"Sizura Musang Berjanggut"
Rumah yang terletak di hujung kampung itu pasti akan
mencetuskan pelbagai persoalan tatkala ramai yang melaluinya setiap hari.
Sebuah pondok kecil; letaknya di hujung sawah ibarat rumah tak berpenghuni. Ramai
menganggap rumah itu terbiar, ditinggalkan si pewaris yang barangkali telah
berhijrah ke kota. Namun mungkin tak ramai yang benar-benar ambil tahu akan
kisah sebenarnya kerana hakikatnya, rumah itu masih lagi diduduki.
“Siapa yang tinggal?”
Persoalan seringkali terwujud tatkala orang kampung
sendiri tidak dapat memberikan jawapan yang sebenar. Hakikatnya, rumah itu
berpenghuni namun tiada siapa yang tahu asal usul penghuninya. Seorang lelaki
tua, menetap bersendirian dan jarang-jarang sekali menerima kunjungan sebarang
tetamu. Hidupnya serba sederhana, namun di waktu yang sama ibarat terpisah
dengan masyarakat kampung.
“Kenapa tinggal seorang di pondok tu?”
Maka warung kopi menjadi medan bual bicara tak rasmi di
kampung itu. Sekumpulan pelajar sebuah universiti bertandang ke kampung. Sambil
membuat kajian tugasan, maka soalan itu terkeluar apabila mereka melihat sebuah
pondok kecil di hujung kampung itu.
“Ada kisahnya,” balas Haji Midin pemilik warung itu
sambil menghidangkan kopi panas dan biskut kering buat pelajar-pelajar tersebut.
Maka bermulalah satu penceritaan. Kesemua pelajar itu
memberi tumpuan. Barangkali kisahnya bakal dikongsikan.
Kisahnya bermula begini:
Sesi pagi persekolahan dilihat agak kecoh tatkala pejabat
Penolong Kanan HEP menjadi tumpuan beberapa orang guru. Terdengar suara
kemarahan datang dari bilik itu. Tiap-tiap guru dan pelajar yang melintasi
bilik pejabat itu pasti akan menoleh pandangan ke arah bilik tersebut. Masing-masing
tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku?
Maka itulah persoalan yang muncul dalam fikiran Zahid.
Seperti hari-hari biasa, tugasnya dimulakan dengan menanda kehadiran pelajar di
pejabat. Saat itulah, kekecohan yang
berlaku di pejabat Penolong Kanan HEP menarik perhatiannya. Di awalnya,
barangkali kekecohan kecil itu hanya sekadar perselisihan pendapat yang sudah
biasa berlaku di pejabat itu. Cikgu Nadri, orangnya tegas, pentingkan
kesempurnaan. Tatkala ada pelajar bermasalah, maka bilik itulah menjadi medan
buatnya. Di bilik itulah, maka pelajar-pelajar pasti menggeruninya.
“Kecoh nampaknya...” kata Zahid kepada Kak Lina, kerani
di pejabat.
“Kecohnya bukan yang biasa-biasa...” balas Kak Lina.
“Apa yang luar biasanya?” soal Zahid ingin tahu.
“Ini bukannya ikan bilis macam kebiasaannya. Ini ikan
jerung datang ke pejabatnya...”
Lantas pandangan Zahid tertumpu kembali ke arah bilik pejabat
Cikgu Nadri itu. Barangkali sesuatu berbeza sedang berlangsung di bilik itu.
Namun, Zahid sekadar melihat kerana selepas itu dia terus keluar dari pejabat,
bergegas pula ke bilik guru. Namun langkahnya tak panjang kerana dirinya
dipanggil di pertengahan jalan itu.
“Cikgu Zahid! Cikgu Zahid! Cikgu Nadri nak jumpa!” panggil
Kak Lina yang tiba-tiba bergegas keluar dari pejabat untuk memanggil Zahid.
“Kenapa pula?” bisik Zahid dalam hatinya.
Maka Zahid tiba di bilik Cikgu Nadri. Hakikatnya, memang
jarang sekali untuk Zahid berurusan di situ kerana setiap perkara yang memerlukan
urusan dengan PK HEP itu, maka tempatnya selalunya berlangsung di bilik guru. Saat
tiba, mata Zahid melihat kelibat individu-individu yang berada di bilik
tersebut. Kelihatan seorang lelaki separuh abad, berkopiah putih berkemeja lengan panjang sedang duduk di hadapan meja
Cikgu Nadri. Tidak jauh di satu sudut, kelihatan pula seorang pelajar perempuan
yang cukup dikenalinya.
