"Adina (Bicara Tiga Puluh Dua)"







“Liku-liku dalam perjalanan yang panjang mungkin suatu asam garam dalam kehidupan. Tiap-tiap kepayahan adalah satu sulaman untuk menjadikan hati lebih kuat dan sabar. Ada kalanya, saat bahagia terus dirasai, akan muncul bala yang tak dihajati. Menguji satu lagi kekuatan diri, mencabar kewarasan akal. Tak semudah disangka, kerana ada waktunya kejutan itu tersangat pedih menusuk sedalam-dalamnya ke dalam kalbu”

Abyatina menghela nafas panjang. Buku nota kecilnya ditutup kembali. Pena diletakkan. Matanya direhatkan. Fikirannya ditenangkan. Sekali lagi Abyatina menukilkan kata hatinya di atas buku itu. Setia bersamanya sejak di bangku sekolah lagi. Peneman Abyatina tatkala kekusutan melanda diri. Meluahkan setiap resah di hati.

Ramadan kali ini adalah sesuatu yang berbeza. Tatkala dulu, kisahnya penuh dengan segala dugaan, menguji kesetiaannya terhadap Rizqullah suaminya, kini persoalan timbul akan masa hadapannya. Perkhabaran yang dinyatakan kepada Abyatina memberi persoalan dalam dirinya.

“Mampukah aku untuk sekali lagi?”

Rahsia sekali lagi cuba disimpan Abyatina. Dipendam dan tidak dikhabarkan kepada suaminya. Bukan disengajakan Abyatina, namun mungkin juga masanya masih belum sesuai.

“Bila suamimu nak balik ke sini?” soal ibu Abyatina mengentikan lamunan Abyatina itu.

“Insya-Allah, awal pagi esok akan sampai. Selepas subuh...” balas Abyatina.

Kisahnya, Abyatina pulang lebih awal ke kampung. Dari Pulau Pinang, Abyatina bersendirian menaiki bas menuju ke bandar Taiping. Di awalnya Rizqullah tidak bersetuju apatah lagi mengizinkan Abyatina untuk pulang berseorangan. Namun pujukan Abyatina mungkin mengena, dan di akhirnya Abyatina dapat juga pulang dengan sendirinya.

“Kenapa tak ditunggu abang? Kelas abang habis esok saja,” bicara Rizqullah beberapa hari sebelumnya. Tatkala itu, Abyatina cuba meminta izin suaminya itu untuk pulang dahulu ke kampung.

“Ina tak boleh tunggu lagi. Rindu sangat dengan kampung. Rindu dengan anak kita Yaqzan,” balas Abyatina.

Rizqullah faham akan keresahan Abyatina itu. Kisah tahun ketiga di universiti, maka kesibukan semakin menguasai hari-hari Abyatina dan Rizqullah. Di tahun ketiga itu, walaupun sama bidang pengajiannya, namun beberapa kelas kuliah Abyatina dan Rizqullah tidak sama. Maka tatkala Abyatina sudah boleh bercuti, Rizqullah masih menanti untuk beberapa hari lagi, menghabiskan baki kuliah yang ada. Dek keterujaan atau mungkin juga disebabkan terlalu rindu dengan anaknya Yaqzan, maka diminta izin kepada Rizqullah supaya Abyatina dapat pulang awal terlebih dahulu ke kampung.

“Yaqzan sihat?” soal Abyatina menerusi perbualan telefon dengan ibunya di kampung. Perbualan tercipta di petang hari, menyatakan khabar bahawa Abyatina akan pulang ke kampung keesokan harinya.

“Alhamdulillah sihat saja. Ragamnya tak banyak. Tapi suka merayap ke sana dan sini. Letih nak mengepung,” balas ibu Abyatina.

Ragam Yaqzan anak kecil Abyatina seringkali menjadi tajuk bicaranya. Tatkala Yaqzan berada di kampung, maka Abyatina pasti akan menelefon ibunya setiap hari. Umur anaknya itu semakin meningkat, maka keletahnya juga semakin banyak ragamnya.

“Jangan dibiarkan Yaqzan tu selalu bersendirian. Umurnya bukan kecil lagi. Perlu selalu ada bimbingan dari ibu dan ayahnya,” terang ibu Abyatina menerusi perbualan telefon itu.

“Bukan kami sengaja nak tinggalkan Yaqzan. Ada masanya, kami terpaksa,” balas Abyatina. “Kami sebolehnya nak Yaqzan ada sepanjang masa, tapi kerjanya makin bertambah. Tahun akhir ni, memang dugaan banyak sangat”

“Tak apa. Bukan nak salahkan sesiapa. Cuma pesan, takut-takut teralpa,” bicara ibu Abyatina. “Walau sibuk macam mana pun, anak itu satu rezeki. Anak itu amanah. Kalau tak jaga dengan baik, rezeki menjauh, tanggungjawab terabai”

“Insya-Allah. Masanya pun dah tak lama. Beberapa bulan saja lagi Ina habis belajar”

Demi mengejar cita-cita, maka memang banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Abyatina dan Rizqullah, maka tanggungjawab menjaga Yaqzan memang suatu kewajipan. Tugas sebagai ibu bapa tidak harus diabaikan namun di saat itu juga mereka kadangkala terperangkap dengan kesibukan tugas sebagai seorang pelajar. Maka, tatkala situasi Abyatina dilanda tekanan dalam keadaan untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah, dan di saat itu juga Rizqullah dilanda kesibukan yang sama, maka bantuan dipinta. Mak Cik Ros, ibu Abyatina menjadi tempat meminta pertolongan.

“Boleh nak dijaga. Tapi janganlah sampai pisahnya terlalu lama. Setakat seminggu dua bolehlah,” bicara ibu Abyatina memberi syarat kepada Abyatina dan Rizqullah tatkala mereka menyatakan hasrat meminta ibunya itu menjaga  Yaqzan apabila mereka dalam kesibukan di universiti.

