Serabut dengan kehidupan harian? Hiduplah secara minimalis
Tatkala usiaku mula menjengah ke angka 30 beberapa tahun yang lalu, aku merasakan satu perubahan yang besar dalam hidupku. Memasuki fasa 30-an, perjalanan hidupku tidak lagi sama seperti zaman 20-an dahulu. Vibrasi dan tenaga muda tidak lagi sama sewaktu di awal 20-an. Pemikiran juga berubah seiring dengan kepantasan perjalanan hidup.
Itulah dinamakan kematangan dan kedewasaan.
Tatkala kita semakin dewasa, pemikiran kita juga akan mula berubah tanpa kita sedar. Tenaga muda yang pernah memuncak suatu masa dahulu, darah panas yang senantiasa teruja melakukan sesuatu; keberanian dengan kecerdasan pemikiran mungkin juga akan berbeza. Apabila komitmen demi komitmen semakin bertambah, maka tanpa sedar kita juga akan berubah. Kesibukan hidup menjadikan hidup kita semakin kompleks. Membuatkan kita semakin hari semakin terkejar-kejar dengan hal duniawi; atas nama sebuah tanggungjawab dan komitmen.
Apabila memasuki alam perkahwinan; membina sebuah rumah tangga, mempunyai isteri dan anak, semua itu akhirnya menyebabkan kita semakin dipenuhi dengan tanggungjawab wajib yang harus dipikul. Alam dewasa dilalui, dan rutin harian menyebabkan kadangkala tercetusnya keserabutan.
Serabut itulah yang akan mencipta tekanan dalam hidup; tanpa kita sedar. Menghilangkan kenikmatan hidup dan akhirnya menyebabkan kesihatan mental akan merosot hari demi hari.
Iya, semuanya bermula daripada bagaimana kita berfikir dalam hidup ini. Semuanya bermula dengan apa yang bermain dalam fikiran kita.
Maka, tatkala hidupku semakin kompleks dan dipenuhi dengan pelbagai tanggungjawab; maka di akhirnya aku memutuskan untuk melakukan sesuatu.
Hidup secara MINIMALIS.
Apa itu minimalis?
Ringkas namun bermakna. Hidup dengan keperluan minima. Tidak berlebihan dan tidak juga dalam kekurangan. Hidup dengan ringkas, namun tidak menjejaskan kehidupan seharian. Dalam bahasa yang mudah, hidup dalam kesederhanaan.
Seringkali dalam hidup ini, keinginan manusia sentiasa meluap-luap untuk inginkan banyak perkara dalam hidup. Tatkala nafsu berulamkan riak, ada sesetengah dari kita senantiasa menghabiskan banyak perkara untuk sesuatu yang tidak perlu pun.
Hidup di zaman media sosial, ada waktunya tanpa sedar kita akan membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain. Ada waktunya, kita tiada keinginan pun terhadap perkara tersebut; namun tatkala melihat orang lain memilikinya, maka getus hati akhirnya menghasut kewarasan fikiran untuk turut sama memiliki perkara tersebut. Orang lain beli emas, dia pun nak beli emas. Orang lain beli kereta baru, dia pun kelam kabut nak beli kereta baru. Orang lain kahwin, dia pun cuba terkejar-kejar nak kahwin; walaupun barangkali diri itu tak bersedia.
Semuanya ini akan mendatangkan keserabutan dalam fikiran dan di akhirnya mencipta stres.
Bahagia itu datang dengan pelbagai cara |
Untuk hidup secara minimalis, maka kita harus hentikan budaya membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain. Sebaiknya, kurangkan penggunaan media sosial. Barangkali agak mustahil untuk berhenti terus dari menggunakan media sosial, namun setidak-tidaknya kita cuba meminimumkan penggunakan media sosial. Apabila tiada perbandingan hidup, maka fikiran kita juga akan menjadi lapang; lebih mensyukuri dengan apa yang dimilki.
Hidup kita menjadi kompleks tatkala fikiran kita senantiasa dipenuhi dengan perkara yang tidak perlu dan penting. Seharusnya, fikiran kita perlu dipenuhi dengan perkara yang penting. Maka cuba lakukan mind decluttering, atau mengemas minda. Jadikan rutin mind decluttering ini sebagai satu perkara yang dilakukan setiap hari; atau paling tidak seminggu sekali. Kita harus melatih minda dan fikiran untuk fokus pada perkara-perkara yang penting.
Secara peribadi, aku memiliki satu buku khas yang digunakan bagi mind decluttering ini. Brain dumping book, aku jadikan sebagai medan untukku tulis setiap perkara yang bermain di fikiran; perkara-perkara yang remeh dan mengganggu fikiran aku. Sekecil-kecil ingatan seperti kersisauan untuk membayar bil-bil utiliti atau apa sahaja perkara yang mengganggu fikiran saat itu. Setiap kali ada perkara yang menjengkelkan, maka aku tulis dalam buku tersebut.