“Cikgu kenal pelajar ni?” soal Cikgu Nadri menghentikan
lamunan Zahid terhadap tetamu-tetamu yang ada di bilik itu. Lantas mata Zahid
tertumpu ke arah pelajar perempuan yang duduk di kerusi kecil di penjuru bilik
itu.
“Ya... saya kenal. Saya guru kelasnya...” balas Zahid
ringkas.
“Bagus. Duduk dulu cikgu. Takkan nak berdiri di situ saja...”
bicara Cikgu Nadri tatkala melihat Zahid masih terus terpacak berdiri di muka
pintu bilik itu.
Tanpa banyak bicara, Zahid duduk. Menanti dalam
persoalan, Zahid tidak faham situasi yang sedang berlaku di bilik itu.
Sebelumnya, kedengaran gegak gempita kemarahan seorang lelaki. Barangkali
amarah itu datang dari lelaki yang berada di bilik itu. Mungkin juga lelaki itu
bapa kepada pelajar perempuan tersebut. Itulah andaian yang terlintas di
fikiran Zahid.
“Jadi, apa yang boleh saya bantu cikgu?” soal Zahid
tatkala suasana bilik bertukar sepi seketika.
Situasi tertumpu pada Cikgu Nadri pula.
“Pelajar cikgu ni dah semakin membesar...” bicara Cikgu
Nadri kepada Zahid.
“Semakin besar?”
“Malam-malam biasanya semuanya dah tidur. Tapi ada juga
yang menyorok-nyorok di celah-celah pokok berasmaradana di tengah malam...”
balas Cikgu Nadri.
Lantas Zahid memandang pelajar perempuan itu. Fahamlah
Zahid tujuannya dipanggil. Lantas sekali lagi matanya memandang tepat ke arah pelajar
perempuan itu. Wajahnya halus, putih mulus. Matanya sedikit sepet seringkali
tunduk tatkala berada di mana sahaja. Orangnya memang pemalu, dan itu difahami
Zahid setiap kali dirinya mengajar di kelas pelajar itu. Tak banyak bercakap
dan kelihatan sangat baik perilakunya.
“Sebab itu saya cukup marah dengan anak saya ni!” kata
lelaki separuh abad yang berada di bilik itu. Lelaki itu tiba-tiba bersuara
setelah sekian lama hanya berdiam diri.
“Ini ayahnya. En. Razul namanya,” perkenal Cikgu Nadri
kepada Zahid.
Zahid kemudian berjabat tangan menghulurkan salam. Namun
pandangannya masih terus tertumpu kepada pelajar perempuan di bilik itu. Bagai
tidak percaya, itulah yang terlintas di fikiran Zahid.
“Apa sebenarnya berlaku?” soal Zahid kepada pelajar
perempuan itu mencari penjelasan.
Pelajar perempuan itu terus tunduk. Mungkin malu atau
mungkin juga tidak mampu untuk melihat wajah Zahid yang menatap tepat ke
arahnya. Kebisuan terus melanda.
“Saya sebenarnya malu dengan cikgu-cikgu semua.
Disebabkan anak saya, mungkin nama sekolah ni dah tercemar,” bicara lelaki
separuh abad itu.
Zahid masih lagi terpinga-pinga tidak memahami kisah
sebenar yang berlaku. Zahid tidak faham punca pelajarnya itu dibawa ke bilik PK
HEP. Zahid juga tidak faham sebab utama perjumpaan itu berlangsung di bilik
itu.
“Begini Cikgu Zahid. Anak murid cikgu ni kena tangkap
khalwat malam semalam. Sebab itu dia dipanggil ke sini hari ni,” terang Cikgu
Nadri berterus terang.
Kejutan melanda.
Tidak pernah terlintas di fikirannya akan menerima berita sedemikian.
Farah Nadia di mata Zahid cukup baik dan terdidik agamanya. Tidak pernah
mencetuskan permasalahan di kelas. Menyenangkan hati sesiapa sahaja di
sekelilingnya. Walaupun tidak banyak bersuara, Farah seringkali melemparkan
senyumannya. Manis dan terpesona. Itulah yang terlintas di fikiran Zahid.