“Insya-Allah. Bukan kami nak sisihkan Yaqzan. Cuma bila waktu-waktu genting saja, baru kami minta tolong mak jaga dia,” kata Rizqullah kepada ibu mertuanya itu.

“Mak faham...”

“Mana ayah?” soal Abyatina menukar tajuk bicara yang berlangsung.

“Zabarajad dah bawa ayahmu ke hospital. Macam biasa, hujung-hujung bulan ni memang hospital tempatnya,” balas Mak Cik Ros. Sejak Ustaz Man lumpuh kembali separuh badan, keadaan kesihatan suami mak Cik Ros itu semakin merosot. “Macam mana mu dengan suami? Bahagia?”

Mak Cik Ros bertanya soalan tersebut secara tiba-tiba. Perihal kebahagiaan Abyatina dan Rizqullah disentuh ibu Abyatina itu. Barangkali mahu menduga kisah rumah tangga Abyatina dan Rizqullah.

“Alhamdulillah. Semuanya baik-baik saya,” balas Abyatina tersenyum.

Namun di sebalik senyuman, ternyata banyak kisah rahsia tersimpan dalam wajah yang kelihatan tenang itu. Abyatina bukan seperti dahulu. Kisah-kisah rumah tangganya penuh dugaan. Namun setiap kesusahan yang dihadapi dilalui dengan ketabahan. Maka bahagia masih bertahan hingga ke saat itu.

“Syukurlah, Allah masih bersama kami,” bisik Abyatina.

Tahun pertama di awal pengajian Abyatina dan Rizqullah di USM, pelbagai kisah yang menduga mereka terjadi. Di awal semester, Abyatina dan Rizqullah tinggal secara berasingan. Masing-masing menetap di kolej kediaman masing-masing di universiti. Maka, bermulalah siri pertama saat Abyatina merasai sunyi dan Rizqullah dilanda kerinduan. Suami dan isteri terpisah seketika maka gundah gulana seringkali melanda.

“Jangan mu lupa tanggungjawabmu. Walau apa yang berlaku, tugas sebagai isteri tak ada rehatnya,” bicara Ustaz Man di suatu masa tatkala Abyatina pulang bersendirian ke kampung. Waktu itu, cuti semester pertamanya baru sahaja bermula.

“Tak elok, tinggalkan suami. Jangan biarkan berseorangan,” bicara pula ibu Abyatina. “Sekali terguris di hati walaupun sedikit, mungkin boleh jadi derhaka pada suami”

Waktu itu, Abyatina pulang secara mengejut ke kampung. Mungkin mahu mencipta kejutan, kepulangan itu dirahsiakan dari Rizqullah. Abyatina pulang bersendirian, hanya sekadar menyelitkan nota kecil di dalam buku Rizqullah sebelum bertolak pulang.

“Ina pulang kampung. Mohon izin”

Nota ringkas ditulis dan Abyatina berlalu pergi. Perjalanan pulang dengan bas dan Abyatina dalam keterujaan.

“Izin suami bukan sekadar izin. Izinnya bawa berkat. Mempermudahkan setiap urusan. Berkat seorang isteri datang dari ketaatan pada suami. Barulah hidup disenangkan,” terang Ustaz Man. “Jangan ringankan redha seorang suami”

Abyatina hanya membisu. Hanya tunduk barangkali mengakui kesilapan yang dilakukan.

“Telefon Rizqullah. Bagitau dia yang mu dah balik sini,” ibu Abyatina bersuara.

Maka Abyatina menelefon suaminya yang masih lagi berada di Pulau Pinang. Perkhabaran ketibaannya di kampung dinyatakan kepada suaminya itu. Rizqullah dengan tenang menerima panggilan itu.

“Jaga diri di sana. Insya-Allah, nanti abang balik tak lama lagi,” kata Rizqullah. “Ciumkan Yaqzan untuk abang ya”

“Insya-Allah,” balas Abyatina.

Kisah Yaqzan anak kecil Abyatina seringkali berputar dan berlegar dalam fikiran Abyatina dan Rizqullah. Tatkala kedua-dua mereka menyambung pengajian di universiti, maka persoalan siapa yang harus menjaga Yaqzan mulai timbul. Penyelesaian awal telah diputuskan tatkala masing-masing sepakat untuk menyerahkan sementara penjagaan Yaqzan kepada Mak Cik Ros, ibu Abyatina. Walaupun berat, namun Abyatina menguatkan hatinya. Abyatina terpaksa berpisah seketika dengan anaknya. Bukan sesuatu yang mudah, itu pasti.

“Fikirkan masa depan. Jangan resahkan hati. Apa yang kita buat pun untuk kesenangan Yaqzan juga nanti,” pujuk Rizqullah tatkala mereka menuju ke Pulau Pinang selepas menghantar Yaqzan ke kampung.

“Hati ibu, walau sejauh mana pun kuatnya azam, ada juga kesedihan bila anak ditinggalkan berjauhan,” luah Abyatina.

“Sabarkan hati...”

Maka perjalanan di awal semester Abyatina dan Rizqullah bergelar seorang pelajar ternyata mencipta satu sisi baru buat mereka berdua. Pertama kalinya juga, Rizqullah dan Abyatina terpisah seketika tatkala masing-masing menetap di kolej kediaman masing-masing di universiti. Bagi Abyatina pula, inilah pengalaman pertamanya berpisah dengan keluarganya. Pengalaman baru hidup berdikari di tempat baru.

“Ibarat benih yang elok, campaklah ke mana pun, eloklah juga hasilnya,” kata Ustaz Man berbual-bual dengan isterinya Mak Cik Ros di suatu petang di saat masing-masing leka melihat keletah cucu mereka Yaqzan.

“Moga Abyatina dapat menyesuaikan diri di sana,” bicara ibu Abyatina.

Hakikatnya, Abyatina ternyata tidak mempunyai masalah untuk membiasakan diri dalam alam baru di universiti. Semua perkara yang baru mencetuskan keterujaan buat Abyatina bagi meneruskan pengajiannya. Cuma ada waktunya, Abyatina merasai kerinduan terhadap anaknya Yaqzan. Berbeza pula dengan Rizqullah, keresahan dan kegelisahan seringkali melanda tatkala dirinya mebujang seketika di alam universiti. Seringkali terkenangkan isterinya walaupun Abyatina turut berlajar di universiti yang sama.

