Cinta: Penerangan secara saintifik




Bagaimana cinta mengubah kimia dalam badan?

Pasti tiap-tiap dari kita pernah atau sedang merasai detik-detik terindah melalui perasaan cinta yang mekar dan subur. Dunia bagai milik kita, seolah-olah semuanya meraikan perasaan cinta itu. Segalanya tampak bahagia, senang di hati, kadangkala tak dapat digambarkan dengan bicara kata. Ah, perasaan bila bercinta kadangkala mengasyikkan hingga barangkali terlupa dengan keadaan persekitaran.

Semua manusia punyai perasaan sedemkian dan pasti semuanya akan melaluinya. Namun di sebalik semua itu, kejadian yang terjadi tatkala asyik dan angau dilamun cinta, kisah dalam tubuh kita menceritakan perkara yang lebih mendalam. Hakikatnya, setiap perasaan dan lamunan cinta itu tercetus dari perubahan-perubahan kimia dalam tubuh manusia.

Tatkala cinta berputik, mata seakan membundar, seirngkali mekar melihat wajah si dia apabila bertemu. Jantung berdegup kencang tanpa henti, terus mendatangkan rasa gementar dalam tubuh. Barangkali juga, tapak tangan sedikit berpeluh, dilanda keterujaan dalam cinta. Mungkin juga ada waktunya, selera untuk makan berkurang disebabkan fikiran seringkali melayang memikirkan si dia.

Tatkala bertemu dengan si dia, barangkali ada yang merasakan ‘butterfly in the stomach’. Dirasakan bagai ada getar nadi yang mencetuskan rasa gementar namun pada masa yang sama dalam keadaan teruja. Dalam teruja itu juga, barangkali perasaan malu-malu itu wujud apabila bertentang mata. Lidah jadi kelu, mata tiba-tiba menunduk. Semuanya barangkali boleh terjadi tatkala cinta sedang mekar. Apa yang pasti, semua pernah atau akan melalui perasaan sedemikian.

Namun, di sebalik semua simtom ‘angau cinta’ itu, terdapat penjelasan saintifik terhadap semua yang berlaku. Semuanya terjadi dek perubahan kimia di dalam tubuh.


Cinta kadangkala menggilakan seseorang

Apa yang berlaku dalam tubuh apabila dilanda perasaan cinta?

Secara asasnya, perasaan cinta itu tercetus dari aktiviti dalam otak. Semua deria dan organ dalam badan dikawal oleh otak. Begitu juga dengan setiap kimia dalam badan, bereaksi akibat dari aktiviti dalam otak.

Berdasarkan buku Why We Love: The Nature and Chemistry of Romantic Love tulisan Dr. Helen Fisher menyatakan bahawa perasaan cinta itu akan melalui tiga fasa iaitu:

1)      Berahi (Lust)
2)      Tarikan (Attraction)
3)      Pengikatan (Attachment)

Setiap fasa ini akan melibatkan hormon-hormon yang berbeza. Berdasarkan kajian, aktiviti di dalam otak apabila seseorang itu dilamun cinta adalah sama dengan aktiviti seseorang yang menghadapi masalah mental. Barangkali inilah yang dinamakan ‘gila bayang’ atau mungkin sesetengah menggelarkannya sebagai ‘angau’.



Apa yang menyebabkan kita sukakan seseorang itu?

Untuk seseorang itu jatuh cinta, pelbagai faktor boleh diambil kira. Mengikut kajian, tarikan itu boleh tercetus disebabkan tarikan gen seseorang atau mungkin juga bau badannya; tidak hanya tertumpu pada paras rupa semata-mata. Mengikut kajian juga, kebanyakan individu itu akan memilih pasangan yang mempunyai personaliti mirip kepada ibu bapa mereka, sama ada dari sudut paras rupa, perwatakan atau bau badannya.

