"Adina (Bicara Empat Puluh Dua)"
Kisah Absyar dan Tasha seringkali mencetuskan pelbagai
persoalan. Perkahwinan yang dibina, dan pada masa yang sama Absyar semakin lama
semakin menjauh dari keluarga. Mungkin bagi Absyar, perkara itu tidak
disedarinya. Namun bagi ahli keluarga yang lain, semuanya ternyata berbeza.
Absyar bukan seperti yang dikenali dulu.
“Kalau dulu, duduk jauh macam mana pun, mesti bertanya
khabar pada kita. Tapi sekarang ni, tinggalnya dekat, jangankan nak melawat,
nak telefon bertanya khabar pun susah sekali,” luah Ustaz Man di suatu hari.
Isterinya mendengar luahan itu di saat mereka sedang
duduk di pangkin di bawah rumah
menikmati angin petang seketika. Rafiqin dan Zabarjad yang mengangkat Ustaz Man
turun dari rumah. Ada waktunya, Ustaz Man harus berada di luar untuk menghirup
udara segar. Terapi diri di kala badan semakin uzur dimamah usia.
“Pantai, sungai pun berubah. Manusia, lagilah berubah.
Bila umur makin meningkat, kita kena terima hakikat, perlahan-lahan anak-anak
akan menjauh dari kita,” kata Mak Cik Ros.
“Tapi, Raiqah pun dah kahwin. Zaafarani pun dah kahwin.
Masih tetap sama macam dulu. Masih lagi ambil tahu pasal kita di kampung. Tak
semua manusia berubah sekelip mata,” kata Ustaz Man.
“Entahlah… Susah kalau nak difikirkan. Kalau anak kita
berubah sekalipun, kita tak dapat nak buat apa-apa. Kita tak boleh paksa mereka
ikut telunjuk kita lagi. Semua dah ada kehidupan masing-masing…” kata Mak Cik
Ros.
“Iyalah. Kita pun umur mungkin tak lama lagi. Mungkin
Allah tahu, sebab tu dia jauhkan anak-anak dari kita…” luah Ustaz Man.
Hati Mak Cik Ros menjadi sebak tatkala mendengar
kata-kata luahan Ustaz Man itu. Ternyata suaminya itu sangat merindui akan
anak-anaknya terutama Absyar. Hakikatnya, Absyarlah yang paling rapat dengan
Ustaz Man. Tatkala Absyar semakin jauh darinya, maka pasti hatinya akan
terkesan.
“Insya-Allah, semuanya akan ingat kita. Mungkin mereka
tak ada kesempatan saja nak menjenguk kita di sini,” balas Mak Cik Ros.
Namun jauh di sudut hati Mak Cik Ros, dia tahu
kata-katanya itu hanya penyedap hati sahaja. Hakikatnya jauh sekali dari
kebenaran. Perkara itu juga difahami sepenuhnya Ustaz Man. Mereka tahu, keadaan
pasti tidak akan sama lagi seperti kisah dulu-dulu.
Mungkin disebabkan itu jugalah, maka sedikit demi sedikit
hubungan dengan anak-anaknya, terutama Abysar semakin lama semakin renggang.
Tatkala bersua, maka pasti hanya terkeluar bicara-bicara yang mencipta
perselisihan. Absyar ternyata sangat berbeza. Itulah yang dirasai Mak Cik Ros.
“Apa salah kita?” soal Mak Cik Ros. “Kenapa semuanya
terjadi waktu sekarang?” soalnya lagi. “Terguriskah hati Absyar?”
“Tak perlu difikirkan sangat. Lagi difikir, lagi
bertambah susah di hati,” kata Ustaz Man.
“Tapi, mungkin juga semuanya berpunca dari Tasha menantu
kita. Sejak Absyar berkahwin, sejak itu jugalah Absyar makin jauh dari kita,”
kata Mak Cik Ros.
“Jangan dituduh sebarang Ros. Biar orang lain fikir kita
buruk. Jangan kita yang buruk fikir pasal orang lain,” nasihat Ustaz Man.
