"Adina (Bicara Dua Puluh Enam)"





Dari dulu sehingga sekarang, ramai juga yang tertanya-tanya apakah terdapat kisah disebalik namanya Abyatina. Keluarga Ustaz Man seringkali menjadi tumpuan dari dulu hingga kini. Kisah keluarga bunga Ros, menjadi bualan penduduk kampung sehingga kini. Hakikatnya, kisah Ustaz Man dan Mak Cik Ros sewaktu zaman muda dahulu tercipta di luar kebiasaan.

“Mana pernah zaman tu suka sama suka dan kemudian berkahwin. Zaman tu, kahwinnya semua di bawah pilihan mak dan ayah,” bicara Pak Din sewaktu berbual dengan Zabarjad yang membeli gula di kedainya.

“Apa menarik benarkah kisah mak dan ayah Jad?” soal Zabarjad.

“Kalau kisahnya biasa-biasa saja, mana mungkin keluargmu diberi nama keluarga bunga Ros...” balas Pak Din tersenyum saja.

Ustaz Man jatuh hati dengan Mak Cik Ros, dan kisah itu menjadi perbualan yang menarik perhatian seisi kampung satu ketika dulu. Kisahnya bermula tatkala Ustaz Man setiap hari berkunjung ke rumah Ustaz Wahab, guru agamanya waktu itu. Di setiap perjalanan menuju ke rumah Ustaz Wahab, maka perjalanan itu akan melalui kawasan halaman rumah keluarga Mak Cik Ros.

“Kata orang, mata bila bertentang mata, maka hati bertemu hati. Bila hati berjumpa jiwa, maka cinta mula terbina,” bicara Pak Din berkongsi kisah dengan Zabarjad.

“Huh, tak disangka pula Pak Din pandai bermadah...” bicara Zabarjad tersengih.

“Jangan disangka sekilas air dipandang, semuanya boleh diduga...” bicara Pak Din tersenyum panjang.  Tangannya menghulurkan bungkusan gula yang telah ditimbang kepada Zabarjad.

Kisah dulu-dulu, percintaan hakiki di antara Ustaz Man dan Mak Cik Ros hakikatnya tidak pernah terjadi. Perkenalan di antara mereka hanya berlaku tatkala di satu hari Ustaz Man tanpa sengaja terpijak anak pokok bunga ros yang baru ditanam Mak Cik Ros. Maka gegak gempita terjadi dengan amukan Mak Cik Ros tatkala mengetahui pokok bunga kesayangannya itu telah musnah dipijak. Lantas, Ustaz Man dikejarnya, dan tanpa sedar senduk di tangan turut ikut serta.

“Itulah permulaan kisah cinta mereka...” terang Raiqah sebaik Zabarjad pulang dari kedai. Anak sulung Ustaz Man itu baru sahaja pulang ke kampung bersama suaminya semalam.

Kisah bunga ros tidak terhenti setakat itu apabila hari berikutnya ustaz Man datang semula ke rumah Mak Cik Ros. Lantas diberikan lima buah pasu bunga ros kepada Mak Cik Ros sebagai ganti. Mujur kanak-kanak kampung membantu Ustaz Man mengangkat kesemua pasu bunga tersebut.

“Apa pasal sampai lima pasunya?” soal Mak Cik Ros ingin tahu.

Maka dengan selamba ustaz Man membalas.

“Bukankah rukun nikah ada lima semuanya? Elok benar kalau lima pasunya”

Lantas terus Mak Cik Ros menutup pintu rumah. Barangkali terkejut dengan gurauan Ustaz Man itu. Namun gurauan itu satu keseriusan buat Ustaz Man. Mungkin juga Ustaz Man telah jatuh hati pada Mak Cik Ros ketika itu.