“Bukan mudah saya nak jaga hati ni. Kadang-kadang resah saja teringatkan Abyatina,” bicara Rizqullah berbual-bual dengan ayah mertuanya, Ustaz Man di suatu pagi tatkala mereka bersarapan di kampung. Saat itu Rizqullah baru saja tiba dari Pulau Pinang setelah tamat semester pertama pengajiannya.

“Maaflah ya Rizqullah. Abyatina memang macam tu,” bicara Ustaz Man. “Janganlah ambil hati dengannya...”

“Tak ada apa pun salahnya. Biasalah, ibu mana yang tak rindukan anaknya...” balas Rizqullah.

Memang di satu sudut, tindakan Abyatina pulang secara senyap ke kampung adalah satu percaturan yang membelakangkan Rizqullah. Mungkin disebabkan itulah, maka Ustaz Man secara lekas memohon kemaafan atas tindakan anaknya Abyatina itu. Namun, Rizqullah faham. Setiap perangai dan sikap isterinya itu sudah difahaminya dengan baik.

“Kena banyak sabar,” kata Ustaz Man. “Kalau hati dah rindu si isteri, itu maknanya bahagia. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Tiap-tiap rindu yang halal, adalah satu ibadah,” sambungnya lagi.

Maka terimbas kembali kisah di awal pengajian Abyatina dan Rizqullah di universiti. Tak sampai beberapa minggu sahaja di alam universiti, hubungan Abyatina dilanda ujian. Satu dugaan yang mungkin paling besar pernah melanda buat mereka. Abyatina yang paling menerima kesannya.

“Dengan satu perkhabaran, satu kejutan terbesar pernah aku rasakan,” kata Abyatina kepada rakan sebiliknya Absarina. Sahabat paling akrab dengannya di universiti itu, senantiasa setia dengan segala permasalahan yang melanda Abyatina. Pasti akan menjadi pendengar setiap setiap luahan kekusutan yang dihadapi Abyatina. Maka malam itu, Abyatina meluahkan satu isi hati yang terpendam begitu lama. Rahsia yang disimpan sebelumnya dibuka dan dikongsikan dengan rakan sebiliknya itu.

“Banyak betul dugaannya. Aku tak terfikir sehebat itu ujian untuk hang,” balas Absarina.

“Apa yang aku kena buat sekarang?” soal Abyatina.

Absarina membisu sahaja. Tidak tahu apa yang perlu dinyatakannya. Absarina kebuntuan untuk memberi pendapat dan pandangannya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi Abyatina itu. Bukan semudah yang disangka, kerana tiap-tiap masalah yang dihadapi Abyatina itu adalah sesuatu yang rumit untuk diselesaikan.

“Maaflah kalau aku banyak berahsia dengan hang,” bicara Abyatina.

“Setiap rahsia pasti ada sebabnya. Tak timbul soal salah dan maaf ni...” balas Absarina.

Lantas fikiran Abyatina melayang kembali beberapa hari sebelumnya. Setelah kejutan yang diterimanya saat baru sahaja selesai solat di sebuah masjid di Batu Ferengghi, maka sepantas kilat Abyatina melarikan diri, cuba meninggalkan jauh dari kawasan masjid itu. Secara kebetulan, maka Abyatina bertemu Hijazi, rakan sekampusnya yang baru dikenali sewaktu di minggu orientasi. Hijazi pada waktu itu juga sedang bersiar-siar di kawasan Batu Ferengghi. Lantas Hijazi mengajak Abyatina untuk menaiki keretanya.

“Hang naik kereta dia?” soal Absarina ingin tahu.

Abyatina tersenyum. Senyuman yang mungkin mengundang pelbagai persoalan.

“Memang aku naik kereta dia...”

“Semudah itu?”

Abyatina membisu kembali. Hakikatnya, Abyatina tidak tahu untuk menjawab persoalan itu. Mengenangkan saat itu, Abyatina memang seolah-olah kebingungan, terus menaiki kereta lelaki yang baru dikenalinya itu tanpa berfikir panjang. Tidak tahu puncanya, kemungkinan tindakan Abyatina itu didorong oleh rasa kecewa yang tiba-tiba dirasainya itu.

“Apa sebenarnya yang berlaku waktu tu Abyatina?” soal ibu Abyatina menerusi panggilan telefon.

“Entahlah. Ina pun tak tahu apa yang Ina buat waktu tu,” balas Abyatina.

“Kadang-kadang, bila kita ikutkan hati, kelak merana diri,” pesan ibunya.

Pesanan dari ibunya itulah yang seringkali terngiang-ngiang dalam fikiran Abyatina. Mungkin seolah-olah menjerat dirinya, kerahsiaan hubungan perkahwinannya di universiti ternyata mungkin mencetuskan pelbagai masalah yang tak diundang. Tanpa diduga Abyatina, apabila rahsia itu cuba disembunyikan, maka semakin banyak pula dugaan yang datang menguji kerahsiaan itu sehingga di satu waktu akhirnya Abyatina terpaksa mendedahkan sedikit rahsianya kepada teman sebiliknya Absarina di satu pagi, sehari selepas Abyatina bertemu suaminya di Batu Ferengghi.

“Aku dah bersuami...”

Sebaris ayat itu terus dinyatakan tanpa ada mukadimah dan kiasannya. Abyatina berterus terang tanpa membuang masa. Perkhabaran itu memang mengejutkan tatkala rakan sebiliknya itu masih lagi dalam keadaan terkebil-kebil baru bangun dari tidurnya.

“Mimpi apa hang ni?” soal Absarina. Di sudut pandangannya, barangkali perkhabaran yang didengarnya itu mungkin sekadar gurauan dari Abyatina.

