Pagi Khamis: TNC vs Fikrul. Siapa yang betul?







Walaupun telah bergelar sebagai alumni UPSI untuk beberapa bulan ini, namun setiap perkara yang berlaku di UPSI masih lagi diambil tahu. Barangkali masih rindukan suasana empat tahun di UPSI, maka penulis masih lagi mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di universiti pendidikan di Tanjung Malim itu.

Minggu ini, penulis tertarik dengan isu yang tercetus di laman sosial yang berlaku  di antara seorang bekas pelajar UPSI dengan Timbalan Naib Cancelor (TNC) HEPA UPSI. Kisahnya terjadi, apabila seorang pelajar UPSI bernama Fikrul memberi komentar gambar TNC tersebut yang sedang terlantar sakit dengan tulisan yang berbunyi:

 "Semoga TNC insafi segala dosa yang dilakukan... sakit itu kafarah dosa"



Komentar yang ditulis oleh saudara Fikrul dalam laman Facebook TNC HEPA UPSI.



Sekali pandang, kelihatan bahawa Fikrul memberi komentar yang kurang adab terhadap TNC tersebut. Mengikut pemahaman kebanyakan pengikut Facebook TNC tersebut, komentar yang diberikan itu bersifat prejudis dan biadab. Pemahaman apabila membaca secara sekali imbas tidak lebih membawa maksud bahawa sakit yang sedang dihadapi oleh TNC itu adalah berpunca daripada dosa-dosanya yang lalu.
                                                
Ya, harus diakui bahawa kenyataan yang dikeluarkan saudara Fikrul itu ada benarnya. Tiap-tiap sakit itu adalah kafarah terhadap dosa-dosa yang lalu. Hakikatnya, setiap manusia pasti melakukan dosa. Namun, untuk memberikan komentar sedemikian terhadap seorang yang lebih berusia dan di saat itu individu tersebut masih lagi terlantar sakit; adalah suatu tindakan yang kurang adabnya. Adalah lebih molek sekiranya diberikan ucap selamat sembuh berbanding peringatan berkaitan ‘kafarah’ itu.

Namun di satu sudut juga, penulis mengenali saudara Fikrul ini walaupun tidaklah mengenalinya begitu rapat. Berdasarkan komentar yang ditulis di Facebook TNC tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa barangkali saudara Fikrul tersalah tulis dalam komentarnya itu. Mungkin apa yang cuba disampaikannya lain, namun apabila dibaca oleh orang lain maksudnya membawa tafsiran yang berbeza. Apa yang berlaku berkemungkinan salah faham.

Namun itu tidaklah mengiyakan bahawa komentar sedemikian boleh diterima bulat-bulat dan dianggap sebagai tidak ada masalah. Seharusnya bagi Fikrul dan rakan-rakan UPSI yang lain, perlu lebih berhati-hati dalam menulis komen dan pandangan di Facebook, apatah lagi sekiranya Facebook tersebut milik seorang inidvidu yang dihormati dan dikenali. Dalam mengatur idea dan pandangan, eloklah diteliti penulisannya itu. Seharusnya disemak dan dinilai dahulu sebelum butang ‘enter’ ditekan. Hakikatnya, salah faham boleh terjadi andai sususan ayat itu tidak kena. Mungkin boleh membawa maksud yang lain. Penggunaan bahasa yang betul itu harus diutamakan supaya semua pihak akan mudah untuk faham.

Itu di satu sudut pandangan.

Di sudut pandangan yang lain ada juga yang menyatakan bahawa tindakan TNC yang memaparkan imej Fikrul dan menunjukkan komentar pelajar itu di laman Facebook sebagai satu tindakan yang kurang profesional. Ada benarnya komentar itu mengguris perasaan TNC tersebut, namun tindakan menyebarkan identiti pelajar tersebut adalah dilihat sebagai satu tindakan yang tidak wajar. Ada yang berpendapat bahawa perkara sedemikian tidaklah perlu dipanjangkan sehingga mendapat perhatian ramai.

Hakikatnya, pemimpin itu menjadi contoh buat pengikut yang dipimpinnya. Tiap-tiap perkara yang dibuat oleh seseorang pemimpin itu pasti akan mencerminkan juga pengikutnya. Pasti menjadi ikutan buat pengikut di bawahnya. Ditakuti, dengan memanjangkan perkara-perkara seperti komentar yang dikatakan biadab itu, maka pelajar-pelajar UPSI yang lain akan membudayakan amalan sedemikian.