Perbualan di petang itu adalah sesuatu yang sangat jarang
dinikmati buat Mak Cik Ros dan Ustaz Man. Sejak keluar dari hospital dua minggu
sebelumnya, maka kelihatan Ustaz Man dilihat lebih banyak mahu menghabiskan
masa bersama-sama isterinya. Andai dulu, Ustaz Man hanya terperap di dalam
rumah, di dalam bilik. Keuzuran
membataskannya. Namun di kala ini, walaupun uzur itu masih tetap sama, Ustaz
Man mengagahkan diri untuk manghabiskan masa seperti kisah dulu-dulu.
Mungkin Ustaz Man tahu, andai terus lemah dengan
keuzuran, maka tanpa sedar sedikit demi sedikit juga sakitnya itu akan
menjangkiti emosi kesemua keluarganya. Pasti Mak Cik Ros yang paling terkesan
nanti.
Namun bukan kisah Ustaz Man sahaja yang menjadi kerisauan
di hati Mak Cik Ros. Hakikatnya, banyak perkara senantiasa bermain di
fikirannya. Tatkala kerisauan dengan keadaan Ustaz Man, kisah Abyatina dan
Rizqullah juga seringkali mencetuskan risau di hati kecil ibu itu. Banyak
dugaan menimpa mereka, sehingga ada waktunya Mak Cik Ros merasakan bahawa
Abyatina dan Rizqullah mungkin tidak dapat bertahan lama dalam hubunga rumah
tangga.
“Tapi syukurlah, sampai sekarang mereka masih kuat. Dah
ada anak kedua pun. Cucu kita juga,” kata Ustaz Man memberi kata ketenangan
buat isterinya itu.
“Tapi taklah serisau dengan hal Absyar…” luah Mak Cik
Ros.
Kerana itulah kisah yang paling merungsingkan.
Bertahun sudah, maka kisah perkahwinan Absyar dan Tasha
telah lama berlalu. Perkahwinan yang dilihat tidaklah mencetuskan banyak
permasalahan kerana masing-masing dilihat sangat secocok dan sepadan. Tidak
banyak keserabutan melanda, tidak seperti kisah sebelum perkahwinan Abyatina
dahulu. Pelbagai dugaan dan masalah yang berlaku seolah-olah menghalang usaha
ke arah perkahwinan Abyatina dan Rizqullah satu masa dahulu.
Bagi perkahwinan Absyar dan Tasha, semuanya
dipermudahkan. Tiada kesusahan menguji kesabaran.
“Tapi… bila dah kahwin, barulah muncul perkara-perkara
tak pernah difikirkan. Rupanya, lepas kahwin baru timbul masalahnya,” luah Mak
Cik Ros.
Apabila Absyar berkahwin, di awalnya kekerapan anaknya itu
berkunjung ke kampung menziarahi Mak Cik Ros dan Ustaz Man bolehlah dilihat
agak kerap. Namun, sedikit demi sedikit, tatkala masa berlalu dengan pantas,
kejarangan pula dirasai. Absyar semakin jarang datang ke kampung.
Hakikatnya juga, rumah Absyar tidaklah jauh dari kampung.
Hanya tiga puluh minit sahaja jarak perjalanan, maka seharusnya tidak ada
alasan untuk tidak berkunjung ke kampung. Namun itu tidak berlaku.
“Kita menanti, tapi tak pernah munculnya…” luah ibu
Abyatina itu.
Hanya beberapa kali sahaja, Absyar muncul di kampung.
Muncul itu hanya sekadar beberapa ketika, itupun datang bersendirian. Kelibat
isterinya Tasha jarang sekali bersama. Hanya di awal perkahwinan sahaja, Tasha
memunculkan diri di kampung. Banyak ketikanya, Tasha lebih suka berada di rumah
kampung ibunya yang terletak tidak jauh dari situ.
Di awalnya juga, Mak Cik Ros tidak ambil kisah akan
ketidakhadiran itu. Baginya, barangkali menantunya itu malu dan segan dengan
keluarga mertua barunya ini. Namun, apabila usia perkahwinan mereka telah
menjengah lebih setahun, maka lama kelamaan Mak Cik Ros merasakan ada sesuatu
yang tidak kena. Dirasakan bahawa menantunya itu cuba mengelak darinya.
Namun, situasi itu
tidak pernah diperbesarkan Mak Cik Ros. Hanya memendam rasa kerana tidak mahu
mencetuskan sebarang keadaaan yang boleh menyebabkan hubungannya dengan Absyar
menjadi renggang. Mak Cik Ros hanya membiarkan sahaja keadaan tersebut.
