Khamis, 17 Februari 2011

Kerana kamu solat, kami menjadi sia-sia dek kealpaan sendiri....


Fikiran dilakukan. Renungan diselusuri dengan muhasabah diri. Cuba hilangkan kesayangan pada sebuah keseronokan Facebook mahupun segala macam anime mahupun drama Korea. Cuba curi masa sahabat sekalian mengenai satu perkara yang lebih penting dari semua perkara tersebut. Fikirkan sedalam-dalamnya, cuba lakukan sebuah penyiasatan terhadap satu perkara ini.

Apakah Rukun Islam? Rasanya semuanya akan mudah menjawab maksud rukun Islam. Tidak perlulah saya huraikan maksudnya kerana saya yakin semua pasti mampu memberikan jawapan yang tepat selaku hamba yang bergama Islam sejak kelahiran lagi. Jika ditanya apakah 5 Rukun Islam itu? Maka jawapan mudah juga dapat diberi.

1. Mengucap dua kalimah syahadah
2. Menunaikan solat fardhu lima waktu sehari dan semalam
3. Berpuasa di bulan Ramadhan.
4. Menunaikan fardhu haji di Makkah jika berkemampuan
5. Membayar zakat

Namun, harus diakui juga mungkin ada dalam kalangan sahabat-sahabat saya terlupa akan 5 perkara teras ini. Ah, ruginya jika itu berlaku. Sayang, namanya Islam, namun rukunnya langsung tak diingati di kepalanya....

Penekanan diberikan pada rukun Islam yang kedua, iaitu perihal berkaitan dengan hakikat bahawa seorang Muslim wajib menunaikan solat fardhu lima waktu. Itu yang ingin saya mahu kalian semua renungi dan selami dengan dalam.

Islamkah kita jika tuntutan dalam rukun Islam tidak dipenuhi? Islamkah kita jika solat lima waktu tak dipenuhi? Tak malukah mengaku Islam, namun hakikatnya solat tunggang langgang? Tak sedar dirikah mengaku diri Islam sejati, namun liat nak mendirikan solat?

Itu belum masuk fasal yang lebih dalam lagi. Jika tuntutan lima waktu berjaya dipenuhi, apakah solat lima waktu itu diterima Allah? Benar, ada yang berkata, soal terima atau tak, itu hak Allah. Namun kita semua kena sedar, belajar itu adalah sebuah kewajipan buat kita supaya solat kita diterima Allah. Kita tak boleh kata hak Allah untuk terima solat kita atau tau tak, jika kita tak berusaha memenuhi dada dengan ilmu berkaitan solat.

Fikirkanlah amalan solat kita.... Apakah telah mantap sepenuhnya? Saya sendiri kadangkala menangis sendirian, mengenangkan perihal solat lima waktu saya, takut jika amal ibadah itu ditolak Allah ibarat debu yang ditiup angin. Bahana solat tak sempurna, semuanya mungkin menjadi sia-sia.

Saya masih ingat akan kata-kata seorang ustaz dalam kuliah Magrib beberapa tahun lalu di Masjid Lama Taiping. Katanya, Rasulullah pernah berkata, kebanyakan solat dan amal ibadah yang dilakukan oleh umat Islam di akhir zaman akan dihempaskan kembali kepada mereka.

Apakah maksudnya?

Amal ibadah yang tak sempurna, maka itulah sebab dihempaskan kembali oleh Allah kepada kebanyakan umat Islam di akhir zaman. Solat yang dilakukan jadi sia-sia.

Mengapa itu terjadi?

Pernah saya teringat akan kata-kata ustaz yang sama. Katanya, solat yang kita lakukan haruslah diperbetulkan ‘alignment’nya dari masa ke masa. Setiap masa, kita perlu melakukan pemeriksaan kembali supaya solat kita sempurna. Kenapa? Sebab kebanyakan solat yang dilakukan adalah solat yang dilakukan hasil pembelajaran sewaktu zaman kanak-kanak, dan pasti mungkin terdapat satu dua rukun telah ‘terosak’ tanpa sedar, dan perlu diperbaiki kembali kerosakan itu.

Sebelum saya pergi lebih jauh, tahukah kalian akan rukun solat? Terdapat berapa rukun solat? Adakah kalian mengetahuinya?

Hakikatnya, terdapat 13 rukun solat yang perlu dilakukan dalam solat supaya amalan solat itu sah. Apakah rukun tersebut? Saya nyatakan dengan ringkas.

