Cuti dan Kifarah
Perjalanan cuti akhir semester sekolah kali ini agak berbeza barangkali. Dimulakan dengan kesihatan yang tidak begitu memuaskan, selsema diikuti demam selama beberapa hari, berterusan pula dengan sakit-sakit badan yang tak berkesudahan; ternyata bukan sesuatu yang menyelesakan.
Cuti kali ini tidak dapat dinikmati dengan sepenuhnya, hilang seri dan hilang tawa gembira. Di saat sakit, masa lapang dirasakan sempit. Masa yang banyak hanya tertumpu pada badan yang tidak selesa dan perit. Mengharungi hari-hari sakit ternyata menguji kekuatan hati dan fikiran. Kita manusia alpa sentiasa dipenuhi dosa dan noda yang pernah dilakukan.
Namun di saat badan perit dengan sakit, hidup harus diteruskan. Normal rutin yang senantiasa dilakukan harus dilupakan. Urusan masa bagaikan terhenti. Tiada rutin tersusun setiap hari. Hanya terbaring atau barangkali lemah; menahan sakit dan bisa di badan. Mengharapkan dikurniakan afiah yang sentiasa dikurniakan. Moga hadir sihat walafiat, supaya lebih menghargai erti kesihatan yang baik.
Hidup harus diteruskan walau badan lemah dan perit. Hakikatnya badan yang menanggung sakit tidak akan seiring dan faham dengan erti komitmen dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Walau sebanyak mana bisa yang menyinggah ke tubuh, perjalanan hidup tidak pernah terhenti. Kehidupan bersifat progresif; akan terus dipacu sehingga ke titik penamat di suatu masa nanti.
Di saat sakit, maka terbayang dosa dan noda yang pernah dilakukan di masa lampau. Kadangkan kita alpa, terlupa dan terpesona dengan nikmat dunia yang bersifat sementara. Dosa yang lalu, maka pasti akan ada balasan yang akan bersua di masa hadapan. Barangkali sakit dan perit ini adalah kifarah di atas dosa-dosa yang lalu. Barangkali doa supaya disucikan hati ini, dijauhkan dari maksiat dan dosa harus dibayar dengan kifarah sakit dan keperitan bisa.
Zaman edan penuh cemburu. Sakitnya barangkali berpanjangan disebabkan jarum-jarum halus cemburu. Bukanlah baru sakit ini. Berpuluh tahun, dan masih berterusan hingga saat ini. Apalah daya sebagai manusia lemah. Hanya kepada Allah dipanjatkan doa dan pengharapan supaya sentiasa dilindungi dari anasir jahat dan halus.
Sakit menyebakan segala yang dikawal hilang kawalan. Makan dan minum tidak menentu. Tiada lagi istilah diet yang sihat, kerana tatkala tekak yang perut dan badan yang penuh dengan bisa ini; selera menjadi berbeza hanya pedulikan apa yang teringin bukan lagi apa yang sebenarnya baik untuk badan. Badan yang sakit menghentikan juga rutin bersenam menyihatkan badan. Tatkala badan semakin melemah, semua itu tidak lagi difikirkan.
Badan yang sakit, tatkala mengharungi perjalanan pemanduan yang panjang dan jauh; maka perit dan bisa itu sentiasa menusuk dan mencucuk setiap urat dan saraf. Namun, perjalanan harus diteruskan kerana tanggungjawab dan komitmen itu mengatasi segalanya. Keluarga tidak mungkin boleh diketepikan. Digagahkan diri membawa anak dan isteri. Syukurlah semuanya lancar dan semuanya selamat. Majlis berlangsung dengan jayanya. Episod baru bermula. Perjalanan diteruskan untuk masa depan yang indah.
Ada satu perkara yang aku sedar. Kampung mertuaku sentiasa menjadi tempat tenteram untuk memulihkan kesihatan. Tatkala badan ini sentiasa diselebungi dengan sakit, apabila kaki menjejak dan berpijak di bumi ini; segalanya bagaiman berbeza, berada di dunia yang baru.
Kampung ini seolah-olah memulihkan jiwa yang perit dengan kesakitan. Tempat pemulihan dan rawatan. Sehingga tiba masanya berada di sini, sihat datang menyapa. Perlahan-lahan badan dirawat sehingga sakit itu perlahan-lahan pergi meninggalkan jiwa yang perit ini.
Di suatu masa pasti akan terkenang kisah ini. Namun apa yang penting perjalanan itu indah. Walaupun agak lama diselubungi dengan kesakitan yang berpanjangan, tiba di suatu detik Allah kurniakan afiah buat jiwa ini. Memulihkan kesakitan, mencergaskan tubuh ini.
Walaupun berminggu-minggu masa cuti terhabis begitu sahaja, namun aku redha. Barangkali inilah masa Allah datangkan dengan ujian sakit. Supaya kita datang mengenal akan nikmatnya sihat. Sakit itu juga menyucikan hati. Sebagai ingatan di atas dosa-dosa silam. Menjadikan diri ini insaf; supaya tidak diulang dosa-dosa lampau.
Moga Allah mengampuni dosaku. Moga Allah sentiasa mengurniakanku qalbun salim sepanjang masa.
Ulasan