“Macam mana boleh berlaku?” soal Zahid.
“Bukan salah saya cikgu...” Farah, pelajar perempuan yang
membisu itu tiba-tiba bersuara.
“Kamu diam Farah!” jerit En Razul secara tiba-tiba.
Setiap ruang pejabat sekolah dilanda kejutan dengan jeritan itu. Buat seketika
setiap pekerjaan yang berlangsung terhenti seketika.
“Sabar En. Razul. Sabar...” pujuk Cikgu Nadri.
“Tapi... kalau kesalahannya khalwat, di mana pula
pasangannya?” soal Zahid menyambung kembali pertanyaannya.
Suasana senyap seketika. Masing-masing berpandangan di
antara satu sama lain. Pertanyaan Zahid mencetuskan kekakuan seketika.
“Mungkin lebih baik diceritakan dulu apa yang berlaku,” kata
Cikgu Nadri menamatkan kebisuan yang melanda. “Kisahnya begini...”
Malam sebelumnya, tatkala kebanyakan pelajar asrama telah
nyenyak tidur, maka kisahnya tak sama buat Farah. Di kala kedinginan malam
menguasi ruang atmosfera, di saat itulah Farah secara senyap-senyap keluar dari
blok asrama. Tujuan tidak pasti, namun pergerakan keluarnya sangat
berhati-hati. Keberanian meredah malam yang gelap ternyata sesuatu yang bukan
kebiasaan. Ke satu destinasi, maka Farah bergerak.
“Pengawal keselamatan ternampak kelibatnya. Terus
diikutnya dari belakang,” sambung Cikgu Nadri. “Dari situlah kami tangkapnya”
“Tapi siapa lelakinya? Kenapa tiba-tiba Farah ke sana?”
soal Zahid.
“Itulah sebabnya saya panggil Farah ke sini,” balas Cikgu
Nadri. “Nak menjelaskan mana yang kabur”
Lantas Zahid melihat kembali Farah. Cuba difahami riak
wajah pelajarnya itu walaupun hakikatnya sepanjang masa, Farah hanya menunduk
sahaja. Barangkali di sebalik wajahnya yang menunduk itu, maka tersimpan seribu
satu rahsia.
“Cuma yang saya tak faham sekarang ni, kalau betul Farah
berkhalwat, siapa lelaki tu?” soal Zahid sekali lagi. “Kalau yang ditangkap
malam tu cuma Farah, maknanya itu bukan khalwat”
Hujah Zahid ada benarnya.
“Memang dia berdua-duaan. Itu kami nampak. Tapi bila nak
ditangkap, lelaki tu sempat larikan diri,” balas Cikgu Nadri menerangkan
situasi sebenar. “Sebab itu hari ni saya nak tanya sendiri pada Farah, siapa
sebenarnya lelaki tu”
Zahid menghampiri Farah yang masih duduk di kerusi yang
sama. Serba salah dibuatnya bagi Zahid. Namun, dengan cermat Zahid mengajukan
soalan kepada Farah.
“Siapa lelaki tu Farah?”
“Sebenarnya.... sebenarnya...”
“Sebenarnya?” soal Zahid dalam nada yang cukup tenang.
Bapa Farah kemudian bangun. Lantas bersuara pula.
“Kalau ikut hati saya, memang dah kena belasah dengan
saya ni!” luah En. Razul. “Baik kau bagitau sekarang, siapa lelaki tu?”
“Sabar encik...” pujuk Cikgu Nadri cuba menenangkan
keadaan.
Cikgu Nadri memegang bahu En. Razul. Memujuknya untuk
duduk semula supaya Zahid dapat meneruskan sesi pertanyaannya kepada Farah.
Bapa Farah itu akur, dan kembali ke tempatnya.
“Kami bukan nak menghukum membuta tuli. Kami nak tahu
kebenarannya. Kalau Farah tak salah, terangkan apa yang berlaku,” Zahid memujuk
Farah sekali lagi.
“Saya... saya....”
Sekali lagi Farah terketar-ketar untuk menceritakan
perkara sebenar. Kisah seterusnya, tangisan mula kedengaran tatkala Farah
dilihat sangat sukar untuk menceritakan kisah yang berlaku. Situasi itu
mencetuskan sedikit keresahan Cikgu Nadri. Emosi mula dimainkan Farah.