Maka, hari-hari berikutnya menyaksikan kasih sayang Mak Cik Ros didambakan buat kelima-lima pasu bunga ros itu. Dijaga dengan sebaiknya, setiap hari disiram mengikut waktunya. Ada yang berkata, mungkin juga Mak Cik Ros dalam diam menyukai Ustaz Man.

“Itu kata orang. Hati sendiri siapa yang tahu. Cinta lagi indah kalau dikongsi hanya pada yang dicintainya, tanpa perlu diketahui oleh mereka yang lain,” Raiqah tersenyum. Panjang juga bicaranya. Zabarjad hanya setia medengar cerita kakaknya itu.

“Tapi, ada satu yang Jad tak faham. Takkan semudah tu hati boleh terpaut? Pokok bunga ros saja?”

“Cinta yang ikhlas tak perlu ditunjuk-tunjuk...” bicara Mak Cik Ros tiba-tiba muncul. Zabarjad dan Raiqah dilanda kejutan. Tak menduga ibu mereka muncul secara tiba-tiba di dapur.

Maka hari demi hari, pokok-pokok bunga bunga ros itu semakin segar dan mekar. Setiap hari itu jugalah Ustaz Man akan berulang alik ke rumah Ustaz Wahab, dan semestinya pokok-pokok bunga ros yang diberikan itu akan menjadi tatapan Ustaz Man setiap kali melalui kawasan rumah Mak Cik Ros. Senyuman senantiasa terukir setiap kali melihat pokok-pokok bunga itu.

“Kata orang, bila bunga mekar dan kembang, itu tandanya cinta mungkin berputik...” bicara Ustaz Man berborak dengan Ustaz Khumaini, sahabat lama di suatu petang, menikmati kopi di warung Pak Man.  “Elok dan cantik saja bunga-bunga ros dijaganya...” sambung Ustaz Man.

“Mu kalau buat sesuatu, jauh benar dari fikiran kebiasaan...” balas Ustaz Khumaini ketawa kecil sebelum menghirup kopi pekat petang itu. “Zaman dulu, nak mengorat pakainya surat. Tapi mu pakainya pasu-pasu bunga ros..”

“Jadi apa yang berlaku selepasnya?” soal Pak Din yang baru saja tiba di warung itu. Kedai runcitnya baru saja ditutup.

Di satu pagi, langkah Ustaz Man diberanikan, maka muncullah dia di halaman rumah Mak Cik Ros. Lantas digagahkan suara pinta untuk berjumpa kedua orang tua Mak Cik Ros. Itulah tercipta perkenalan pertama di antara ustaz Man dan kedua orang tua Mak Cik Ros. Di hari itu jugalah, dengan kudrat berani yang masih ada, maka Ustaz Man meluahkan hasratnya untuk menikahi Mak Cik Ros.

“Hasrat di hati nak menyunting bunga ‘Ros’ di taman..... Begitulah yang diluahkan waktu itu,” terang Ustaz Man kepada Ustaz Khumaini dan Pak Din di warung. “Jantung yang berdegup, bagai larian sang singa mengejar rusanya. Takutnya bukan kepalang bila nak luahkan niat tu”

“Tapi di penyudahnya, berjaya juga...” Ustaz Khumaini tersenyum.

“Ah, tak semudah itu...” balas Ustaz Man.

Hasrat Ustaz Man disambut baik orang tua Mak Cik Ros, namun disambut dingin  empunya badan. Mentah-mentah ditolak hajat hati Ustaz Man, Mak Cik Ros seakan seperti tidak tertarik dengan Ustaz Man.

“Kata orang, hati perempuan kenalah dijual mahal...” bicara Mak Cik Ros kepada Raiqah dan Zabarjad di dapur. “Kalau ikhlas cintanya, kenalah ada usahanya. Takkan nak diberi dengan mudah,” tersenyum Mak Cik Ros.

