Bicara: Sahabat dan sebuah perjalanan kisah di bumi UPSI


Mukadimah saya kali ini tidak mahu rasanya dipanjang dan dilebarkan sepanjang yang mungkin. Biarlah saja saya mulakan dengan salam bicara buat seorang sahabat yang mungkin kini menjadi sahabat karib dan mungkin juga ada yang berkata sahabat akrab. Bicara ini adalah perihalnya, dan bukti saya menghargai sebuah hubungan sesama ummah atas nama sebuah persahabatan. Ya, saya sangat hargai satu persahabatan.
Tiga minggu, dan secara logiknya, mana mungkin saya boleh bicarakan saya dah punyai satu sahabat yang boleh sehingga dibicarakan, boleh bersusah dan bersenang bersama. Ya, itu persepsi, kesabaran perlukan masa untuk cipta satu keakraban. Saya juga berpegang pada persepsi itu, hingga saya nyatakan, mungkin di pertengahan jalan semester itu, barulah saya ketemu sahabat akrab.

Ah, persetankan persepsi itu. Negatif dan tak boleh diguna buat keseluruhan sebuah pencarian persahabatan yang ikhlas. Kenapa saya bicara begitu? Ya, teori itu dihamburkan keluar dan langsung tidak kena dengan apa yang saya lalui sepanjang tiga minggu di tempat baru. Jadi, apakah maksudnya? Ya, saya hanya mahu nyatakan, mungkin kini tempoh tiga minggu itu, seorang sahabat mampu saya gelarkan sahabat karib.

Persoalan timbul. Siapakah namanya? Ah, kenapa itu yang disoalkan. Mari saya mulakan dengan pernyataan sebuah pengenalan berikan gambaran bagaimana perwatakan sahabat yang mungkin kini bergelar sahabat karib saya. Ya, angka pertama saya nyatakan dia seorang yang sangat baik. Ah, itu ayat umum selalu digunakan untuk mengangkat seorang sahabat. Namun itu hakikatnya.

Seorang yang ceria, mampu bicara sebuah perkara hingga saya mampu mengukir senyuman. Ya, bukan mudah untuk wujudkan sebuah senyuman, jika satu kemahiran yang berbentuk gurauan tidak penuh di dada. Saya akui, bila saya dengan sahabat ini, saya senantiasa ceria dan pada masa sama hilang kesemua rasa sukar dan tidak senang yang wujud dalam hati. Kenapa boleh itu jadinya? Ibarat tukang cerita yang bertaraf profesional, pelbagai kisah saya dengar dari sahabat ini. Ringan mulut kongsi cerita buat saya.

Berani dan mudah bergaul dengan orang baru, baik lelaki atau perempuan, memang saya tak ada kemahiran ni. Ya, harap-harap sahabat saya ni dapat turunkan ilmu buat saya dalam dua perkara itu. Hehehee... Yalah, sahabat saya ni mudah saja nak berbual dengan orang baru, sedangkan saya guna prinsip tunggu dan lihat. Ada peluang barulah saya aturkan langkah berkenalan. Tapi sahabat saya buat arus berlawanan. Cipta peluang untuk berkenalan.

Bicara lain menerusi perspektif dan pandangan saya, sahabat ini memang tak ada masalah untuk berbicara dengan mana-mana wanita. Dia mudah mesra dan pandai pula panjangkan bicara sehingga perbualan jadi menarik. Huh, kalau saya, sepatah orang tanya, maka sepatah jugalah saya balas. (kadang-kadang tak balas pun sebab guna bahasa isyarat saja). Jadi, saya simpulkan, sahabat ini mampu menjadi pemimpin yang baik kerana punyai kualiti untuk berbicara dengan mana-mana orang.

Timbul pula persoalan, bagaimana saya boleh mengenali sahabat ini? Saya akui soalan ini agak sukar dijawab kerana saya tidak dapat tetapkan bilakah dan bagaimanakah mulanya sebuah persahabatan itu. Sahabat itu mula terwujud bila perkenalan itu terjadi. Dan kadang-kadang, tempoh masa dan bagaimana proses itu berlaku, langsung tak dapat dikenal pasti. Ya, itulah yang saya akui.

Sahabat ini saya kenal dalam tempoh orientasi selama seminggu itu. Jangan dibicarakan, salam pertama itu berlaku dan bermula di mana, tetapi saya masih ingat, itu semua bermula bila saya dapat tahu sahabat ini tinggal di sebelah rumah saya di Kolej Za’ba. Saya di E405, maka rakan saya itu di E407. Saya akui, di permulaan saya lihat sahabat ini, saya akui dia ini bagai oarang kuat Pantai Timur. Maksudnya, mungkin hanya berkawan dan lebih selesa berkawan dengan rakan-rakan dari Pantai Timur (sahabat saya ini asalnya dari Terengganu). Tapi kemelesetan pandangan saya mula berlaku. Dan bilakah waktunya?

Dalam sesi kuliah Reading, maka inilah permulaan keruntuhan pandangan negatif saya pada sahabat ini. Ya, sangkaan jadi meleset, dan perubahan mula bercambah dalam kotak fikiran saya. Mengapa dan kenapa? Saya nyatakan dengan satu kata-kata: BERBEZA. Apa yang berbeza? Pandangan saya pada permulaan itu mula berbeza dan berubah sama sekali. Sahabat yang saya takut hampiri akhirnya jadi mudah pula untuk saya dekati. Ya, mesra orangnya, dan peramah .

