"Adina (Bicara Tiga Puluh Lapan)"
Kaki melangkah penuh debaran. Detik baru
bakal tercipta. Kehidupannya pasti akan berubah tidak lama lagi. Semuanya akan
mencipta sisi baru yang akan diharungi untuk masa akan datang.
“Selamat datang Siti Abyatina!”
Ucapan selamat diungkapkan Rizqullah
kepada Abyatina. Hakikatnya, masing-masing dilanda keterujaan. Perasaan gembira
dalam bahagia, di pertengahan itu terselit harapan untuk masa hadapan.
Segalanya bagai tercipta di saat itu.
“Abang harap, kita dapat bina hidup baru
di sini. Moga kita dapat bahagiakan anak-anak kita nanti,” kata Rizqullah.
“Insya-Allah. Kalau kita berusaha, pasti
ada bahagianya. Kalau kita tak pernah putus asa, mesti anak-anak akan jadi yang
terbaik untuk kita,” kata Abyatina.
“Macam mana? Ina suka rumah ni?”
Soalan itu diajukan Rizqullah. Abyatina
hanya tersenyum sahaja.
“Baru sekarang nak ditanya pendapat
aku?” soal Abyatina dalam hatinya. Monolog dalam diri muncul tatkala itu.
“Macam mana Ina?” soal Rizqullah sekali
lagi apabila melihat Abyatina hanya tersenyum sahaja tanpa bicara.
Abyatina perlahan-lahan berjalan selepas
turun dari kereta. Hakikatnya, tubuhnya bukanlah sedaya yang disangka. Apa yang
pasti, kepenatan menguasai diri. Keletihan jelas terpancar di wajahnya. Di saat
itu, sebolehnya Abyatina hanya mahu berdiam diri tidak mahu banyak bicara.
“Ina boleh tak jalan ni?” soal
Rizqullah.
“Insya-Allah abang. Ada kekuatannya
lagi. Lagipun abang kan ada. Apa yang nak dirisaukan,” balas Abyatina
tersenyum.
“Mana maknya? Tak turun lagi?” soal
Rizqullah. Matanya melihat kembali kea rah keretanya.
“Ada lagi dalam kereta. Mak kata tunggu
abang buka pintu rumah ni dulu,” balas Abyatina.
Maka Rizqullah terus bergerak pantas
menuju ke pintu hadapan rumah. Kunci dikeluarkan dari saku seluarnya. Salah
satu anak kunci diambil dari gugusan kunci itu. Terus dibuka pintu
tersebut. Pintu gelongsor kaca itu
ternyata satu kelainan bagi sebuah rumah. Di zaman itu, kebanyakan rumah masih
menggunakan pintu kayu biasa. Namun tidak pula dengan rumah itu.
Abyatina terus melangkah masuk ke dalam
rumah itu. Matanya terus tertumpu pada rumah tersebut. Rasa kagum bercampur
gembira terwujud dalam hatinya.
“Alhamdulillah.... Syukur!” luah
Abyatina saat itu. “Terima kasih abang. Terima kasih dengan rumah baru ni,”
kata Abyatina lagi.
“Terima kasih juga untuk Ina. Semuanya
tak akan jadi kalau Ina tak suka,” kata Rizqullah.
“Alhamdulilah. Memang Ina suka. Rumah
baru... siapa yang tak suka kan?”
Tidak lama selepas itu, Yaqzan anak
kecil mereka masuk ke dalam rumah itu. Terus berlari-lari di sekeliling ruang
tamu itu. Barangkali teruja juga dengan rumah itu.
“Yaqzan suka rumah ni?” soal Rizqullah.
“Ini rumah kita sekarang”
Maka, detik itu menjadi saat paling
penting buat Rizqullah dan Abyatina. Detik itu akan tercatat sebagai kenangan
baru mereka dalam merencanakan perjalanan masa depan keluarga. Di saat itu,
maka secara rasmi berpindahlah mereka ke rumah baru. Rumah itu letaknya di
Taiping, berpindah jauh dari rumah asal mereka di Manjung.
“Mana maknya? Tak masuk lagi?” soal
Rizqullah.
“Ada di sininya,” balas Mami Radhwa yang
baru sahaja masuk ke dalam rumah itu. “Nyenyak betul anak baru hang ni tidoq.
Mak dok riba dia, tak jaga langsung. Baik ja...”
Ibu Rizqullah sedang mendukung anak
kecil Rizqullah dan Abyatina. Itulah anak kedua mereka yang baru dilahirkan
beberapa hari sebelumnya. Hakikatnya, di saat itu Abyatina masih lagi dalam
tempoh pantang. Namun disebabkan keterujaan, Abyatina ternyata tidak mahu
melepaskan peluang untuk melihat rumah baru mereka.
“Ini dah kira macam hadiah untuk anak
hangpa yang kedua ni. Rezeki dia nampaknya,” kata ibu Rizqullah tersenyum.
