"Adina (Bicara Empat Belas)"




Apa yang berlaku menjadi tanda soal besar bermain di fikiran ahli keluarga masing-masing. Terpinga-pinga dibuatnya apabila menerima kejutan yang tak diduga itu. Malah, tiada siapa menjangka, akhirnya letupan berlaku di saat masing-masing seolah-olah menyalahkannya.

“Bukan salah Rizqullah!”

Abyatina bersuara tinggi sebelum bingkas bangun. Abyatina meninggalkan ruang tamu terus masuk ke bilik. Sekali lagi, kejutan kedua terjadi. Setelah Rizqullah melenting lantas meninggalkan hadirin, kini Abyatina pula mengikut jejak yang sama.

“Mengapa?” soalan terpacul dari bibir Pak Long.

“Kerana mulutmu mulut longkang. Sedap mulut cakap, tak fikir hati orang,” luah ibu Abyatina kepada abang sulungnya itu. Menahan geram si ibu Abyatina.

Hadirin terdiam. Tiada suara kedengaran selepas itu. Masing-masing sekadar meneguk teh di petang hari sambil menjamah kuih gelang air tangan Mak Cik Ros, ibu Abyatina. Apa yang terjadi terhadap Abyatina dan Rizqullah langsung tidak dibicarakan.

Abyatina tahu, Rizqullah bukan begitu. Dia tahu, Rizqullah mungkin tertekan. Maka, saat Rizqullah mengambil tindakan mengejut meninggalkan dirinya berseorangan di kampung, Abyatina tidak terkilan. Malah, senyuman pula menguntum di bibir.

“Siapalah yang akan lebih faham kalau bukan kita berdua sahaja,” bicara Rizqullah sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung bermain di fikiran Abyatina kembali.

Seringkali terlintas di fikiran Abyatina, kerahsiaan yang disimpan adalah tanda ikatan utuh antara dirinya dan Rizqullah. Memang disengajakan untuk merahsiakan sakitnya, kerana bagi Abyatina, rahsia yang dipegang antara dirinya dan Rizqullah adalah kunci kepada kukuhnya hubungan antara mereka.

“Abang pun dah cukup untuk jadi ubat Ina,” bisik Abyatina.

Buku kecil diambil Abyatina. Buku kisahnya kembali dibuka. Bicara baru akan dituliskan. Maka tarian pena sekali lagi dipersembahkan. Abyatina menyambung kisahnya di atas helaian kertas. Seperti biasa, rutin diulangi saat punyai kelapangan. Namun, belum sempat pena menari, sehelai kertas jatuh di atas lantai. Helaian kertas yang terselit di buku itu tiba-tiba keluar dari persembunyian.

Lantas Abyatina mengambil kertas itu sebelum meneliti dan membaca.

‎”Dipendamnya takut, diluahkan risau. Dinyatakan kecut, diberitahunya gementar. Berkenan dah sangkut, hati dah tertaut, lekas-lekaslah berani, nanti tak terpaut"

Senyuman menguntum di wajah Abyatina. Itulah bicara tulisan kiriman Rizqullah diutuskan kepadanya. Helaian kertas yang hanya ditulis baris-baris ayat pendek itu dikirimkan  Rizqullah menerusi surat dan diterima beberapa hari selepas majlis pertunangan Abyatina. Memori manis Abyatina kembali singgah dalam kotak fikirannya. Itulah kenangan manis yang terus diingati Abyatina hingga saat ini. Kerana sayangkan helaian kertas tulisan Rizqullah itu, maka disimpannya kertas tersebut, dan diselitkan dalam buku kecilnya itu sehingga ke hari ini.

“Tak perlu risau kerana yang dipendam dah diluahkan. Tak perlu gementar kerana yang dinyatakan telah diberitahu. Hati memang dah ditaut, berkenan memang dah disangkut. Kerana berani, maka diri dah terpaut,” bisik Abyatina mengulangi kembali bicara tulisan yang dihantarnya sebagai balasan surat yang ditulis Rizqullah itu. Surat tersebut dihantar beberapa hari selepas Abyatina menerima surat dari Rizqullah itu.

Itu kisah manis, saat Rizqullah dan Abyatina dalam alam pertunangan.