Di suatu masa, Mak Cik Ros berbual-bual dengan rakan
baiknya Mak Cik Jah. Perbualan tercipta di pagi hari tatkala masing-masing
bertemu di kedai runcit membeli keperluan barang untuk masakan tengah hari. Di
waktu itulah, terasa di hati Mak Cik Ros semakin bertambah.
“Pelik pula bila mu khabar Absyar jarang balik sini…”
kata Mak Cik Jah. “Aku tengok tiap-tiap minggu dia balik rumah mertua dia…”
terangnya lagi.
“Apa betul semua ni?” soal Mak Cik Ros seakan terkejut.
“Pernah aku tipu mu selama ni?”
Hakikatnya, segala perkara yang berlaku di rumah mertua
Absyar itu pasti diketahui Mak Cik Jah. Rumahnya terletak tidak jauh dari rumah
keluarga Tasha. Maka pasti segala yang diceritakan Mak Cik Jah itu adalah
benar.
Mak Cik Ros hanya membisu sebaik mendengar perkhabaran
yang disampaikan itu. Tiada kata-kata, namun hanya senyuman yang dikuntumkan.
Jauh di sudut hatinya, keadaan itu mengguris perasaannya.
“Kenapa anakku tak sudi jenguk aku di sini? Tak jauh pun
rumah mertuanya dengan sini…” monolog hati kecil Mak Cik Ros.
Persoalan tak terjawab mencetuskan kehairanan yang cukup
besar buat Mak Cik Ros terutamanya. Bagi Ustaz Man pula, semua yang terjadi itu
adalah lumrah dalam kehidupan. Baginya, apabila wujudnya ikatan perkahwinan,
seorang suami punyai tanggungjawab yang lebih besar untuk menjaga si isteri.
Namun, kisah versi lain kedengaran pula. Diceritakan
Raiqah di suatu masa, sewaktu Absyar berkunjung ke rumahnya di Pulau Pinang
bersama-sama isterinya. Maka perilaku Absyar dilihat sangat berbeza berbanding
sebelumnya. Absyar dilihat tidak banyak bercakap apatah lagi untuk mengusik
anak-anak buahnya. Absyar hanya berdiam sahaja tatkala duduk di sebelah
isterinya di ruang tamu. Apabila Tasha menyuruh sesuatu, maka Absyar hanya
menurut sahaja apa yang dikehendaki isterinya itu. Tiada bantahan kedengaran.
“Absyar macam kena cucuk dengan isterinya. Semua dikawal
Tasha. Apa saja yang disuruh, semua akan dituruti,” terang Raiqah kepada ibunya
di suatu masa.
Mungkinkah itu puncanya? Apakah Tasha yang suka mengawal,
maka semakin hari semakin jarang Absyar muncul ke kampung melawat Ustaz Man dan
Mak Cik Ros?
Semua itu terus menjadi persoalan tak terjawab.
Kisah memendam rasa Mak Cik Ros berlanjutan untuk tempoh
yang lama. Namun resam dalam kehidupan, maka pasti akan tiba masanya perkara
yang terpendam itu terluah juga. Itulah yang terjadi buat Mak Cik Ros. Di suatu
masa, apabila keadaan semakin menekan diri, maka akhirnya Mak Cik Ros meluahkan
juga rasa terkilannya kepada Absyar. Di waktu itu, Ustaz Man dimasukkan ke
hospital, dan Raiqah anak sulungnya pula baru sahaja selamat melahirkan anak
keempatnya. Sewaktu Absyar berkunjung menziarahi ayahnya itu, maka Mak Cik Ros
terus meluahkan rasa yang dipendamnya selama ini.
“Dalam setahun ni, berapa kali mu balik kampung? Berapa
kali mu jenguk ayahmu? Berapa kali mu telefon tanya khabar?” soal Mak Cik Ros.
“Soal ayah sakit, mak tahu nak uruskan. Tapi soalmu yang makin jauh, mak tak
ada penyelesaiannya. Mu sendiri yang kena jawab. Mu sendiri yang kena betulkan”
Kata-kata itu ternyata mengejutkan Absyar. Selepas
peristiwa itu, Absyar dilihat semakin menjauh dari ibunya itu. Tidak tahu apa
sebabnya, barangkali Absyar terasa di hati. Namun buat Mak Cik Ros, apa yang
dinyatakannya itu adalah seharusnya diperkatakan. Sepatutnya, Absyar perlu tahu
lebih awal dari itu.