Abyatina dan Rizqullah hanya tersenyum
sahaja. Secara kebetulan, hari pertama mereka melangkah masuk ke rumah baru
itu, anak kedua mereka telah selamat dilahirkan. Semua itu tidak pernah berada
dalam perancangan sebelumnya. Kebetulan yang memberi kemujuran.
Rumah tersebut telah tersedia dengan
baik, cukup dengan segala kelengkapan asas dalam rumah. Kebanyakan perabot yang
ada ringkas dan masih baru. Kesemuanya dibeli Rizqullah sedikit demi sedikit,
untuk dilengkapkan di dalam rumah baru itu.
“Entahlah. Ina agak hairan juga, bila
masa pula abang beli semua barang-barang kat rumah ni. Bila abang beli?” soal
Abyatina. Saat itu juga, matanya terus meliar melihat keadaan ruang tamu itu.
Bau cat menguasai ruang itu. Sofa kayu berwarna hitam disusun dengan baik di
ruang tamu itu. Hamparan permaidani berwarna merah diletakkan dengan kemas di
kawasan tengah ruang tamu itu.
“Setiap hari abang ulang-alik dari sini
ke rumah kita di sana. Mestilah ada masanya abang beli semua ni...” balas
Rizqullah.
Tatkala perbualan berlangsung di antara
Rizqullah dan Abyatina, ibu Rizqullah tiba-tiba berjalan mencelah di antara mereka.
“Dah.. dah. Tepi sikit orang nak lalu
ni. Anak kat tangan mak ni jangan buat-buat lupa. Apa ingat ni drama TV nak
bercengkerama depan sini?” usik Mami Radhwa.
Abyatina dan Rizqullah hanya
tersipu-sipu tersenyum. Usikan yang barangkali dalam sindiran. Lantas
masing-masing mula mengalihkan perhatian terhadap Yaqzan anak sulung mereka
yang masih lagi berlegar-legar di ruang tamu rumah baru itu.
Abyatina masih dalam tempoh pantangnya.
Namun, mungkin disebabkan keterujaan yang dirasakan, maka Abyatina sanggup
untuk datang ke rumah itu, melihat sendiri rumah baru itu. Dengan hanya berkain
batik dan masih lagi bersarung kaki, ternyata Abyatina melupakan seketika
keadaanya yang masih berpantang selepas bersalin.
“Kalau ikutkan hati, tak mahu nak dibawa
Abyatina ke sini lagi. Biarlah dia habis pantang dulu. Tapi digagahkan juga,
sebab katanya tak sabar nak tengok rumah baru ni,” jelas Rizqullah.
“Tak apalah. Bini hang pun nak jugak
jalan-jalan. Masa pantang ni kalau dok terperuk dalam rumah, jadi rimas nanti,”
kata ibu Rizqullah.
“Ina cuma nak tengok saja. Bukan nak
jalan ke mana-mana lagi,” kata Abyatina.
Hakikatnya, sepanjang tempoh pantang,
Abyatina berada di kampung halaman bersama ibunya. Kesemua urusan hal
berpantang dijaga dengan baik ibunya. Abyatina masih bergantung kepada ibunya
walaupun kelahiran kali ini merupakan kelahiran yang kedua buatnya.
Pengalamannya masih kurang, maka itulah sebab Abyatina masih mengharap bantuan
dari ibunya.
“Seorang anak, sampai bila-bila pun akan
terus nak bermanja dengan ibunya. Dalam banyak perkara, bila dalam keadaan
macam ni, hanya seorang sahaja yang akan faham anaknya...” luah Abyatina.
Kisah Abyatina melahirkan anak kedua,
maka sisi baru tercipta. Semuanya terjadi tanpa perancangan yang rapi kerana
hakikatnya, anak keduanya itu dijangka lahir di penghujung tahun. Namun kuasa
Allah tidak siapa yang menduga. Di suatu pagi sebelum bertolak ke sekolah, maka
Abyatina dilanda situasi tidak sihat. Sekali lagi Abyatina dilanda mual dan
pening di kepala.
“Abang, Ina rasa macam masanya dah
tiba,” bicara Abyatina menerusi perbualan telefon, menyampaikan perkhabaran
kepada Rizqullah yang telah berada di sekolah.
“Ina nak abang balik sekarang?” soal
Rizqullah.
“Abang nak Ina berseorangan di sini?”
soal Abyatina.
“Ina dah minta cuti?”
“Tak sempat lagi. Ina memang rasa tak
larat sangat. Rasa nak baring saja di katil,” balas Abyatina.
Di saat itu, Abyatina ternyata mahukan
suaminya itu pulang segera ke rumah. Namun, bagi Rizqullah pula, dirinya
dilihat agak keberatan untuk meninggalkan sekolahnya. Memang sejak dari dahulu,
andai Rizqullah berada di sekolah, maka komitmen diberikan sepenuhnya. Sangat
sukar untuk Rizqullah meninggalkan kerjanya andai tiada sebarang alasan. Bagi
Rizqullah, mengajar di sekolah itu merupakan satu keseronokan yang mendatangkan
nilai tanggungjawab serta komitmen yang tinggi terhadap kerjanya.