Maka, tatkala hasrat hati ditolak Mak Cik Ros, hakikatnya nilai putus asa tidak pernah wujud bagi Ustaz Man. Mungkin hatinya telah diutuhkan dengan niat ikhlasnya itu, keesokannya seorang kanak-kanak kecil muncul di halaman rumah Mak Cik Ros. Mak Cik Ros keluar tak lama kemudian, dan kanak-kanak itu terus menghulurkan sekuntum bunga ros di tangannya.

“Cinta saya ikhlas...” bicara kanak-kanak kecil itu. Manis wajahnya tatkala berbicara, dan terus berlalu pergi sebaik bunga ros itu diberikan kepada Mak Cik Ros.

Hari berikutnya perkara yang hampir sama juga berlaku. Di awal pagi, seorang lagi anak kecil muncul. Kanak-kanak perempuan bergaun merah jambu datang menghampiri Mak Cik Ros sebelum dihulurkan bunga ros buatnya.

“Cinta saya ikhlas...” tutur anak kecil itu sebelum meninggalkan Mak Cik Ros. Berlari keanak-anakan dalam keceriaan. Barangkali anak kecil itu sendiri pun tidak mengerti bicara yang dituturkan buat Mak Cik Ros itu.

Maka, kisah itu berterusan untuk satu tempoh yang agak lama. Setiap pagi, sehingga menjadi rutin harian buat Mak Cik Ros menyambut bunga ros yang diberikan anak-anak kecil yang muncul di halaman rumahnya. Setiap hari, pasti anak kecil yang berbeza akan muncul.

“Tiga puluh hari lamanya, tiap-tiap pagi sekuntum bunga ros akan diberi...” cerita Ustaz Man buat Ustaz Khumaini dan Pak Din.

“Jadi dari mana pula diambil anak-anak kecil sebanyak tiga puluh itu?” soal Pak Din ketawa kecil.

“Rasanya, mungkin habis semua anak-anak kecil kampung ni diupahnya...” seloroh pula Ustaz Khumaini.

“Tapi mungkin berbaloi...” bicara Ustaz Man tersenyum.

Pada hari ketiga puluh satu, maka pagi itu halaman rumah Mak Cik Ros tidak lagi dikunjungi anak-anak kecil seperti kebiasaan. Tiada lagi kuntuman bunga ros diberikan. Mungkin satu kehairanan, kerana untuk hari-hari berikutnya juga, tiada lagi bunga ros buat Mak Cik Ros.

Namun, seminggu berlalu, di suatu pagi suasana riuh kedengaran di halaman rumah Mak Cik Ros. Kelibat tiga puluh anak-anak kecil muncul, dan di setiap tangan mereka punyai kuntuman bunga  ros. Lantas serentak dengan itu juga, anak-anak kecil itu menjerit.

“Rosmah, sudilah terima saya!!!”

Maka dari itulah gelaran keluarga bunga Ros melekat untuk beberapa waktu buat Ustaz Man dan Mak Cik Ros. Keluarga Abyatina seringkali menjadi tumpuan sejak peristiwa bunga Ros itu. Mana mungkin mudah dilupakan penduduk kampung kerana kisahnya di luar kebiasaan pada waktu itu.

Kisahnya juga kedengaran bahawa Ustaz Man bijak dalam tutur kata. Seringkali mampu menarik hadirin tatkala mula berbicara. Beza pula dengan isterinya Mak Cik Ros. Tidak banyak berbicara, namun bijak pula dengan mata penanya. Mungkin kerana itu, di awal perkahwinan, mereka ibarat saling melengkapi. Tatkala Ustaz Man menyampaikan tazkirah di masjid, maka Mak Cik Ros menjadi pencatatnya. Maka, setiap kuliah yang diberikan akan dapat dirujuk semula buat mereka yang terlepas.

“Rosmah orangnya petah dengan mata penanya. Setiap tulisannya, mampu menarik mata untuk membacanya...” terang Ustaz Man di warung itu.

