Pagi Khamis: “Meet with Russian Beauty"





Kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan, maka bertambahlah juga pengalaman. Kata-kata yang sering diungkapkan acap kali si polan dan si polan itu mahu mengembara ataupun merantau.

Perjalanan pulang ke Taiping seketika (walaupun baru seminggu semester baru bermula) atas urusan peribadi sememangnya menarik untuk dikongsikan. Perjalanan keretapi dari Tanjung Malim ke Taiping selama hampir 3 jam setengah, telah mempertemukan saya dengan seorang bangsa asing yang kebetulan duduk di sebelah kerusi saya.

Wanita dalam lingkungan lewat 20-an ini berasal dari Russia, dan pada permulaan agak pendiam orangnya. Kebiasaan apabila duduk di sebelah, maka mulut saya ringan untuk berbicara, sedikit sebanyak mahu menghilangkan kebosanan dan mahu juga untuk menjadi ‘friendly’ dengan orang yang berada di sebelah.

Perkongsian ini bukanlah mahu menyatakan akan keterujaan saya berjumpa dengan wanita Russia itu, namun kisah keazamannya dalam menyesuaikan diri di Malaysia buatkan saya kagum.

Katanya, dirinya baru menetap di Malaysia selama 2 tahun 6 bulan, dan bekerja sebagai pensyarah di sebuah institut pengajian di Kuala Lumpur.  Dia berasal di sebuah Bandar kecil di Russia (saya tak pasti nama bandar tersebut, sebab kurang jelas dengan ‘pronunciation’ nya). Menurutnya, sewaktu baru tiba, dia langsung tidak tahu berbahasa Inggeris. Terdapat hanya dua perkataan sahaja yang difahami dan boleh dituturkannya, iaitu “hi, dan bye”.

Katanya lagi, dia sangat tertekan saat awal berada di Kuala Lumpur. Dengan masalah komunikasi, ditambah pula dengan masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia (yang semestinya kontra dengan Russia), dan tidak lupa juga menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, maka katanya kadangkala dia hampir mahu menangis. Namun, menurutnya, dia cekalkan hati, dan terus cuba menyesuaikan diri.

Perkara yang paling utama yang dilakukannya ialah belajar menguasai Bahasa Inggeris yang begitu asing buatnya sebelum ini. Dia cuba sedaya upaya untuk bertutur dan berkomunikasi  dengan rakyat Malaysia menggunakan Bahasa Inggeris. Katanya, Bahasa Inggeris rakyat Malaysia tidaklah sebegitu bagus, namun masih boleh difahami.

Orang utama yang banyak membantu dirinya bagi memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris ialah pensyarahnya yang pernah menuntut di Australia yang merupakan seorang wanita berbangsa Filipina. Menurutnya, pensyarahanya itu sangat bagus dalam Bahasa Inggeris.

Hasilnya, dalam tempoh 2 tahun 6 bulan, dia telah mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris. Betapa hebatnya wanita ini menguasai bahasa asing, dan sangat memalukan untuk diri saya sendiri. Setelah hampir 23 tahun, Bahasa Inggeris saya masih belum mengkagumkan. Malah sewaktu saya mula-mula berbual dengan wanita asing ini, tidak terfikir bahawa beliau baru sahaja belajar Bahasa Inggeris kerana tutur katanya sangat fasih.

Ditanya soal politik di Russia, katanya dia cukup kagum dengan kepimpinan Vladimir Puttin dan pengganti seterusnya Prsesiden Medvedev.  Ditanya adakah beliau menyokong usaha Puttin untuk menjadi presiden buat kali kedua, beliau menyifatkan itu adalah bukan suatu masalah. Baginya, Puttin banyak memberi sumbangan kepada Russia.

Namun, menurutnya, beliau tidak begitu mengambil pusing akan politik di Russia secara keseluruhan.

Wanita Russia ini telahpun berkahwin, dan suaminya menetap di Kuala Lumpur. Beliau dalam perjalanan ke Batu Gajah untuk berjumpa seorang kenalan di sana. Katanya, beliau sangat gemar berkunjung ke Batu Gajah, memancing bersama rakannya itu, sambil menikmati pemandangan indah di Malaysia.

Saya bertanya mengenai pendapatnya mengenai rakyat Malaysia. Katanya, secara umumnya rakyat Malaysia sangat ramah dan baik. Cuma sebilangan kecil sahaja yang bersikap kurang ajar, dan menurutnya beliau seringkali diganggu oleh golongan muda-mudi yang bertebaran berpeleseran di Kuala Lumpur.  (Maklumlah, wanita ini memang cantik paras rupanya).Pada awalnya, beliau agak tertekan, namun akhirnya beliau membiarkan sahaja, dan kini tidak lagi kisah akan gangguan-gangguan tersebut.