“Abang akan balik sekarang. Tapi Ina
kena sabar ya. Mungkin lambat sikit abang sampai,” kata Rizqullah.
“Sakit Ina tak boleh ditangguh abang...”
Mungkin kerana tidak mampu menahan sakit
yang dirasa, maka Abyatina menggagahkan dirinya berjalan menuju ke rumah
mertuanya yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Anaknya Yaqzan dibawanya, dan
perlahan-lahan dalam keadaan yang cukup memeritkan itu, Abyatina terus
berjalan. Yaqzan seakan mengerti, terus memegang erat tangan ibunya itu. Yaqzan
dilihat seolah-olah cuba memimpin tangan Abyatina. Barangkali mahu menghulurkan
bantuan sedaya yang ada.
“Allhahuakbar. Kenapa tak ditelefon
saja? Mak boleh pi rumah hang ja...” kata Mami Radhwa sebaik melihat Abyatina
tiba di rumahnya.
Ibu mertuanya itu terus membantu
Abyatina, memimpinnya masuk menuju ke bilik di tingkat bawah. Mujur, rumah
mertuanya itu mempunyai bilik di bawah kerana hakikatnya Abyatina tidak lagi
terdaya untuk mendaki anak tangga, menaiki tingkat atas rumah itu.
“Suami hang dah tau?” soal ibu Rizqullah
itu.
Abyatina sekadar mengangguk mengiakan
soalan yang diajukan itu. Untuk berbicara sangatlah sukar. Hanya bahasa tubuh
yang dapat ditunjukkan.
Cikgu Hamdawi saat itu baru sahaja
pulang dari pasar di pekan. Sebaik melihat keadaan Abyatina yang ternyata tidak
begitu sihat, bapa mertua Abyatina itu dilihat seperti dalam kekalutan. Cikgu
Hamdawi terus keluar dari rumah itu.
“Nak ke mana pulaknya tu?” soal Mami
Radhwa.
“Nak pi cari kereta. Kita bawak Ina ni
pi hospital kat Taiping. Nanti jadi apa-apa payah pulak nanti,” balas Cikgu
Hamdawi.
“Tak payah dok kalut lagi. Rizqullah
balik sat lagi. Kita tunggu dulu dia mai,” kata Mami Radhwa. “Baik ambik si
Yaqzan ni main dengan dia dulu. Bagi dia leka kejap. Takut pulak Yaqzan pun
jadi susah hati nanti”
“Mak hang ni pun. Aku nak tolong pun tak
bagi...” kata Cikgu Hamdawi.
“Bukan tak bagi. Tapi jangan dok kalut
sangat. Nanti lain pulak jadinya”
Cikgu Hamdawi kemudian membawa Yaqzan
naik ke atas rumah. Yaqzan dibawa menuju ke ruang tamu. Peti televisyen dibuka,
dan siaran kanak-kanak ditontonnya. Yaqzan dibiarkan seketika leka dengan
rancangan di televisyen bertemankan datuknya di ruang tamu. Sementara itu, Mami
Radhwa terus setia menemani Abyatina di bilik bawah. Sepanjang masa Mami Radhwa
berada di sisi Abyatina di saat dirinya berbaring seketika di atas katil.
“Sakit hang ni macam dulu ka? Macam
sakit pengsan dulu?” soal Mami Radhwa. Dia kemudian menghulurkan segelas air
untuk diminum Abyatina. Sekadar penghilang dahaga Abyatina buat seketika.
Abyatina menggelengkan kepalanya. Tiada
bicara kedengaran di permulaannya.
“Sakitnya macam dulu. Tapi taklah sama
macam dulu,” balas Abyatina.
“Tak apalah. Hang tahan dulu. Apa-apa
jadi kat hang, mak ada kat sebelah. Hang rehat dulu. Tahan sakit tu. Jangan
lupa selawat. Insya-Allah, kurang sakitnya nanti,” pesan ibu Rizqullah sambil
memicit-micit kepala Abyatina dengan harapan sakit kepala yang dirasakan
menantunya itu akan hilang sedikit demi sedikit.
Rizqullah tiba sejam kemudian. Maka
terus dibawa Abyatina menuju ke Hospital Taiping. Kata Rizqullah, lebih baik
terus dirujuk ke hospital. Andai dibawa dahulu ke klinik kesihatan, barangkali
siri penantian Abyatina untuk mendapatkan rawatan akan lebih lama.
“Kalau di hospital, boleh terus rujuk
pada doktor yang pakar,” kata Rizqullah.
“Ina ikut saja mana yang patut”
Barangkali semuanya telah diatur setelah
menempuh pengalaman sebelumnya. Kisah beberapa minggu sebelumnya, tatkala
Abyatina sarat mengandung dan baru sahaja selesai mengajar di kelas, maka
kejutan tercetus apabila Abyatina pengsan di koridor sekolah. Situasi itu
mencetuskan panik dalam kalangan guru kerana tidak pernah berlaku selama ini.