1. Niat
2. Berdiri tegak
3. Mengangkat tabirratul ihram
4. Membaca Fatihah
5. Rukuk serta tokmaninah
6. Iktidal serta tokmaninah
7. Sujud serta tokmaninah
8. Duduk di antara dua sujud serta tokmaninah
9. Duduk kerana membaca tahiyat akhir
10. Membaca tahiyat akhir
11. Selawat ke atas nabi di dalam tahiyat akhir
12. Memberi salam
13. Tertib

Cuba kita renungkan seketika. Adakah kita tahu kesemua rukun tersebut? Mungkin ada yang tak tahu kerana kesemua itu dipelajari dua belas tahun dulu, dan kini semuanya lupa hingga tak tahu rukun-rukun yang wajib dilakukan dalam solat dan amalan sunat yang diamalkan dalam solat. Maka tidak hairanlah jika ada pula yang berkata solat akan batal jika tahiyat awal tertinggal atau mungkin batal jika tertinggal membaca surah selepas Fatihah. Hakikatnya, perkara tersebut tak membatalkan solat.

Kita menyelusuri rukun pertama, niat.

Maka inilah elemen paling penting dalam solat, kerana elemen inilah yang akan menentukan solat apa yang ingin dilakukan dan kerana siapa kita lakukan solat. Jika tak berniat, maka tak sahlah solat. Maka timbul persoalan, jika terlupa niat bagaimana? Ah, saya berbisik dalam hati, mustahil untuk rukun yang pertama itu terlupa kerana rukun itu permulaan dalam solat. Moga berhati-hati dengan niat. Pastikan kita benar-benar berniat mendirikan solat dan semuanya kerana Allah. Jika lari niat itu, maka tak sah solat itu.

Kedua, berdiri tegak.

Pastikan kita berdiri tegak. Tak membongkok ke depan atau membengkok ke belakang. Pastikan badan tak senget ke kiri atau senget ke kanan. Dan yang paling penting, pastikan dada mengadap kiblat, dan jika teralih sedikit dada dari kiblat, maka batal solat itu. Maka, pastikan kita berdiri dengan betul, kerana jika salah berdiri, solat itu tak sah. (perkara ini sering terlepas pandang ketika solat oleh segelintir sahabat)

Ketiga, mengangkat tabirratul ihram.

Lafazkan takbir Allahuakbar dan niat dalam hati untuk menunaikan solat. Dan pastikan kita menyebut takbir itu dengan betul. Jangan salah sebut kerana membawa maksud yang lain. Hakikatnya, jika salah sebut panjang dan pendek takbir itu, maka mungkin maksud boleh menjadi: “Adakah Allah Maha Besar?”, atau mungkin juga menjadi: “Allah itu tak Maha Besar”. Maka berhati-hati. Salah sebut, tak sah solat.

Keempat, membaca Fatihah.

Sebelum saya menyelusuri dengan rukun ini, ingin saya huraikan fakta berdasarkan sebuah kajian yang dibuat oleh seorang penyelidik. Dalam kajian itu, didapati 80 peratus pelajar universiti di Malaysia salah dalam membaca Fatihah. Maksudnya bacaan Fatihah mereka tak mengikut tajwid dan sebutan yang betul. Perlu diingat, salah tajwid dan bacaan, maka larilah maksud surah tersebut.

Huruf Alif dan Ain, seringkali mengelirukan pelajar hingga kadang kala mereka menyebut huruf Ain sebagai Alif. Sebagai contoh, dalam ayat ketujuh surah Fatihah, kalimah “Sirâta llazîna an`amta `alayhim ” seringkali tersalah sebut dengan kalimah “Sirâta llazîna an amta `alayhim”.

Begitu juga dalam ayat kelima, seringkali huruf sabdu ‘ya’ dalam kalimah “ Iyyâka na`budu wa'iyyâka nasta`în” tersalah sebut menjadi, “Iyaka na`budu wa'iyaka nasta`în”. Huruf sabdu ‘ya’ telah dihilangkan dan menyebabkan huruf ‘hamzah’ terus disambung dengan huruf ‘ya’ tanpa sabdu. (sila rujuk surah al-Fatihah untuk memudahkan memahami penerangan saya ini).

Akhirnya maksud ayat itu berubah menjadi: “Matahari sahaja Yang Kami sembah, dan kepada matahari sahaja kami memohon pertolongan”

Nauzubillah. Bukankah dah jauh menyimpang maksud sebenar?...

Begitu juga dalam ayat terakhir pada kalimah “dhallin”. Bacaan “dhal” itu dibaca dengan panjang 6 harkat (sesetengah ulama berkata 7 harkat). Jika tidak dibaca mengikut harkat tersebut, maka Fatihah itu tak sah.

Kesannya, jika Fatihah itu tak sah dek dibaca sambil lewa tidak mengikut bacaan sebenar dan hukum tajwid yang betul, maka automatik juga solat kita tak sah.

Perkara ini adalah perangkap terbesar yang menyebabkan ramai umat Islam hari ini tak sah solatnya. Maka nasihat saya, perbetulkan bacaan Fatihah kalian jika terdapat kesalahan, dan belajar untuk membacanya dengan betul. Awas, ini ingatan paling besar ingin saya sampaikan!!! Betulkan Fatihah kalian...