“Bunyinya macam mimpi. Tapi mimpi ni memang betul-betul terjadi,” balas Abyatina serius. Lantas Absarina dilanda kejutan. Abyatina bukan dalam gurauan.

“Siapa suami hang?” soal Absarina kemudian.

Maka, dikongsikan kisah sebenarnya kepada Absarina. Satu demi satu perjalanan hidupnya diceritakan kepada sahabat sebiliknya itu. Bermula dari zaman gadisnya, sehinggalah ke zaman perkahwinan. Bermula dari saat bergelar isteri, sehinggalah bergelar sebagai seorang ibu. Bermula dengan anak gadis biasa di kampung, sehinggalah bergelar mahasiswa di universiti. Satu demi satu dikongsikan. Maka tempohnya cukup lama sehingga masing-masing tidak sedar kepantasan masa yang berlalu pergi.

“Tapi semuanya tak semudah yang disangka. Bila datangnya bahagia, waktu itu jugalah akan muncul macam-macam dugaan,” bicara Abyatina di pengakhiran perbualan mereka.

“Ya Allah... Hebatnya dugaan hang...” balas Absarina. “Dalam usia yang muda, macam-macam yang hang dah lalu...”

“Tiap-tiap orang ada ujian hidupnya. Masing-masing ada kisahnya...” balas Abyatina.

Kerahsiaan akhirnya diceritakan. Namun hanya Absarina sahaja yang mengetahuinya. Rakan-rakan sekampus lain langsung tidak mengetahui kisah yang sebenar. Pada pandangan yang lain, Abyatina dilihat sebagai gadis ayu yang pasti mengunturkan mana-mana hati lelaki lain. Namun hakikatnya tiada siapa yang tahu Abyatina tarafnya isteri, punyai suami dan dilengkapkan lagi bahagianya dengan seorang bayi comel dengan namanya Yaqzan.

Namun di sebalik semua rahsia yang masih disimpan itu, peristiwa yang berlaku di Batu Ferengghi itu ternyata menguji kesabaran Abyatina.

“Apa yang berlaku sebenarnya?” soal Raiqah, kakak Abyatina sewaktu Abyatina berkunjung ke rumah kakaknya itu di hujung minggu. Rumah kakaknya itu terletak di Butterworth, Pulau Pinang.

“Susah Ina nak cakap. Tapi petang tu memang hati Ina remuk sangat-sangat,” balas Abyatina.

Maka imbasan peristiwa petang di Batu Ferengghi itu menerjah kembali dalam ingatan. Di saat itu, semuanya bagaikan lancar sahaja. Abyatina dilanda bahagia tatkala dapat meluangkan masa bersama-sama suaminya Rizqullah di tepi pantai. Tatkala itu, azan Asar berkumandang. Maka, mereka menuju ke masjid berhampiran. Setibanya di sana, maka tanpa dirancang Abyatina bertemu Mak Cik Nab. Saudara jauh keluarga Rizqullah itu ternyata cukup mengenali Abyatina walaupun di sebaliknya Abyatina langsung tidak dapat mengecamnya.

“Memang betul itu Mak Cik Nab keluarga Rizqullah?” soal Raiqah.

“Ina tak pasti. Tapi yang buat Ina terkesan, bila Mak Cik Nab bagitau satu perkara...”

“Perkara apa?”

Abyatina terdiam seketika. Hatinya sedikit gusar. Apakah perlu diceritakan rahsia yang disimpan selama ini? Namun, andai terus dipendam mungkin pedihnya semakin kuat dirasakan. Lantas Abyatina menarik nafas seketika sebelum dinyatakan perkara yang ingin disampaikan kepada kakaknya itu.

“Ina tak tau betul atau sekadar cerita palsu. Tapi waktu tu, Mak Cik Nab ada bagitahu... Abang Riz pernah berkahwin sebelum ni...”

“Berkahwin?” soal Raiqah spontan yang ternyata terkejut. “Bila pulanya?”

“Entahlah...” jawab Abyatina. “Kalau betul.... siapa orangnya?” soal Abyatina. “Di mana? Kenapa? Bila?”

“Ya Allah...” luah Raiqah. “Dugaan apa lagi yang mu kena lalui kali ni...”

Namun untuk kali ini, Abyatina ternyata lebih matang berbanding biasa. Walaupun Abyatina bergegas pergi meninggalkan masjid selepas mendengar perkhabaran tersebut dari Mak Cik Nab, hakikatnya Abyatina bukan melarikan diri.

“Memang awal-awalnya, aku terkejut. Tak tau nak buat apa. Rasa kecewa pun ada... rasa marah pun ada...” luah Abyatina kepada rakan sebiliknya Absarina. “Memang aku keliru... tapi bukan benci yang muncul”

“Tapi... betul ke Rizqullah tu pernah berkahwin sebelum ni?” soal Absarina terus setia menjadi pendengar masalah Abyatina.

Abyatina hanya membisu sahaja. Kisahnya, saat Abyatina menaiki kereta Hijazi itu, maka saat itu fikirannya terlintas akan kisah-kisah lalunya. Kenangan manis yang lalu apabila Rizqullah berkunjung ke rumahnya tatkala mereka baru sahaja bertunang muncul di fikirannya semula. Kenangan pertama Rizqullah mencium dahi tatkala mereka sah bergelar suami dan isteri turut mencuri imbasan masa lalunya. Wajah penuh kegembiraan dalam senyuman Rizqullah tatkala mendukung anak sulung mereka beberapa tahun yang lalu juga turut muncul di fikiran Abyatina tatkala itu. Semua itu berulang kali terlintas di fikirannya. Semuanya bagaikan ingatan bahawa dalam kesusahan dan kepayahan itu, hakikatnya masih terdapat banyak perkara-perkara manis yang dilalui Abyatina.

“Berhenti!” Abyatina tiba-tiba bersuara. Lantas kereta yang dipandu Hijazi terus diberhentikan.