“Kita bawa Cikgu Abyatina ke klinik
kesihatan. Mungkin dia tak sihat hari ni”
Arahan dari pengetua itu diberikan
kepada beberapa guru. Abyatina dibawa dahulu ke bilik rawat di sekolah itu. Di
sana, beberapa rakan guru memberikan bantuan setakat yang termampu. Sebaik
berita diketahui pengetua sekolah, maka arahan itu dikeluarkan. Sepantas itu
juga perkhabaran mengenai Abyatina itu disampaikan kepada Rizqullah yang berada
di sekolahnya di Taiping.
“Macam mana dia boleh pengsan?” soal
Rizqullah.
“Saya pun tak pasti. Tiba-tiba saja
suasana jadi kecoh. Ikut ceritanya, Abyatina pengsan lepas mengajar di kelas,”
balas Cikgu Aliana memberi perkhabaran menerusi perbualan telefon itu.
Maka, Rizqullah bergegas pulang.
Hakikatnya juga, perjalanan itu bukanlah mudah, kerana mengambil masa beberapa
ketika sebelum sampai ke destinasi. Dalam situasi yang tidak tenteram, ternyata
perjalanan memandu Rizqullah dilanda keadaan yang resah dan gelisah. Seorang
suami mendapat perkhabaran tidak baik berkenaan isterinya, maka pastinya resah
itu menguasai diri.
Rizqullah terus menuju ke klinik
kesihatan kerajaan yang terletak tidak jauh dari sekolah. Di sana, beberapa
orang guru telah sedia menanti untuk menyambut kedatangan Rizqullah. Di saat
itu, Abyatina sedang menerima rawatan dari doktor. Maka Rizqullah hanya menanti
dalam sabar. Menunggu dalam tenang.
“Suaminya Cikgu Abyatina ada di sini?”
soal seorang jururawat yang baru keluar dari bilik doktor.
“Ya, saya suaminya,” jawab Rizqullah.
Rizqullah kemudian masuk ke bilik itu
sementara rakan-rakan sekerja Abyatina yang lain terus menanti di luar. Maka
perjumpaan berlangsung di antara doktor yang merawat Abyatina dan Rizqullah
sebagai suaminya. Barangkali bicara mengenai keadaan kesihatan Abyatina yang
mengambil tempat di saat itu.
“Assalamualaikum cikgu,” sapa doktor
tersebut. “Silakan duduk”
“Waalaikumussalam”
“Saya Khadijah,” perkenal doktor itu.
Usianya masih muda, barangkali baru sahaja menjadi doktor di klinik kesihatan
itu. “Berkenaan isteri cikgu, alhamdulillah semuanya baik-baik saja.
Kandungannya pun tak ada apa masalah, tak ada apa pun yang terjejas”
“Syukurlah kalau macam tu. Tapi, apa
puncanya? Apa sebab isteri saya boleh pengsan?” soal Rizqullah ingin tahu.
“Mungkin sebab isteri cikgu tertekan.
Mungkin dia terlalu banyak dengan bebanan kerja. Tapi apa yang pasti, tekanan
darahnya agak tinggi. Disebabkan tekanan darah tinggi inilah, isteri cikgu
boleh jatuh pengsan,” terang Doktor Khadijah.
“Tapi tak pernah pula saya tahu isteri
saya ni ada darah tinggi...”
“Dalam ahli keluarga isteri cikgu,
mungkin ada yang mengalami masalah yang sama?” soal Doktor Khadijah.
Hakikatnya, Rizqullah tidak tahu
sekiranya terdapat salah seorang daripada ahli keluarga Abyatina yang mengalami
masalah darah tinggi. Tambahan pula, Abyatina sangat jarang berkongsi kisah
masalah keluarganya.
“Jadi, apa yang sepatutnya saya buat
sekarang?” soal Rizqullah.
“Cikgu pastikan isteri cikgu banyak
berehat. Kalau boleh jangan biarkan dia buat banyak kerja. Jangan biarkannya
terlalu banyak dengan beban tugas. Biarkan fikirannya tenang tak banyak risau
dengan perkara lain. Kunci utamanya, pastikan Cikgu Abyatina tak dilanda
masalah yang merungsingkan fikirannya,” jawabnya. “Kalau dibiarkan tertekan,
takut nanti darah tingginya naik semula. Kalau tak terkawal, mungkin boleh
jejaskan dirinya, boleh jejaskan kandungannya. Seperkara lagi, kalau boleh,
jaga juga pemakannnya. Jangan terlalu banyak makan makanan yang masin.
Kurangkan minuman berkafein. Semua tu boleh jadi penyumbang darah tinggi”
“Insya-Allah doktor,” balas Rizqullah
ringkas.