“Sampai bila dia nak merajuk…” luah Ustaz Man. “Kita ni
orang tuanya. Pergilah jauh macam mana pun, hubungan itu takkan terputus”
“Biarlah dia merajuk. Perasaan sendiri sahaja yang
difikirkannya. Perasaan kita ni macam mana?” soal Mak Cik Ros.
“Jangan biarkan amarah menguasai diri Ros…” pesan Ustaz
Man.
Mungkin kerana rajukan itulah, maka perkhabaran kelahiran
anak sulung Absyar disampaikan agak lewat kepada Mak Cik Ros. Namun bukan
Absyar yang menyampaikannya. Abyatina yang memberi khabar. Absyar langsung
tidak bertemu ibunya itu.
Maka sekali lagi, terasa di hati buat Mak Cik Ros.
Kelahiran bayi sulung Abysar itu ternyata satu berita
gembira. Namun di sebalik itu, tersembunyi pelbagai kisah yang tidak dilihat
pada mata yang nyata. Bagi mereka yang memerhati, keluarga Mak Cik Ros semakin
hari semakin dilanda bahagia. Apabila bilangan cucu semakin bertambah, maka
itulah bukti bahawa kebahagiaan semakin meliputi keluarganya.
“Manis di mata orang, tapi hakikatnya, pahit yang kita
telan,” luah Mak Cik Ros. “Lagi difikir pasal Absyar, lagi rungsing di kepala”
“Doa sajalah. Kita yakin… berserah sajalah pada Allah.
Moga-moga Absyar berubah…” pesan Ustaz Man.
Kisah Absyar menguasai perbualan mereka di petang itu.
Tiada konklusi tercipta. Hanya sisi luahan dan harapan. Hakikatnya, di saat itu
Absyar masih tetap berjauhan. Masih tidak mengunjungi mereka. Malah Mak Cik Ros
sendiri masih belum melihat bayi sulung Absyar yang baru lahir itu.
Ustaz Man kelihatan lebih sihat berbanding sebelumnya.
Sesuatu yang berbeza jika dilihat untuk minggu-minggu sebelumnya. Kisah Ustaz
Man yang dimasukkan ke hospital beberapa minggu sebelumnya ternyata mencipta
satu lagi sisi dugaan buat keluarganya. Sudah beberapa kali Ustaz Man
dimasukkan ke hospital. Situasi yang seringkali mencipta keresahan buat Mak Cik
Ros terutamanya.
“Apa pula kali ni?” soal Zaafarani sebaik tiba di
hospital. Sebaik mendengar perkhabaran mengenai Ustaz Man, maka Zaafaranilah
orang pertama yang tiba di hospital, terus bergegas pulang dari Pulau Pinang.
“Ayah sakit dada. Semput nafasnya,” jawab Zabarjad yang
telah berada di hospital semalaman.
Sakit kali ini datang tanpa disangka. Tidak pernah selama
ini Ustaz Man diserang sakit sedemikian. Menurut perkhabaran dari doktor, Ustaz
Man diserang asma. Sakit di dada yang terjadi itu adalah disebabkan salur
nafasnya yang tersekat dan tersumbat. Mungkin disebabkan udara malam yang sejuk
sejak beberapa hari, maka sedikit sebanyak menganggu kesihatan Ustaz Man.
Sebelumnya, selesema melandanya. Maka mungkin itulah penyebab awal sehingga
mencetuskan sakit asma buatnya.
“Seingat mak, masa muda-muda dulu saja ayahmu pernah kena
asma. Bila dah tua ni, sakitnya datang balik nampaknya…” terang Mak Cik Ros.
Ustaz Man menerima rawatan untuk beberapa hari sebelum
pulih sedikit semi sedikit. Sepanjang tempoh itu, Mak Cik Ros senantiasa berada
di sisinya. Hakikatnya, Ustaz Man semakin tak terdaya untuk melawan segala
macam penyakit yang menyerangnya. Namun, setidak-tidaknya Ustaz Man masih lagi
kuat menghadapinya kerana isterinya itu terus memberi semangat dan kekuatan.