“Nak saya panggilkan kaunselor, cikgu?” soal Cikgu Nadri
memberi cadangan tatkala melihat emosi Farah semakin tak dapat dikawal dengan
tangisannya.
“Tak apa cikgu. Saya rasa setakat ni tak perlu lagi,”
balas Zahid dengan tenang.
En. Razul, bapa Farah bangun. Lantas bersuara.
“Cikgu, mungkin eloknya saya keluar dulu. Elok lagi
rasanya kalau cikgu yang uruskan. Kalau saya ada dalam bilik ni, mungkin sabar
saya boleh hilang,” bicara En. Razul.
Lantas En. Razul keluar dari bilik itu dan hanya duduk di
luar pejabat sahaja. Barangkali mahu mengurangkan ketegangan yang melanda dalam
bilik itu. Mungkin itulah yang cuba dilakukannya.
Sementara itu, suasana di bilik Cikgu Nadri masih lagi
diiringi dengan tangisan dari Farah. Cikgu Nadri dan Zahid hanya membiarkan
sahaja tangisan itu hinggalah Farah menjadi sedikit tenang. Tatkala ketenangan
itulah, baru Zahid kembali bersuara.
“Baik...” kata Zahid memulakan bicara. “Mungkin susah
untuk Farah ceritakan apa yang berlaku. Cikgu faham..”
Cikgu Nadri hanya menjadi pemerhati sahaja di saat itu. Hanya
melihat Zahid memujuk Farah untuk menceritakan kisah yang sebenar.
“Kalau Farah tak mampu nak cerita, cuba bagitahu siapa
nama lelaki tu saja...” kata Zahid. “Itupun dah cukup”
Zahid cuba mengumpan dengan pujukan sedemikian.
Hakikatnya, itulah persoalan utama yang harus dijawab. Andai diketahui identiti
lelaki itu, maka barangkali kisah sebenar juga akan terdedah.
“Farhan cikgu...”
Jawapan diberikan Farah. Ringkas, namun sangat bermakna buat
Zahid. Lantas selepas itu, Farah dibawa pula ke bilik kaunseling untuk bertemu
dengan Cikgu Adam, guru kaunseling sekolah. Cikgu Nadri dan Zahid kemudian
mengatur perancangan. Maka En. Razul dipanggil masuk semula ke bilik tersebut.
“Sampai sekarang, saya tak pasti apa kisah sebenarnya.
Tapi, anak encik memang dah melanggar peraturan sekolah dengan keluar di waktu
larangan asrama,” terang Cikgu Nadri. “Pihak sekolah bukan nak menghukum, tapi
kami lebih kepada mendidik dan membimbing. Dalam keadaan sekarang, elok rasanya
biar kami pihak sekolah mencari dulu kisah sebenar yang berlaku”
“Jadi, macam mana dengan anak saya?” soal En. Razul.
“Untuk sementara waktu, saya nasihatkan supaya encik bawa
balik dulu anak encik. Biarkan dia berehat dan tenang dalam tempoh beberapa
hari ni. Selebihnya, kami akan siasat apa yang sebenarnya berlaku malam tu,”
terang Cikgu Nadri.
“Baik cikgu. Kalau itu kata cikgu, saya ikut saja,” balas
En. Razul.
Ternyata pagi itu bukan hari biasa buat Cikgu Nadri
bahkan Zahid sendiri. Tidak pernah selama ini Zahid akan berhadapan dengan kes
sebegitu. Bagi Cikgu Nadri, itulah situasi yang sukar untuk diharunginya. Pengalaman
baru buat kedua-dua mereka.
“Cikgu panggil Farhan sekarang,” arah Cikgu Nadri kepada
Zahid.
Farhan, merupakan rakan sekelas Farah. Berbeza dengan perwatakan Farah, Farhan
dilihat lebih petah berbicara. Di kelas, Farhan rajin bertanya soalan. Di luar
kelas pula, Farhan sangat ramah dengan para guru. Di sekolah, semua pasti
mengenali Farhan. Amat disenangi semua. Maka saat, itu kehairanan sekali lagi
melanda.
“Mengapa pula sebaik Farhan itu lakukan kesalahan?” bisik
Zahid dalam hatinya.
Farhan dibawa ke bilik Cikgu Nadri. Tanpa berlengah,
Cikgu Nadri meminta Farhan untuk duduk di kerusi di penjuru bilik itu; kerusi
yang sama diduduki Farah sebelumnya. Lantas sesi soal jawab bermula. Zahid
hanya menjadi pemerhati.