Tidak beberapa kemudian, Abyatina baru
tersedar dari pengsannya. Dalam keadaan yang samar-samar, Abyatina dilihat
terpinga-pinga. Namun, mujur Rizqullah berada di sisi. Abyatina kemudian terus
dipimpin Rizqullah menuju ke kereta. Mereka pulang ke rumah. Rakan-rakan guru
yang lain pula melahirkan kelegaan sebaik melihat Abyatina yang telah kembali
sedar dari pengsannya.
“Elok dibawa pulang Abyatina. Soal
sekolah, biar kami semua selesaikan. Biarkan Abyatina rehat dulu,” bicara Cikgu
Alina rakan sekerja Abyatina.
“Terima kasih semua”
Abyatina bercuti selama seminggu. Cuti
sakit diperolehinya. Kepentingan saat itu adalah untuk memastikan fikiran
Abyatina tenang. Disebabkan itu, Abyatina dibawa tinggal di rumah mertuanya.
Hakikatnya, Abyatina tidak boleh dibiarkan bersendirian. Harus punyai teman
berbicara sepanjang masa supaya fikirannya tidak melayang terhadap
masalah-masalah yang dihadapinya.
“Hang pi sekolah. Jangan risau pasal
bini hang. Mak boleh jaga. Yaqzan ni pun pak hang boleh tengok. Kami ada lagi,
boleh sama-sama bantu. Sama-sama kita jaga dia. Cepat sembuh, cepat sihatnya”
Abyatina berehat sepanjang masa di
rumah. Mami Radhwa yang banyak membantu, memulihkan kekusutan yang melanda. Di
saat itu, perkhabaran yang menimpa ke atas Abyatina itu tidak disampaikan
kepada ibu Abyatina, Mak Cik Ros. Abyatina yang menghalangnya kerana tidak mahu
ibunya itu berada dalam susah di hati. Tak perlu ditambah beban yang ada.
Cukuplah ibunya itu memberi tumpuan sepenuhnya dalam menjaga Ustaz Man yang
lumpuh separuh badan di rumah.
Perjalanan menuju ke hospital itu
ternyata dirasakan sangat panjang buat Abyatina. Di saat itu, sakit di
kepalanya bukan kepalang. Menguasai dirinya sepanjang masa hingga menyebabkan
dirinya hanya memejamkan mata tidak mempedulikan perjalanan yang sedang
dilaluinya. Untuk melelapkan matanya bukanlah mudah, namun untuk membiarkan
dirinya terjaga juga tidaklah menyelesakan. Hakikatnya, Abyatina tidak tahu apa
yang perlu dilakukannya. Hanya bersabar sebelum tiba di hospital.
“Ina sakit di kepala saja kan?” soal
Rizqullah saat sedang memandu.
“Ya...” jawab Abyatina ringkas. Mana
mungkin Abyatina dapat bertutur panjang di saat diri menahan kesakitan.
“Kandungan Ina sakit tak?” soal
Rizqullah.
Abyatina menggelengkan kepalanya. Memang
benar, kerana Abyatina langsung tidak merasai sebarang kesakitan di bahagian
perutnya. Hanya bahagian atas kepalanya sahaja yang menduga kesakitannya. Di
fikiran Abyatina, dia tahu masanya belum tiba lagi. Mungkin kesakitan yang
dirasai hanya berkait dengan darah tingginya sahaja.
“Biar doktor yang tentukannya nanti,”
bicara Rizqullah.
Setibanya di hospital, Abyatina terus
menerima rawatan. Ternyata masalah darah tingginya menjadi punca utama. Saat
itu, tekanan darahnya sangat tinggi, malah lebih tinggi dari tekanan darah
sewaktu Abyatina pengsan beberapa minggu sebelumnya. Namun mujurlah di saat
dilanda sakit itu, Abyatina tidak berseorangan. Ibu mertuanya senantiasa berada
di sisinya sebelum dibawa Rizqullah menuju ke hospital. Sakit Abyatina hanya di
kepala, maka doktor juga mengesahkan bahawa kandungan Abyatina tidak terjejas
sama sekali. Masanya hampir tiba namun bukan di hari itu. Abyatina harus
bersedia menanti detik kelahiran yang dijangka tiba sedikit masa lagi.
Disebabkan dari perkhabaran itu, maka Rizqullah kemudian
memutuskan untuk menghantar Abyatina ke rumah ibu mertuanya Mak Cik Ros. Jarak
perjalanan dari hospital ke kampung Abyatina itu tidaklah begitu jauh.
Setidak-tidaknya itu memberi keselesaan buat Abyatina yang masih terus dilanda
sakit di kepala.
“Kadang-kadang walau umur kita dah
meningkat, bila sakit... kepada mak juga kita akan pergi,” kata Rizqullah.
“Rasanya elok Ina berehat di rumah mak, tak perlu balik ke rumah kita. Mungkin
Ina boleh tenang sekejap di sana. Lagipun, jarak dengan hospital tak jauh.