Kisah Raiqah yang baru sahaja selamat melahirkan anak
keempatnya bagaikan berlalu begitu sahaja. Di kala kegembiraan baru sahaja
tercipta, maka satu sisi kesuraman menyambutnya. Mak Cik Ros yang di awalnya
berhasrat mahu menjaga Raiqah sepanjang tempoh pantangnya, kini beralih arah
kepada Ustaz Man.
“Tak apa. Rai di sini baik-baik saja. Janganlah
dirisaukan. Tahulah Rai jaga diri dalam tempoh pantang ni. Dah empat orang
anak. Dah ada pengalaman nak buat semuanya,” kata Raiqah kepada ibunya.
Perbualan tercipta di hospital sebelum ibunya itu bergegas pulang semula ke
Taiping.
“Patutnya mu senang. Tapi mu yang jadi susah…” kata Mak
Cik Ros.
“Sebaiknya mak pulang. Kalau mak masih di sini, Rai yang
susah hati…” balas Raiqah.
Maka, buat pertama kalinya, tempoh berpantang Raiqah
memaparkan sisi berdikarinya. Tidak bergantung kepada sesiapa. Tidak mengharap
bantuan sesiapa. Raiqah mengerti. Akan tiba masanya, dia harus melakukan
sendirian.
“Akak langsung tak kecil hati?” soal Abyaina di suatu
masa. Kisah perbualan telefon di antara Raiqah dan Abyatina tercipta di pagi
hari.
“Macam budak-budaklah kalau tua-tua macam ni nak merajuk
lagi. Tak ada apa pun yang nak terasa di hati. Patutnya, bila kita dah bergelar
isteri, semuanya kena buat sendiri. Tak boleh lagi berharap dan bermanja dengan
ibu,” balas Raiqah.
Maka Riaqah belajar erti hidup berdikari.
“Akak dah banyak pengalaman. Lainlah macam Ina ni…
setahun jagung, menapak tak reti..” luah Abyatina.
“Bukan pengalaman yang menentukan tiap-tiap kematangan.
Bila dugaan dan tekanan datang tiba-tiba, bila kesusahan yang mendatangi kita,
tanpa kita sedar, kita belajar sesuatu darinya. Itulah namanya kematangan,”
balas Raiqah. “Mu pun, bukannya tak ada pengalaman. Orang bekerja ni lagi banyak
dugaannya,” sambungnya.
“Tambah memeningkan kepala mungkin. Dalam bahagia ada
susahnya. Dalam susah, ada kesabarannya. Di waktu kita baru nak tersenyum,
waktu itu jugalah ada yang mendatangkan resah di hati. Kadang-kadang Ina pun
berbelah bagi…” luah Abyatina.
“Pasal kerja atau anak-anakmu?” soal Raiqah menduga
Abyatina.
“Dilema jadinya. Ina sayangkan kerja. Tapi anak-anak
sayangnya pun tetap sama. Kalau dipilih dua-dua, takut kerja tak menentu, anak
terabai. Kalau pilih salah satu, takut nanti anak tak terdidik, impian Ina
terkubur macam tu saja…”
“Ibarat menarik rambut dalam tepung Ina….” balas Raiqah.
“Kalau menari, tarian jangan sumbang. Walaupun muziknya tak sama tempo, jangan
sampai kita terikut rentaknya. Apa yang penting, kena ada jati diri. Tanya pada
sendiri. Fikirkan apa yang terbaik untuk sendiri”
“Bila dah jadi ibu dah jadi isteri, apa yang penting
untuk diri sendiri dah jadi yang kedua. Susah lagi kalau nak penting diri
sendiri…” balas Abyatina. “Tanggungjawab mengatasi semuanya”
“Tak semua perlu diabdikan buat suami dan anak-anak. Ada
masa-masa tertentu, kita kena fikir juga tentang diri kita sendiri. Sebab ada
waktunya, bila kita utamakan diri sendiri, suami dan anak-anak pun akan dapat manfaatnya
tanpa kita sedar”
“Maksud akak?”
“Kalau apa yang Ina fikirkan tu baik untuk Ina, pasti
juga itu baik untuk suami dan anak-anak. Hubungan dalam berkeluarga, semuanya
saling bergantungan. Semuanya saling memerlukan. Jadi Ina tak perlu risau. Fikirkan
apa yang Ina perlukan. Apa yang Ina inginkan. Insya-Allah, semuanya pasti
baik-baik untuk anak-anak dan suami,” terang Raiqah.