Rukun-rukun selebihnya tidaklah mahu saya huraikan dengan panjang. Cuma yang ingin saya tekankan di sini, kita perlu membaca dengan betul bagi tahiyat dan bacaan-bacaan lain. Jika salah bacaannya, maka tak sah solat itu. Dan yang lebih penting, kita perlu tokmaninah dalam solat, dan jangan tergesa-gesa. Hakikatnya saya lihat, ramai yang solat kini tidak ada tokmaninahnya. Sahkah solat mereka? Hanya Allah yang tahu. Maka jaga tertib solat itu. Jangan melakukan tanpa tertib yang betul.

Satu perkara yang ingin saya sentuh adalah berkenaan sujud di dalam solat. Ramai yang tak sedar atau mungkin tak tahu, terdapat tujuh anggota sujud dalam solat. Jika tidak lengkap tujuh anggota sujud itu, maka solat itu tak sah. Apakah tujuh anggota sujud itu?

1. Muka (termasuk dahi dan hidung)- dua anggota sujud
2. Kedua-dua tapak tangan- dua anggota sujud
3. Lutut- satu anggota sujud
4. Penghujung dua tapak kaki- dua anggota sujud

Menurut Iman An-Nawawi, jika salah satu dari tujuh anggota ini tak tersentuh sewaktu sujud maka tak sah solat itu.

Maka jika hidung tak tersentuh, sujud tak sah, dan solat akan jadi tak sah. Inilah masalah yang seringkali saya lihat. Sewaktu sujud, dahinya tersentuh, tapi hidung langsung tak mencecah lantai. Begitu juga dengan hujung jari kaki, seringkali bahagian bahagian ini tidak disentuh sewaktu sujud. Pastikan kesemua jari kaki dilipat supaya solat menjadi sah. Jika tidak dilakukan sentuhan hujung jari kaki ini, maka tak sah solat itu.

Kelekaan kita sewaktu sujud tanpa belajar ilmu tujuh anggota ini sangatlah rugi. Mengapa? Semua solat kita akhirnya nanti akan menjadi sia-sia.

Menyentuh soal sujud juga, Mazhab Syafie menggalakkan kita untuk meletakkan dulu lutut sebelum meletakkan kedua-dua tangan sebelum sujud. Maka ambillah perkongsian ini, ubahlah cara kita bersujud.

Ingat, kajian mendapati, kebanyakan solat menjadi tak sah dek kerana sujudnya yang tidak betul. Maka ingin saya tekankan, perbetulkan sujud itu, dan pastikan kita memenuhi tujuh anggota sujud itu.

Seperkara lagi, perkara yang harus dipandang berat ialah soal tokmaninah. Saya telah sentuh dalam bicara di atas tadi, namun ingin saya ulang sekali lagi, pastikan kita solat dengan tokmaninah. Jangan lakukan solat dengan tergesa-gesa ibarat bas Sani Ekspress yang akhirnya terbabas kemalangan... Kalau laju juga macam tak ingat dunia, selamat datang markah zero buat kamu. Pahala kekosongan, dan kamu jadi sia-sia. Kesia-siaan didatangkan dengan sebuah kerugian. Kamu gagal dalam ujian penilaian menghadap Allah. Nah kemalanganlah kamu di akhirat nanti nak menjawab depan Allah akibat kealpaan kita dalam solat.

Seperkara lagi yang ingin saya sentuh adalah berkaitan wudhuk yang seringkali menjadi salah satu lagi faktor yang mensia-siakan solat kita. Soal thaharah (bersuci) kadangkala dialpakan kita dengan kita hanya mengambil ringan akan soal ini. Ingat, jika kita tak suci, solat kita tak sah.

Bagaimana mahu kita mencapai suci dari hadas? Maka langkahnya mudah. Ambillah wudhuk. Namun jika wudhuk itu tidak sempurna, apakah kita telah suci dari hadas? Fikirlah kalian sendiri. Tentukan, apakah sah solat, jika wudhuk tak sempurna?

Amat malang bagi mereka yang tidak betul dalam mengambil wudhuk. Segala jadi debu berterbangan membawa kesia-siaan dek kekosongan markah tak mendapat solat yang sah. Ingat, wudhuk adalah komponen paling penting, kerana di situ lahirlah suci dari hadas yang menjadi syarat sah untuk bersolat.

