PRU 13: Kemenangan Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional?





Perkembangan politik semasa ternyata satu perkara yang seringkali mencambahkan idea-idea yang menarik tatkala perbincangan berlaku dalam kalangan rakyat. Rata-rata mengakui, senario politik negara kini bukan lagi seperti zaman konvensional, iaitu rakyat akan terus setia menyokong sesebuah parti tanpa sebarang justifikasi yang utuh.

Sejak Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 tahun 2008, kelihatan atmosfera politik negara direvolusikan. Inilah buat pertama kalinya, istilah tsunami politik digunakan bagi menggambarkan kejutan besar yang diterima oleh Barisan Nasional (BN). Siapa sangka, parti yang cukup gah dengan kekuatan sokongan rakyat tiba-tiba hilang taringnya. Tiada siapa yang sangka, beberapa negeri yang selama ini menjadi kubu kuat BN tiba-tiba jatuh ke tangan parti lawan.

Malah, di pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS, serta DAP sendiri tidak menduga akan kemenangan besar yang mereka peroleh. Bayangkan, dalam sejarah PRU di negara ini, tahun 2008 mencatatkan trauma terbesar buat BN tatkala mereka kehilangan majoriti 2/3 kerusi di parlimen ditambah pula dengan kehilangan 4 buah negeri yang dipegang BN sebelum ini. Maka, kejutan ini jugalah yang menyaksikan gerakan dalaman di pihak UMNO untuk menyingkirkan Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia. Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak diangkat menjadi PM baru pada tahun 2009.

Tsunami politik ini jugalah yang membentuk hubungan akrab di antara PAS, PKR dan DAP sehingga terbentuknya pakatan baru yang dinamakan Pakatan Rakyat. Inilah pertama kali, kerjasama yang utuh terwujud, dan dikatakan sebuah pakatan yang mampu menyaingi BN itu sendiri. Itu tafsiran sesetengah pihak.

Tsunami politik 2008 telah mewujudkan hubungan akrab di antara PAS, PKR, dan DAP sehingga terbentuknya Pakatan Rakyat


Itu kisah hampir lima tahun yang lalu. Kini PRU ke-13 muncul lagi, dan rata-rata melihat PRU kali ini akan berlaku pertarungan sengit di antara BN dan PR. Buat pertama kali juga, PRU kali ini menyaksikan rakyat akan menentukan pilihan calon PM mereka, sama ada Datuk Seri Najib dari BN ataupun Datuk Seri Anwar dari PR.

Melihat kepada tsunami yang terjadi, kelihatan BN mula melakukan transformasi. Di bawah Datuk Seri Najib, beliau dilihat cuba melakukan perubahan dalam pentadbiran negara. Harus diakui, faktor utama perubahan besar-besaran ini dilakukan adalah disebabkan kewujudan pihak pesaing yang kuat dari PR. Dalam erti kata yang mudah, masing-masing akan saling bersaing antara satu sama lain bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Persaingan ini akan menguntungkan rakyat di akhirnya.

Ada pendapat menyatakan bahawa bagi PRU kali ini, BN dilihat akan menemui jalan penamatnya. Sesetengah pendapat pula menyatakan bahawa BN mampu mendapatkan kembali majoriti 2/3 di parlimen dan merampas semula negeri-negeri di di bawah PR. Soalnya, pendapat manakah yang lebih realistik?

Serangan peribadi terhadap Datuk Seri Anwar bermula dengan dakwaan liwat sehingga ke isu video seks dikatakan menunjukkan betapa rendahnya akhlak beliau selaku bakal PM. Namun di satu sudut, hakikatnya semua dakwaan yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar itu tidak dapat dibuktikan dengan saksi yang kukuh dan bukti yang sahih. Dakwaan liwat kedua beliau, telah pun diputuskan dengan keputusan tidak bersalah, dan tuduhan video seks itu juga sehingga kini masih menjadi misteri, tidak diberikan sebarang bukti yang kukuh bagi mengaitkan beliau dengan individu di dalam video itu.