Kalau jadi apa-apa senang nak bawa Ina nanti”
“Insya-Allah. Apa-apa saja Ina turutkan.
Abang suami Ina...” balas Abyatina.
Maka Abyatina dihantar pulang ke
kampungnya. Setibanya di sana, Mak Cik Ros yang paling terkesan dan terkejut
dengan perkhabaran yang disampaikan. Barulah diketahui akan keadaan kesihatan
sebenar Abyatina. Setelah disorokkan sekian lama, hari itu diketahui sudah
kisah yang sebenar.
“Kenapa Ina tak khabar langsung pada
mak? Jangan disimpan sakitnya. Penawarnya mungkin mak boleh berikan kalau
ada...”
“Maaf mak...” balas Ina ringkas. Sakit
kepalanya masih dirasakannya walaupun telah berkurang setelah menelan ubat yang
diberi doktor di hospital tadi.
“Ina.. Ina...”
Mak Cik Ros mengeluh seketika.
Barangkali terkejut atau mungkin juga terkilan dengan apa yang berlaku.
“Rancangnya nak tinggalkan Ina di
kampung. Bagi dia berehat di sini, hirup udara sini. Mungkin bila dekat dengan
mak, darah tinggi Abyatina tak merebak teruknya. Saya pun tak tahu apa yang
perlu dibuat. Nak dibawa pulang takut sakitnya bertambah pula,” terang
Rizqullah kepada ibu mertuanya.
“Seorang mak, takkan sampai hati nak
biarkan anaknya sakit seorang diri. Boleh saja tinggalkan di sini. Taklah rasa
sunyi mak di sini,” balas Mak Cik Ros.
“Tapi... takut pula kalau menyusahkan
mak. Nak dijaga ayah tu satu perkara, ini ditambah pula satu hal lagi nak
menjaga Ina. Saya kalau boleh tak nak susahkan mak, tapi tak tahu lagi cara
lain nak selesaikan masalah yang ada ni,” kata Rizqullah.
“Tak ada apa yang nak disusahkan. Nak
menjaga Ustaz Man bukan satu yang menyusahkan. Nak menjaga Ina, bukan perkara yang
membebankan. Lagipun Zabarjad dengan Rafiqin ada. Boleh saja mereka tu tolong
mana yang patut. Mu janganlah risau. Insya-Allah, semuanya baik-baik saja,”
balas ibu Abyatina.
“Tarikhnya mungkin dah dekat. Rasanya
elok Ina ada dengan mak. Walau apa pun, mak yang lebih tahu apa yang diperlukan
anaknya,” kata Rizqullah.
“Setakat yang termampu tu mak boleh. Mu
pun jangan tinggal buta saja isterimu ni,” pesan Mak Cik Ros.
“Insya-Allah. Saya datang bila ada masa”
“Oh ya, mananya Yaqzan?” soal ibu
Abyatina itu.
“Yaqzan ada di rumah mak saya. Dia ada
dengan toknya. Tinggalkannya di sana, bermanja-manja dengan atuknya. Lagipun
senang sikit nak ke hospital tadi”
Maka Abyatina kembali bercuti disebabkan
masalah kesihatannya. Abyatina tidak ke sekolah namun berbeza bagi Rizqullah.
Setiap pagi suami Abyatina itu seperti biasa akan berulang alik dari rumah ke
Taiping. Maka setiap hari itu jugalah Rizqullah pasti akan singgah menjenguk
dan melihat keadaan isterinya di kampung.
Hakikatnya, kerisauan melanda Mak Cik
Ros terutamanya. Hatinya gusar tatkala Abyatina ditinggalkan di kampung. Kisah
dulu-dulu, sewaktu Abyatina dan Rizqullah masih lagi berdua, tatkala dilanda
konflik dan permasalahan, maka seringkali Abyatina ditinggalkan Rizqullah di
kampung. Abyatina seringkali makan hati, namun segalanya kembali tenang apabila
Rizqullah muncul semula di kampung beberapa hari kemudian. Kampung dilihat sebagai
satu medan untuk memulihkan keadaan dan permasalahan.
“Apakah Abyatina dan Rizqullah dilanda
masalah sekali lagi?” soal Mak Cik Ros bermonolog dalam hatinya.
Jawapan yang tak dapat dipastikan.
Hari berlalu dengan pantas. Maka
tenanglah Abyatina di kampungnya. Ibunya banyak memberi tumpuan. Menjaga dan
memastikan Abyatina berada dalam keselesaan. Semuanya diambil perhatian supaya
Abyatina tidak tertekan. Namun di saat itu jugalah, kerinduan tercipta.
“Kenapa Yaqzan tak ada sekali?” soal
Abyatina. Perihal anaknya terlintas di fikiran. Hakikatnya, sepanjang Abyatina
berada di kampung, Yaqzan anaknya pula berada di rumah mertuanya. Hati seorang
ibu, pasti dilanda rindu akan anak kandungnya.