Kebanyakan individu juga akan mencari pasangan yang mempunyai kesempurnaan simetri pada wajahnya. Kesempuranaan simetri seperti kedudukan anak mata, hidung dan bibir akan memberi petanda terhadap kesempurnaan gen seseorang. Baik lelaki mahupun perempuan, kedua-dua akan mencari kesempurnaan simetri bagi bakal pasangan mereka. Namun bagi perempuan, mereka juga akan mencari pasangan yang dapat memberi perlindungan kepada mereka seperti keselamatan, tempat tinggal, dan makanan. Dari ini jugalah maka peranan status dan kedudukan seorang lelaki itu akan turut diambil kira.

Kesempurnaan simetri memainkan peranan yang penting untuk seseorang itu jatuh hati

Wajah yang seiras

Kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa pasangan yang bercinta atau yang telah berkahwin dilihat mempunyai persamaan dari sudut paras rupa dan perwatakan. Menerusi kajian ini, seseorang itu dilihat akan cenderung untuk mencari pasangan yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti dirinya, baik dari sudut perwatakan, percakapan mahupun paras rupa. Kebanyakan pasangan ini berkongsi minat yang sama.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, seorang lelaki dilihat akan cenderung untuk memilih pasangan yang mempunyi ciri-ciri seperti ibunya, dan begitu juga bagi seorang wanita; akan memilih pasangan yang mempunyai ciri-ciri seperti bapanya.

Menerusi kajian di Universiti St. Andrews di Scotland, seorang ahli psikologi kognitif David Perrett mengkaji sebab mengapa wajah itu menjadi tarikan. Beliau telah mewujudkan satu perisian yang mampu mengubah wajah seseorang kepada jantina lain (lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki). Kemudian beliau menjalankan soal selidik terhadap kesemua pelajaranya mengenai rupa wajah pasangan yang mereka ingini. Hasil daripada soal selidik itu, didapati bahawa kebanyakan responden membayangkan pasangan yang hampir sama wajah dengan diri mereka, iaitu wajah mereka sebagai lelaki bagi perempuan atau wajah mereka sebagai perempuan bagi lelaki. Hal ini bermakna kebanyakan individu akan mencari pasangan yang hampir sama dengan perwatakan mereka sendiri.

Menurut Parett lagi, kebanyakan dari kita akan tertarik dengan pasangan yang mempunyai ciri yang sama dengan ibu bapa kita disebabkan si dia itu mengingatkan kita akan wajah yang kita lihat sejak dari kecil iaitu ibu bapa kita.

Maka tidak hairanlah apabila melihat wajah kedua-dua pasangan itu, akan didapati persamaan dan keserasian. Wajah mereka seperti saling melengkapi. Seperti kata orang-orang tua, wajah mereka ada jodoh.

Pasangan yang serasi seringkali dilihat seiras


Tiga fasa jatuh cinta

Dalam membina hubungan cinta, bermula dari perkenalan hinggalah membina hubungan perkahwinan, Dr. Hellen Fisher menerusi kajiannya telah membahagikan peringkat cinta itu kepada tiga fasa iaitu:

1.       Berahi
Di peringkat pertama dalam fasa cinta ini, perasaan berahi itu didorong oleh hormon seks testoteron dan oestrogen yang ada dalam tubuh manusia. Hormon testoteron secara umumnya diketahui merupakan hormon dalam tubuh lelaki; namun hakikatnya terdapat juga dalam tubuh wanita. Menurut Hellen Fisher, hormon testoteron memainkan peranan yang utama dalam nafsu seks seorang wanita. Dengan hormon inilah maka, seorang wanita itu akan mencari apa sahaja untuk keinginan itu.

Berdasarkan artikel bertajuk “Love and Sexual Desire” (Cinta dan Keinginan Seksual) oleh Lisa Diamond, cinta dan berahi itu merupakan dua perkara yang berbeza. Boleh jadi individu itu berahi pada seseorang , namun itu tidak membawa maksud dia cinta akan individu tersebut. Mereka yang cinta pasti mempunyai berahi, namun mereka yang berahi tidak semestinya mempunyai perasaan cinta.