“Saya nak tanya kamu, semalam ada tak kamu curi-curi
keluar dari asrama?” soal Cikgu Nadri dalam nada tegas.
“Err... saya... saya...” Farhan teragak-agak untuk
menjawabnya.
“Ada keluar atau tak?” soal Cikgu Nadri sekali lagi. Kali
ini nadanya lebih keras.
“Saya... saya...” Farhan masih lagi tersekat-sekat untuk
berbicara.
Lantas Zahid mengambil alih sesi soal jawab itu. Cikgu
Nadri memberi laluan buatnya.
“Farhan, saya tanya baik-baik ni... malam semalam ada kamu
keluar dari asrama?” soal Zahid lebih tenang tuturnya.
Kelihatan Farhan sedikit tenang dengan pertanyaan itu. Suara
Zahid dilihat lebih membuatkannya berani untuk bersuara. Barangkali disebabkan
perwatakan Zahid yang mesra pelajar, maka Farhan dilihat lebih selesa untuk
bercakap dengan Zahid.
“Saya minta maaf cikgu. Memang salah saya...” luah
Farhan. Pandangannya ditundukkan perlahan-lahan menyatakan kekesalannya. “Saya
yang bersalah dalam hal ni...”
Cikgu Nadri menghampiri Farhan menyambung pula sesi soal
jawab yang dikendalikan Zahid sebelumnya.
“Jadi, kamu mengaku kamu ada jumpa Farah malam tu?” soal
Cikgu Nadri dalam nada yang lebih tenang barangkali cuba mengikut cara Zahid
menyoal Farhan sebelumnya.
“Farah?” soal Farhan terkejut.
“Kamu ada jumpa atau tak?” soal Cikgu Nadri sekali lagi.
Sekali lagi kelihatan Farhan seperti terkelu lidah buat
seketika. Teragak-agak Farhan untuk menjawab pertanyaan itu. Farhan dilihat
termenung seketika cuba memikirkan jawapan yang akan diberi.
“Kami cuma nak tahu saja. Kalau kamu tak jujur, Allah
tahu Farhan..” pujuk Zahid mencelah.
“Ya. Memang saya ada jumpa Farah malam tu...” balas
Farhan. “Maafkan saya cikgu. Hukumlah saya. Memang saya yang bersalah...”
Jawapan yang diberikan Farhan itu menjawab persoalan yang
timbul. Lantas tindakan seterusnya, Farhan digantung dari asrama. Namun, sesi
persekolahannya berlangsung seperti biasa kerana tarikh SPM semakin menghampiri.
Kisah Farah dan Farhan itu merupakan sisi pertama Zahid
melalui masalah disiplin pelajar. Memang lumrah seorang guru, tatkala berhadapan
dengan pelbagai gelagat pelajar, maka pasti banyak juga masalah yang bakal
dilalui. Namun bagi kisah dua pelajarnya itu, adalah sesuatu yang tak dijangka
bahawa pelajar sesenyap Farah dan pelajar sebaik Farhan mampu melakukan
perbuatan sedemikian. Malah, lebih menambah kekecewaannya tatkala perbuatan itu
dilakukan di bulan Ramadan.
Mungkin itu yang bermain-main di fikiran Zahid apabila
menjamah sedikit makanan untuk berbuka puasa. Detik di bilik Cikgu Nadri itu
ternyata membuka perspektif baru bagi Zahid. Kadangkala, yang senyap itulah
akan mencetuskan masalah.
Hari-hari berikutnya, Zahid seperti biasa meneruskan
tugas hariannya di sekolah. Namun, sejak peristiwa di bilik Cikgu Nadri itu,
Farah masih belum menghadirkan diri ke sekolah. Bagi Farhan pula, pelajar
kesayangannya itu dilihat lebih senyap dan tidak banyak berbicara selepas
kejadian itu.
“Cikgu rasa betul-betul mereka berkhalwat malam tu?” soal
Zahid tatkala berjumpa Cikgu Nadri di pejabat sekolah.
“Saya pun tak pasti. Kita tak ada saksi. Kalau ada pun,
saksinya sendiri tak pasti siapa lelaki yang berjumpa Farah tu. Tapi, Farhan
dah mengaku. Itu sajalah yang boleh kita tahu...” balas Cikgu Nadri.
