Ketagih telefon? Lakukan detoksifikasi

Sumber gambar: moneycrashers.com


Zaman serba canggih, maka kepantasan dalam mendapatkan makumat itu dilihat semakin menuju ke infiniti. Jumlah informasi dan maklumat di hujung jari ini kelihatan seperti tiada had. Kepesatan teknologi menjadikan hidup kita semakin mudah namun pada masa yang sama, barangkali akan mencetuskan kesan-kesan negatif pada diri kita. 

Telefon pintar, dengan saiz segenggam tangan; boleh dibawa ke sana dan ke sini, maka ia memudahkan sesiapa sahaja untuk menggunakannya. Namun hakikatnya, mudah itu mencetuskan gelombang ketagihan dalam diri kita. Pendedahan yang terlalu lama, akan menyebabkan kesan sampingan kepada kita.

Maka itulah yang terjadi kepada diriku beberapa bulan yang lalu. Semuanya bermula apabila pandemik Covid-19 menular dalam negara. Saat kebanyakan dari kita terpaksa terperap di rumah, maka aku baru sedar bahawa rutin harianku banyak dipengaruhi dengan penggunaan telefon pintar. Aku mula sedar tatkala tidurku mula ternganggu disebabkan pendedahan terlalu lama cahaya skrin telefon di waktu malam; di saat masaku tidak banyak dihabiskan dengan anakku; dan di saat aku mula sedar bahawa rentak pembacaan bukuku juga mula terkesan.

Kualiti hidupku juga mula merosot disebabkan terlalu banyak terdedah dengan penggunaan telefon pintar.

Lantas, di suatu hari, aku melakukan ujian ketagihan telefon secara online untuk mengukur tahap ketagihan telefon pintarku (boleh layari laman web ini untuk mengukur tahap ketagihan telefon pintar: https://www.amexessentials.com/cell-phone-addiction-quiz/). Hasil keputusan kuiz tersebut, skor markahku menunjukkan tahap ketagihan telefonku berada pada tahap sederhana. Walaupun sederhana, namun ia harus ditangani bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk.


DETOKS TELEFON

Seperti ketagihan dadah, alkohol dan lain-lain; salah satu cara untuk mengurangkan serta mengawal ketagihan tersebut adalah dengan melakukan detoksifikasi. Ketagihan bolehlah diibaratkan sebagai racun dalam badan. Maka untuk mengurangkan racun itu, langkah detoks harus dilakukan.

Bagaimana untuk detoks telefon?

Perkongsian yang dikongsikan ini adalah berdasarkan pengalaman peribadiku. Mungkin sesuai untuk para pembaca mencuba sekiranya mengalami masalah ketagihan telefon.


Tutup semua media sosial

Hakikatnya, kebanyakan dari kita banyak menghabiskan masa menggunakan telefon dek mahu melayari segala macam media sosial yang terhidang. Baik Facebook, Instagram, Tik Tok, Twitter dan lain-lain, kecenderungan untuk kita menggunakan medium media sosial ini adalah disebabkan kita tidak mahu ketinggalan dalam aspek kebolehcapaian maklumat terkini. Kata orang, kalau nak up to date kenalah sentiasa menjengah media sosial. 

Iya, memang benar bahawa segala maklumat dan berita terkini sangat pantas tersebar di media sosial. Namun persoalan yang timbul, apakah maklumat itu benar-benar kita perlukan? Adakah kita perlu tahu segala macam berita itu? Adakah penting untuk kita menghadam segala macam maklumat tersebut.

Sumber gambar: interestingingineering.com



Hakikatnya, penyebaran berita palsu banyak berlegar di media sosial. Malah, maklumat dan berita palsu ini mudah tersebar dan dipercayai berbanding dengan berita yang sahih! Berita sensasi tanpa etika kewartawanan ini senantiasa mencetuskan panik dan salah faham masyarakat.

Hakikatnya juga, media sosial dilihat semakin toksik dengan  segala macam aura negatif yang senantiasa berlegar-legar. Unsur riak dan takbur mewarnai media sosial sehingga menyebabkan jiwa yang tenang seseorang itu bertukar menjadi tertekan dan berserabut.