2.       Tarikan
Di peringkat kedua inilah, maka panah cinta akan dirasakan. Di peringkat tarikan ini, pasangan masing-masing akan dilanda penyakit cinta. Mereka hanya akan memikirkan soal cinta, dan sepanjang masa terkenangkan si dia yang tersayang. Setiap kerja bagaikan terganggu disebabkan fikiran seringkali memikirkan si dia yang disayangi itu.

Proses yang terjadi ini berlaku akibat peranan yang dimainkan oleh sekumpulan neuro-transmitters (kimia yang dilepaskan oleh sel-sel saraf untuk menghantar isyarat ke sel saraf lain) yang dipanggil sebagai ‘monoamines’ di dalam tubuh. Monoamines ini terbahagia kepada tiga iaitu dopamine, norepinephrine, dan serotonin.

i)                    Dopamine
Juga terdapat di dalam kokain dan nikotin, dopamine berperanan sebagai bahan kimia yang menghantar isyarat ke sel saraf lain. Dopamine terlibat dalam kawalan motor tubuh dan perembesan beberapa hormon penting yang lain di dalam tubuh.  Dopamine juga mengawal nikmat dan ganjaran otak, yang membantu mencetuskan emosi dan perasaan bukan sahaja untuk melihat ganjaran itu, tetapi juga untuk mencapai ganjaran tersebut.

Dalam hubungan cinta, ganjaran yang tersebut ialah si dia, dan dopamine memainkan peranan penting supaya ganjaran ‘si dia’ itu akan dapat dicapai. Kerana itu jugalah, maka kadangkala emosi boleh ternganggu; sama ada menjadi resah, gembira, atau senantiasa berangan-angan. Situasi ini menurut kajian hampir sama bagi seseorang yang menagih kokain!

ii)                  Norepinephrine
Peranan norepinephrine ini akan menyebabkan jantung berdegup kencang dan tapak tangan menjadi lembap dan berpeluh. Norepinephrine merupakan kimia yang dirembeskan dari neuro-transmitter beperanan apabila seseorang itu berada dalam ketakutan atau keresahan. Perasaan dan keresahan ini akan terjadi apabila sistem saraf simpatatik dalam tubuh itu tercetus. Apabila tercetus, maka hormon norepinephrine ini akan dirembeskan.

Pada peringkat tarikan cinta ini, perasaan takut dan resah itu seringkali akan terjadi. Perasaan inilah yang menyebabkan hormon norepinephrine ini dirembeskan. Tujuan hormon ini dirembeskan adalah untuk menstabilkan kembali keadaan tubuh. Tahap oksigen akan ditingkatkan dalam darah dan ini menyebabkan degupan jantung berdegup dengan lebih kencang. Peningkatan oksigen diperlukan supaya otak akan dapat berfikir dengan lebih jelas dan tepat.

Hormon ini juga dikenali sebagai hormon stres.

iii)                Serotonin
Hormon ini berperanan sebagai penstabil mood dan emosi seseorang. Kekurangan tahap serotonin dalam badan akan menyebabkan seseorang itu mudah untuk mendapat tekanan dan stres. Kekurangan hormon ini juga turut menyebabkan fikiran menjadi tak tentu arah dan seringkali akan membuat keputusan yang tidak tepat.

Kajian mendapati bahawa pasangan yang sedang baru bercinta mempunyai tahap serotonin yang rendah. Situasi ini menjelaskan sebab sesetengah mereka yang dilamun cinta itu seringkali melakukan perkara di luar fikiran sehingga ada ketika mahu membunuh seseorang atau diri jika cinta tak kesampaian! Serotonin yang rendah itu menyebabkan tahap stres meningkat, dan dalam situasi seseorang itu dilamun cinta, stres itu menyebabkan seseorang tertekan dan gelisah.