“Memang tertekan, tapi jangan sampai tanggungjawab diabaikan,” bicara Ustaz Man.

“Tapi kalau si Pak Long tak mulut cabul, tak ada abang Rizqullah nak lari tiba-tiba,” bicara Zabarjad.

Makan malam kelihatan hangat dengan perbualan mengenai perihal Rizqullah yang naik angin petang itu dan si Abyatina yang juga hilang pertimbangan petang itu. Dek apa yang berlaku pada petangnya, Abyatina tak turun makan di dapur. Satu keluarga keresahan.

“Apakah Ina tu rajuk ditinggalkan Rizqullah, atau rajuk dek kemarahan pada Pak Long?” soal ibu Rizqullah pula.

“Kita di sini sekadar tertanya, Ina yang di dalam bilik mungkin dah berbunyi perutnya. Cubalah diketuk pintu tu, ajak makan sekali,” bicara Ustaz Man.

Hakikatnya, Abyatina telah terlelap selepas selesai solat Isyak. Rehat yang panjang diperlukannya di saat Rizqullah tiada di sisinya. Tiada siapa yang mengerti apa yang bermain di fikiran Abyatina. Mungkin tenang atau mungkin berduka.

Kemunculan semula Abyatina di kampung membuka versi baru kisah kedai kopi dan kisah bicara tak bertauliah kaum wanita sambil membeli ikan dan sayur. Masing-masing tertanya-tanya kemunculan Abyatina semula ke kampung itu. Masing-masing hairan. Tambah mewujudkan persoalan apabila kelibat Rizqullah tiada di sisi Abyatina saat Abyatina berada di kampung. Ramai membuat andaian, dan ramai membuat kesimpulan sendiri.

“Bercerai sudahkah Abyatina dan lakinya?”

“Apakah suami Abyatina itu tinggalkan dia?”

“Itulah, kahwin lagi dengan perempuan yang dah ditebuk tupai, mana nak dapat kesegaran lagi walaupun berpuluh kali menikmati buah tu....”

“Alah, tengok ajalah si Abyatina tu. Jangan-jangan mandul. Dah setahun tak ada anak pun. Tu yang laki dia tinggal dia tu...”

“Mandul ke, atau sebab dosa dulu...”

“Dosa dulu?”

“Yalah, dah diratah dengan jantan-jantan kat kebun getah tu, mau tak mengandung. Dah tu, pi gugurkan kandungan tu. Tulah, kira balasanlah buat dia. Sampai sekarang dah tak membunting”

“Lah, Abyatina mengandung ke masa tu? Patutlah sejak kes kat ladang getah tu, dia terus menyorok. Rupa-rupanya bersebab”

“Entah betullah sangat yang Abyatina tu kena rogol. Jangan-jangan dia tu dah buat noda. Nak tutup cerita, nak buat orang simpati, maka dikatakan Abyatina tu jadi mangsa rogol”

“Eh, jangan dibuat cerita. Mana mu tau ni?”

“Orang lawa macam tu, semua jantan kat kampung pun boleh terpikat. Kalau dah bernafsu, si Abyatina tu senang-senang saja boleh cari si jantan nak puaskan nafsu dia”

“Jangan cakap macam tu. Dia kan anak ustaz....”

“Apa, ingat anak ustaz tu maksum sangat ke?”

“Alah, kalau dah bernafsu, tak kira anak ustaz ke anak siapa pun. Habis semua dilupakan”

“Kesian kat laki dia. Tak pasal-pasal kena jadi pak sanggup...”

Perbualan saat tangan membelek-belek sayur dan mata merenung-renung ikan di pasar pagi itu memang semakin rancak. Masing-masing ada saja mahu memperkatakan akan perihal Abyatina walaupun tidak mengetahui kisah sebenarnya.

“Saya lagi kesian kat akak-akak sekalian. Tak pasal-pasal akak semua dihumban ke neraka sebab mulutnya tak dijaga mengumpat orang,” bicara penjual ikan di pasar pagi itu yang sebelum ini hanya mendiamkan diri.

