Isnin, 13 Julai 2015

Ada apa dengan Zahra dan Low Yat?



Zahra dan Plaza Low Yat

Dalam tempoh seminggu ini, rencah dalam media-media sosial dilihat agak rancak dengan segala macam cerita. Apa yang pasti, budaya ‘viral’ terhadap sesuatu isu itu telah menjadi kebiasaan bagi setiap pengguna laman-laman sosial. Barangkali itu satu trend atau mungkin sekadar perubahan sosial masyarakat pada hari ini.

Itu yang berlaku. Maka terkait dua perkara yang menjadi viral di media sosial ketika ini. Satu, heboh diperkatakan nama Zahra atau digelarkan sebagai #sayaZahra. Memberi ucapan keluhan mewakili golongan muda di hadapan Timbalan Perdana Menteri. Yang kedua ialah isu insiden pergaduhan di Plaza Low Yat di Kuala Lumpur, dikatakan membabitkan orang Melayu dan orang Cina.


Ada apa dengan Zahra?

Siapa Zahra? Apakah hebatnya Zahra itu? Kenapa tiba-tiba namanya popular?

Barangkali itulah yang muncul di fikiran mengutarakan persoalan ketika ini. Rata-rata pengguna Facebook dan Twitter dengan rakus membuat perkongsian mengenai video ucapan keluhan (kononnya) di hadapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis. Dalam ucapannya dinyatakan luahan dirinya selaku golongan muda menyatakan setiap kesusahannya mengharungi tekanan kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur. Dinyatakan berkenaan isu pemilikan kereta, isu pembelian rumah, isu PTPTN sehinggalah kepada kenyataan kahwin lelaki kaya, maka Zahra dilihat berani untuk menyuarakan masalah yang dihadapi di hadapan pemimpin nombor dua negara itu.

Soal yang timbul, apakah luahannya itu benar-benar mewakili suara golongan muda?

Rata-rata apabila perkara ini diajukan kepada golongan yang telah berpengalaman, mereka hanya memandang sinis sahaja. Bagi mereka, setiap permasalahan yang diluahkan Zahra itu hanya lebih bersifat ‘spoiled brat’ semata-mata. Usianya yang baru 23 tahun dilihat sangat cetek dalam menyatakan setiap jerit perih kehidupan sebenar. Baru dua tahun bekerjaya, itu hakikatnya masih belum cukup untuk berkongsi pengalaman kesusahan hidup. Bagi golongan yang lebih berusia ini, mereka melihat Zahra ibarat meluahkan kesusahan hidup yang dicarinya sendiri, dan bukan kesusahan hidup yang mencarinya.

Tidak perlulah penulis menyatakan hujah balas terhadap luahan Zahra itu, kerana rata-rata boleh saja mencarinya di laman-laman sosial. Namun persoalan pokok yang dapat disimpulkan adalah; suara Zahra hakikatnya bukanlah mewakili suara sebenar generasi muda di Malaysia.

Benar, memang hidup ketika ini dalam kesukaran. Tekanan kos sara hidup memang tidak dapat dielakkan.  Namun golonga muda harus faham makna ‘keperluan’ dan ‘keinginan’. Andai hidup berdasarkan ‘keinginan’, maka memanglah sukar untuk ‘survive’ di ibu kota. Namun anda hidup berlandaskan ‘keperluan’ maka setidak-tidaknya tekanan sara hidup itu akan berkurang.

Rata-rata generasi mudah hari ini mempunyai mentaliti bahawa apabila tamat saja pengajian dan memiliki ijazah, maka secara automatik hidup senang. Maka bolehlah dicari pekerjaan yang hebat-hebat dengan gaji yang tinggi-tinggi. Bolehlah nanti bergaya sakan dengan kereta baru yang barangkali mahal-mahal belaka. Bolehlah juga untuk bergaya dengan pakaian-pakaian berjenama dan membeli segala macam gajet hebat. Apabila dah berkerja, bolehlah mencari rumah yang selesa dan membelinya. Itulah yang mereka fikirkan.

Hakikatnya, realiti hari ini, segulung ijazah itu bukan jaminan hidup mewah. Ijazah itu adalah tanda aras taraf pendidikan seseorang namun bukan tanda aras kekayaan individu itu. Jangan mengharap sesuatu yang besar kerana realiti zaman ini bukan itu yang berlaku. Kata orang berpijaklah di bumi yang nyata.

Apa yang boleh dilihat, ucapan luahan Zahra hanya lebih berfokus kepada kelemahan pengurusan kewangannya. Andai diurus dengan baik, maka tidak timbul masalah yang dinyatakannya itu.

Mungkin Zahra mahu menyuarakan masalah yang dihadapi golongan muda ketika ini dengan ikhlas. Namun kesilapan yang dibuat Zahra adalah apabila dia memberi contoh yang tidak kena dan boleh dipersoalkan oleh orang lain. Umurnya masih muda, dan barangkali pengalaman hidupnya itu masih belum banyak. Mungkin disebabkan itu, luahan yang disandar kepada pengalaman ceteknya itu mencipta ucapan yang pada dasarnya memperlihatkan kelemahan dirinya sendiri.