Kisahnya mungkin menarik, sewaktu di awal perkahwinan, Ustaz Man dijemput untuk membaca sajak di suatu majlis. Bait-bait yang dituturkan cukup indah, menangkap hadirin untuk mendengarnya. Lantas apabila diajukan soalan, siapakah gerangan penulis puisi itu, maka dengan ringkas Ustaz Man membalas.

“Isteriku si bunga ros...”

Maka, sejak itu, mungkin ibarat satu kemestian, setiap kali tazkirah berada di hujungnya, penutupnya itu akan dihabiskan dengan bicara puisi yang ditulis oleh isterinya. Barangkali itu juga sebab tazkirah dan kuliah agama Ustaz Man seringkali menarik hadirin kampung untuk ke masjid.

“Dari situ asal usulnya nama Siti Abyatina,” terang Mak Cik Ros di dapur buat Zabarjad dan Raiqah.

“Mungkin sebab unik namanya, maka segala masalah bertumpu padanya...” keluh Raiqah, kakak Abyatina.

“Masalah tak mengenal nama, Raiqah...” balas Mak Cik Ros.

Barangkali disebabkan itulah, Abyatina dinamakan sedemikian rupa. Namanya ternyata berbeza, jarang sekali kedengaran. Keunikan tercipta dari buah fikiran Ustaz Man dan isterinya.

“Siti Abyatina,... ‘sebaik-baik puisi kami’...” bicara Ustaz Man menceritakan kisah asal usul nama Abyatina kepada Ustaz Khumaini dan Pak Din.

“Semudah itu diberikan nama?” soal Pak Din.

“Ada kisahnya juga,” balas Ustaz Man.

Nama Abyatina bukan datang dengan sendirinya. Di satu hari, seorang wanita Arab muncul di kampung. Khabarnya datang menjual barangan. Maka singgah sebentar di rumah Ustaz Man yang kebetulan sedang menanti kelahiran anak keempatnya. Dalam debaran itu, wanita Arab itu menghulurkan sekuntum bunga ros buat ustaz Man dan berkata.

“Ustaz mahu bunga Ros?” soal wanita Arab itu. Kelihatan fasih berbahasa Melayu. “Bunga ros, tenangkan hati...”

“Awak siapa?” soal Ustaz Man hairan tatkala wanita Arab itu muncul di halaman rumahnya.

“Saya datang mau jual barang. Macam –macam ada.... bunga pun ada...”

Serentak dengan itu juga kedengaran perkhabaran bahawa Mak Cik Ros menghadapi masalah untuk melahirkan anaknya. Lantas wanita Arab itu terus naik ke rumah. Barangkali mahu membantu apa yang patut. Ustaz Man tidak menghalang. Maka, setengah jam selepas itu, anak keempat Ustaz Man selamat dilahirkan, dan wanita Arab itu terus meninggalkan rumah itu.

“Siapa namamu?” soal Ustaz Man.

“Sebaik-baik puisi kami, Abyatina nama saya,” balas wanita itu. Lantas terus berjalan mungkin mahu menuju ke destinasi seterusnya. Sepantas itu, wanita Arab itu hilang.

Wanita Arab yang muncul tiba-tiba, hadirnya memberi kemudahan buat keluarga Ustaz Man. Maka di akhirnya, diputuskan nama anak keempatnya itu Siti Abyatina bini Yusman. Bayi kecil putih kulitnya, menjadi anak perempuan kedua dalam keluarga Ustaz Man. Seisi keluarga ternyata gembira dalam kesyukuran.

“Siapa wanita Arab itu?” soal Ustaz Khumaini ingin tahu.

“Hanya Allah yang tahu. Munculnya hanya sekali, tak pernah lagi singgah untuk kali kedua,” balas Ustaz Man.