“Tapi, saya rasa agak pelik sebab Farhan semudah itu
boleh mengaku. Kebiasaan kalau yang bersalah, selagi mampu mereka akan nafikan
kesalahannya. Tapi Farhan sebaliknya,” kata Zahid.
“Farhan pelajar yang baik. Mungkin dia betul-betul rasa
bersalah. Mungkin sebab tu dia mengaku,” jawab Cikgu Nadri.
“Entahlah cikgu. Tapi persoalannya masih kekal misteri.
Macam ada yang tak kena saya rasa...”
“Kita tak boleh buat apa-apa. Tapi yang pasti, memang
mereka lakukan kesalahan sebab keluar dari asrama pada waktu larangan,” balas
Cikgu Nadri. “Dari kesalahan itu, maka kita beri hukuman”
Kisah Farah dan Farhan itu hanya berlegar dalam
lingkungan pihak atasan sahaja. Sebolehnya, semua yang terjadi itu dirahsiakan
dari umum. Itulah sebaik-baiknya supaya Farhan dan Farah tidak berada dalam
keadaan tertekan di sekolah.
Namun, berminggu-minggu berlalu, dan Farah masih lagi
tidak hadir ke sekolah. Ramai yang tertanya-tanya malah ada juga yang membuat
pelbagai andaian. Di sebalik ketidakhadiran itu, Zahid merupakan individu yang
paling risau dengan Farah.
Perkara itu dinyatakan kepada Cikgu Nadri. Maka perbincangan
diaturkan bersama Pengetua. Turut serta dalam perbincangan itu ialah guru
kaunseling, Cikgu Adam. Zahid juga turut berada dalam perbincangan itu, selaku
guru kelas Farah.
Di akhir perbincangan, maka keputusan dibuat supaya Cikgu
Adam bersama Zahid pergi melawat Farah di rumahnya. Tujuannya hanyalah untuk
mengetahui keadaan sebenar Farah. Cuba mengetahui apa yang berlaku sebenarnya.
“Maafkan saya cikgu. Bukan saya yang menghalang. Tapi
anak saya yang tak mahu datang sekolah,” terang En. Razul sewaktu kunjungan
Cikgu Adam dan Zahid ke rumahnya.
“Tapi kenapa pula?” soal Zahid mencari jawapan.
“Beginilah En.Razul,” Cikgu Adam memotong bicara.
“Cubalah encik pujuk anak encik. Tak masuk kelas pun tak apa. Bawa dia ke bilik
kaunseling. Sebab saya rasa, mungkin ada sesuatu yang kita tak tahu tapi cuba
disorokkan anak encik”
“Insya-Allah. Saya cuba...” balas En. Razul.
Kunjungan itu tidak mempertemukan mereka dengan
Farah kerana hakikatnya Farah di waktu
itu berada di kampung halaman. Menurut En. Razul, Farah mahu menenangkan diri.
Namun di sudut fikiran Zahid, sesuatu yang pelik dirasakannya.
“Saya rasa macam ada tak kena...” luah Zahid sewaktu
perjalanan pulang semula ke sekolah bersama-sama Cikgu Adam.
“Saya pun rasa macam tu juga...” balas Cikgu Adam. “Agak
pelik pula, kenapa sampai Farah nak bawa diri pulang ke kampung? Bukannya siapa
yang tahu pun kesalahannya tu..”
“Saya rasa, kes Farah ni masih belum selesai. Mungkin ada
lagi cerita yang kita tak tahu terjadi pada malam Farah ditangkap tu,” kata
Zahid.
“Mungkin Farhan tahu cerita sebenarnya?” Cikgu Adam
mencetuskan lagi persoalan.
Betitik pada persoalan itulah, maka setibanya di sekolah,
Zahid terus menuju ke kelas. Farhan dipanggil sekali lagi dan terus dibawa ke
bilik kaunseling. Cikgu Adam telah menanti untuk meneruskan sesi soal jawab,
cuba merungkaikan persoalan yang kelihatan masih dibelenggu misteri. Farhan
hanya menurut sahaja, terus mengikut Zahid menuju ke bilik kaunseling itu. Maka
setibanya di sana, soalan mula diajukan kepadanya.
“Kamu memang jujur dengan apa yang kamu cakap pada saya
dulu?” soal Zahid kepada Farhan.