Secara psikologi, apabila kita menulis perkara yang mengganggu fikiran kita ke atas kertas, maka otak kita akan perlahan-lahan membuang maklumat dan perkara tersebut dari memori. Percayalah, anda akan rasa lebih ringan kepala tatkala meluahkan kekusutan menerusi mata pena. Dulu, aku selalu menulis sesuatu di atas buku brain dump terutama sewaktu krisis politik negara di suatu masa dahulu. Fikiranku lebih tenang, dan tidak terlalu memikirkan perkara tersebut sebaik diluahkan di atas kertas.
Menulis adalah satu terapi fikiran dan hati |
Apabila mind decluttering ini menjadi suatu rutin kita, maka kita akan dapat meningkatkan daya fokus terhadap sesuatu perkara; tidak terganggu dengan fikiran hal-hal remeh. Harus diingat, apabila perkara-perkara remeh ini dibiarkan berlegar-legar dalam fikiran; lambat laun ia akan menjadi besar dan kadangkala mencetuskan panik dan kerisauan.
Sebagai contoh, kerisauan dan debaran untuk vaksinasi Covid-19. Perkara kecil, namun dek terlalu membaca banyak tulisan orang lain di media sosial; ada sesetengah dari kita terus menjadi anti-vaksi. Di awalnya hal remeh; tapi lama-lama bila dibiarkan dalam fikiran terus jadi perkara besar!
Fikiran yang tenang datang dari persekitaran yang lapang. Maka, untuk mencipta suasana yang tenang, jadikan tata rias di rumah secara minimalis. Aku tidak pasti dengan orang lain, namun bagiku tata rias minimalis di rumah banyak membantuku untuk kekal tenang dan lapang. Kurangkan aksesori dan perhiasan di rumah. Semakin banyak perhiasan dan aksesori, maka semakin sesak dan padat suasana di rumah. Pilihlah perabot dan kelengkapan rumah yang bersesuaian dengan saiz kediaman kita. Tak salah untuk memilih deko yang diingini; namun biarlah bersesuaian dengan rumah kita.
Jangan ikut orang, tapi ikut kesusuaian kita.
Apa yang penting, jangan sampai rumah terlalu padat dan sesak dek dekorasi yang terlalu banyak atau tidak sesuai; sehingga menyebabkan rumah yang luas dirasakan sempit. Pilihlah tema dekorasi yang sesuai. Zaman internet di hujung jari; banyak idea boleh diambil untuk dijadikan panduan dalam menghias rumah.
Hakikatnya, rumah adalah tempat paling selamat buat kita. Rumah adalah tempat untuk kita berehat dan menghilangkan stres. Andai rumah serabut dan sesak; mana mungkin dapat kita rasai ketenangan jiwa.
Rumah adalah tempat untuk mendapatkan ketenangan jiwa |
Sentiasa juga untuk melakukan rutin mengemas rumah. Sentiasa lakukan house decluttering bagi memastikan barang-barang yang tidak diperlukan tidak diperap sehingga menyesakkan rumah. Sentiasa pastikan setiap barang yang ada di rumah adalah barang yang digunakan, bukan barang yang terbiar. Bekas-bekas makanan yang lama, barang-barang lusuh malah pakaian lama juga harus disingkirkan dari rumah. Banyak rumah yang terbazir ruangnya disebabkan ruang yang ada digunakan untuk menyimpan barang-barang seperti ini. Walhal ruang tersebut boleh digunakan untuk diisi bagi kegunaan yang lebih berfaedah.
Simple and modesty; the key to peace and calmness.
Maka hiduplah secara simple dan beserdehana. Hidup berlebih-lebihan hanya memenuhi keinginan nafsu sahaja. Nafsu tak pernah puas. Pastikan iman menguasai kewarasan fikiran. Tiap-tiap perkara yang berlebihan, maka akan berlaku pembaziran. Sederhana lebih indah.
Untuk mengukuhkan iman, maka hati perlu diperbaiki. Jangan ada sifat riak dalam diri. Tatkala riak menjadi kiblat hati, maka kita akan sentiasa bersikap menunjuk-nunjuk atas kehebatan kita. Hati yang rosak, maka nafsu akan menjadi raja. Maka hambanya ialah kita, yang sentiasa tidak akan puas dengan apa yang dimilki.
Di akhirnya, fikiran akan menjadi serabut dek sibuk mengejar dunia; dengan riak dan takbur.
Barangkali pandanganku berbeza dengan pandangan kalian. Namun bagiku, hidup dengan ringkas dan sederhana membuatkanku lebih tenang jiwa. Aku lebih merasakan nilai kesyukuran dalam diri ini. Tidak pernah tertekan dengan hidup orang lain; kerana aku tak perlu membandingkan hidupku dengan hidup orang lain.
Tidak perlu lagi terkejar-kejar dengan hal duniawi, bersusah payah demi mengumpul kekayaan dan kesenangan. Bagiku, hidup sekarang ini juga telah senang. Aku hanya perlu nikmati dan menyelusuri dengan rasa bahagia.
Kesederhanaan adalah sebuah kesempurnaan.
Maka tersenyumlah wahai jiwa.
#IamMinimalist
Senyum pengubat duka |
Anak adalah pelengkap kebahagiaan dan ketenangan |
Isteri, anugerah kesempurnaan hidup |
Ulasan