Perbualan Ustaz Man di warung Pak Mad itu jarang-jarang sekali berlaku. Mungkin kebosanan selepas Abyatina pulang semula ke kampung Rizqullah, maka waktu petangnya dihabiskan dengan berborak bersama rakan-rakan lamanya. Setelah empat puluh lapan hari tempoh pantang, maka seminggu yang lalu, Abyatina akhirnya pulang bersama suaminya.

“Selamat pulang Siti Abyatina,” tutur Rizqullah tersenyum saja saat membuka pintu rumah mereka.

“Selamat datang buat Yaqzan bin Rizqullah juga...” bicara Abyatina.  Anaknya Yaqzan tidur nyenyak sepanjang perjalanan pulang.

Setelah hampir dua bulan berada di kampung, maka pagi itu Abyatina pulang semula ke rumahnya.  Agak kekok kelihatannya, namun sebagai seorang isteri, maka tugasnya harus dipatuhi. Rizqullah tempatnya di sisi, dan tanggungjawabnya juga adalah untuk suaminya itu.

Perjalanan pulang menyaksikan sesi kebisuan di antara Abyatina dan Rizqullah. Barangkali tiada apa yang ingin dibicarakan atau mungkin juga tidak mahu anak kecil mereka terjaga dari tidurnya. Namun kisah beberapa minggu sebelumnya masih lagi bermain di fikiran mereka. Kisah petang yang aman di rumah Ustaz Man tiba-tiba bertukar damainya tatkala munculnya Mail di halaman rumah.

“Saya tak ada hak nak memaksa. Tapi, kadang-kadang kita manusia selalu alpa dan lupa dengan perintah-Nya. Maaflah penawarnya,” bicara Mail dalam serius. Itulah pertama kali keseriusan terwujud pada tutur bicara Mail.

“Pandai pula mu bermadah ya...” Mak Cik Ros tersenyum sinis, menghilangkan sedikit ketegangan petang itu. Mail hanya tersengih sahaja.

“Meminta maaf memang mudah sekali. Tapi memaafkan perlukan ikhlas,” luah Rizqullah muncul semula di muka pintu setelah dipujuk Abyatina.

“Mati hidup di tangan Allah. Kita manusia hamba yang lemah, Rizqullah,” bicara ibu Abyatina. “Kalau hidup asasnya dendam, sampai bila-bila hati tak tenteram”

Rizqullah tertunduk. Mungkin mengerti. Hanya membisu, sebelum melihat wajah Abyatina.  Menarik nafas yang panjang, barangkali berfikir dengan mendalam. Lantas suatu keputusan dibuat dalam masa yang singkat itu.

“Semuanya keranamu Abyatina...” bisik Rizqullah buat isterinya. Kakinya melangkah keluar. Rizqullah akhirnya mengalah. “Saya hanya pergi sebab Abyatina...” bicara Rizqullah kepada Mail.

“Ada eloknya kalau Ustaz Man ikut sekali,” cadang ibu Abyatina.

Perjalanan menuju ke Hospital Taiping menimbulkan pelbagai persoalan di fikiran Ustaz Man. Bagi Rizqullah pula, api kemarahan masih tidak terpadam sepenuhnya tatkala mendapat tahu bahawa Hamidi antara lelaki yang hampir memperkosa Abyatina setahun yang lalu. Namun perjalanan itu ibarat sedang mengejar masa, mengharapkan kesempatan masih ada. Kereta dipandu Mail meluncur laju.

“Mungkin banyak salahnya Hamidi buat keluargamu...” bicara Pak Hamdan sebaik Rizqullah dan  Ustaz Man tiba di hospital. Ketibaan itu disambut Pak Hamdan, ayah Hamidi.

“Apa salahnya?” soal Ustaz Man masih kurang mengerti.

“Berat untuk diberikan maaf. Sukarnya nak dapat keikhlasan itu...” luah Rizqullah pula.

“Saya tak paksa... “ bicara Pak Hamdan. “Ini urusan mu dan Hamidi. Biar mu putuskan sendiri..” Pak Hamdan menepuk bahu Rizqullah sebelum berlalu pergi.