Maka Abyatina dengan pantas terus turun dari kereta tersebut. Hijazi kehairanan namun meneruskan pemanduannya selepas itu meninggalkan Abyatina di tempat tersebut. Hakikatnya, perjalanan Abyatina menaiki kereta Hijazi itu tidaklah begitu jauh. Hanya beberapa ketika sebelum Abyatina secara tiba-tiba memutuskan untuk turun dari kereta tersebut.

“Kata orang bila musibah yang datang, kenang-kenangkanlah kisah-kisah manis. Masa tu, semua masalah boleh hilang tiba-tiba,” bicara Abyatina berbual dengan Absarina di bilik mereka.

“Kalau cinta dah tertanam dalam diri, ribut besar mana pun, akhirnya kembali pada yang asalnya...” balas Absarina. “Marah-marah pun masih ada sayang-sayangnya...”

Selepas Abyatina turun dari kereta Hijazi itu, maka Abyatina berjalan kembali menuju ke pantai tempat Rizqullah berjanji untuk berjumpa semula. Walaupun dalam kekeliruan, masih diselebungi dengan kekecewaan, Abyatina menguatkan hatinya. Sebolehnya wajahnya itu harus kembali ceria, cuba menyembunyikan apa yang dirasakan dalam hatinya.

“Maafkan Ina... terlambat sikit,” bicara Abyatina sebaik tiba. Terus dicium tangan suaminya itu.

Seakan seperti tiada apa yang berlaku, Abyatina terus mengikut suaminya itu berjalan-jalan di tepi pantai. Mereka menghabiskan masa bersama sehingga ke lewat petang. Walaupun hati kecil Abyatina  seperti mahu bertanya akan persoalan yang bermain di fikirannya itu terhadap Rizqullah, namun dirinya masih terus menahan, kekal membisu tanpa sebarang bicara.

“Benarkah suamiku pernah berkahwin sebelumnya?” bisik Abyatina bermonolog dalam hatinya.

Persoalan itu terus berlegar-legar tanpa henti sepanjang masa. Namun Abyatina sedikit pun tidak cuba menyuarakan persoalan itu pada suaminya. Di akhir pertemuan di Batu Ferengghi itu, Rizqullah menghantar kembali Abyatina ke kolej kediamannya. Maka hari mereka berakhir sejurus azan Maghrib berkumandang.

Hakikatnya, adalah sebaiknya Abyatina bertanya akan persoalan tersebut pada Rizqullah. Namun petang itu, kelihatan Abyatina berselidung di sebalik sandiwara yang disulami persoalan demi persoalan. Di mata Rizqullah, Abyatina seolah-olah cukup gembira menghabiskan masa dengannya.

“Tapi, dalam hati hanya Allah saja yang tahu,” luah Abyatina kepada rakan sebiliknya.

“Tapi... kenapa tak ditanya saja petang tu?” soal Absarina.

“Ada waktunya, bila bahagia datang, kita harus nikmatinya selagi mana ada kesempatan,” balas Abyatina. “Aku tak nak rosakkan hari gembira petang tu. Kalau di permulaan rasa gembira, biarlah penyudahnya juga rasa bahagia”

“Jadi... bilanya nak ditanya? Sampai bila nak hidup dalam bayang-bayang? Setiap persoalan perlu ada jawapannya...” bicara Absarina.

Abyatina hanya membisu. Hakikatnya, Abyatina memang senantiasa diselubungi dengan persoalan itu. Mahu dicari jawapannya, namun di satu sudut, Abyatina hakikatnya cukup gementar. Abyatina takut andai jawapan yang diketahuinya bakal meremukkan kebahagiaan yang dirasai.

“Mungkin kita akan rasa kecewa bila tahu kebenarannya. Tapi, sepahit mana pun jawapannya, itu lebih baik dari hidup dalam persoalan yang tak terjawab,” sambung Absarina tatkala melihat Abyatina terus membisu.

Hari berlalu demi hari. Pengajian Abyatina di USM diteruskan seperti biasa. Di saat itu, masih tiada siapa yang tahu akan status sebenar Abyatina. Kerahsiaan masih berterusan. Memang ramai yang cuba untuk mendekati Abyatina. Ramai lelaki yang mencuba nasib untuk menjadi rakan baik Abyatina, dengan harapan wujud satu rasa keintiman yang mampu mencetuskan rasa percintaan. Namun, Abyatina sedar akan taraf dirinya. Di saat beberapa lelaki cuba menghampirinya, di saat itu jugalah Abyatina mencari jalan keluar, meloloskan diri dari bisikan-bisikan yang melarakan.

“Walau apa pun yang berlaku di luar, Ina tahu tanggungjawabnya. Ina tahu siapa Ina,” bicara Abyatina kepada Rizqullah di suatu petang. Saat itu mereka bertemu seketika di tepi tasik berbual-bual pendek. “Abang suami Ina, itu satu tanggungjawab yang perlu Ina pikul sampai bila-bila. Tak mungkin cinta hati akan berubah,” sambung Abyatina.

“Dugaan dan bisikan-bisikan syaitan tak mengenal tarafnya. Walaupun dan bersuami, kalau sekali termakan bisikan, hanyutlah diri dalam dosa,” pesan Rizqullah.

“Selagi ada suami yang bertanggungjawab, semua tu insya-Allah akan terjaga. Selagi ada suami yang membimbing, moga-moga isterinya itu tak terhanyut jauh,” balas Abyatina tersenyum.

Satu kisah tak lama selepas itu, Yaqzan anak mereka dikhabarkan demam panas di kampung. Suatu petang, ibu Abyatina menelefon Rizqullah. Perkhabaran anaknya yang kurang sihat dinyatakan, lantas Abyatina dan Rizqullah bergegas pulang ke kampung.  Perkhabaran yang mengubah kisah perjalanan Abyatina dan Rizqullah di universiti.

Yaqzan dihantar ke hospital menerima rawatan di sana. Seharian Abyatina resah di hati. Rizqullah pula hanya mampu terus berada di sisi Abyatina sepanjang masa. Demam panas Yaqzan datang secara mengejut dan berterusan untuk beberapa ketika. Yaqzan dimasukkan ke dalam wad dan Abyatina terus menjaga anaknya sehingga pulih sepenuhnya. Bermula dari detik itulah maka hati kecil Abyatina berubah.