Media sosial kini menjadi medium untuk kebanyakan pelayarnya menunjuk setiap aspek terbaik mereka; walaupun kadangkala ia bersifat kosmetik dan palsu. Kekayaan dan kecantikan cuba ditonjolkan. Ibarat pesta sosial; masing-masing cuba menunjukkan kehebatan masing-masing; cuba menjadi terbaik ibarat sebuah pertandingan.

Tanpa sedar, kita akan mula membandingkan hidup kita dengan orang lain. Itulah yang seringkali berlaku dalam Instagram; dan hakikatnya itulah tujuan utama Instagram dicipta! Algoritma yang ada pada Instagram dihasilkan untuk membuatkan setiap pelayarnya menjadi ketagih untuk skrol dan skrol pos demi pos di Instagram. Tanpa sedar kita menghabiskan berjam-jam lamanya hanya untuk Instagram. 

Maka, langkah pertama bagi menghilangkan ketagihan telefon adalah dengan memadam semua aplikasi media sosial di telefon.

Barangkali langkah ini agak drastik dan radikal; namun percayalah kunci ketagihan itu bermula dari media sosial. Maka, ambil kunci itu dan buangkan; pasti ketagihan itu akan berkurang sedikit demi sedikit.

Tanpa media sosial, adakah kita akan ketinggalan dari segenap segi maklumat?

Berdasarkan pengalamanku tanpa media sosial melebihi 3 bulan; jawapannya adalah TIDAK.

Iya, media sosial adalah tempat paling mudah untuk mendapatkan berita dan maklumat terkini; setidak-tidaknya itulah yang ramai fikirkan. Namun hakikatnya, tanpa media sosial kita masih boleh menerima maklumat dan berita terkini menerusi medium yang lain. Akhbar dan radio; malah majalah juga masih menyampaikan maklumat terkini walaupun ia kini kelihatan ortodoks untuk generasi IT masa kini.

Setelah 3 bulan tanpa Facebook dan Instagram, aku tidak pernah ketinggalan untuk menerima berita-berita terkini. Hakikatnya, maklumat dan berita itu pasti akan sampai juga walaupun tanpa media sosial!

Maka, langkah pertama bagi detoksifikasi telefon; campakkan semua media sosial ke bakul sampah anda!


Cari alternatif selain dari telefon

Telefon pintar memang dicipta untuk membuatkan penggunanya senantiasa bergantung dan ketagih padanya. Tanpa sedar, gaya hidup masa kini kita banyak bergantung kepada telefon. Otak kita ibarat seperti telah dilatih tanpa sedar; untuk terus kekal bergantung pada telefon pintar. Hakikatnya, otak kita memang akan sentiasa mencari medium untuk hiburan; menghiburkan diri dan mengurangkan tekanan. Kita akan sentiasa mencari sesuatu bagi meningkatkan dophamine dalam diri kita. 

Untuk tujuan itu, telefon pintar adalah jalan pintas untuk menghiburkan hati. Dengan segala macam perkara yang boleh dibuat menggunakan telefon pintar, otak kita dilatih untuk bergantung padanya. Maka, untuk mengurangkan kebergantungan terhadap telefon pintar sebagai medium mencari hiburan; kita perlu mencari alternatif lain bagi menggantikan aktiviti skrin di telefon pintar.

Barangkali anda boleh mula menjadikan membaca sebagai amalan dalam mengisi masa yang terluang. Mungkin juga boleh melakukan aktiviti atau hobi yang lain seperti melukis, berkebun, atau mungkin juga menjahit dan mengait. 

Sejujurnya, apabila diriku mula melakukan detoksfikasi telefon, aku memilih membaca sebagai aktiviti bagi menggantikan telefon pintar. Hasilnya dalam tempoh 3 bulan, aku berjaya menghabiskan banyak buku yang kebiasaan hanya dapat dihabiskan dalam tempoh setahun!

Malah, aku juga mula kembali menulis di blog setelah bertahun-tahun lamanya terperap dan bersarang tanpa entri yang terkini. Kali terakhir aku menulis di blog adalah pada tahun 2018; dan setelah 3 tahun, aku kembali aktif.