“Mungkin…” balas Abyatina. “Ina harap semuanya baik-baik
sahaja…”
Kisah permulaan kembali kerjaya Abyatina sebagai guru, setelah
beberapa bulan cuti bersalin, maka cabaran baru perlu dihadapinya. Kalau dulu,
hanya Yaqzan anak sulungnya sahaja yang perlu dirisaukannya. Namun kini, Istafa
juga menjadi perhatiannya. Dua anaknya itu seringkali mencetuskan kegusaran di
hati Abyatina tatkala dirinya kembali ke sekolah. Meninggalkan kedua-dua
anaknya itu bukan sesuatu yang mudah. Terbayang-bayang di fikiran setiap kali
melangkah ke sekolah.
“Kalau si Yaqzan, mungkin Ina tak risaukan. Dia pun dah
besar. Tapi untuk Istafa, baru beberapa bulan dah perlu ditinggalkan,” luah
Abyatina di suatu hari kepada suaminya Rizqullah.
“Baik Istafa, baik Yaqzan… dua-dua pun mak akan jaga. Mak
abang… mak mertua Ina. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Insya-Allah, dua-dua
akan selamat dengan mak,” pujuk Rizqullah.
Kerisauan hakikatnya mula melanda saat Abyatina semakin
menghampiri hari pertama bekerjanya. Soal siapa yang harus menjaga anak-anaknya
itu seringkali menggusarkan hati Abyatina. Istafa anak keduanya masih kecil,
hanya beberapa bulan usianya. Mungkin disebabkan itulah, Abyatina berasa risau
dalam kegusaran untuk meninggalkan anaknya itu kepada ibu mertuanya.
“Hati ibu, orang lelaki susah nak faham. Apa yang cukup
penting buat seorang ibu, mungkin nampak enteng pada seorang suami,” balas
Abyatina.
“Tapi risaunya biarlah risau bertempat. Janganlah risau
tak tentu arah. Mak yang menjaga anak kita. Itu pun jaminan yang cukup besar
buat kita,” pujuk Rizqullah.
Di satu sudut lagi, hati berat Abyatina itu barangkali
tercetus disebabkan jarak sekolah dengan rumahnya barunya itu yang sangat jauh.
Satu jam perjalanan, maka barulah tiba Abyatina ke sekolahnya. Maka untuk itu,
bagi minggu pertama sesi persekolahan, Abyatina dihantar Rizqullah. Suami
Abyatina itu mengambil cuti seminggu untuk membiasakan Abyatina dengan situasi
baru itu.
“Bukan mudah nak biasakan diri. Letih di badan, penatnya
bagai tak henti,” luah Abyatina. “Setiap hari berulang-alik ke sekolah, bukan
sesuatu yang mudah. Ina tak tahu sampai bila Ina boleh bertahan…”
“Sesukar mana pun, kuatkan semangat. Tiap-tiap susah ada
penawarnya. Hanya sabar yang menjadi kuncinya,” balas Rizqullah. “Tak ada
pekerjaan yang senang. Semuanya perlu pengorbanan”
Untuk minggu-minggu berikutnya, maka kisah Abyatina menjadi
berbeza. Rizqullah kembali ke sekolahnya seperti biasa dan Abyatina perlu ke
sekolahnya sendirian. Di awalnya, Abyatina tidak punyai cara untuk ke sekolah.
Namun mujurlah Cikgu Aida rakan sekerjanya sudi menumpangkannya. Kebetulan
juga, kerana cikgu Aida juga baru sahaja berpindah ke Taiping. Nasib mereka
sama, apabila permohonan pertukaran sekolah ke Taiping tidak diluluskan.
Maka bermulalah rutin harian Abyatina. Berulang-alik ke
sekolahnya yang jauh, bersama-sama Cikgu Aida rakan sekerjanya. Sabar cuba
diresapi dalam dirinya. Namun kesabaran itu sangat menguji. Ada waktunya
Abyatina merasakan bahawa dirinya perlu sahaja berhenti.
“Lebih baik begitu bukan? Ina berhenti, semua masalah
selesai. Anak-anak dapat Ina tumpukan,” kata Abyatina.