“Mungkin Ina tak perlu teruskan pengajian di universiti...” luah Abyatina kepada suaminya di satu petang di wad hospital itu.

Rizqullah terkejut. Sebaris ayat dari isterinya yang tak dijangka akan diluahkan pada waktu itu.

“Tiap-tiap kesenangan, banyak pengorbanan yang kita kena lalui. Susah dan senang asam garam dalam hidup,” balas Rizqullah. “Jangan disebabkan satu kesusahan, semua dah berputus asa. Hidup untuk masa depan, kita kena berani masa sekarang”

“Tapi kita kena fikir juga masa depan Yaqzan. Sampai bila Yaqzan nak berjauhan dengan kita?” bicara Abyatina.

Rizqullah hanya membisu. Saat itu, ibu Abyatina tiba di wad tersebut. Lantas terus bersuara.

“Yaqzan makin membesar. Jangan pisahkan jauh. Umurnya sekarang, kalau tak dijaga dengan baik, takut nanti nasi dah jadi bubur, kain putih coraknya tempang,” kata Mak Cik Ros berkias berbicara.

Sekali lagi Rizqullah hanya berdiam diri. Perlahan-lahan berjalan meninggalkan wad tersebut, barangkali mahu menghirup angin segar di luar. Rizqullah kemudian berkata.

“Ina tak perlu berhenti belajar. Tapi kita yang perlu tinggal serumah,” bicara Rizqullah.

Cadangan tersebut terus terlintas di fikiran Rizqullah. Barangkali sedar akan keutamaan yang seharusnya dipikul, kata-kata ibu mertuanya itu ternyata memberikan satu nafas baru buatnya. Mencetuskan dunia baru buat Rizqullah dan Abyatina di alam universiti.

“Alhamdulillah...”

Kisah itu berlalu begitu pantas. Namun, Abyatina masih terus mengingatinya. Walaupun tiga tahun telah berlalu, kisah Yaqzan yang dilanda demam panas itulah yang memberi titik baru dalam kehidupan Abyatina sebagai isteri kepada Rizqullah. Bermula saat itu, Abyatina dan Rizqullah berpindah ke rumah baru, meninggalkan kolej kediaman yang didiami mereka sebelum ini.

Rumahnya tidaklah jauh. Letaknya hanya beberapa jarak sahaja dari kampus USM. Rumah flat kecil disewa dari seorang pengurus restoran itu sudah cukup selesa buat Abyatina dan Rizqullah untuk mendiaminya. Berada di aras empat dan mempunyai dua buah bilik, rumah itu menjadi kediaman Abyatina dan Rizqullah bersama anak mereka Yaqzan. Sepanjang empat tahun di USM, di situlah mereka berumah tangga.  Keputusan untuk tinggal serumah itu adalah semata-mata untuk memastikan supaya Yaqzan dapat tinggal bersama mereka.

“Kalau dua-dua ada kelas macam mana pula? Siapa yang nak jaga si Yaqzan?” soal ibu Abyatina beberapa hari sebelum Abyatina dan Rizqullah berpindah ke rumah tersebut.

“Berkorban apa saja. Harta atau nyawa...” balas Abyatina tersenyum sahaja.

Rizqullah dan Abyatina bergilir-gilir menjaga Yaqzan. Tatkala Abyatina punyai kelas dan Rizqullah kelapangan, maka tugas menjaga Yaqzan terletak di bahu suami Abyatina itu. Namun andai kedua-dua punyai kelas pada waktu yang sama, maka salah seorang dari mereka tidak akan menghadiri kelas.

“Itulah namanya pengorbanan,” celah Rizqullah tak lama kemudian.

Namun setelah tiga tahun berlalu, kisah persoalan yang terjadi di Batu Ferengghi tidak pernah terjawab. Abyatina tidak pernah sama sekali cuba untuk mencari jawapan sebenar akan perihal perkhabaran Mak Cik Nab yang menyatakan bahawa Rizqullah pernah berkahwin sebelum ini. Bagi Abyatina, persoalan itu perlu dibiarkan. Selagi Rizqullah terus setia dan bertanggungjawab sebagai seorang suami kepadanya, maka persoalan kisah silam Rizqullah tidak perlu diimbas kembali.

“Walaupun hidup dalam persoalan, kadang-kadang jawapan yang tak dicari itulah yang buatkan kita tenang dan bahagia,” bicara Abyatina di suatu petang tatkala berbual-bual dengan kakaknya Raiqah di halaman rumah mereka di kampung. Dua beradik itu bersantai-santai di petang hari.

“Tapi satu hari, persoalan tu perlu ada jawapannya,” balas Raiqah. “Mengelak bukan penyelesaian terbaik...”

Meniti hari-hari berikutnya, kisah hidup Abyatina tampak tenang sejak menyambung pengajian di USM. Hanya peristiwa di Batu Frengghi itu sahaja yang mencetuskan pergolakan dalam diri Abyatina.  Walaupun persoalan yang melanda itu tak pernah terjawab, Abyatina tidak merasakan sebarang resah di hati. Kehidupan diteruskan dan hakikatnya pada pandangan Abyatina, Rizqullah tidak pernah alpa dengan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah.

“Sebab itu Ina tak perlu jawapan dengan persoalan yang melanda,” bisik Abyatina.

Perjalanan Abyatina dan Rizqullah di USM kini berada di penghujungnya. Tidak lama nanti mereka akan bergraduasi. Namun sehingga ke detik itu, perjalanan mereka masih lagi dipenuhi ketabahan dan kekuatan. Tahun ketiga mereka bakal menuju ke penghujungnya dan kini mereka bercuti seketika sempena sambutan lebaran. Penghujung bulan Ramadan, maka Abyatina pulang ke kampung.

“Makin ligat anakmu. Ke sana ke sini. Merayap satu kampung tak berhenti,” bicara Mak Cik Ros menghentikan lamunan si Abyatina yang cukup panjang sejak tadi. Lamunan menyelusuri tiga tahun perjalanannya sebagai mahasiswi di USM.