Keratan rentas otak dan laluan bagi hormon serotonin, norepinephrine, dan dapamine (Sumber: How Stuff Works)

3.       Ikatan
Peringkat tarikan yang terjadi apabila seseorang itu jatuh cinta tidak akan kekal selama-lama. Andai terus kekal, maka pasti kehidupan seharian akan terganggu dengan angau yang tak sudah. Akan tiba di satu peringkat apabila proses mengenal antara satu sama lain berada di kemuncaknya, maka fasa seterusnya akan dilalui oleh pasangan yang bercinta. Mereka akan melalui fasa ikatan atau komitmen.

Dalam fasa ini, hubungan yang terjalin akan lebih terarah kepada hubungan intim bagi jangka panjang. Komitmen dan tanggungjawab akan mengambil alih tempat. Perasaan angau akan berkurangan dan diganti dengan soal memikirkan masa hadapan. Pada peringkat ini, semuanya terarah kepada komitmen dan perancangan masa hadapan, termasuk dalam soal mendapatkan anak.

Terdapat dua hormon yang dirembeskan pada peringkat ini yang memainkan peranan penting dalam ikatan sosial seseorang iaitu oxytocin dan vasopressin. Hormon inilah yang menjamin kekalnya sesebuah perhubungan cinta.

i)                    Oxytocin
Hormon ini dirembeskan dari kelenjar hipotalamus (salah satu bahagian dalam otak yang mengawal hormon; bertujuan untuk memberi keseimbangan sistem dalam tubuh).

Secara umumnya, hormon ini memainkan peranan penting dalam proses kelahiran anak. Hormon ini juga amat penting untuk merangsang payu dara menghasilkan susu bagi bayi yang baru dilahirkan. Hubungan ikatan bayi dan ibu akan menjadi kukuh dengan adanya hormon ini.

Dalam hubungan cinta pula, hormon ini akan mengikat dan memperkukuhkan hubungan pasangan apabila mereka melakukan hubungan intim. Apabila pasangan melakukan hubungan seks, hormon ini akan dirembeskan sewaktu masing-masing mencapai orgasma dan ereksi. Sebab perembesan hormon ini tidak dapat difahami sepenuhnya lagi, namun bagi wanita, hormon ini akan meningkatkan motiliti uterus yang mungkin membantu sprema untuk sampai ke destinasinya.

Berdasarkan kajian, hipotesis menyatakan bahawa semakin banyak hubungan seks dilakukan, maka semakin kukuh hubungan pasangan itu. Berdasarkan hipotesis ini, pasangan harus memberi komitmen dan menjaga hubungan intim mereka kerana ia adalah kunci kepada pengukuhan hubungan di antara mereka.

Dari sudut emosi, hormon ini berperanan dalam mengawal beberapa tingkah laku seseorang. Hormon ini membolehkan seseorang itu merasai rasa ketenangan, kepercayaan dan kestabilan psikologi. Namun begitu, hormon ini tidak bertindak bersendirian dan memerlukan hormon lain supaya kesan ketenangan emosi itu akan dapat berlaku dalam tubuh.

Maka tidak hairanlah apabila ada sesetengah pasangan merasai intim di antara satu sama lain kerana tatkala hormon ini dirembeskan, mereka merasai ketenangan dan kestabilan emosi. Mereka juga akan lebih mempercayai di antara satu sama lain.


Hubungan anak dan ibu lebih utuh dengan adanya hormon oxytocin

ii)                  Vasopressin
Hormon ini berperanan dalam pengekalan hubungan pasangan . Rembesan hormon ini mencetuskan sifat setia kepada pasangan, seterusnya memperkukuhkan hubungan jangka panjang pasangan itu. Dirembeskan selepas hubungan seks, hormon ini juga berfungsi untuk ginjal bagi mengawal tahap air dalam badan serta mengawal salur darah dalam badan.