Aktiviti alternatif ini bergantung pada individu. Tanyalah pada diri sendiri apakah yang kita minati namun telah lama ditinggalkan disebabkan kesibukan hidup. Pilihlah aktiviti itu, dan gantikan masa terluang yang banyak dihabiskan dengan telefon pintar kalian. Percayalah, kualiti hidup pasti akan bertambah baik berbanding sebelum ini. Telefon pintar bukan segala-galanya.

Sumber gambar: nickwignall.com


Produktiviti kerja akan bertambah

Salah satu kesan yang paling ketara setelah melakukan detoks telefon adalah meningkatnya kualiti dan produktiviti kerja. Jika sebelum ini aku senantiasa terganggu fokus dek bunyi notifikasi dari telefon; atau barangkali hilang tumpuan dek terleka dengan perkongsian-perkongsian di media sosial. Namun, apabila tiada telefon di sisi, tumpuan untuk bekerja memang meningkat dengan banyak. Daya fokus terhadap sesuatu tugasan atau kerja dapat dipertingkatkan. Malah, daya ingatan juga menjadi lebih tajam, kerana tiada gangguan dari telefon pintar.

Barangkali tatkala dalam kesibukan bekerja, kita perlukan masa untuk berehat seketika. Namun seringkali masa rehat itu dihabiskan dengan penggunaan telefon pintar. Di akhirnya masa terbuang lebih banyak, dan momentum kerja juga akan terganggu.

Hakikatnya, telefon pintar memang dicipta untuk membuatkan pengguna menjadi leka dan asyik. Disebabkan itulah, masa dirasakan berlalu dengan pantas, sehingga barangkali mengganggu tugas dan kerja seseorang.

Sebagai seorang guru, tanpa telefon pintar di sisi sewaktu bekerja membolehkanku untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugasan seperti perancangan pengajaran, hal-hal pengkeranian, malah dapat juga diluangkan masa untuk menanda tugasan yang dihantar pelajar. Namun sekiranya penat dan hilang fokus sewaktu bekerja, carilah alternatif lain untuk mengisi masa rehat itu.

Telefon pintar sepatutnya bukan menjadi pilihan anda.


Kurangkan kemaskini (update) di media sosial

Mungkin juga ada dalam kalangan kita tidak mampu untuk membuang terus media sosial dari telefon. Namun, setidak-tidaknya perlu ada usaha untuk mengurangkan interaksi dalam penggunaan media sosial. Maka, salah satu cara untuk mengurangkan penggunaan media sosial seperti Facebook dan Instagram adalah dengan mengurangkan pos dan perkongsian di platform tersebut. Setidak-tidaknya, tanpa pos dan kemaskini di media sosial; kecenderungan untuk melihat notifikasi dan komentar di media sosial akan menjadi kurang.

Maka, akan berkuranglah simptom gila like atau attention seeker di media sosial. Kadangkala disebabkan keterujaan untuk mendapatkan perhatian dan like di media sosial, ada dalam kalangan kita sanggup menghabiskan masa berjam-berjam menggunakan telefon pintar. Setiap saat, akan melihat dan memeriksa telefon, bagi menyemak notifikasi di telefon; ingin tahu jumlah like yang diterima.

Begitu juga dengan kemaskini status di Whatsapp dan IG Story di Instagram. Sebaiknya, kurangkanlah untuk menggunakan fungsi-fungsi ini di media sosial bagi mengurangkan ketagihan dan keinginan untuk menggunakan telefon.

Disebabkan itu jugalah, kalian barangkali sudah jarang untuk melihatku mengemaskini status di Whatssapp atau IG Story di Instagram. Malah untuk melihat update di Facebook juga amatlah mustahil; kerana aku telah tinggalkan laman sosial tersebut lebih dari tiga bulan (sehingga tulisan ini ditulis, aku tidak langsung membuka Facebook).


Kualiti tidur akan meningkat

Cahaya biru atau blue light yang dipancarkan dari skrin telefon terutamanya akan menyebabkan tidur kita terganggu. Cahaya biru ini akan menstimulasikan mata, menyebabkan terganggu perembesan hormon melatonin dalam tubuh kita. Hormon melatonin ini amat penting untuk membuatkan kita rasa mengantuk. Apabila hormon ini berkurangan disebabkan pancaran cahaya biru dari skrin telefon, ia akan menyebabkan seseorang hilang rasa untuk mengantuk, seterusnya akan mengganggu waktu tidur seseorang.