Namun pemerhatian saya, kadangkala dapat melihat segelintir rakan yang menyimpan kuku yang panjang baik perempuan atau lelaki (ada sesetengah mereka sanggup bersusah payah membersihkan kuku yang panjang dek mahu menjadi setaraf artis...walhal bukankah lebih mudah jika dipotong sahaja kuku yang panjang itu?) Tertanya-tanya saya, apakah sah wudhuk mereka bila kuku itu panjang? Apakah air wudhuk itu boleh mengalir dengan mudah dicelah-celah kuku itu? Ingat, jika air tak dapat masuk di celah-celah kuku itu, maka tak sah wudhuk itu. Bila wudhuk tak sah, maka automatik tak sah solat.

Fikirkanlah? Berbaloikah kuku panjang jika air wudhuk tak mengalir di kawasan yang terlindung itu? Saya tahu, jika digosok dengan betul, air wudhuk itu boleh mengalir juga, namun mengapa perlu cari jalan yang susah jika ada cara yang senang? Potong kuku, maka bukankah lebih senang?

Begitu juga dengan kebersihan pakaian kita. Pastikan tiada najis yang mengotori pakaian kita. Soal ini seringkali dipandang ringan. Bila masuk tandas, tak peduli untuk menjaga pakaian, najis terkena langsung tak dipedulikan. Kadang kala, seluar panjang meleret sampai ke tanah, apakah terjamin seluar itu tak terkena najis bila berjalan? Fikirkanlah.

Ada najis pada pakaian, maka tak sah solat.

Saya sekadar bermuhasabah diri untuk diri saya juga. Sekadar mengingatkan kembali apa yang kadang kala telah kita lupa. Mewujudkan rasa rendah diri, bahawa kita ini hamba yang cukup kerdil yang senantiasa melakukan kesilapan. Kita harus sedar, jika benar kita seorang Muslim, maka jadilah diri seperti Muslim yang sebenar.

Saya sedih, walaupun kadangkala saya melihat di luarannya bertudung litup sopan bak wanita Islam contoh, namun perilaku dan pergaulannya langsung tak dijaga. Ada pula yang bertutup litup dengan tudung, tapi bahagian aurat lain terdedah. Kadang kala berkopiah sakan, namun bila cuba nak bermesra dan bergaul, larikan diri nyatakan bahawa tak sesuai kita berkawan dengannya dek taraf iman yang berbeza. Ingatlah, semua ini hanya mengundang kerosakan dalam solat kita.

Solat adalah tiang agama. Kita harus mantapkan dan perkemaskan solat itu. Belajar dan buat rujukan semula. Lakukan pemeriksaan ke atas solat kita. Pastikan solat kita itu sempurna. Jangan ada kecacatan yang akhirnya merosakkan ibadah harian kita itu.

Ayuh! Lapangkan masa merenung kembali solat kita. Korbankan sedikit masa yang diperuntukkan untuk assignment, korbankan masa bermain PES, hentikan seketika Facebook, rehatkan seketika ketagihan menonton drama Korea, berikan kedamaian sebentar laptop dari menyiarkan anime-anime Jepun. Jika kalian benar-benar Islam sejati, curi masa itu belajar kembali untuk bersolat. Bertanya, membaca, atau jika malas pun, carilah maklumat-maklumat yang berlonggok di internet. Ingatlah, hidup di dunia sementara, akhirat untuk abadi.

Mahukah kita menjadi penghuni neraka berkekalan selama-lamanya? Moga Allah peliharalah kita dari azab siksa itu....

Sekadar sebuah bicara buat renungan kalian. Anda tentukan sendiri muhasabah itu. Sekadar berkongsi sedikit ilmu. Moga sama-sama kita mendapat berkatnya...

Marilah sama-sama kita perbaiki solat kita...

Wallahualam....

p/s: saya tahu, untuk menegur seseorang yang melakukan kesilapan dalam solat adalah sesuatu perkara sensitif dalam budaya Melayu. Namun, terimalah hakikat, kita harus ditegur supaya tak rugi di akhirat kelak... Renungkan...

17 Februari 2011, Kolej Za’ba, UPSI, Tanjung Malim

4 ulasan :

hana banana berkata...

terima kasih abg yazid atas kupasan isu ini yang menarik untuk diselusuri=)

bud@k_p$!k0 berkata...

thnx..
perkongsian yg sgt bermakna..^_^

shahir zakaria berkata...

perkongsian yang sangat menarik.. buatkan diri ini sedar akan kehidupan dibumi Allah s.w.t.

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh ya akhi yazid, sy cuma nk tnya bagaimana pula dgn mazhab hanafi? bg mereka tokmaninah bknlah rukun solat jd mereka tidak melakukan tokmaninah dlm solat, sy bakal berkahwin dgn seorg insan dr turki yg mengikut mazhab hanafi,sy menjd takut sekiranya mjd makmum nya dan rasa was2 disbbkn berlainan mazhab, tp ada bbrpa wanita yg berusia bgtahu kawin dgn berlainan mazhab tdk mjd masalah as long as they're ahli sunnah waljamaah, syafie,hanafi, hambali, maliki....