“Err... cakap pasal apa cikgu?” soal Farhan gugup.
“Betul malam tu kamu jumpa Farah?” soal Zahid.
“Betul cikgu.. memang saya tak tipu cikgu,” jawab Farhan.
“Memang itulah yang jadi malam tu. Memang saya jumpa Farah”
Cikgu Adam mencelah.
“Tapi... kenapa kamu jumpa Farah malam tu?” soal Cikgu
Adam.
“Saya.... saya...” Farhan tergagap-gagap. “Saya....
memang jumpa Farah. Memang itu yang berlaku malam tu,” jelas Farhan tidak
menjawab pertanyaan Cikgu Adam itu.
Zahid dan Cikgu Adam kebuntuan. Ternyata jawapan yang diberikan
Farhan tidak banyak membantu untuk merungkai persoalan yang tercetus itu.
“Boleh kamu cerita sepenuhnya apa yang berlaku malam tu?”
soal Cikgu Adam.
“Saya rasa apa yang saya cerita dulu dah cukup. Itulah
yang berlaku. Saya jumpa Farah, kemudian datang pengawal keselamatan, saya lari
tapi Farah tak sempat dan dia ditangkap. Itulah yang berlaku cikgu,” terang
Farhan.
“Baiklah kalau kamu kata begitu. Kamu boleh balik ke
kelas semula,” kata Cikgu Adam.
Persoalan masih tak terjawab. Farhan masih kekal dengan
kisah yang diceritakan sebelum ini. Tiada
apa yang mampu dilakukan buat Zahid dan Cikgu Adam. Mungkin perlu diusahakan
dengan cara lain bagi merungkai kisah sebenar yang berlaku.
Setiap hari, Zahid pasti menanti kehadiran Farah ke
sekolah. Namun setiap hari itu jugalah, Zahid akan menanda kehadiran kelasnya,
dan Farah masih tetap tidak hadir. Hari terus berlalu, dan penantian itu masih
berterusan. Meja Farah di kelas masih memperlihatkan kekosongan. Kekurangan
dirasakan Zahid tatkala memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Inggerisnya di kelas itu.
Hari Rabu, di awal pagi, maka fokus utama Zahid untuk
kelas itu adalah lebih tertumpu kepada sesi menjawab soalan pemahaman
berdasarkan teks. Seperti kebiasaan, andai di awal pagi itu dimulakan dengan
pengajaran panjang mengenai tatabahasa mahupun sesi pemahaman sastera, maka
pasti ramai pelajar akan tersungkur tidur melayan rasa mengantuk. Disebabkan
itu, sekiranya kelas di awal pagi, maka Zahid lebih banyak memberi tumpuan terhadap
sesi menjawab soalan berbanding pengajaran. Itulah cara Zahid di kelasnya.
Namun, di pertengahan sesi kelas itu, pintu diketuk.
Seorang pelajar masuk ke kelas dan berjumpa Zahid.
“Cikgu, pengetua nak jumpa cikgu di biliknya sekarang,”
kata pelajar itu.
Zahid terus bergegas menuju ke bilik pengetua. Kehairanan
melanda kerana amat jarang sekali Haji Mahadi memanggilnya ke pejabat.
Barangkali sesuatu yang cukup penting, maka itu fikiran Zahid.
“Cikgu, hari ni kita kena selesaikan satu masalah,”
bicara Haji Mahadi, pengetua sekolah itu sebaik Zahid tiba di biliknya.
“Apa yang perlu diselesaikan? Apa masalahnya?” soal Zahid
hairan.
Pagi itu, kelibat En. Razul sekali lagi muncul di
sekolah. Namun kisahnya berbeza kerana pertemuan kali ini berlangsung di bilik pengetua.
Kejutan juga diterima tatkala melihat kelibat Farah yang sekian lama tidak
hadir ke sekolah. Turut sama berada di bilik itu ialah Cikgu Nadri dan Cikgu
Adam.
Zahid masih terus berdiri. Haji Mahadi terus berada di
kerusinya. Cikgu Adam dan Cikgu Nadri pula duduk di kerusi di hadapan meja
pengetua. En. Razul dan anaknya pula duduk di sofa di penjuru bilik itu.
“Cikgu, saya minta maaf kalau anak saya banyak susahkan
cikgu...” luah En. Razul. “Bukan saya tak ajar, tapi mungkin belum cukup
didikan saya...”
