Kiblat Cintanya: Dari dia buat isterinya.






Rahsia kadangkala bukan lagi rahsia tatkala satu demi satu kisah dirungaikan sedikit demi sedikit. Apakah kerahsiaan itu satu ancaman untuk dipertahankan? Tatkala ramai berteka-teki, maka jawapan-jawapan persoalan mula menceroboh meretakkan kesenyapan.

Kisah dia dan dia yang pada mulanya rahsia. Kisah bahagia mereka yang tak terkata. Ah, bicara mereka manis-manis sahaja, tatkala memerihalkan perjalanan hidupnya. Itulah permulaan bahagia buat dia dan dia.

Apakah rahsianya?

Dikongsikan sebuah cerita yang telah lama disembunyikan. Namanya rahsia namun kisahnya diceritakan. Kisah lelaki dan wanita, mereka bertemu bahagia. Penceritaan ini adalah satu perjalanan indah, ah sudah berapa kali dinyatakan indah dan indah dan indah itu.

Sejarahnya, semuanya bermula petang Jumaat itu. Panggilan diterima secara tiba-tiba. Maka terkejutlah dia tatkala suara wanita kedengaran. Itulah suara gadis yang lama tak ketemu, menjadi pilihan hatinya di kesudahannya.

Maka, diputuskan bahawa dia dan gadis itu disatukan dengan ikatan perkahwinan.

Itulah yang berlaku di cuti semester itu. Tiada siapa yang tahu melainkan keluarga dia dan gadis itu. Ah, semuanya diatur bagai sebuah perjanjian. Jangan dibuka mulut walau sesiap yang bertanya. Tanggungjawabnya ialah memastikan dia selesa meneruskan pengajian, dan si gadis itu tak terganggu di alam pekerjaan.

Baiklah. Luahan bicara hakikatnya panjang.

Bermula semester, maka segalanya berubah. Tiada lagi rasa kosong di hati, tatkala diri kini telah bergelar seorang suami. Isterinya berada di ibu kota, dan si suami masih gigih menjadi seorang pelajar di sebuah universiti. Ah, tak lama pun untuknya bergraduasi memegang segulung ijazah. Hakikatnya, isterinya lebih muda, namun ditakdirkan isterinya itu yang memulakan alam pekerjaan.

Jika dulu, si suami ini senantiasa terasa sunyi di hati. Benar tatkala hati itu disulami dengan rasa cinta pada Ilahi dan Rasul, tuntutan fitrah seorang manusia itu ternyata memang sebuah keperluan. Rasa untuk mencintai seorang wanita semakin lama semakin tak tertanggung. Tak salah, namun biarlah masih dalam jalan-jalan yang mendatangkan keredhaan-Nya.

Detik-detik manis baru mendirikan rumah tangga ternyata belum puas dirasainya. Ya, seminggu selepas diijab kabul, maka mereka terpaksa berpisah. Suami kembali ke kolejnya, isteri kembali ke tempat kerjanya. Dipisahkan dengan jarak yang jauh, maka tak hairan andai rindu terjelma.

Jika dulu, setiap malam telefonnya hanya ditujukan buat ibunya. Setiap malam dulu, dia pasti akan berbual panjang dengan ibunya. Kini, panggilannya menjadi sekali ganda. Dimulakan dahulu dengan perbualan ibunya, diikuti pula panggilan buat isterinya. Ah, setiap malam ketenangan dirasakan. Bicara ibunya diikuti pula suara tenang dari isteri. Setiap malam dia pasti bahagia.

Melalui hari-hari kuliah adalah sesuatu yang berbeza kini. Dia sedar hidupnya bukan seperti dulu. Hidupnya kini punyai satu tanggungjawab. Hidupnya harus menjaga hidup yang lain. Isterinya adalah tanggungjawabnya. Itu juga yang bermain di fikirannya.

Namun, tiada siapa tahu. Tidak diceritakan hatta seorang pun bahawa dirinya dah beristeri. Rahsia tetap rahsia. Itu janjinya.

Ya, tatkala itu seorang sahabatnya juga mendirikan rumah tangga. Namun kisah sahabatnya itu diketahui seantero universiti. Semuanya tahu perihal pernikahan sahabatnya. Tak salah, namun kisah sahabatnya ternyata berironi dengan kisahnya. Nikahnya menjadi satu rahsia, tidak diketahui sesiapa pun.

Setiap hujung minggu, dia akan ke tempat isterinya di ibu kota. Menghabiskan masa hujung minggu bersama walaupun tempohnya tak terlalu lama. Walau hanya satu setengah hari, detik-detik indah dinikmatinya. Maka, itulah jawapan berikan sebab mengapa dia akan menghilang di hujung minggu. Isterinya adalah tempatnya bertemu.

Kadangkala, isterinya pula muncul di kolejnya. Maka mereka menghabiskan masa bersama-sama berjalan-jalan di pekan kecil. Sama-sama menghabiskan waktu di pasar malam, berbual-bual panjang bercerita mengenai hari-hari mereka sebelumnya. Ah, tatkala suami dan isteri dalam kerinduan, maka bila bertemu, pelbagai kisah mahu dikongsikan.

Soalnya, bilakah mereka akan hidup bersama sebagai suami dan isteri yang kebiasaan seperti pasangan-pasangan lain? Apakah tempohnya panjang?

Ah, tak lama lagi. Tunggu sahaja setahun dari sekarang, maka akan hiduplah kita sebagai suami dan isteri seperti kebiasaan yang lain.

Nukilan ini sekadar luahan. Mungkin seolah-olah mendedahkan kerahsiaan yang disimpan. Namun, rahsia hubungan sebagai suami dan isteri tak salah didedahkan, tak salah juga disimpan. Ah, biar berbelit bicaranya, namun biar kamu sahaja yang mengerti kisahnya.

Sebagai suami buatmu, moga kamu menjadi isteri terbaik buatku. Sebagai isteri buatku, moga aku menjadi suami terbaik buatmu. Moga kekal jodohnya sampai ke akhir hayat.

Dari sini menuju ke sana. Dari hati menuju ke jiwa.

Insya-Allah.




 -anonymous-

Ulasan

Catatan Popular