Cahaya biru ini adalah sama dengan cahaya matahari; yang membolehkan kita untuk terus kekal segar di siang hari. Apabila cahaya ini masih dilihat mata di malam hari, kesannya akan menyebabkan seseorang itu menjadi sukar untuk mengantuk.

Untuk kekal produktif di siang hari; sebaik-baik kita harus tidur 7 ke 8 jam sehari. Maka, sebaiknya juga, waktu malam, jangan lagi aktif dengan telefon pintar. 2 jam sebelum tidur, mata kita harus tidak lagi melihat skrin telefon bagi mendapatkan kualiti tidur yang baik.

Sumber gambar: healthylivingmen.com


Dunia bukan sekadar telefon pintar; rasailah dan nikmatilah dunia yang sebenar

Kurangkan penggunaan telefon di setiap sudut. Untuk kita nikmati dunia yang serba indah ini, kita perlu melihat dengan mata kasar ini; tidak hanya terpaku di skrin telefon. Hakikatnya, interaksi sosial dari mata ke mata adalah lebih baik berbanding interaksi serba palsu di media sosial. Melihat keindahan alam adalah lebih mempesonakan apabila dilihat secara langsung. Nikmatilah udara segar, bunyi-bunyi alam; kicauan burung. desir angin yang meniup daun-daun kering, atau mungkin juga bunyi air hujan menimpa bumi, air yang mengalir di sungai. Semua ini hanya lebih indah apabila kita keluar dari pukauan telefon pintar.

Sewaktu makan bersama keluarga, nikmatilah hidangan tanpa telefon pintar. Lebihkan interaksi dengan ahli keluarga di hadapan anda. Dengar dan selami kisah-kisah yang dikongsikan mereka. Rasai dan hayati gelak ketawa keriangan anak dan isteri. Tenung dan tersenyumlah terhadap orang yang kita sayangi. Rasai kasih sayang sebenar yang dapat kita nikmati di hadapan mata kita.

Jangan jadi hamba telefon sehingga mengabaikan orang tersayang.


Kesimpulan

Telefon pintar adalah satu alat yang ternyata mencetuskan revolusi dalam hidup kita. Kepentingannya tidak harus dinafikan, namun kesan negatif juga harus difikirkan bersama-sama. Tidak salah untuk menggunakan telefon bimbit, namun janganlah kita menjadi hamba yang sentiasa tunduk dan asyik dengan setiap godaan di skrin. 

Zaman media sosial ini, memang akan menjadi keinginan untuk setiap pelayarnya menunjukkan segenap kebahagiaan yang mereka miliki. Iya, tidak salah untuk berkongsi kepada orang lain; namun biarlah berpada. Janganlah jadikan media sosial ini sebagai platform pertandingan hidup; sehingga berlakunya perbandingan di antara orang lain. Janganlah mentoksikkan media sosial dengan pelbagai aura negatif.

Ketagihan telefon pintar haruslah ditangani untuk meningkatkan kualiti hidup. Perbaikilah hidup ini selagi masih ada kesempatan. Dunia ini sangat luas untuk kita terokai. Maka teruskan pengembaraan untuk melihat keindahan dunia ini.

Adakah kita boleh hidup tanpa telefon pintar?

Jika zaman dahulu manusia boleh hidup tanpa telefon pintar di tangan; kenapa tidak kita? Hakikatnya telefon pintar adalah keperluan pelengkap hidup. Bukan kemestiaan yang harus ada untuk kelangsungan hidup.

Positifikan diri dengan positiviti. Sentiasa hidup dengan kualiti.

Alhamdulillah. Hampir 3 bulan aku melalui proses detoks telefon ini. Hidupku juga semakin berkualiti. Apa yang pasti, aku akan terus mengamalkan gaya hidup ini dengan mengurangkan penggunaan telefon pintar.

Akhir kata, jika anda ingin lakukan perubahan besar dalam hidup; langkah pertama yang boleh anda lakukan adalah dengan mendetoksfikasikan telefon anda!


Anak adalah satu anugerah dan amanah. Nikmati setiap detik masa yang dihabiskan bersama mereka



Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Satu perkongsian yang menarik, membawa kesedaran tentang ketagihan smartphone. Tahniah sir yazid!

Catatan Popular