Saya akui waktu pertama kuliah reading, saya tak berani nak tegur sahabat ini. Nampak macam sombong dari luarannya sajalah. Tambah pula bila saya jenis senyap je, maka tak adalah perbualan. Tambah pula kuliah reading turut satu group dengan Arshad, rakan serumah sahabat saya ni, maka perbualan antara sahabat ini dengan Arshad menguasai sesi menunggu pensyarah muda dengan namanya Miss Intan. Saya? Terus bisu dan diam sambil jadi pemerhati setia mendengar dan mengamati perbualan dua rakan ini.

Cerita diteruskan. Syafiq mula tegur saya. Sesi pengenalan antara satu sama lain mula berjalan. Saya rasakan perubahan. Kemesraan yang saya fikir mungkin sukar, jadi satu perkara yang tak mustahil. Baik orangnya rupanya sahabat ini.

Jadi bagaimana perihal beri gambaran sahabat ini? Adakah tinggi? Adakah rendah? Adakah kulitnya cerah atau kulitnya gelap? Adakah rambutnya lurus atau kerinting rambutnya? Persoalan satu demi satu saya bicarakan. Sahabat ini, tinggi orangnya, tapi taklah setinggi Arshad (ya, bila lihat Arshad, teringat pula galah panjang yang saya gunakan nak kait buah manggis di kampung). Maksudnya saya rendahlah tu dari sahabat saya ini.....

Kulitnya cerah, dan semestinya tak gelap. Rambutnya? Hmmm, saya tak dapat pastikan kerinting atau tak. (jangan marah yer....)

Satu lagi pandangan saya terhadap sahabat ini, dan saya harus akui, memang sahabat ini punyai ciri-ciri pemimpin. Jadi ujaran saya dan seruan saya, pilihlah sahabat ini jadi pemimpin kalian. Mungkin boleh jadi bakal MPP... INSYALLAH....

Dan yang paling penting ciri yang paling saya utamakan, sahabat ini bukan seorang perokok. Ya, saya anti merokok. Pernah saya letakkan syarat-syarat mereka yang mahu berkawan dengan saya. Angka pertama dan mesti ada, bukan seorang perokok. Kalau anda perokok, sila jauhkan diri dari saya (tapi hakikatnya sukar sebab banyak rakan saya perokok ). Maklumlah, ada rokok, maka asma mungkin memanggil-manggil saya.

Pandangan politik? Soal ini sesuatu yang melegakan. Sahabat ini rupa-rupanya sealiran pandangan politik dengan saya. Maksudnya, jika saya bicara perihal politik, maka senang hatilah saya kerana tak perlu bertelagah nak pertahankan hujah masing-masing. Apakah pandangan poltik saya? Adakah penuh kebiruan atau mungkin penuh kehijauan? Ah, hak saya untuk tidak mahu nyatakan perihal ini. Politik bagi saya adalah satu hak individu. Terpulang untuk didedahkan atau mungkin mahu dirahsiakan. Sama ada bulan atau dacing, terupulanglah kalian buat penilaian.

Cara berfikir, satu perkara penting dalam sebuah persahabatan jika mahu kekal lama. Maka, ingin saya nyatakan, cara dan pandangan fikiran saya dan sahabat ini hampir sama dan jarang bercanggah. Maksudnya, bila satu perbualan itu berjalan, maka dengan mudah perbualan itu dapat dipanjangkan. Sebabnya? Ya, buah fikiran itu sealiran dan jarang bercanggah. Maka panjanglah bualan itu.

Perihal saya mudah bagi keseluruhan bicara ini. Saya mungkin telah menjumpai sahabat baru yang mungkin akan menjadi sahabat karib saya. Saya akui ini semua satu ketentuan dan takdir dan saya bersyukur ditemukan dengan sahabat yang baik cirinya. Ya, nasib itu satu kisah yang membentuk satu kesyukuran. Saya bersyukur kerana segala pencarian sahabat itu dipermudahkan. Mungkin sahabat ini akan bersusah senang dengan saya dan harap juga mungkin dapat membantu saya jika saya perlukan sebuah pertolongan. Ya, itulah namanya kawan bukan.

Tulisan ini adalah satu bentuk penghargaan buat seorang sahabat seangkatan dan sekursus dengan saya. Jangan sesiapa cuba nafikan akan satu hakikat ini, “di dunia ini kita tak bersendirian, tapi kita bersama kerana kita sebenarnya saling melengkapi dan saling memerlukan antara satu sama lain.”
Dan kerana itu saya perlukan seorang sahabat di tempat baru di bumi baru dengan namanya Tanjung Malim.

Saya berharap sahabat ini akan menjadi sahabat paling karib dengan saya, dan harap itu semua akan bertahan sehingga tamatnya pengajian saya dan jika diizinkan, harapnya juga akan menjadi sahabat saya sampai bila-bila. Insyaallah, kerana sahabat itu satu anugerah yang dikurniakan Ilahi, maka itu juga saya mohon moga inilah sahabat paling karib buat saya.

Penghujung bicara ini, ingin saya perkenalkan siapakah gerangan hamba Allah yang saya telah gelarkan sahabat karib itu. Harapnya akrab dan mampu menjadi sahabat saya. Saya perkenalkan sahabat ini dengan barisan-barisan nama yang indah. Mohammad Syafiq bin Abdul Majeed itulah namanya. Ya, moga Syafiq menjadi sahabat karib saya di bumi UPSI.

Bicara penutup, wassalam dan ketemu lagi.

p/s:1- Syafiq tak sabar-sabar nak baca bicara ini. Ya, sekarang bacalah ya...

2- Saya menulis ketika berada di sebuah restoran berhampiran kampus. Waktu tu saya dan rakan-rakan TESL lain sedang menjamu selera untuk dinner.

Ulasan

Catatan Popular