku menikmati keseronokan alam pengajian sebagai mahasiswa bidang Bahasa Inggeris.
Itu suatu perkara kisah impian dan cita-cita tak kesampaian, namun rezeki yang tak pernah tersilap. Hakikatnya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita.
Begitu juga kisah perjalanan mencari jodoh di suatu masa dahulu. Persahabatan yang dijalin disulami dengan impian; kadangkala bukanlah yang terbaik untuk masa hadapan kita. Aku pernah mengenali beberapa wanita sebelum aku bertemu dengan wanita yang kini bergelar isteri buatku. Hakikatnya, impian jodoh dan wanita; barangkali di fikiranku adalah sebaik-baik keindahan. Menyatakan dialah insan yang sesuai denganku. Seribu satu impian; disulami angan-angan yang penuh dalam imaginasi kotak fikiran. Soal kalbu dan sanubari; kadangkala kita terkeliru di antara realiti dan fantasi. Apabila imaginasi mengatasi kewarasan hakiki; maka di akhirnya impian itu sifatnya hanya angan-angan.
Aku merasakan dialah wanita yang terbaik buatku. Gadis yang pasti akan membahagiakanku untuk seluruh hayatku. Pasti akan mencipta detik indah; bahagia tanpa sempadan. Andai dia menjadi teman hidup, pasti seluruh hidupku akan sempurna.
Ah, itu percaturan fikiran yang sifatnya imaginasi.
Allah lebih tahu apa yang terbaik buatku. Hakikatnya, ilmu Allah bersifat infiniti; jangkauan yang tak dapat digambar oleh fikiran kecil makhluk kerdil bernama manusia. Di saat aku merasakan itulah perjalanan jodoh terbaik buatku, Allah lencongkan jalan itu untuk aku menyelusuri susur lain yang serba baru.
Dari situlah aku bertemu bidadari terindah untuk menjadi teman hidupku. Isteriku; bukan suatu impianku di masa lalu, namun ia adalah anugerah dari Allah untukku. Anugerah teragung yang melengkapkan hidupku.
Adakah aku sesal kerana impian jodohku tak kesampaian?
Tidak sama sekali; kerana hakikatnya jodoh yang Allah kurniakan jauh lebih baik malah hebat dari apa yang pernah aku impikan. Padaku, impian jodohku itu adalah fatamorgana yang indah khabar dari rupa. Hanya barangkali berlandaskan keindahan yang serba palsu.
Hidup ini penuh misteri. Kita tidak dapat menjangka apa yang bakal kita lalui. Rahsia itulah yang lebih manis dan indah; mendatangkan rasa syukur dan takjub dengan kehebatan Ilahi. Fikiran manusia itu terbatas; maka sebaik-baik manusia adalah mereka yang senantiasa bermohon kepada Allah; meminta petunjuk dan jalan yang terbaik dalam hidup kita.
Tak salah untuk mempunyai impian. Kita berhak untuk berimpikan sesuatu; kerana dari impian dan cita-cita itulah, kita akan mengatur langkah untuk berusaha bagi mencapai impian itu. Namun, tak semua impian itu adalah yang terbaik buat kita. Ada masanya, impian itu tak tercapai; namun Allah kurniakan rezeki yang lebih hebat dari apa yang kita impikan.
Bagiku, perjalanan hidup ini serba indah. Tanamkan hati untuk sentiasa mensyukuri dengan nikmat kurniaan dari Allah. Sentiasa menanamkan rasa positif dalam fikiran. Setiap perkara yang telah berlaku adalah aturan dan takdir Ilahi. Jangan kita sesali; namun sama-sama kita ambil iktibar dan pengajaran.
Fikiran harus sentiasa ke hadapan; namun tak salah untuk menoleh ke belakang sekali-sekala. Untuk kita mempunyai kejituan hati memandang masa depan; maka dipersilakan untuk mencipta impian dan angan-angan.
Kita harus ada motivasi untuk kekal melangkah gagah mengharungi rencam kehidupan serba edan ini.
Impian demi impian, angan demi angan-angan; Allah sentiasa bersama kita.
Insya-Allah.
Isteriku, bukan sebuah impian namun satu anugerah terindah dan teragung kurniaan Ilahi |
Ulasan