“Maklumlah, di Pulau Pinang rumahnya kecil. Tempat nak bermain pun tak luas. Terkepung saja dalam rumah,” balas Abyatina tersenyum. Wajah kecil anaknya itu terlintas di fikiran.

“Tak lama dah. Pejam celik, semuanya berubah nanti,” balas ibu Abyatina itu. “Bila habis belajar, hidup pun berubah. Jangan lupa tanggungjawabmu. Yaqzan perlukan didikan. Suamimu perlukan perhatian”

“Insya-Allah. Itu takkan Ina lupa”

Yaqzan telah menjengah usia 4 tahun. Dalam usia itu, kelihatan Yaqzan semakin pantas membesar dengan segala macam kerenahnya. Tatkala berada di kampung, maka ke serata pelosok tempat akan dikunjunginya. Mungkin disebabkan itu, Yaqzan dikenali seluruh kampung.

“Siapa tak kenal anak si Abyatina ni? Satu kampung dah berkenalan dengan anak kecilnya tu...” bicara Mak Cik Jah kepada ibu Abyatina saat mereka berbual-bula membeli sayur di pasar tani.

“Tak larat nak kepung si Yaqzan ni. Ligatnya tak sudah..” balas ibu Abyatina.

“Macam siapa perangainya tu?”

“Kalau si Abyatina, jauh sekali. Masa kecil dulu pemalu tak sudah,” balas ibu Abyatina. “Mungkin ikut ayahnya si Rizqullah”

Ramadan yang diharungi memberikan cabaran baru buat Abyatina. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, Ramadan kali ini dilihat seperti sedikit berbeza. Sejak kebelakangan ini, Abyatina kelihatan tidak bermaya, mudah letih dan seringkali kepeningan. Mungkin disebabkan itu juga, Abyatina pulang lebih awal ke kampung meninggalkan suaminya di Pulau Pinang.

“Apakah perlu dirahsiakan lagi?” soal Abyatina bermonog sendirian.

Kerahsian itu dijaga dengan baik. Tatkala merasakan terdapat perubahan pada dirinya, maka beberapa minggu yang lalu Abyatina berkunjung ke klinik. Maka di saat itulah, tahulah Abyatina bahawa dirinya bakal menggalas tanggungjawab yang baru.

“Tanggungjawab apa pula?” soal Raiqah kepada Abyatina menerusi perbualan telefon.

“Kita ni orang perempuan kalau nak buat suami sayang lebih kenalah selalu bahagiakan dia,” balas Abyatina. “Orang lelaki ni paling gembira bila tau isterinya tu dah berbadan dua”

“Alhamdulillah...” Raiqah diberi kejutan gembira. Abyatina yang berahsia akhirnya berkongsi gembira itu dengan kakaknya. Namun semuanya dinyatakan secara spontan, tidak dirancang.

“Tapi akak rahsiakan dulu ya. Biar kita main dengan teka-teki dulu,” kata Abyatina.

“Jangan terlalu banyak menari. Takut nanti tak sama pula dengan bunyi gendang. Langkahnya nanti sumbang,” balas Raiqah. “Perkara elok, sampaikan cepat-cepat”

“Insya-Allah”

Rizqullah tiba secara mengejut di kampung pada petangnya. Mengikut apa yang dijanjikan sebelumnya, sepatutnya Rizqullah hanya akan pulang keesokan paginya. Maka kejutan tercipta dan Abyatina ternyata gembira.

“Jom kita ke bendang,” ajak Rizqullah sebaik saja tiba.

“Tapi kenapa?” soal Abyatina kehairanan. “Dah petang ni. Kejap lagi dah nak berbuka...”

“Tak apa. Kalau tak sempat, seteguk air pun dikira berbuka juga”

“Tapi kenapa?”

“Isteri abang ni banyak pula soalnya ya...” bicara Rizqullah tersenyum.

Abyatina sekadar tersenyum. Seperti biasa mereka menuju ke kawasan pepohon berhampiran tali air di bendang itu. Setiap kali tiba di kampung, maka di situlah mereka akan bersantai seketika. Berkongsi masalah, atau sekadar menghirup angin segar di tepi sawah itu. Itulah kebiasaannya.

“Ina sihat?” soal Rizqullah sebaik mereka tiba di tempat itu.

“Alhamdulillah. Sama macam biasa”

Rizqullah kemudian duduk di satu penjuru di kawasan itu. Di atas bangku kecil yang ada di situ, maka Abyatina dan Rizqullah berbual-bual kosong saat itu. Menghabiskan masa berdua seketika setelah beberapa hari tak berjumpa. Tatkala mereka di Pulau Pinang, detik sebegitu jarang sekali dilalui. Masing-masing sibuk dengan pengajian mereka di USM.

Hakikatnya, mungkin itu juga peluang yang ada untuk Rizqullah menghabiskan masa bersama Abyatina. Tatkala telah bergelar sebagai ayah, maka ruang masa untuk berdua bersama Abyatina dilihat semakin kurang.

“Bila dah jadi ayah, kenalah berkorban. Takkan selama-lamanya kita nak berdua...” bicara Abyatina.

“Memang tak selama-lamanya berdua. Tapi kalau boleh biarlah nikmatnya tetap sama. Takkan berubah..” balas Rizqullah.

Masing-masing membisu seketika dan tak lama kemudian Rizqullah menyambung bicara.

“Ina ada simpan apa-apa rahsia dari abang?” soal Rizqullah tiba-tiba. Soalan itu ternyata mengejutkan Abyatina. Dirasakan seperti Rizqullah telah menghidu rahsia yang telah disimpannya selama ini. Namun Abyatina tidak tahu rahsia yang mana dihidu Rizqullah. Apakah rahsia mengenai kisah di Batu Ferengghi atau mungkin juga rahsia dirinya yang telah berbadan dua? Abyatina tertanya-tanya dalam diam.