“Mu jangan fikirkan sangat pasal
anaknya. Dia selamat dengan mak mertuamu. Saja Yaqzan tak ada di sini. Biar mu
tenang di sini. Biar mu tak fikirkan apa-apa pun”
“Tapi kalau Yaqzan tak ada, lagi Ina
susah hati...”
“Sabarkan hati tu. Nanti Rizqullah bawa
si Yaqzan tu ke sini...” pujuk Mak Cik Ros.
Keesokan harinya, kisah sebaliknya
berlaku. Kekalutan melanda di rumah tatkala Abyatina memberi perkhabaran bahawa
air ketubannya telah pecah. Maka, di saat itu tahulah Mak Cik Ros bahawa
saatnya hampir tiba. Abyatina bakal melahirkan anaknya. Segala persiapan harus
diaturkan. Namun perkhabaran harus disampaikan terlebih dahulu kepada
Rizqullah. Hari Khamis di awal pagi, panggilan telefon dibuat. Rizqullah
mendapat khabar itu, lantas terus bergegas untuk pulang ke kampung Abyatina.
“Saya akan ke sana sekarang. Tapi harap
ditunggu, sebab cadangnya nak bawa Ina ke hospital. Harap dia dapat bersalin di
sana,” pesan Rizqullah kepada ibu mertuanya itu.
“Insya-Allah. Tapi mu kena cepat. Masa
Abyatina mungkin tak sempat,” kata Mak Cik Ros.
Dalam keadaan kelam kabut itu, Rizqullah
bergegas secepat yang mungkin ke kampung Abyatina. Yaqzan dibawa sekali setelah
beberapa hari berpisah dengan ibunya. Segalanya tampak kelam kabut. Keresahan
dan kerisauan melanda. Namun di saat itu jugalah keterujaan dirasakan. Detik
itulah, maka tidak lama selepas itu Rizqullah bakal menyambut kelahiran anak
keduanya. Yaqzan bakal mendapat adik. Hidup mereka sekeluarga pasti akan
berubah.
Sementara itu di kampung, Abyatina mula
merasakan simtom sakit untuk bersalin. Ada waktunya, Abyatina merasa kekejangan
di bahagian rahimnya. Ada waktunya juga Abyatina dilanda sakit di kepala.
Melihat keadaan yang dihadapi Abyatina itu, maka mak Cik Ros membuat keputusan
yang sebaiknya.
“Mu tolong panggilkan bidan di klinik
kesihatan. Khabarkan kakakmu dah nak bersalin,” suruh Mak Cik Ros kepada
Rafiqin, anak bongsunya. Di waktu itu, hanya Rafiqin sahaja yang berada di
rumah. Zabarjad pula dalam kesibukan bekerja di bengkel.
Maka Rafiqin bergegas menuju ke klinik
kesihatan seperti yang disuruh. Tidak lama kemudian, bidan yang dipanggil tiba,
dan terus melihat keadaan Abyatina. Tiada banyak bicara yang dinyatakan, hanya
meminta supaya semua bersedia untuk sebarang kemungkinan. Abyatina ada waktu
dilanda sakit, ada juga waktunya kelihatan tenang. Sakitnya datang
sekejap-sekejap, namun apabila muncul peritnya tak terkata.
“Jauh beza dengan pengalaman pertama Ina
dulu...” luah Abyatina kepada ibunya.
“Tiap-tiap pengalaman mungkin ada
bezanya. Semua ni kehendak Allah, nak uji sekuat mana kita boleh terima ujian
dari-Nya,” kata Mak Cik Ros cuba menenangkan Abyatina.
Rizqullah tiba sejam selepas itu.
Bersama Yaqzan yang dibawa dari rumahnya, maka perkara pertama yang terlintas
di fikiran sudah semestinya untuk melihat keadaan isterinya yang dikhabarkan
sedang dilanda sakit untuk bersalin. Lantas, Rizqullah terus naik ke atas
rumah. Kehairanan melanda seketika tatkala melihat tiada siapa di rumah. Sunyi
sepi seketika.
“Ke mana semua orang?” soal Rizqullah.
Rizqullah melihat-lihat sekitar ruang
tamu rumah yang kosong. Tiada kelibat sesiapa di ruang itu.
“Alhamdulillah Abang Riz. Tahniah untuk
abang dengan Kak Ina”
Bicara itu kedengaran tidak berapa lama
kemudian. Rafiqin muncul dari bilik di rumah itu. Tersenyum lebar dilanda
kegembiraan. Tangannya terus menghulur salam sebagai tanda ucapan tahniahnya.
“Kak Ina kamu macam mana? Sakit lagi?”
soal Rizqullah.
“Sihat saja. Sakitnya dah hilang. Kak
Ina dah pun selamat lahirkan anaknya,” balas Rafiqin sekali lagi tersenyum.
Di saat Rizqullah tiba di kampung,
Abyatina telah selamat melahirkan anak kedua mereka. Bersalin dengan cara kampung
disambut bidan, maka perancangan Rizqullah untuk membawa Abyatina ke hospital
akhirnya tidak menjadi seperti yang dirancangkan.