Keadaan Hamidi ternyata krtikal. Terlantar di atas katil, hanya menunggu waktunya. Itulah yang dilihat Rizqullah saat kaki melangkah masuk ke bilik itu. Seisi keluarga Hamidi berada di situ, ada yang membaca surat Yassin ada juga hanya mampu melihat tanpa berbicara. Semuanya kelihatan suram sewaktu Rizqullah melawat Hamidi.

“Jadi, dimaafkan Hamidi tu?” soal Raiqah sambil menumis sambal di dapur.

“Maafnya tak mudah, namun hatinya bersih, ikhlasnya mudah datang,” balas Mak Cik Ros sibuk memotong sayur di dapur.

“Walaupun Abang Cik orangnya kadangkala keras hati, di satu sudut kebaikannya tetap ada...” bicara pula Zabarjad hanya duduk memerhati di dapur.

“Cuma seperkara yang masih tak faham. Kenapa begitu cepat Rizqullah maafkan Hamidi?” Raiqah meluahkan persoalannya. “Kesalahan Hamidi bukan kecil...”

“Dan apa kesalahan yang dibuat Hamidi?” soal pula Zabarjad.

“Semuanya berkait dengan derita Rizqullah dan Abyatina...” tutur ibu mereka ringkas.

Sewaktu di hospital itulah, maka kisah sebenar diketahui Rizqullah. Dari kisah yang diceritakan Mail, maka tahulah Rizqullah bahawa Hamidi telah lama membuat durjana kepada Abyatina. Derita Abyatina yang sakit tak berpenghujung berpunca daripada perbuatan Hamidi.

“Hamidi yang taburkan beras di atas katilmu sewaktu hari perkahwinanmu...” terang Mail kepada Rizqullah. “Hamidi juga yang mengkucar kacirkan keluargamu...”

“Apa kaitan Hamidi dengan keluarga saya?” soal Rizqullah.

“Sihir itu ditujukan buat Abyatina dan datangnya dari Hamidi. Saya jadi saksinya,” jelas Mail.

“Jangan kamu bermain dengan fitnah...”

“Sumpah saya bukan perkara yang palsu...” balas Mail. “Dendam Hamidi bukan kepalang. Abyatina perlu dimusnahkan bahagianya. Itu matlamat Hamidi”

“Ya Allah...” Rizqullah ternyata sukar menerima kenyataan yang dikhabarkan itu. “Kenapa sampai begitu sekali?”

“Apabila hasrat hati tak tercapai, macam-macam boleh jadi,” balas Mail.

Terdiam Rizqullah selepas itu. Perkhabaran itu sesuatu yang cukup besar. Derita Abyatina bukan sesuatu yang mudah. Hakikatnya, dosa Hamidi ternyata sukar dimaafkan bagi Rizqullah. Mungkin sukar menemui keikhlasan. Namun segalanya berubah sekelip mata.

“Bagaimana boleh kemalangan?” soal Ustaz Man kepada Pak Hamdan.

“Ceritanya macam-macam versi. Kemalangannya di selekoh hujung daerah ni, bertembung dengan sebuah kereta,” terang Pak Hamdan. “Mungkin salah Hamidi sendiri...”

Cerita itu menangkap perhatian Rizqullah. Kisah kemalangan itu dilihat mempunyai perkaitan. Lantas Rizqullah terus bertanya.

“Di ladang kelapa sawit tempatnya kemalangan tu?”

“Ya, di situ tempatnya...” balas Pak Hamdan dengan jelas.

“Mengapa Rizqullah?” soal Ustaz Man hairan.

“Allahuakbar.....” Rizqullah hanya mampu bertakbir sahaja.