“Apa Ina dah menyerah dalam pertempuran?” soal Rizqullah.
“Jangan mudah kita mengalah. Tiap-tiap susah adalah satu binaan untuk kita jadi
lebih matang dan kuat. Buatkan kita jadi lebih bijak untuk hadapi dugaan-dugaan
mendatang,” kata Rizqullah lagi.
“Bukan Ina menyerah. Tapi ada waktunya, perjuangan
perlukan kebijaksanaan,” balas Abyatina. “Tak ada gunanya kalau berjaya dalam
bekerjaya, tapi anak-anak entah ke mana…”
“Anak-anak bukan alasan untuk tutup setiap pintu kerjaya
kita. Apa yang penting, kita kena pandai bahagi masa,” kata Rizqullah.
Di saat itu, Abyatina seakan dilanda rasa lemah dan
longlai. Di fikirannya, dia tidak mampu lagi menghadapi situasi rutin harian
sedemikian. Di awal pagi perlu bergegas ke sekolah yang jaraknya sejam
perjalanan. Hanya di petang hari, barulah Abyatina akan kembali ke rumah, namun
letih pula yang melanda. Dalam kesibukan tugas sebagai guru, kadangkala
anak-anaknya sedikit hilang dari perhatiannya. Hanya pada waktu malam sahaja
Abyatina akan melayan anak-anaknya.
“Sampai bila semua ni akan berterusan?” soal Abyatina.
“Sabarkan hati. Sama-sama kita hadapi…” pujuk Rizqullah.
Namun bagi Rizqullah, semuanya barangkali lebih mudah.
Jarak sekolahnya dengan rumah baru mereka hanya memakan masa dua puluh minit
perjalanan. Rizqullah tidak perlu bersusah payah, berbeza dengan isterinya
Abyatina. Setiap hari pulang awal, Rizqullah punyai masa yang lebih banyak di
rumah. Maka Rizqullah juga punyai lebih masa untuk melihat dan menjaga
anak-anaknya.
“Dunia dah berpusing. Kalau dulu abang yang jauh
berulang-alik. Sekarang Ina pula yang berulang-alik,” kata Abyatina.
“Insya-Allah. Semuanya bersifat sementara. Mungkin ada
sinarnya nanti. Mungkin Ina akan berpindah ke Taiping juga nanti,” balas
Rizqullah cuba memberi tenang buat isterinya itu.
“Sabar yang cukup menduga…”
Kisah Yaqzan dan Istafa di bawah penjagaan Mami Radhwa
bukanlah sesuatu yang sukar. Hakikatnya, kedua-dua anak Abyatina itu dilihat
tidak banyak meragam. Jarang sekali untuk mendatangkan kepeningan buat ibu
mertua Abyatina itu. Setiap pagi, Abyatina akan bertolak awal ke sekolah dan di
kala itu Yaqzan dan Istafa masih nyenyak tidur. Mami Radhwa telah siap sedia tatkala
menyediakan sarapan sebelum menantunya itu bertolak ke tempat kerja.
Peranan sebagai ibu diambil alih Rizqullah buat seketika
selepas itu. Rizqullah akan mengemas bilik dan menguruskan segala keperluan
anak-anaknya sebelum bergegas menuju ke sekolah. Sejurus itu, barulah peranan
sepenuhnya digalas Mami Radhwa. Setiap
pagi, Yaqzan akan bangun, maka Mami Radhwalah yang akan memandikannya, memakaikan
baju, menyikat rambut malah menyuap makanan buat Yaqzan. Anak sulung Abyatina
ini memang sangat manja dengan neneknya itu. Maka tidak hairanlah, sepanjang
tempoh penjagaan Mami Radhwa itu, Yaqzan dilihat bersikap sangat baik
perilakunya.
“Tapi pak hang tak pernah tolong mak pun. Dok melepak di
rumah ja. Melangut memanjang. Tak pernah nak tolong mak ni….” Kata Mami Radhwa
di suatu perbualan dengan Abyatina. Perbualan tercipta di ruang tamu.
“Mak hang dok marah kalau pak tolong. Mana nak tolongnya
kalau macam tu…” sahut Cikgu Hamdawi dari ruang tamu. Perbualan di antara
Abyatina dan Mami Radhwa itu didengarinya.