Potensi hormon ini dalam mengekalkan hubungan jangka panjang dapat dilihat dari kajian yang dijalankan terhadap tingkah-laku tikus prairie. Tikus prairie merupakan haiwan yang setia dengan pasangannya, tidak akan meninggalkan pasangan mereka; tidak seperti kebanyakan haiwan yang lain. Saintis kemudian menyuntik dadah ke tubuh tikus prairie ini untuk mengurangkan tahap vasopressin ke dalam tubuhnya. Kesannya, tikus prairie jantan mula meninggalkan tikus prairie betina, dan pasangan tikus prarie ini dilihat tidak lagi terikat dan membawa haluan masing-masing.

Berdasarkan kajian itu, saintis menyimpulkan bahawa vasopressin memainkan peranan dalam mengekalkan hubungan jangka panjang pasangan itu.

Menurut professor ekonomi, Jenifer Roback Morse menerusi bukunya, Smart Sex: Finding Life-Long Love in a Hook-Up World, beliau menyatakan bahawa lelaki berkemungkinan mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan seks dengan pelbagai wanita, namun dengan adanya hormon vasopressin ini, maka ia menghalang dan mengurangkan keinginan itu. Vasopressin akan menyebabkan seorang lelaki itu merasai kelainan pada tubuh wanita yang dicintai atau dikahwininya; membezakan wanita tersebut dengan wanita lain. Wanita itu juga tidak semestinya cantik pada paras rupanya, tetapi apa yang lebih penting adalah potensi sebagai ibu kepada anak-anaknya nanti, bukan hanya bersandarkan potensi kepuasan seks semata-mata.

Berdasarkan pendapat Morse ini, maka bolehlah disimpulkan bahawa vasopressin merupakan hormon penyelamat untuk lelaki daripada curang kepada wanita lain; seterusnya menjadi penyelamat bagi hubungan jangka panjang sesebuah pasangan itu.


Vasopressin menjadi hormon penting dalam kebahagiaan rumah tangga

Apakah cinta mengubah cara kita berfikir?

Berdasarkan kajian yang dijalankan di Pisa, Itali menunjukkan bahawa cinta (di peringkat tarikan) telah mengubah cara seseorang itu berfikir. Menurut ahli psikatarik di Universiti Pisa; Dr. Donatella Marazziti pada tahun 1999, menyatakan bahawa tahap hormon serotonin dalam tubuh yang berperanan sebagai penenang emosi akan menjadi rendah apabila seseorang itu berada di fasa tarikan dalam hubungan cinta. Tahap rendah serotonin ini adalah sama seperti individu yang mempunyai masalah Obsessive-Compulsive Disorder (OCD). Kedua-dua kumpulan ini mempunyai simtom yang sama dalam kehidupan seharian mereka; iaitu menghabiskan sejumlah masa yang tidak munasabah untuk obses kepada sesuatu perkara. Bagi mereka yang dilamun cinta, obsesi itu lebih terarah kepada si dia yang disayangi.

Kajian yang dijalankan ini membabitkan 12 lelaki dan 12 wanita yang menyatakan bahawa mereka telah jatuh hati dalam tempoh kurang 6 bulan. Sampel darah mereka diambil untuk mengukur aras serotonin dan kemudian dibandingkan dengan sampel darah 24 responden lain yang tidak menjalinkan hubungan cinta atau telah mempunyai hubungan cinta yang lebih stabil. Hasilnya, tahap serotonin bagi responden yang dilamun cinta lebih rendah bagi responden yang tidak dilanda cinta atau telah mempunyai hubungan cinta yang stabil.


Obsesi yang berlebihan mampu mengundang tekanan dalam diri

Dari kerana mata, lahirnya asmara cinta...