Hakikatnya, sesetengah pihak melihat setiap tuduhan yang cuba dilemparkan hanyalah bermotifkan politik, cuba menjatuhkan imej Anwar supaya tidak lagi mendapat sokongan rakyat. Namun, dengan kewujudan dunia tanpa sempadan, kelihatan media arus perdana mula dipinggirkan, dan tentunya setiap dakwaan terhadap pemimpin PR yang disensasikan oleh media arus perdana ini tidak memberi impak yang cukup besar kepada rakyat. Penyudahnya, walau apa pun dakwaan yang cuba dilemparkan, imej Anwar mungkin tidak banyak terjejas. Itu kata sesetengah pihak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim seringkali dikaitkan dengan isu moralnya


Bagi media arus perdana pula, negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor, dan Perak (untuk 11 bulan), menjadi medan buat mereka untuk mencari isu bagi cuba menjatuhkan imej kerajaan-kerajaan negeri tersebut. Paling teruk menjadi medan pembantaian mereka ialah negeri Selangor, dengan segala macam isu dari isu airnya hinggalah kepada isu masalah ibu tunggal di Selangor. Satu demi satu, pelbagai tuduhan dan dakwaan dilemparkan kepada kerajaan negeri, dan bagi setiap tuduhan itu, tiada langsung ruang bagi kerajaan negeri menjawab setiap isu dan permasalahan yang dibangkitkan itu. Jika ada ruang pun, ruang itu tersangat kecil.

Salah satu isu yang cukup besar yang berlegar-legar oleh sesetengah pihak ialah isu politik yang berlaku di Perak. Umum mengetahui, PR pernah memegang pentadbiran negeri Perak selama 11 bulan, sebelum BN mengambil alih selepas berlakunya krisis politik di Perak. Hakikatnya, sehingga ke hari ini, ‘mood’ pengundi di Perak masih belum dapat dibaca. Walaupun mengikut perlembagaan, pertukaran kerajaan dari PR ke BN ini dilihat sebagai sah (malah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi), hakikatnya suara rakyat Perak itu sendiri tidak diketahui umum. Apakah rakyat Perak bersetuju dengan peralihan kuasa ini, atau apakah mereka sebenarnya lebih berkehendakkan pilihanraya yang baru bagi memilih semula kerajaan baru pada tahun 2009 itu?

Semuanya masih belum terjawab.

Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa, tindakan BN mengambil alih Perak itu sebagai satu tindakan terburu-buru, lebih mengutamakan keuntungan jangka pendek berbanding jangka panjang. Malah, komentar dari Tun Dr Mahathir pada tahun 2009, melahirkan rasa kegusarannya terhadap krisis yang terjadi di Perak.  Situasi politik yang berlaku di Perak itu tidak akan menguntungkan BN bagi jangka masa panjang. Tindakan BN menerima sokongan tiga Adun PR yang keluar parti itu adalah satu langkah yang dilihat sebagai tidak menguntungkan BN kerana dua daripada Adun tersebut sedang disabitkan kesalahan rasuah di mahkamah pada waktu itu. Soal integriti menjadi satu perkara yang cukup besar dan penerimaan BN itu adalah suatu perkara yang boleh memakan diri pada masa akan datang.

Ada pendapat juga menyebut bahawa sokongan pengundi Cina di Perak terhadap BN juga dilihat tidaklah sekukuh dahulu. Dikatakan bahawa, faktor semerta yang menghilangkan minat pengundi Cina terhadap BN adalah disebabkan krisis politik yang berlaku di Perak. Rata-rata berpendapat, BN dilihat membelakangkan rakyat dalam soal pembentukan kerajaan negeri yang baru.