Maka petang itu, tahulah Rizqullah bahawa kemalangan yang melibatkan Hamidi itu adalah kemalangannya juga. Kereta yang dilanggar Hamidi adalah kereta yang dipandu Rizqullah. Hamidi cedera parah, manakala Rizqullah hanya patah di tangan. Mungkin kerana itu, ikhlas kemaafan wujud dengan tiba-tiba buat Rizqullah. Di akhirnya Hamidi dimaafkan, dan tak lama selepas itu, Hamidi menghembuskan nafas terakhirnya.

“Aturan Allah itu cantik. Setiap yang berlaku pasti datang dari tindakan dan kesilapan kita yang lalu. Allah Maha Mengetahui,” bicara Ustaz Man. “Kita manusia perlu redha dengan setiap ketentuan-Nya”

Rahsia yang telah diketahui akhirnya membuka lembaran baru bagi Rizqullah dan Abyatina. Kerisauan dek sakit misteri barangkali tidak akan muncul lagi. Puncanya telah diketahui, dan hakikatnya misteri itu tidak lagi akan berulang. Mengikut kisah yang dinyatakan Mail, sihir yang ditujukan buat Abyatina itu hanya berkesan selagi Abyatina tidak berbadan dua. Sihir itu jugalah yang menyebabkan Abyatina dan Rizqullah sukar mendapatkan anak.

“Tapi, di akhirnya Rizqullah dah jadi ayah, dan Abyatina dah jadi maknya...” bicara Abyatina tersenyum sebaik tiba di rumahnya.

“Nak panggil ayah saja?” soal Rizqullah mengusik.

“Mahu gelaran lainkah? Abah? Abi? Papa? Daddy?”

“Apa-apa pun boleh Abyatina...” balas Rizqullah. “Tapi dah fikir betul-betul untuk dipanggil gelaran mak?”

“Itu lebih dekat dengan jiwa Ina. Panggilannya ringkas, mudah disebut. Kalau nak dipanggil mama, nampak macam orang kaya pula. Kalau nak dipanggil ummi, dirasakan tak layak pula gelaran tu. Kalau nak dipanggil ibu, terasa telalu ayu nanti,” balas Abyatina berseloroh.

“Baiklah, maknya Siti Abyatina,” usik Rizqullah tersenyum.

Yaqzan bayi kecil mereka kelihatan sangat nyenyak tidur di pangkuan Abyatina. Lantas, perlahan-lahan Yaqzan dibawa masuk ke bilik. Sebaik masuk ke bilik Abyatina terkejut.

“Katil bayi?”

“Jangan fikir abang membujang di sini tak ingat orang di sana...” bicara Rizqullah tersenyum.

“Sampai lengkap semuanya?”

Mungkin terkejut atau mungkin terkagum seketika, itulah yang dirasakan Abyatina. Keseluruhan bilik itu dipenuhi dengan kelengkapan bayi. Dari pakaian hinggalah ke aksesori bagi bayi, semuanya lengkap tersusun di bilik. Abyatina tak menduga, maka perasaan menjadi gembira.

“Sebelumnya, kita tak sempat nak buat persiapan untuk anak kita. Tapi sekarang semuanya dah lengkap...” bicara Rizqullah. Abyatina hanya terus tersenyum. Yaqzan diletakkan di atas katil bayi tersebut, lantas terus dipeluk suaminya itu.

“Terima kasih”

Mulai detik itu, maka bermulalah kisah hidup Abyatina dan Rizqullah dalam fasa yang baru. Di rumah kecil itu, kebahagiaan cuba dicipta setelah pelbagai dugaan terpaksa dihadapi mereka. Harapannya tinggi, moga tidak ada lagi kepayahan untuk menjalani fasa baru hidup mereka itu. Maka di satu petang, Abyatina mengambil penanya. Buku nota kecilnya diambil sebelum luahan bicara disambung semula.