Sebagai seorang yang dihormati di sebuah universiti, seharusnya pos dan perkongsian di Facebook juga mencerminkan profesionalisme sebagai seorang ahli akademik. Tidak seharusnya diprejudiskan seseorang hanya disebabkan dirasakan bahawa pelajar itu bersifat kurang ajar. Hakikatnya, memang lumrah dalam perjalanan sebagai seorang mahasisiwa, pasti akan melakukan kesilapan. Menerusi kesilapan itulah, maka akan wujud kematangan.

Namun penulis tidaklah menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini. Di satu sudut, barangkali TNC sendiri menjadi sangat terkilan dengan komentar yang diberikan saudara Fikrul. Di saat diri sedang sakit, apabila ada seseorang memberi komen sedemikian, sudah pasti hati akan terguris. Maka, tindakan yang dibuat TNC itu mungkin juga dilihat wajar atas kapasitinya sebagai individu yang sedang dilanda sakit.



Pos yang ditulis oleh TNC HEPA UPSI berkaitan komentar dari saudara Fikrul. Disertakan sekali gambar Fikrul dalam pos ini.



Di satu sudut yang lain pula, mungkin ada benarnya komentar Fikrul itu bersifat biadab. Namun andai ramai mengenali saudara Fikrul itu, pasti semua akan memberi konklusi bahawa Fikrul tidak bermaksud seperti yang ditulis dalam komentar tersebut. Barangkali Fikrul tersilap mengatur ayat dalam komennya hingga mencetuskan salah faham orang lain. Seharusnya untuk masa akan datang, Fikrul perlu lebih berhati-hati dalam memberi komentar.

Datuk TNC HEPA merupakan individu yang cukup dihormati malah disenangi oleh banyak pihak. Malah beliau dilihat mesra pelajar dan senantiasa mendengar dan mendapatkan maklum balas para pelajar sekiranya terdapat sebarang masalah di UPSI. Pendekatan beliau di Facebook dilihat mendekatkan jurang di antara pihak atasan UPSI dengan para mahasiswa. Namun, mungkin sebagai manusia juga, beliau mempunyai perasaan dan emosi yang kadangkala terguris disebabkan oleh salah faham komentar yang ditulis oleh pelajarnya. Namun, beliau juga harus berhati-hati untuk berkongsi sebarang pos di Facebook, memastikan supaya posnya itu mencerminkan seorang ahli akademik dan bukan sebaliknya.

Namun, walau apa pun isu yang telah tercetus, moga ia tidak berulang lagi pada masa hadapan. Moga masing-masing lebih berhati-hati dalam menulis dan berkongsi sekarang perkongsian di Facebook. Sekiranya wujud kematangan dalam kalangan semua pihak, maka pasti situasi harmoni itu akan terwujud.

Apa yang penting, janganlah wujud rasa prejudis di antara satu sama lain. Walau apa pun fahaman dan pendekatan politiknya, janganlah sampai mencetuskan perbalahan yang lebih besar.

Adalah lebih molek sekiranya saudara Fikrul menyatakan permohonan maafnya. Tidaklah perlu dipanjangkan lagi isunya dengan mengeluarkan seribu satu hujah untuk menyatakan bahawa komentarnya itu tidak salah. Maaf itu satu tanda kematangan pemikiran. Tak semestinya memohon maaf itu membawa maksud seseorang itu bersalah, tetapi kadangkala memberi tafsiran bahawa diri itu bijak dan matang dalam mengendalikan isu-isu yang tercetus.

Bagi Datuk TNC pula, diharap isu komentar saudara Fikrul itu juga tidaklah lagi dipanjangkan. Cukuplah sekadar pos tersebut. Apa yang lebih penting, diharapkan Allah mengurniakan kesihatan yang baik buat beliau. Moga beliau cepat sembuh dan sihat seperti sediakala.

Itulah sedikit pandangan untuk slot Pagi Khamis ini. Agak lama juga slot ini tidak diterbitkan entri. Segala pandangan yang dilontarkan hanyalah bersifat peribadi. Tidak menyalahkan sesiapa dan tidak memenangkan sesiapa. Hanya secebis pandangan daif dari insan biasa.

Ketemu lagi di lain masa.

Insya-Allah.





Ulasan

Lebih kurang satu setengah tahun yang lalu.. baru baca hari ni.. Ya Allah.. ^_^

Catatan Popular