Penanda aras bagi ‘mood’ sebenar rakyat Perak masih belum dapat ditafsirkan sepenuhnya. Jika ada pun, mungkin Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gantang yang berlangsung pada tahun 2009 boleh dijadikan penanda aras. Kawasan yang dahulunya memang kawasan kubu kuat BN kini secara tiba-tiba bertukar menjadi kawasan kubu baru bagi PR. Datuk Seri Nizar Jamaluddin, mantan Menteri Besar Perak menang bagi PRK itu dengan majoriti yang lebih besar. Menariknya, sewaktu kempen PRK ini, orang-orang Cina turut berkempen bagi pihak PAS, malah ada yang mengibarkan bendera PAS di kenderaan dan rumah masing-masing, dan itu sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Krisis politik Perak mencetuskan pelbagai persoalan tentang masa depan PR dan BN

Bebalik kepada isu politik nasional, sesetengah pendapat menyatakan bahawa kepimpinan Datuk Seri Najib sangatlah lemah. Sekiranya dibandingkan dengan mantan PM sebelum ini seperti Tun Abdullah, dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, maka bolehlah dinyatakan bahawa banyak perkara yang dimiliki Datuk Seri Najib dilihat terkebelakang berbanding dua bekas PM tersebut.

Datuk Seri Najib dilihat seringkali lambat dalam memberikan sebarang reaksi dan respon terhadap isu-isu setempat dan dunia. Isu seperti masalah di Syria, masalah di Rohingya, sehingga kini masih belum mendapat sebarang reaksi yang konkrit dari beliau. Situasi ini cukup berbeza tatkala Tun Dr Mahathir memegang tampuk pemerintahan. Sebarang isu akan diberikan reaksi yang pantas, malah adakalanya respon dari Tun Dr Mahathir agak berani sehingga menyebabkan pemimpin dunia lain gerun dan hormat pada beliau. Maka tidak hairan, sewaktu Tun Dr. Mahathir menjadi PM, Malaysia dikenali dan dihormati.

Namun itu kisah dulu yang tinggal titik sejarah.

Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin yang lantang bersuara


Namun isu yang ternyata menjadi satu titik untuk mengukur kempimpinan Datuk Seri Najib sudah semestinya berkait rapat dengan isu perhimpunan Bersih 2.0. Respon dan cara menangani isu Bersih ini dilihat sebagai mempamerkan sisi kelemahan kepimpinan Datuk Seri Najib tatkala beliau ternyata lambat dalam memberikan reaksi terhadap isu ini. Hanya Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri , Datu Seri Hishamuddin sahaja yang mengeluarkan kenyataan, dan ramai melihat PM sebagai pemimpin yang kurang pengaruh kuasanya. Jika situasi ini terjadi di zaman Tun Dr Mahathir, maka mungkin keadaan sebaliknya akan berlaku, iaitu Dr Mahathir pasti akan memberi responnya secepat yang mungkin.

Sesetengah pihak juga berpendapat, transformasi yang diperkenalkan Najib ternyata dilihat memberi satu perubahan baru. Namun, perubahan itu dilihat sebagai satu perubahan berbentuk kosmetik, indah dilihat di luar, namun tiada perubahan di peringkat yang lebih dalam. Tatkala kempimpinan Najib memperjuangkan kesepaduan dalam konsep gagasan Satu Malaysia, pada waktu itu jugalah pemimpin yang lain senantiasa bermain dengan isu dan sentimen perkauman. Isu kedudukan orang Melayu dimainkan dengan cukup hebat oleh sesetengah pemimpin, sehingga lupa akan isu-isu sensitif kaum lain. Kaum Cina terutamanya dianggap seperti musuh Melayu, walhal pada masa yang sama konsep kesepaduan Satu Malaysia itu turut diperjuangkan.

Gagasan 1 Malaysia mampu menyatukan kepelbagaian kaum di Malaysia


Maka, dikatakan bahawa DAP adalah parti rasis yang menindas dan tidak membela nasib bangsa Melayu. Disebabkan itu jugalah, Pulau Pinang menjadi medan tempur buat BN bagi menghentam setiap inci kelemahan PR dengan isu ketuanan Melayu menjadi tema utamanya. Harus diingat, tatkala BN di bawah UMNO cuba menghentam DAP, maka pada masa yang sama hentaman itu hakikatnya ditujukan kepada seluruh bangsa Cina tidak mengira latar belakang politik. Mustahil untuk orang Cina tidak terasa di hati tatkala bangsa mereka ini dilabel sebagai ancaman buat Melayu.

