Kisah Pelanduk Dua Serupa Isteriku

(Petikan dari perkongsian di Facebook, 21 Disember 2020)


Hari ini aku singgah sebentar ke sekolah untuk menghantar kek yang ditempah oleh Ustazah Ainshah. Kek pandan cheese leleh ditempah beliau dari isteriku. Aku menuju ke sekolah bersama isteriku. Sebaik tiba, kek terus diserahkan kepada Ustazah Ainshah dan aku kemudian mengajak isteriku untuk pergi ke bilik ICT sekolah bagi mengambil printer yang telah ditinggalkan lebih 2 bulan sejak tragedi peristiwa Covid-19 di sekolahku.

Untuk menuju ke bilik ICT, aku perlu melintasi pondok pos pengawal keselamatan kerana blok yang menempatkan bilik ICT juga merupakan blok asrama perempuan. Seperti biasa, salam diberikan mereka dengan nada yang penuh mesra. Walaupun aku memakai pelitup muka, mereka masih tetap mengenaliku.

"Selamat pagi sir!"

Isteriku hanya mengikut di sebelahku, pertama kali melihat sendiri kawasan tempatku bekerja atau barangkali juga risau, tatkala melalui kawasan yang pernah menjadi kawasan PKPD beberapa minggu sebelumnya. Setibanya di hadapan pintu bilik ICT, aku dapat melihat pekerja-pekerja pembersihan memerhatikan aku dari jauh. Wajah mereka kelihatan seperti kehairanan. Mungkin hairan melihat aku tiba-tiba hadir ke sekolah atau mungkin hairan tatkala melihat isteriku di sebelah.

Pintu bilik ICT dibuka, aku dan isteriku masuk ke dalam. Aku mengambil printer tersebut dan isteriku meninjau keadaan bilik ICT yang telah terbiar hampir 2 bulan. Memang agak tak terurus di samping bau cecair sanitasi yang menguasai bilik ini, pasca PKPD sekolah ini.

Selesai mengambil printer, kami keluar dari bilik itu. Pintu dikunci dan kami terus menuju ke kereta. Melintasi kembali kawasan pondok pos pengawal, terdengar perbualan di antara para pengawal yang ada di pondok tersebut.

"Eh, Cikgu Izzati ke tu?"

"Mungkinlah kot"

"Tapi tu kan Sir Yazid. Takkanlah Cikgu Izzati jalan rapat dengan dia?"

"Eh, tu isteri sir lah!"

Aku hanya tersenyum menahan gelak.

"Assalamualaikum puan. Mintak maaf puan," kata salah seorang pengawal tersebut kepada isteriku. Barangkali memohon maaf kerana telah salah sangka bahawa isteriku itu ialah Cikgu Izzati, kaunselor sekolah.

Ya, mereka semua pengawal keselamatan wanita.

Itu bukanlah kisah pertama orang mengaitkan isteriku dengan Cikgu Izzati. Aku masih ingat sewaktu jamuan KGKT beberapa tahun lepas. Pengetua pada waktu itu juga tersilap pandang, tatkala menyatakan bahawa isteriku ini ialah Cikgu Izzati. Logiknya, takkanlah tiba-tiba Cikgu Izzati nak berkepit dengan aku dalam jamuan pada masa itu.

Pernah juga seorang pelajarku menyatakan padaku di kelas bahawa dia ternampak aku dan Cikgu Izzati berjalan-jalan di Tesco di suatu masa. Lantas aku membalas dengan nada spontan.

"Cikgu Izzati tu isteri orang. Mana boleh saya jalan dengannya"

Ada juga seorang lagi pelajar menyatakan perkara yang sama. Pelajar ini ternampak gambarku dengan seorang wanita di Instagram aku. Pada waktu itu, isteriku masih lagi bertaraf tunangku. Memang aku ada bergambar dengan tunangku di UPSI. Lantas daripada gambar itu, pelajarku bertanya soalan yang hampir sama.

"Sir jalan-jalan dengan Cikgu Izzati di UPSI ke?"

Mana mungkin. Tak mungkin. Hakikatnya, Cikgu Izzati yang mereka nyatakan itu ialah isteriku, Puan Hazwani. Ramai yang berkata bahawa isteriku ini ada iras Cikgu Izzati. Namun sejujurnya, kerana aku yang betul-betul mengenali isteriku; aku tak nampak dari sudut mana yang menampakkan mereka berdua ini seiras.

Buat pelajarku, atau sesiapa saja yang mungkin selepas ini akan ternampak diriku dan Cikgu Izzati berjalan-jalan di mana-mana; percayalah Cikgu Izzati yang kalian nampak itu ialah isteriku yang bernama Puan Hazwani. Takut juga timbul salah sangka dan fitnah.

Yalah, tadi aku dan isteri berdua-duaan di bilik ICT. Mujurlah pengawal keselamatan tersebut mengecam bahawa wanita bersamaku ini ialah isteriku. Kalau sampai ke sudah mereka fikir wanita itu Cikgu Izzati, bukankah itu sudah timbul satu cerita yang kurang molek.

Aku hanya ketawa tatkala pengawal keselamatan wanita tersebut memohon maaf kepada isteriku.

Keretaku meluru laju meninggalkan perkarangan sekolah. Perjalanan seterusnya; Sir Yazid nak berdating dengan Puan Hazwani. Anakku ada di rumah dijaga oleh adik iparku
Itulah sebuah kisah pelanduk dua serupa.

Realitinya, isteriku memang tak sama wajahnya dengan Cikgu Izzati. Sekilas pandang mungkin. Dua kali pandang, jauh sangat tu...






Ulasan

Catatan Popular