Mengikut kajian, seseorang itu memerlukan tempoh 90 saat  hingga ke 4 minit untuk memutuskan sama ada dirinya itu mempunyai minat pada seseorang. Dalam tempoh itu, tiga perkara akan dilihat dalam penilaian:

i)                    55% menerusi bahasa badan
ii)                   38% menerusi nada suara dan kelajuan pertuturan
iii)                 Hanya 7% menerusi percakapan yang dituturkan, pemilihan kosa kata yang digunakan

Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan individu itu akan jatuh hati menerusi bahasa badan seseorang. Disebabkan itulah, maka peranan mata itu sangat penting dalam menentukan seseorang itu untuk jatuh hati pada seseorang.

Menerusi kajian yang dibuat oleh ahli psikologi New York, Profesor Arthur Aru, beliau mengkaji dinamika seseorang itu untuk jatuh hati pada individu lain. Beliau melakukan kajian untuk menunjukkan bahawa tindakan seringkas merenung mata seseorang mempunyai kuasa yang cukup hebat dalam menentukan rasa cinta seseorang.

Kesemua responden yang dipilih secara rawak dalam kajian tersebut diminta untuk menghabiskan masa selama 30 minit untuk berkongsi kisah hal-hal peribadi kepada pasangan masing-masing. Selepas tempoh itu, didapati bahawa masing-masing belum tertarik di antara satu sama lain.

Kajian berikut dijalankan, dan kesemua reponden itu diminta untuk merenung ke dalam anak mata pasangan di antara satu sama lain. Mereka diminta untuk merenung selama 4 minit. Selepas tempoh itu, beberapa pasangan menyatakan bahawa mereka telah mula mempunyai perasaan tertarik kepada pasangan yang direnungnya itu. Dua pasangan dalam kajian ini akhirnya mengikat tali perkahwinan selepas kajian itu selesai.

Menerusi kajian ini, maka jelaslah bahawa mata memainkan peranan penting dalam mencetuskan rasa cinta dan suka individu itu kepada seseorang.


Mata memainkan peranan utama untuk seseorang jatuh cinta

Kesimpulan

Perasaan cinta itu merupakan satu fitrah kejadian manusia. Setiap dari kita pasti akan atau pernah melalui fasa itu. Rasa cinta itu hakikatnya memberikan satu keindahan dalam kehidupan manusia, memberi warna warni dalam hidup seharian. Sains menerangkan di sebalik perasaan cinta yang dirasakan itu, tubuh kita hakikatnya sedang bekerja dengan pelbagai jenis hormon dan kimia yang dirembeskan untuk memenuhi keperluan itu. Hakikatnya, penerangan saintifik ini membuktikan bahawa betapa hebatnya kekuasaan Allah terhadap hamba-Nya.

Allah berfirman dalam surah al-Imran, ayat 14:

“Diperhiaskan bagi manusia kesukaan kepada barang yang diinginan, (iaitu) dari hal perempuan dan anak laki-laki, dan berpikul-pikul emas dan perak, dan kuda kenderaan yang diasuh, dan binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Yang demikian itulah perhiasan hidup di dunia. Namun di sisi Allah ada (lagi) sebaik tempat kembali (syurga).”

Rasa cinta itu datangnya dari Ilahi. Kita sebagai hamba-Nya hanya menurut aturan yang telah ditetapkan-Nya. Maka selagi mana anda punyai rasa cinta itu, hargailah sebaiknya dan nikmatilah sepuasnya. Kerana mungkin akan tiba masa nanti apabila tubuh hilang upaya, rasa cinta yang selama ini subur mungkin akan hilang dan terpadam bila-bila masa sahaja.

Kerana cinta miliki segalanya.


(Sumber rujukan: Dewan Masyarakat, BBC Science, Health.com, Your Amazing Brain, howstuffworks.com, thenewviewonsex.blogspot)


Nota: Entri ini dimulakan penulisannya pada Ogos 2013, namun tertangguh disebabkan masalah teknikal. Alhamdulillah, dua tahun berlalu; entri ini telah berjaya disiapkan sepenuhnya.







Oleh Muhammad Yazid Rosly (yazidrosly_my@yahoo.com)

Ulasan

Catatan Popular