Di pihak MCA pula, melalui Presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek, isu ‘hudud PAS’ dimainkan beliau. Hakikatnya, isu ini amat sensitif bagi orang Islam andai hukum hudud ini dipersenda dan dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu. Amat tidak wajar bagi Chua mempersoalkan keberkesanan perlaksanaan sistem hudud kerana isu ini berkait rapat dengan kepercayaan dan akidah orang Islam. Menyatakan bahawa pengharaman judi akan menyebabkan ekonomi negara akan terjejas adalah satu kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan orang Islam kerana hakikatnya judi, riba dan arak diharamkan di dalam al-Quran. 

Datuk Seri Chua Soi Lek seringkali bermain dengan isu sensitif orang Islam


Politik berbaur perkauman dan kebencian haruslah dikikis. Barulah wujud kematangan politik. Itulah yang perlu dipraktikkan oleh para politikus.

Menyentuh penyebaran maklumat dalam kalangan rakyat, permainan media massa dilihat memberikan imej berat sebelah, iaitu membawa matlamat mengangkat imej kerajaan BN dan memburukkan imej kerajaan PR. Namun satu perkara pada hari ini yang mungkin terlepas pandang dalam kalangan ahli politik BN, ialah kepesatan teknologi kini hakikatnya telah mengatasi kebolehpercayaan terhadap media massa utama. Di saat TV3 menyiarkan berita berat sebelah menerusi slot Buletin Utama, rakyat pada hari ini juga mempunyai ruang lain dengan mencari maklumat tersebut di internet. Dalam erti kata lain, generasi hari ini yang celik IT sudah pasti tidak akan diperbodohkan lagi oleh agenda yang cuba disiarkan oleh media massa utama. Setiap perkara yang cuba ditimbulkan dalam media massa perdana akan cuba dinilai dan dibandingkan dengan media arus baru iaitu internet. Maka, andai sekecil-kecil penipuan cuba dilakukan pihak media arus perdana, maka pada waktu yang sama itu jugalah kebenaran dan cerita sebenar akan terdedah di media alternatif. 
  
Hujahnya mudah, hentaman berat sebelah pihak media massa perdana hanya akan memakan diri mereka kembali tatkala rakyat akan mempertikaikan kebolehpercayaan maklumat yang disampaikan.


Media sosial seperti Facebook mula menjadi pilihan sebagai sumber maklumat alternatif

Isu-isu yang dibawa dalam PRU 13 kali ini dilihat agak menarik dan lebih rancak berbanding PRU sebelumnya. Sudah semestinya umum mengetahui, isu harga minyak dan harga kereta menjadi tumpuan utama rakyat. Di pihak PR, harga minyak akan diturunkan serta merta sekiranya kemenangan dicapai, dan proses penurunan harga kenderaan akan dilaksanakan secara berperingkat. Pinjaman PTPTN pula akan dihapuskan andai PR berkuasa. Itu adalah antara perkara yang dijanjikan menerusi manifesto Buku Jingga.

BN juga tidak mahu mengalah, apabila menerusi manifesto Aku Janji, BN berjanji akan mengkaji semula harga kenderaan sekiranya diberikan mandat. Namun, isu harga minyak tidak disentuh BN sebaliknya janji menaikkan bantuan BR1M, baucar buku 1 Malaysia dinyatakan BN. Di satu sudut, BN dan PR punyai janji-janji yang menarik, mampu membuatkan rakyat berfikir dahulu sebelum memangkah dan mengundi.

Namun, sesetengah pendapat menyatakan bahawa manifesto PR dilihat lebih realistik dan relevan dengan keadaan semasa negara. Isu minyak, harga kereta dan PTPTN adalah suatu keadaan yang mendesak, seringkali dibicarakan oleh rakyat. Malah, janji-janji PR dilihat lebih spesifik dan mempunyai ketegasan berbanding BN yang banyak mengulang frasa “akan mengkaji semula”. Dalam erti kata lain, manifesto PR dilihat sebagai mempunyai objektif yang lebih jelas berbanding manifesto BN yang banyak mempunyai istilah yang boleh mencetuskan ‘ambiguity’ untuk difahami.

Buku Jingga dari Pakatan Rakyat hakikatnya dilancarkan lebih awal daripada manifesto aku janji BN. Situasi ini mencetuskan polemik tatkala manifesto BN yang dilancarkan lebih lewat berbanding PR dilihat mempunyai beberapa persamaan dengan Buku Jingga PR. Maka tercetuslah isu menyatakan bahawa BN meniru manifesto PR. Walaupun dinafikan para pemimpin BN, persepsi negatif rakyat mungkin masih belum dapat dihapuskan.

Tambah memberi kesan kurang enak tatkala Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan yang mungkin akan memakan BN kembali apabila menegaskan bahawa bukan BN yang meniru, tetapi PR yang meniru manifesto BN. Soalnya, kerangka masa menunjukkan bahawa Buku Jingga dilancarkan lebih awal daripada dokumen aku janji BN. Apakah kenyataan ini mudah diterima rakyat yang rata-rata semakin bijak dalam membuat penafsiran?

Mungkin BN tidak pernah meniru, namun persepsi negatif ternyata tidak lagi dapat dipadamkan.

Manifesto BN dan PR punyai kekuatan tersendiri


Hakikatnya, banyak pihak menyatakan bahawa BN kini berada dalam zon yang sangat kritikal. BN kini dilihat lebih lemah berbanding PRU sebelumnya. Pelbagai indikator yang dirakam menerusi peristiwa dan kenyataan-kenyataan  pemimpin BN menjadi bukti bahawa BN berada di ambang yang sangat kritikal.

Petanda pertama adalah sewaktu hari-hari sebelum penamaan calon pada 20 April yang lalu. Banyak pemimpin lama UMNO telah menyatakan hasrat untuk tidak lagi bertanding bagi PRU kali ini. Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz yang ternyata orang kuat di parlimen Kuala Kangsar secara terbuka menyatakan hasrat untuk tidak bertanding bagi PRU kali ini. Malah beberapa presiden parti komponen seperti Datuk Seri Chua Soi Leik dari MCA juga mengumumkan untuk tidak bertanding bagi PRU kali ini. Senarai panjang pemimpin berpengalaman BN yang tidak lagi mahu bertanding bagi PRU 13 kali ini mencetuskan pelbagai persoalan. Apakah mereka sudah tahu bahawa BN tidak mampu untuk menang PRU kali ini?

Walaupun kebanyakan alasan menyatakan bahawa pengunduran tersebut adalah untuk memberi laluan kepada pemimpin muda, alasan tersebut masih tidak dapat menenggelamkan spekulasi yang wujud.

Situasi ini diburukkan lagi dengan konflik dalaman yang berlaku dalam parti komponen BN. Di pihak UMNO, sesetengah bahagian UMNO melahirkan rasa tidak puas hati dengan calon yang mewakili kawasan mereka untuk PRU 13. Konflik terbesar dapat dilihat di Kuala Kangsar apabila Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia meluahkan rasa tidak puas hati apabila tiada calon wanita diberikan ruang bagi PRU kali ini. Maka, di akhirnya beliau bertanding di atas tiket bebas, mencetuskan kejutan terbesar bagi kem UMNO.

Bagi MCA pula, perbalahan di antara Chua Soi Leik dan Ong Tee Keat dilihat masih belum reda. Chua dikatakan tidak mahu bertanding sebagai tanda protes apabila terdapat khabar angin menyatakan bahawa Ong akan dicalonkan sebagai calon di parlimen Pandan. Walaupun di akhirnya Ong tidak pun menjadi calon di Pandan, situasi yang terjadi itu menunjukkan bahawa kem MCA juga mempunyai keretakan dalam kalangan ahlinya.

Selain itu, kemasukan bekas pemimpin-pemimpin BN seperti Datuk Seri Chua Jui Ming dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam Pakatan Rakyat memberikan satu lagi petanda bahawa keutuhan BN mungkin tidak sekukuh dahulu lagi. Belum pernah dalam sejarah politik negara kelihatan ramai ahli politikus dari BN beralih angin kepada PR. Situasi ini pasti mempunyai sebab yang perlu dikaji dengan lebih mendalam.