“Pak hang rajin dok mengusik si Yaqzan tu. Mana tak
marahnya….” balas Mami Radhwa.
“Dah tu cucu aku. Kenalah layan dia. Kenalah main dengan
dia. Kenalah usik-usik dia…” balas Cikgu Hamdawi dari ruang tamu.
Kisah Cikgu Hamdawi di rumah mereka, maka kelihatan rutin
hariannya tidaklah banyak berbeza. Setiap pagi, Cikgu Hamdawi pasti akan keluar
awal untuk ke pekan. Kebiasaannya, seperti rutin-rutin setiap paginya, Cikgu
Hamdawi akan singgah ke sebuah restoran di pekan untuk bersarapan. Restoran
milik rakan lamanya itu seringkali menjadi tempat persinggahannya untuk
menghabiskan masa terluangnya.
Apabila selesai bersarapan, barulah Cikgu Hamdawi akan
pulang ke rumah. Barulah dirinya akan melayan cucunya Yaqzan, seringkali
bermain-main dan mengusiknya. Di kala Yaqzan bermain kereta mainan, maka Cikgu
Hamdawi akan turut serta dengan menolak-nolak kereta mainan tersebut. Ada
waktunya, dirampasanya mainan Yaqzan. Maka menangislah Yaqzan mengadu kepada
neneknya.
“Tok Wan curi mainan Jan…” adu Yaqzan tersesak-esak
kepada Mami Radhwa.
“Tok Wan hang ni nak kena pukul…” pujuk Mami Radhwa. “
Nanti kita pi pikul dia…”
“Tok pukul dengan lesung batu ni… “ pinta Yaqzan sambil
menunjuk ke arah lesung batu di dapur.
“Amboi… ganasnya,” kata Mami Radhwa ketawa kecil “Boleh
tahan cucu aku ni…”
Hakikatnya, Cikgu Hamdawi barangkali dilanda bosan. Hanya
terperap di rumah tanpa sebarang aktiviti yang menarik minatnya. Maka kepada
cuculah tempatnya bermain. Usikan demi usikan itu tanda Cikgu Hamdawi ingin
bermanja dengan cucunya itu.
Di suatu pagi, rutin harian berjalan seperti biasa. Maka
seperti biasa juga Cikgu Hamdawi akan keluar dari rumah. Namun di suatu hari
itu, kisahnya mencipta sisi yang berbeza. Menjelang tengah hari, Cikgu Hamdawi
masih belum pulang. Disabarkan hati Mami Radhwa menahan risau. Hakikatnya,
keadaan itu belum pernah berlaku. Masa berlalu sehingga ke petang dan kelibat
Cikgu Hamdawi masih belum dapat dilihat.
“Ke mana bapak hang?” soal Mami Radhwa.
“Ada bapak cakap apa-apa sebelum keluar tadi?” soal
Rizqullah.
Mami Radhwa hanya menggelengkan kepala.
Di fikiran Rizqullah, maka imbasan peristiwa beberapa
minggu yang lalu mencetuskan kesegaran kembali. Kisah Cikgu Hamdawi dibawa ke
balai polis akibat tidak ingat alamat rumahnya, maka itulah yang bermain di
fikiran Rizqullah ketika. Lantas konklusi pendek dibuat cuba mengaitkan
peristiwa yang pernah terjadi itu dengan keadaan yang sedang berlaku kini.
“Apakah bapak lupa lagi jalan pulang ke rumah? Apakah
bapak tak ingat? Apakah bapak dan nyanyuk?” soal Rizqullah dalam hatinya.
Umur Cikgu Hamdawi menjengah lapan puluh. Maka cetusan
fikiran Rizqullah mungkin satu kenyataan. Itulah kata hati yang dirasakan Rizqullah
sejak peristiwa beberapa minggu yang lalu itu.
“Kita kena cari bapak nampaknya…” kata Rizqullah kepada
ibunya.
Abyatina masih belum pulang dari sekolah. Yaqzan pula
masih leka bermain di ruang tamu. Istafa nyenyak tidur. Namun kerisauan melanda
di saat itu buat Rizqullah dan Mami Radhwa.
*Tamat sudah Bicara Empat Puluh Dua*
Apakah masalah sebenar yang dihadapi Cikgu Hamdawi? Ke
mana dia menghilang?
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan