Muhasabah Jumaat: Komentar isu "I want to touch a dog"
Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kontroversi
penganjuran kempen “I want to touch a dog” yang dianjurkan di Central Park One
Utama, Petaling Jaya. Kempen ini dianjurkan oleh Syed Azmi, dan telah menarik
hampir seribu hadirin pada hari tersebut. Menurut penganjur, kempen ini
bertujuan untuk menghapuskan rasa takut terutama masyarakat Melayu terhadap
anjing dan mendedahkan bagaimana cara untuk belas kasihan terhadap binatang
itu.
Hakikatnya, sekali pandang tujuannya dilihat murni dan
bersifat positif. Namun di sebalik penganjuran itu, harus diakui bahawa penganjurannya
itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan agamawan dan rakyat itu sendiri.
Berdasarkan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan, keputusan telah dibuat bahawa menyentuh dan memegang anjing adalah
bersifat melawan arus pedana umat Islam di negara ini yang berpegang kepada
mazhab Syafie. Dalam erti kata lain, hukum memegang anjing bagi orang Islam di
Malaysia haruslah bersandarkan kepada mazhab Syafie.
Ini bermakna, menyentuh anjing itu dibolehkan dalam
keadaan yang diperlukan sahaja, seperti kecemasan atau disebabkan pekerjaan;
namun untuk menyentuhnya tanpa sebarang sebab, maka itu dilarang sama sekali.
Secara mudah, penganjuran tersebut jelas bertentangan
dengan nilai norma masyarakat Islam di Malaysia. Penganjuran tersebut dilihat
seperti mencabar sensitiviti orang Islam dan seolah-olah memperlekehkan
golongan ulama di negara ini.
Berikut adalah komentar peribadi penulis mengenai isu
ini:
1. Isu
ini terjadi apabila kejahilan semakin banyak melanda dalam kalangan umat Islam.
Harus diakui, semakin lama nilai kecintaan ilmu terhadap Islam itu dilihat
semakin pudar tatkala negara sedang menghambat kemajuan. Isu sentuh anjing ini
terjadi apabila masyarakat kurang ilmu mengenasi soal hukum dan terlalu cetek
pengetahuan mengenai nilai pegangan agamanya.
2. Memang
diakui, tujuan penganjuran itu membawa maksud untuk menangkis persepsi negatif
orang Islam terhadap anjing. Malah, rata-rata orang Islam di negara ini menganggap
anjing sebagai musuh mereka dan harus dijauhi malah ada waktunya mungkin
diperangi. Disebabkan persepsi yang salah ini; iaitu memusuhi anjing, maka
seringkali dilihat orang Islam itu sendiri menganiaya dan menzalimi anjing,
walhal itu bukanlah yang dianjurkan dalam Islam!
3. Walaupun
Islam menganjurkan untuk menyayangi dan tidak menzalimi binatang seperti
anjing, itu tidak bermakna bahawa orang Islam boleh menyentuh dan membelai anjing
sesuka hati. Islam menganjurkan kesederhaan, dan kerana itu ada batas yang
perlu diikuti dalam soal hubungan sentuhan dengan anjing.
4. Tindakan
menyebarkan gambar-gambar peserta (yang rata-rata wanita) memegang dan memeluk
anjing di laman-laman sosial haruslah dihentikan. Walaupun mereka telah
melakukan kesalahan, itu tidak bermakna bahawa mereka perlu dimalukan
sedemikian. Penyebaran gambar ini adalah lebih kepada menjatuhkan air muka
mereka. Hakikatnya, mungkin mereka sendiri terperangkap dengan salah faham dalam
isu menyentuh anjing ini sehingga mereka berani untuk bertindak sedemikian.
5. Tindakan
menghina dan mencemuh terhadap peserta yang terlibat seharusnya tidak berlaku.
Hakikatnya, kesilapan yang berlaku itu terjadi disebabkan kekeliruan masyarakat
itu sendiri terhadap hukum memegang anjing. Menghina dan mengeji bukanlah cara
terbaik untuk menampilkan imej Islam yang dilihat mementing kedamaian dan
keamanan.
6. Sekiranya
tidak mempunyai ilmu yang mencukupi, maka seharusnya masyarakat tidak mudah untuk
menjatuhkan hukum terhadap sesuatu tindakan. Menjatuhkan hukum tanpa nas yang
sahih hanya akan mendatang kekeliruan dalam masyarakat. Orang bukan Islam akan
melihat bahawa umat Islam ini terlalu mengikut emosi seterusnya menghilangkan
minat mereka untuk memahami Islam yang sebenar.
7. Isu
yang terjadi ini adalah disebabkan usaha untuk meliberal Islam dan usaha untuk
menjadikan agama Islam itu disamaratakan dengan fahaman agama lain. Gerakan
pluralisme dan liberalisme ini berlaku di serata dunia dengan alasan untuk
mewujudkan kesaksmaan dan keadilan bagi setiap manusia. Hakikatnya, orang Islam
tidak boleh sama sekali terjebak dengan dua fahaman ini kerana boleh
memesongkan akidah tanpa mereka sedar.
8. Penganjuran
acara seumpama ini sekiranya bertujuan untuk membetulkan persepsi negatif orang
bukan Islam terhadap orang Islam dalam soal hubungan dengan binatang seperti
anjing; seharusnya menerima garis panduan dari pihak bertauliah seperti Jabatan
Agama Islam Malaysia (JAKIM). Ketiadaan garis panduan yang jelas inilah
menyebabkan berlaku salah faham hingga telah mengelirukan peserta yang terlibat
untuk melakukan tindakan berani dengan menyentuh anjing yang ada.
9. JAKIM
seharusnya lebih peka dan proaktif dalam memantau segala aktiviti yang dilihat
berbaur dan memberi ancaman terhadap kesucian Islam. Dalam hal ini, pihak JAKIM
bukan sahaja perlu bertindak di atas laporan yang diberikan, namun perlu juga
mengatur gerak dengan melakukan risikan di laman-laman sosial supaya aktiviti
dan acara yang sama tidak berulang lagi pada masa akan datang. Hakikatnya,
acara “I want to touch a dog” telah diwar-warkan di laman sosial. Sekiranya
tindakan awal diambil, mungkin acara seperti ini tidak berlangsung.
10. Gerakan
ilmu setempat harus dipergiatkan lagi di seluruh negara. Masjid perlu
memperbanyakkan majlis-majlis ilmu terutama berkaitan perkara-perkara asas
fardhu ain dan bab menyucikan diri. Hakikatnya, isu sentuh anjing ini terjadi
akibat salah faham orang Islam terhadap hukum menyentuh anjing itu sendiri.
11. Isu
yang terjadi ini harus dikendalikan dengan berhemah dan tidak beremosi.
Tindakan mencerca dan menghina peserta dan pihak penganjur hanya akan
memburukkan keadaan. Malah hanya memberi gambaran yang salah bahawa Islam itu
bersifat provokatif.
12. Kesimpulannya,
bagi memastikan supaya isu ini tidak berulang lagi, pihak berkuasa harus lebih
peka dengan setiap acara dan aktiviti yang melibatkan orang Islam. Pada masa
yang sama juga, gerakan ilmu secara besar-besar haruslah direvolusikan, supaya
pemahaman asas agama itu akan dapat diperkukuhkan lagi dalam kalangan masyarakat
Islam.
Isunya memang mencetuskan kontroversi dan polemik baru di
negara ini. Seharusnya apa yang berlaku ini perlu menjadi pengajaran supaya
tidak berulang lagi pada masa akan datang. Program “I want to touch a dog” ini
barangkali mempunyai tujuan positif. Namun perlaksanaan dan hasilnya itu yang
perlu diperbetulkan. Islam itu mudah. Namun itu tak bermakna setiap orang Islam
itu perlu mengambil mudah.
Wallahualam.
Ulasan