“Bahagia tak boleh dipaksa, kerana bahagia perlukan hati. Hati tak boleh dipaksa, kerana hati perlukan cinta. Cinta tak boleh dipaksa, kerana cinta perlukan kasih sayang. Andai semuanya saling melengkapi, maka datanglah bahagia temani hidup sepanjang hayatnya”

Pena diletakkan. Buku nota ditutup semula. Yaqzan tiba-tiba menangis mungkin lapar atau mungkin kurang selesa. Petang itu udaranya agak panas sedikit, barangkali hujan akan turun tak lama lagi. Rizqullah belum pulang ke rumah, masih lagi berada di sekolah sibuk dengan persiapan hari sukan untuk hari esoknya.

“Assalamualaikum,” salam kedengaran dari luar rumah. Abyatina terkejut dan terus menuju ke muka pintu. Yaqzan bayi kecilnya dalam dukungannya.

“Waalaikumussalam...”

“Apa khabar Abyatina?”

Kejutan melanda. Tidak pernah terlintas di fikiran, Abyatina bakal berhadapan dengan situasi begitu. Yaqzan muncul dan berdiri di luar rumahnya, tiba-tiba menganggu semula ketenteraman yang baru tercipta. Mungkin satu lagi dugaan bakal muncul. Namun dengan selamba Abyatina bersuara.

“Kau alien Zaragoza. Apa lagi yang dimahukan?” Kasar bunyinya. Yaqzan terkejut. Itulah pertama kali Abyatina menggelarkan nama sedemikian di hadapan Yaqzan sendiri. Selama ini, gelaran itu hanya dibicarakan dalam monolog hatinya sahaja.

“Hah, alien? Zaragoza?”

“Jangan kacau hidup kami lagi...” bicara Abyatina kali ini serius. “Jangan muncul lagi selepas ni...”

Yaqzan terkaku. Mungkin terkejut.

“Siapa pula mamat ni Ina? Muka macam Bangla karpet ja ni..”

Ibu mertua Abyatina muncul di halaman. Seperti kebiasaan, setiap petang ibu mertuanya akan menjenguk Abyatina dan anaknya di rumah. Rumah ibu Rizqullah tidaklah jauh dari rumah mereka. Boleh dilihat dengan jelas dari rumah yang didiami Abyatina itu.

“Mana karpet hang?” soal ibu Rizqullah.

“Err, mak... dia ni....” Abyatina teragak-agak bersuara.

“Saya Yaqzan. Bekas tunang Abyatina...” terang Yaqzan.

“Hah, bekas tunang?” Ibu Rizqullah terkejut.

Maka tercipta lagi kekalutan baru. Petang itu sekali lagi tercatat lagi kisah yang mendatangkan ketidakselesaan buat Abyatina.

“Gila betul si alien ni...” bisik Abyatina dalam hatinya. “Bila pula aku bertunang dengan kau alien?” bisiknya lagi.

“Apa tak cukup puas lagikah tumbukan aku yang dulu?”

Suara Rizqullah tiba-tiba kedengaran. Melihat Yaqzan muncul di halaman rumahnya, maka wajah amarah dapat dilihat dengan jelas. Perseteruan baru tercetus. Situasi tegang tercipta sekelip mata. Mungkin pergaduhan bakal terjadi.

“Awat muka hang pelik sangat? Negara mana hang asal?” soal ibu Rizqullah mencelah. Namun tiada respon diberikan Yaqzan.

Mata Rizqullah merenung tajam Yaqzan. Tangannya digenggam sekuat hati. Abyatina hanya memerhati. Yaqzan terus berdiri di situ.

“Nyah kau dari sini!!!” jerit Rizqullah.





*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Enam*

Apakah yang terjadi kepada Yaqzan?

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 




*Terima kasih kepada Thahirah Kamarulail atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.


Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina



Ulasan

Tanpa Nama berkata…
hihii..
best cerita ustaz man dan mak cik ros tu. romantik betul.
tambah bila dia suruh budak jumpa mak cik ros tiap-tiap hari tu...
siri paling menarik rasanya :)

Catatan Popular