Katanya, beliau cukup takut melihat gaya pemanduan motosikal golongan muda-mudi. Menurutnya, golongan ini ternyata tidak menyayangi nyawa masing-masing.

“They not even think about their parents and their family,” katanya

“We call them Mat Rempit, a group of people who think that they are the powerful superman,” balas saya tersenyum.

Malah, beliau pernah melihat kemalangan membabitkan penunggang motosikal, dan penunggang tersebut dilanggar kereta dan terpelanting jatuh ke atas jalan. Menurutnya, adab memandu rakyat Malaysia sangat menakutkan, dan sangat merbahaya. Disebabkan itulah, suaminya tidak memberi izin untuknya menunggang motosikal ke tempat kerja, dan apabila bekerja di Kuala Lumpur, itu adalah sesuatu yang sukar jika memandu kereta, kerana kota raya KL adalah raja kepada kesesakan jalan raya.

Katanya lagi, pengangkutan awam di Malaysia juga tidak begitu mengkagumkan. Seringkali lambat, dan bermasalah, dan senantiasa menyusahkan penggunanya. Disebabkan itu, beliau lebih gemar memandu, namun untuk memandu di Kuala Lumpur, itu adalah sesuatu yang menyusahkan.

Malah, beliau beberapa kali mengeluh, apabila tren yang sedang dinaiki seringkali terkandas di stesen keretapi yang disinggahi.

Bercerita mengenai kisah tanah airnya, katanya beliau sangat merindui kampung halamannya. Beliau sangat merindui salji dan iklim sejuk di Russia. Beliau turut berkongsi cerita mengenai pengalaman kecilnya bermain salji, membina orang salji, yang menurutnya sangat menyeronokkan. Namun, menurutnya, hatinya menjadi tenang apabila tiba di Malaysia. Kehijauan dan keindahan alam semulajadi di Malaysia sangat mengkagumkannya.

Saya tidak menduga akan berjumpa dengan s eorang bangsa asing yang begitu ramah. Harus diakui, berbual dengan bangsa asing dalam Bahasa Inggeris adalah satu pengalaman yang jarang diperolehi. Memahami dan melihat sudut pandangan mereka akan membuka minda kita akan bagaimana identiti Malaysia dilihat di mata bangsa asing. Saya kagum, bangsa asing seperti wanita itu sangat cekal menempuhi cabaran dan dugaan di tempat baru, dan ini seharusnya dicontohi  oleh rakyat Malaysia untuk  memajukan bangsanya.

Perbualan selama satu jam itu membuka minda saya bahawa Malaysia yang kita diami ini hakikatnya sangat dihormati oleh bangsa asing. Aset yang kita miliki iatu keramahan rakyatnya dan keindahan alam semulajadi haruslah dipertahankan, kerana itulah yang sering disebut oleh mereka acap kali berbicara mengenai Malaysia.

Benar, wanita Russia ini sangat cantik dan menarik. Wajahnya mirip pelakon Kate Winslet versi Russia, dan kulitnya sangat putih dan halus. Kemesraan yang ditunjukkan ternyata menambahkan lagi serinya. Maka tidak hairanlah, dalam usia muda, beliau telahpun berkahwin.

Salam diucapkan, tanda perpisahan apabila tren berhenti di stesen Batu Gajah.

“Well, have a nice day,” saya menutup bicara.

“And you too. Have a great day,” balasnya sebelum keluar dari tren.

Saya tersenyum, dan perjalanan ke Taiping adalah kisah saya seterusnya.  Namun satu perkara yang dirasakan ralat sepanjang perbualan satu jam bersama wanita Russia itu ialah saya tidak bertanya akan namanya.

“A simple question, and a simple answer, but I never asked her name. How silly am I,” bisik saya.

Ah, wajahnya pun dah cukup untuk melekat dalam kotak  fikiran. Walaupun tak tahu namanya, pasti wanita ini akan saya ingati.

Sekadar itu sahaja perkongsian kisah. Mungkin menarik, mungkin biasa-biasa sahaja.


Nota: Perbualan adalah 100% dalam Bahasa Inggeris.




Ulasan

Tanpa Nama berkata…
I also love to have conversations with foreigners=D
this one is great!
p/s : her achievement can fight against critical period hypothesis=p
Yup. It's a great moment yesterday. She really friendly. And my first time met with Russian. :)

Catatan Popular