“Lagi satu, saya pun kesian, sebab pak cik pun dah terlibat sama dengan mulut-mulut longkang mak cik-mak cik ni. Percuma dapat dosa kering terdengar  sembang-sembang saham dosa ni”

Zabarjad adik Abyatina tiba-tiba muncul dan terus bersuara. Maka terkejutlah kesemua kaum hawa yang terlibat dengan sesi bual bicara tak bertauliah itu. Maka kesemua mereka kemudian lekas-lekas menyelesaikan urusan jual beli sebelum meninggalkan kawasan tersebut. Zabarjad tersenyum sahaja.

“Mulut orang, manalah boleh ditutup. Selagi boleh bercakap, selagi tulah tak berhenti,” bicara Ustaz Man sebaik Zabarjad pulang dari pasar pagi.

“Betul juga apa yang banyak orang cakap. Kecantikan dan paras rupa yang elok boleh menjadi racun buat dirinya sendiri,” luah Zabarjad pada ayahnya.

“Biarlah Jad. Hanya Allah saja yang tau apa yang berlaku pada kakakmu,” luah pula ibu Abyatina di dapur.

Kisah pelbagai versi seringkali kedengaran mengenai Abyatina. Malah kisah-kisah yang dibualkan oleh sesetengah penduduk kampung  kadang kala sangat menyakitkan hati buat Ustaz Man dan Mak Cik Ros. Seluruh keluarga Abyatina terkesan acap kali kisah Abyatina dibawa ke seluruh kampung.

“Lebih banyak fitnah dari benarnya,” bicara Ustaz Man mengeluh. Dalam keadaan lemah duduk di atas kerusi roda, segala dugaan yang menimpa Abyatina seringkali merungsingkan Ustaz Man.

Kisah Abyatina seringkali mendapat perhatian kerana dirinya senantiasa menjadi tarikan seluruh penduduk kampung. Wajahnya yang dikatakan terindah di kampungnya menyebabkan sesetengah penduduk kampung kurang senang.  Dari zaman gadis hingga ke alam rumah tangga, Abyatina tak pernah sunyi dari mendapat perhatian.

“Kenapa tiba-tiba Rizqullah boleh naik angin?” soal Raiqah saat mengetahui kisah yang berlaku pada petang hari sebelumnya itu. Kakak Abyatina baru sahaja sampai di kampung.

“Sebab abang Rizqullah cukur misainya. Itu yang angin marah mudah masuk ke dalam tubuhnya. Itu yang cepat marah dan naik angin petang semalam,” balas Zabarjad berseloroh.

“Hah, cukur misai?” Raiqah kehairanan.

Abyatina tersenyum mendengar seloroh Zabarjad. Fikiran terus melayang saat kali pertama Rizqullah berpenampilan tanpa misai itu. Secara senyap-senyap sebaik Abyatina telah nyenyak tidur, Rizqullah mencukur misainya. Pagi keesokannya, Abyatina bangun dan terus terkejut. Abyatina terus menjerit dan tanpa sedar telah menolak Rizqullah yang tidur di sisinya sehingga jatuh dari katil. Abyatina terkejut dalam ketakutan kerana menyangka bahawa lelaki yang tidur di sisinya itu ialah orang asing. Gara-gara belum pernah melihat wajah Rizqullah tanpa misai, maka ketakutan menjelma pada pagi itu.

“Kenapa dibuangnya misai?” soal Abyatina.

“Bukankah itu yang menjadi impian Ina? Kalau tidak masakan boleh dibuat hantaran dengan salah satu hantaran itu ialah set mencukur lelaki buat saya sewaktu perkahwinan dulu?” balas Rizqullah berseloroh.

“Rizqullah itu kawannya ialah misai. Kalau tak ada misai, bukan Rizqullah lagi,” balas Abyatina tersenyum.

Kemunculan Raiqah di kampung adalah disebabkan khabar berita yang telah cepat tersebar menyatakan bahawa Abyatina sedang sakit. Maka dengan kemunculan itulah, barulah Abyatina bersuara meluahkan rasa hati. Jika selama ini Abyatina membisu, kemunculan Raiqah membuka pelbagai persoalan yang bermain dalam keluarga Abyatina. Satu demi satu kisah dibuka, persoalan demi persoalan mula terjawab. Apabila bicara adik dan kakak berlaku, luahan itu adalah luahan yang ikhlas terus dari sanubari.

“Bukan tak usaha, bukan dibiarkan. Tapi segala ikhtiar tak ada hasilnya. Bukan Rizqullah biarkan, tapi usaha yang dibuat tak datangkan kesan. Sakit berterusan,” luah Abyatina.

“Kalau modennya sudah, kenapa tak dicuba tradisionalnya?” Raiqah memberi pendapat.

Abyatina sekadar membisu.

“Ikhtiar itu banyak cara. Ambil semua manfaat dan peluang yang ada. Ikhtiar bukan untuk kita berputus asa,” bicara ibu Abyatina yang muncul tiba-tiba.

“Pinta pada ayahmu. Bukankah ayah pandai berubat cara tradisional?” bicara Raiqah.

Ustaz Man memang dikenali seluruh kampung akan kebolehannya untuk mengubati orang terutama apabila berkaitan dengan masalah-masalah penyakit akibat gangguan makhluk halus. Malah ayah Abyatina ini seringkali menjadi pakar rujuk andai sesuatu perkara pelik berlaku di kampung itu.

“Kalau masalah orang lain boleh tolong, kenapa tidak masalah anaknya sendiri,” bicara Raiqah.

“Benda haluskah yang menganggu Ina?”

“Mulakan dengan bismillah. Moga ayah dapat  membantumu nanti,” balas Raiqah.

Sehari masa berlalu, Abyatina senantiasa tenang. Walaupun seluruh keluarga masih terkejut dengan peristiwa yang berlaku pada hari sebelumnya, namun tidak seorang pun yang berani membuka mulut mempersoalkan atau menyokong tindakan Rizqullah. Walaupun ada yang merasakan tindakan Rizqullah meninggalkan Abyatina di kampung merupakan satu tindakan yang tidak wajar, hakikatnya tiada siapa yang berani bersuara.

Maka, waktu itulah Rizqullah muncul kembali. Saat angin petang mula dihidu, kemunculan Rizqullah membuka lembaran baru. Abyatina berubah wajah. Sekali lagi degupan jantung berubah kencang.

“Maaf dipinta,” luah Rizqullah saat Abyatina menghampirinya.

Tanpa sebarang suara, Abyatina terus mencium tangan Rizqullah. Terkedu Rizqullah saat itu, dan ternyata sebak dirasai. Terharu itu akhirnya terjelma apabila Rizqullah terus memeluk erat Abyatina. Agak lama Rizqullah memeluk, dan seluruh keluarga melihat apa yang berlaku di halaman rumah itu.

“Ina takut kehilangan abang...” bisik Abyatina sebak.

“Ina takkan kehilangan. Takkan kehilangan...” balas Rizqullah.

Petang itu, Rizqullah dengan tenang berjumpa Ustaz Man. Permohonan maaf dibuat atas ketelanjurannya. Ibu Abyatina juga dihulurkan permohonan maaf, malah seluruh keluarga Abyatina dipohon maaf oleh Rizqullah. Petang itu emosi bercampur baur, antara sebak dan terharu, dalam mengucapkan sebuah kesyukuran.

“Alhamdulillah....” luah ibu Abyatina.

Namun, ketenangan bertukar sekelip mata. Tiba-tiba jeritan memecah ketenangan. Jeritan dalam kemarahan, dan suaranya ialah lelaki. Maka kisah seterusnya adalah kejutan yang diterima seisi keluarga Abyatina apabila melihat Yaqzan muncul tiba-tiba di halaman sambil tangan mengacu parang mahu meyerang si Rizqullah.

“Dayus dirimu Rizqullah!” jerit Yaqzan dalam amukan.

Suasana kaget sekelip mata terjadi. Mata parang jelas kelihatan dihayun-hayun si Yaqzan. Abyatina terkejut, Rizqullah terkedu. Terkaku tanpa sebarang tindakan. Seraya Abyatina terus memeluk Rizqullah sekali lagi, mungkin terkejut dalam ketakutan.

“Kamu memang gila si alien Zaragoza,” monolog si Abyatina dalam geram bercampur kerisauan.



 *Tamat sudah Bicara Empat Belas*

Apakah Yaqzan dalam amukan? Bersambung di lain bicara.


**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 




 *Terima kasih kepada saudari Aida atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.

 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina



Ulasan

Peminat Abyatina berkata…
Bertimpa-timpa dugaan Abyatina. Kesian dia...

Catatan Popular