“Rahsia ni macam teka-teki. Kanak-kanak saja yang suka main teka-teki...” balas Abyatina bersahaja walaupun dalam hatinya mula dilanda sedikit kegusaran. Takut pula rahsianya itu benar-benar diketahui suaminya.

“Kadang-kadang orang dewasa macam kita ni yang lebih seronok berteka-teki...” kata Rizqullah. “Bukan begitu Siti Abyatina?”

“Err... tapi... itu....”

Abyatina terkelu lidahnya. Tidak dapat berbicara untuk membalas kata-kata Rizqullah. Lantas tatkala itu, tangan Rizqullah memegang tangan Abyatina. Terus digenggam erat tangan Abyatina itu.

“Abang minta maaf Ina...” luah Rizqullah. “Bukan abang nak lukakan hati Ina selama ni...”

Kata-kata Rizqullah ini seolah-olah menggambarkan bahawa suaminya itu telah mengetahui rahsia yang dipendam Abyatina selama ini. Lantas dalam nada yang cukup berhati-hati, Abyatina berbicara.

“Kalau semuanya berkait dengan perkara lepas, kita semua manusia. Setiap kesilapan satu pengajaran yang baik untuk kita,” kata Abyatina.

“Tapi kalau perkara silam terus menghantui kita, bahagia sebenar takkan tercapai,” kata Rizqullah. Suami Abyatina bangun dan terus menyambung bicaranya. “Abang tahu apa yang Ina nak tahu. Kalau Ina nak jawapannya, memang itu sepatutnya”

Abyatina terdiam sahaja. Secara tiba-tiba degupan jantung dirasakannya. Debaran tercetus akan bicara yang bakal dinyatakan suaminya itu.

“Apakah suamiku sudah tahu persoalan yang tak terjawab selama ini?” bisik Abyatina dalam hatinya.

Kisah di Batu Ferengghi kembali menyinggah di fikiran Abyatina. Hakikatnya Rizqullah tidak tahu langsung peristiwa pertemuan di antara Abyatina dan Mak Cik Nab itu. Namun di saat itu, kelihatan Rizqullah seakan telah mengetahui pertemuan yang pernah berlaku itu.

“Biarlah abang berterus terang. Mungkin ada perkara yang Ina masih tak tahu,” kata Rizqullah.

“Tapi... Ina pun nak kongsikan sesuatu dengan abang,” luah Abyatina kembali bersuara.

Hakikatnya petang itu, Abyatina ingin berkongsi berita gembira bersama suaminya. Kisah Abyatina yang berbadan dua hakikatnya ingin cuba diluahkan Abyatina kepada suaminya. Namun tatkala mahu meluahkan itu, Rizqullah juga bermain dengan permainan yang sama. Suami Abyatina itu juga ingin menyatakan sesuatu kepada Abyatina.

“Memang dulu abang pernah berkahwin sebelum abang kahwin dengan Ina...”

Sebaris ayat itu ternyata sesuatu yang cukup lama ditunggu Abyatina. Persoalan yang bermain selama ini dituturkan sendiri oleh Rizqullah. Namun di saat itu juga, hati Abyatina tiba-tiba merasa kecewa. Namun kecewa itu bukanlah diiringi dengan rasa benci.

“Abang minta maaf Ina. Mungkin tak sepatutnya abang rahsiakan dari Ina,” luah Rizqullah lagi.

Abyatina bangun. Terus merapati suaminya itu. Abyatina memeluk dengan erat Rizqullah. Sebak dirasakan Abyatina.

“Masa silam abang tak boleh diubah. Tapi masa depan abang, Ina akan ada sampai bila-bila,” tutur Abyatina dalam nada sebak.

Petang itu, emosi Abyatina tak dapat dikawal. Saat itu jugalah Abyatina menangis teresak-esak. Mungkin melepaskan rasa yang terpendam dengan air matanya, maka Rizqullah faham. Rizqullah terus merangkul isterinya itu, cuba menenangkan seketika isterinya itu.

“Assalamualaikum”

Salam tiba-tiba diberikan. Seorang lelaki berdiri tidak jauh dari Abyatina dan Rizqullah.

“Yaqzan?” soal Rizqullah. “Apa lagi kali ni?”

“Maaf kalau kunjung kali ni tak kena pada waktunya...” bicara Yaqzan.

Abyatina serta merta mengesat air matanya. Terus melihat kelibat Yaqzan yang telah lama tidak dilihatnya. Yaqzan itulah diibaratkan sebagai seteru buat Rizqullah. Namun Yaqzan itu jugalah diambil namanya untuk anak kecil mereka.

“Kalau datangnya memberi salam, harap tujuannya juga sebaik ucapan,” kata Rizqullah.

Maka petang itu diteruskan lagi dengan kisah berikutnya. Tanpa mereka sedar, senja semakin menghampiri dan waktu berbuka puasa semakin mendekati. Abyatina masih belum mempunyai kesempatan untuk menyampaikan berita gembira kepada suaminya. Di saat itu persoalan timbul, bagaimana Rizqullah tahu akan persoalan yang bermain di fikiran Abyatina bertahun-tahun lamanya? Di fikiran Abyatina, persoalan kisah silam suaminya itu seolah-olah menghambat kembali dirinya.

“Siapa sebenarnya suamiku?” soal Abyatina dalam hatinya.

Petang yang berbeza buat Abyatina dan Rizqullah.




*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Dua*

Apakah kisah silam Rizqullah? Bagaimana Rizqullah tahu akan persoalan yang bermain di fikiran Abyatina? Mengapa Yaqzan muncul kembali? Akan bersambung di siri akan datang.

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.


*Terima kasih kepada saudari Siti Aisyah Shamsudin atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.


“Adina (Bicara Tiga Puluh Dua)” didedikasikan khas buat saudari Siti Aisyah Shamsudin. Terima kasih kerana seringkali mencetuskan senyuman dan senantiasa mencetuskan detik-detik bahagia setiap hari. Moga senantiasa bahagia dan moga ada jodohnya. Insya-Allah.




 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina

Ulasan

Catatan Popular