“Lelaki atau perempuan?” soal Rizqullah.
“Abang masuklah tengok sendiri. Nanti
abang tahulah jawapannya,” balas Rafiqin.
Rizqullah kemudian masuk ke bilik itu.
Di dalam bilik itu, hanya kelihatan kelibat Abyatina dan ibu mertuanya sahaja.
Suasana dalam bilik itu sangat sederhana, tiada persiapan yang khusus untuk
menyambut kelahiran anak keduanya. Di saat kaki melangkah, maka fikiran
Rizqullah terkenangkan kisah empat tahun yang lalu. Itulah kisah kali pertama
Rizqullah menyambut kelahiran anak pertamanya, Yaqzan. Kali ini, di bilik yang
sama, Rizqullah menyambut pula kelahiran anak keduanya.
“Assalamualaikum abang...” salam
disampaikan kepada Rizqullah. Abyatina ceria dalam senyuman walaupun kelihatan
agak lemah.
“Waalaikumusalam”
“Syukurlah semuanya selamat. Isterimu
pun tak ada apa-apa masalah,” kata Mak Cik Ros mencelah perbualan. Ibu Abyatina
itu kemudian bangun. “Mak nak kena tengok ayahmu di bilik sebelah. Dah lama
juga mak tak jenguknya. Sibuk denganmu saja Abyatina”
Mak Cik Ros berlalu pergi keluar dari bilik
itu.
“Laki atau perempuan?” soal Rizqullah.
“Abang rasa?” soal Abyatina sambil
melihat bayi kecil yang baru lahir itu. Bayi itu diletakkan di sebelahnya,
tenang dan tidak merengek.
“Entahlah. Abang ni bukan ahli nujum Pak
Belalang...” balas Rizqullah berseloroh.
“Abang azankan ke telinga kanannya...”
balas Abyatina ringkas.
Mendengar jawapan yang diberi, maka tahulah
Rizqullah. Juga lelaki, maka itulah anak keduanya. Senyuman dikuntumkan tanda
kesyukuran. Lantas perlahan-lahan Rizqullah mengambil bayi kecil itu. Dipegang
dengan baik, sebelum didukungnya. Perlahan-lahan Rizqullah mendekatkan bibirnya
ke telinga kanan bayi itu. Lantas, azan dikumandangkan ke telinganya.
Hari itu merupakan hari yang cukup
bermakna bagi Abyatina dan Rizqullah. Satu detik penting juga buat Yaqzan anak
sulung mereka. Keluarga mereka semakin bertambah, dan pastinya akan berubah
sedikit demi sedikit.
Beberapa hari selepas itu, Rizqullah
menyampaikan berita kejutan buat Abyatina. Perkhabaran disampaikan bahawa
Rizqullah telah pun membeli sebuah rumah baru di Taiping. Berita itu ternyata
sangat mengejutkan Abyatina namun diterima dengan baik dalam kegembiraan.
“Sampai hati abang tak bincang langsung
dengan Ina...” luah Abyatina.
“Tapi, Ina suka bukan?”
Maka kunjungan mereka ke rumah itu
merupakan detik penting bagi mereka. Di satu masa, mereka akan berpindah. Namun
untuk detik itu, Abyatina dan Rizqullah hanya berkunjung seketika ke rumah baru
itu. Dalam keadaan yang masih berpantang, akhirnya Rizqullah memutuskan untuk
terus menetap di rumah itu. Abyatina akan menyambung pantangnya di rumah baru
tersebut, dibantu ibunya. Namun, Rizqullah merasakan seeloknya ibu mertuanya
itu menumpukan sepenuhnya untuk menjaga Ustaz Man yang sakit.
“Insya-Allah. Saya suaminya. Itu tanggungjawab
saya untuk jaga isteri saya,” bicara Rizqullah.
“Jangan mu segan minta tolong. Ada
masalah, sampaikan pada mak,” pesan Mak Cik Ros.
Abyatina dan Rizqullah kemudian
berpindah ke rumah baru mereka untuk sementara waktu. Walaupun tidak banyak perabot,
namun semuanya cukup lengkap bagi keperluan harian. Mengikut perancangan,
mereka akan berpindah sepenuhnya ke rumah itu di penghujung tahun. Namun untuk
di saat itu, Abyatina dan Rizqullah hanya akan menetap seketika merasai suasana
sebuah rumah baru.
“Alhamdulillah...”
Kehidupan baru bakal tercipta.
*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Lapan*
Abyatina dan Rizqullah bakal menduduki
rumah yang baru. Apakah perubahan yang bakal berlaku buat mereka berdua?
Bersambung di lain bicara.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan
Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah
ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus.
Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
Terima kasih kepada sahabat dari UPSI, Nur Adilah Yiddin kerana memberi izin untuk disiarkan gambar beliau bagi siri Adina kali ini.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan