Rabu, 24 November 2010

Nak teman? Mak boleh carikan...

Huh, terkejut bila terima panggilan pagi tadi.

Tangisan saya petang semalam berkenaan beberapa perkara akhirnya membuat mak berfikir panjang malam semalam. Banyak yang saya cakap semalam, tapi yang jadi tumpuan mak semalam ialah soal saya yang nak 'berteman'

Wah, panjang benar perbualan mak dan ayah malam semalam. Itu kata mak. Serius benar bincang. Itu kata adik saya yang hantar sms kat saya malam semalam. Semuanya bertitik pada soal 'teman'.

Ayah faham, umur 21 tahun, fitrah bila mula rasa nak berteman. Ya, ayah tak pernah larang, tapi biarlah hubungan itu atas nilai Islam. Ya, itu yang susah nak dibuat. Saya tak pernah terfikir nak berteman, tapi fitrah lain pula yang kata. Saya kata tak nak, tapi hati kata nak. Hmm, macam mana tu?

Kata ayah, "bila mak dan ayah nak tolong ni, bukanlah mereka halalkan benda yang haram". Mak dan ayah cakap, "berkawanlah dulu, dan kenal-kenallah. Jika sesuai dan boleh sefahaman, maka mungkin boleh jadi teman hidup."

Saya bertanya pada mak, "kenapa ayah bagi saya untuk 'berteman'? sedangkan dulu ayah cukup marah kalau tahu saya ada hubungan dengan mana-mana perempuan."

Kata mak: "Umur itulah perbezaannya. Dulu umur Yazid terlalu muda. Kami takut Yazid hanyut. Sekarang Yazid dah makin matang. Kami yakin Yazid tak hanyut..."

Saya hairan juga. Dulu ayah memang cukup marah bila tahu saya bercinta. Tapi sekarang lain pula. Saya musykil. Ada muslihatkah?

Mak balas: "Ini bukan bercinta, tapi berkawan dan berkenal-kenalan... "

Bila ayah kata begitu, saya tergamam. Umur baru 21 dan kini fikir soal jodoh? Satu perkara di luar kotak pemikiran saya. Maka saya nyatakan pada ayah.

Ayah kata: "Islam ada cara. Siapa cakap soal jodoh itu mesti umurnya atas 25 tahun? Apa yang ayah buat cuma persediaan masa depan. Siapa cakap ayah suruh kahwin. Berkenal-kenallah dulu. Islam tak pernah larang"

Saya terdiam. Namun saya terfikir juga, adakah ini maknanya ayah suruh saya bercinta?

Kata mak: "Bercinta bukan permulaannya. Perkahwinan itulah dulu, barulah bercinta kemudian. Itu mak dan ayah lalui dulu"

Jadi, bukan suruh saya bercinta...

Saya tanya kenapa perlu sampai tolong carikan saya calon di usia muda? Mengapa terlalu awal?

Kata mak: "Lebih baik rasa seperti telah memilki sesuatu dari merasa kosong dan kemudian lakukan kesilapan mulakan maksiat atas nama cinta..."

Saya faham. Maksudnya, pilihan mak dan ayah pasti yang terbaik. Maka pastinya bila kenal 'dirinya', saya tak akan hampiri maksiat. Kenapa begitu?

Mak dan ayah pasti akan merisik dulu. Bertanya dulu dan menyelidik dulu perihal seseorang. Kemudian mereka tentukan sesuai atau tidak. Maka, pilihan mereka pasti terbaik.

"Apa yang mak dan ayah buat bukanlah maksud nak mintak Yazid kahwin sekarang. Mak dan ayah buat sekarang sekadar nak isi satu ruang supaya Yazid tak lari dan hanyut dengan budaya cinta kebanyakan orang, yang kebanyakannya maksiat sahaja. Maka mak dan ayah sediakan seseorang buat Yazid bertahan agar tak hanyut. Mak dan ayah sediakan lorongnya, Yazid teruskan perjalanan di lorong itu" kata mak.

Saya bertanya, adakah pilihan mak ini maksudnya harus saya terima sepenuhnya.

Saya dengar ketawa mak. "Kami tak paksa..."

Saya hairan, bagaimana sampai ke tahap itu mak dan ayah ingin buat khas untuk saya. Mencari seorang calon wanita yang mungkin boleh dibuat sebagai isteri dalam usia saya yang sangat muda. Kenapa boleh terfikir macam tu?

"Mak sayangkan Yazid, dan mak tahu apa yang bermain di fikiran Yazid. Mak faham benar dengan Yazid. Dan memang ni langkah terbaik..."

Hanya mak dan ayah saja yang tahu sebab mereka carika saya seorang teman.

Dan bagaimana pula saya? Terima atau tak terima?

Nasihat dan panduan mak dan ayah suatu yang sangat berharga. Berkat itu yang dicari, maka saya turuti susunan permintaan mereka itu. Saya tak kisah.

Kata mak, bukan kami mahu Yazid lara dengan seorang wanita. Tapi kami mahu Yazid lebih mengingati tanggungjawab masa depan.

Saya bertanya, apa yang perlu saya buat.

"Berkenalan sajalah. Tapi ingat ikut batas agama kita..." balas mak. "Kalau suka, berkawan. Kalau tak suka tak payah kawan..."

Mudah saja jawapan mak.

Saya cuba tanya mak, dah ada senarai calon ke?

"Ada. Beberapa. Anak kawan mak ada dan anak kawan ayah..."

Saya mengusik. "Lawa ke?"

"Pilihan kami buat Yazid adalah yang terbaik" balas mak.

Hujung perbualan itu, mak berpesan pada saya. "Jangan rasa sunyi sebab mak faham diri Yazid. Mak cari teman buat Yazid, bukan untuk berseronok, tapi sebagai anugerah supaya Yazid lebih bertanggungjawab dan tak hanyut dengan maksiat. Mak tak nak Yazid dikecewakan, maka mak sediakan orang yang tak akan kecewakan Yazid"

Ya, saya akan cuba kenali wanita pilihan mak itu. Pastinya saya tak akan bercinta. Berkawan saja.

Mak cakap, "orangnya dari Taiping. Saya memang tak kenal. Baik orangnya pelembut hati sesiapa. Tapi tak boleh jumpanya selalu, dan jika nak jumpa, mak kena teman Yazid".

Memang benar, mak menjaga saya supaya tak hanyut. Jadi pastinya tak ada unsur maksiat bila nak jumpa saudari itu.

Ah, semuanya bermula bila saya luahkan isi hati saya petang semalam pada mak. Mak fikir dengan cukup serius hingga bagitahu nak cari teman buat saya....

Itulah betapa perihatinnya mak dan ayah...

Wallahualam.

Tiada ulasan :