Dan ironinya video tersebut menjadi viral dan banyak dikongsikan oleh golongan muda terutamanya. Apakah golongan mudah ini mempunyai pemikiran yang sama seperti Zahra? Mengharap bulan jatuh ke riba? Walaupun dikatakan ramai yang bersetuju dan menyokong kenyataan Zahra itu, apakah itu menunjukkan bahawa Zahra berada di pihak yang benar?


Ucapan Zahra yang menjadi viral di media sosial



Plaza Low Yat dan kekecohan

Perkara kedua yang menjadi viral di media sosial minggu ini sudah pastinya berkait dengan insiden yang berlaku di Plaza Low Yat. Pergaduhan tercetus yang membabitkan tujuh individu itu mencetuskan provokasi hebat dalam kalangan masyarakat sehingga menyentuh soal perkauman.

Sehingga di saat tulisan ini ditulis, kisah sebenar yang berlaku di Low Yat itu masih belum dapat dipastikan. Terdapat beberapa versi kedengaran dan disebarkan di laman sosial. Namun versi popular menyatakan bahawa insiden kekecohan yang terjadi di Plaza Low Yat adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati pelanggan apabila ditipu penjual telefon.

Namun dalam menuntut keadilan, apakah tindakan ganas perlu dibalas kembali keganasan? Apakah kesamsengan perlu dibalas kesamsengan juga?

Inilah yang terjadi di Plaza Low Yat. Hanya disebabkan telefon, maka berlaku pergaduhan yang mencetuskan suasana yang cukup kecoh di sana. Bahkan kedai telefon tersebut dipecahkan. Penjual tersebut dicederakan.

Walaupun penjual tersebut sangat kurang ajar dan mencederakan pembeli tersebut, tindakan balas yang perlu dilakukan perlulah bijak. Apabila emosi lebih menguasai, maka itulah menyebabkan berlaku situasi panas di Low Yat.

Tambah menghangatkan situasi adalah apabila insiden yang terjadi itu disebarkan di media-media sosial. Insiden tersebut diviralkan dan disebarkan kepada umum tanpa mengambil kira sejauh mana kesahihan cerita yang disampaikan itu. Rata-rata cerita yang disampaikan itu pula berbaur perkauman, menghina kaum Cina dan mencetuskan rasa kebencian kepada kaum Cina. Soalnya, apakah perlu isu perkauman itu dimasukkan ke dalam rencah yang sedang berlaku itu?

Isu yang berlaku di Plaza Low Yat semalam memang seharusnya mendapat perhatian. Memang Low Yat terkenal dengan kelicikan sesetengah peniaganya yang menipu pelanggan. Tapi tak semua. Namun, tak perlulah sampai mengheret hal-hal perkauman, menghina dan mencerca kaum Cina. Macam-macam dikata pada kaum Cina walhal bukan semua orang Cina sedemikian. Janganlah menyimbah minyak ke dalam api lagi. Soal yang harus difokus ialah hak pengguna bukannya soal hak perkauman!

Namun rata-rata masih ramai yang terkeliru dengan hal ini. Tidak dapat membezakan isu itu. Masih menganggap ia sebagai satu isu perjuangan bangsa. Hakikatnya, andai mereka ini mahu meneruskan perjuangan mereka itu, menyatakan penentangan terbuka kepada kaum dan bangsa lain, apakah akan wujud keharmonian kaum selepas ini?

Ingatlah, peristiwa 13 Mei bermula dengan provokasi sebegini juga. Bermula dengan rasa prejudis terhadap bangsa lain selepas Pilihanraya Umum ke-3 (PRU 3). Maka tak mustahil andai perkara ini tak dijaga, peristiwa 13 Mei itu akan berulang kembali.

Amat merisaukan apabila rata-rata golongan muda Melayu merasionalkan tindakan ganas di Plaza Low Yat itu. Apakah keganasan ini dinamakan perjuangan bangsa? Apakah ini yang diajar dalam Islam?

Insiden di Low Yat bukan hanya tentang telefon atau kecurian. Ia terkait kesenjangan sosial dan ekonomi. Lantas memerlukan rekayasa sosial semula.

Video pergaduhan di Plaza Low Yat yang menjadi viral di media sosial


Kisah Zahra dan peristiwa Low Yat yang menjadi viral ini menunjukkan bahawa betapa hebatnya kuasa media sosial pada hari ini. Namun, viral itu bukan bermaksud kebenaran.  Kadang-kadang apa yang viral di media sosial tak semestinya benar dan tepat. Populariti tak mencerminkan realiti sebenar yang terjadi. Kerana viral, benda yang tak betul jadi betul. Benda yang salah tak nampak salahnya. Sebab itu, sebagai pengguna sosial yang bijak, maka seharusnya kita berhemah sebelum berkongsi apa-apa perkara viral di media sosial. Jangan jadi pemungut saham penyebar fitnah dan pandangan yang salah.

Sebagai warga yang bertanggungjawab, maka kebijakan itu harus ada. Bijaklah dalam berkongsi sebarang perkara viral di media sosial. Kerana kuasa di hujung jari kini lebih hebat dari kuasa di hujung mata pena.

Wallahuaklam.




Tiada ulasan :