Tan Sri Muhammad Muhammad Taib beri kejutan apabila menyertai PAS dua hari selepas penamaan calon 20 April 2013


Malah, satu situasi yang tidak pernah berlaku apabila ramai golongan artis mula berminat dengan dunia politik. Baik BN mahupun PR, kebanjiran artis untuk berpolitik dapat dilihat. Namun, situasi penyertaan artis di pihak PR adalah sesuatu yang janggal untuk dilihat. Bermula dengan Bob Lokman diikuti dengan beberapa artis lain seperti Aisyah, Abby Abadi, Sham Kamikaze, Yassin, dan Faizal Tahir, hakikatnya sokongan yang ditonjolkan ini membuktikan bahawa PR juga mula diiktiraf sebagai pakatan yang mampu melakukan pembaharuan buat negara.

Andai dinilai berdasarkan pemerhatian kasar, kebarangkalian untuk PR menang dalam PRU kali ini mungkin agak cerah. Melihat kepada sokongan yang diberikan rakyat di setiap perhimpunan awam yang dianjurkan PR, maka tidak mustahil PR mampu menawan Putrajaya. Puluhan ribu hadirin pasti akan muncul setiap kali jelajah PR dilakukan. Indikator ini sangat jelas menunjukkan bahawa rakyat semakin berani menyatakan sokongan politik mereka.

Jelajah Pakatan Rakyat pasti mendapat sambutan hangat dari rakyat

Ada pendapat menyatakan bahawa politik berasaskan latar kaum tidak lagi relevan dalam dunia politik masa kini. Sesetengah pendapat menyatakan bahawa, salah satu faktor yang menyebabkan kesepaduan masih belum berada di tahap yang sepatutnya adalah disebabkan nilai prejudis di antara kaum yang masih wujud di negara ini. Situasi ini hakikatnya terjadi disebabkan amalan politik parti berasaskan kaum. Saat perjuangan perpaduan kaum dilaungkan, pemimpin setiap kaum pada masa yang sama memperjuangkan hak kaum masing-masing sehingga kadangkala mengguris perasaan kaum lain. Andai amalan ini masih berterusan, maka tidak mungkin negara akan berada dalam keharmonian bangsa.

Indikator jelas memberi gambaran bahawa golongan pengundi muda bakal memberi satu kejutan besar bagi PRU kali ini. Sokongan golongan ini tidak dapat diramal dengan tepat, hanya akan dijelmakan menerusi keputusan PRU nanti. Soalnya, di pihak manakah golongan muda ini akan menyokong? Adakah condong ke arah BN atau mungkin berat kepada PR?

Hakikatnya, kedua-dua pihak punyai kekuatan tersendiri. Jika BN, bantuan-bantuan seperti BR1M, KR1M, dan baucar buku 1 Malaysia pasti akan menjadi modal dalam kempen mereka. Bagi PR pula, isu harga minyak, harga kereta, dan penghapusan PTPTN menjadi tunjang dalam kempen mereka. Dua pihak punyai janji yang hanya akan dilaksanakan sekiranya salah satu dari mereka menang, maka pilihan hakikatnya berada di tangan rakyat.

Mungkin ramai yang berkata, isu moral Anwar akan menjadi pembunuh PR. Namun harus diakui, kebolehpercayaan terhadap setiap tuduhan terhadap Anwar kelihatan kini mula semakin suram.

Dalam bahasa yang lebih mudah, menggunakan serangan peribadi untuk menjatuhkan pihak lawan bukanlah metodologi terbaik dalam kempen PRU kali ini. Bagi PRU kali ini kebijakan pemimpin itulah yang akan menentukan siapa dan pihak mana yang akan menang. Politik cara lama hakikatnya tidak lagi relevan.

Sama-sama ditunggu keputusan 5 Mei ini. Sama ada PR mahupun BN, pihak yang menang  diharapkan akan dapat memberikan sinar baru buat rakyat Malaysia.

Wallahualam.


*Komentar dalam entri ini adalah bersifat peribadi. Penulis bersikap neutral, tidak berat pada mana-mana pihak.  Setiap pendapat ditafsirkan mengikut kaca mata penulis.


















Ulasan

Catatan Popular