Zahid masih dilanda kehairanan. Kurang mengerti dengan
kata-kata En. Razul itu. Malah kurang faham tujuannya dipanggil ke bilik itu.
“Saya... saya tak faham...” kata Zahid.
En. Razul membisu seketika. Suasana di bilik itu sunyi
seketika. Haji Mahadi, Cikgu Nadri, dan Cikgu Adam pula hanya menjadi
pemerhati. Memberi ruang buat Zahid dan En. Razul berbicara.
“Macam ni cikgu...” En. Razul menarik nafas sedalam-dalamnya.
“Sebenarnya.... anak saya dah mengandung cikgu... dia dah mengandung...” luah En.
Razul. Perkhabaran itu ternyata cukup berat untuk diluahkannya.
“Ya Allah....”
Zahid ternyata terkejut. Perkhabaran yang tak disangka
itu barangkali cukup menngecewakan sehingga Zahid terus terduduk di atas
kerusi.
“Sekarang ni... saya cuma nak tau siapa yang
bertanggungjawab. Itu saja,” kata En. Razul.
Maka tatkala itu, nama Farhan terlintas di fikiran Zahid.
Kisah kes Farhan dan Farah muncul semula saat itu. Persoalan baru muncul.
Lantas sepantas itu juga Zahid keluar dari bilik pengetua dan menuju ke kelas.
Farhan dipanggil dan dibawa ke bilik pengetua.
Namun setibanya di bilik itu, tanpa diduga, En. Razul
terus menampar Farhan. Kemarahan tergambar di wajahnya. Barangkali geram,
tangannya digenggam dan cuba menumbuk Farhan. Namun tindakan itu berjaya
dihalang Zahid.
“Sabar encik!”
“Sabar?” soal En. Razul. “Ayah mana yang boleh sabar
kalau anaknya mengandung tak berbapa?”
“Farah mengandung?” soal Farhan terkejut. Secara spontan
Farhan bersuara tatkala mendengar perkhabaran mengenai rakan sekelasnya itu.
Maka sepantas itu juga Haji Mahadi masuk campur.
Ditenangkan En. Razul dari amarahnya. Tatkala keadaan kembali tenang, maka
situasi tertumpu pula pada Farhan. Masing-masing mengharapkan agar persoalan
yang berlegar-legar itu bakal terjawab dengan kehadiran Farhan.
“Apa hubungan kamu dengan Farah?” soal Cikgu Adam
mengambil alih pula sesi soal jawab di bilik itu.
“Saya rakan sekelasnya..” balas Farhan ringkas.
“Bohong!” En. Razul sekali lagi meluahkan amarahnya.
“Kalau kawan sekelas, kenapa sampai nak berjumpa malam-malam?” soalnya
kemudian.
“Ya, memang saya ada jumpa Farah malam tu... Tapi...”
“Tapi?” soal Cikgu Adam.
Farhan kelihatan agak berat untuk berbicara. Seolah-olah
dilanda kekeluan.
“Kenapa Farhan? Apa yang kamu sembunyikan?” soal pula
Tuan Pengetua, Haji Mahadi.
“Apa yang berlaku sebenarnya malam tu Farhan?” soal Zahid
pula.
Soalan yang bertubi-tubi akhirnya melemahkan Farhan.
Kekeluan yang melanda semakin lama semakin menghilang. Maka sedikit demi
sedikit, Farhan kembali bersuara.
“Sebenarnya... kalau saya cakap mungkin semua tak akan
percaya,” kata Farhan.
“Kalau apa yang kamu cakap itu kebenaran, sepahit mana
pun kamu perlu nyatakan,” kata Haji Mahadi cuba memujuk Farhan.
“Ceritakan apa yang berlaku sebenarnya,” pujuk Cikgu Adam
pula.
“Sebenarnya, memang malam tu saya jumpa Farah,” terang
Farhan lebih tenang. “Tapi bukan saya jumpa sebab nak buat tak senonoh
dengannya. Kami tak pernah berjanji pun malam tu nak berjumpa”
“Jadi, kenapa berjumpa kalau tak berjanji?” soal Cikgu
Adam.
“Saya cuba nak halang Farah dari jumpa seseorang,” jawab
Farhan.
“Nak jumpa siapa?”
“Cikgu Nadri...” balas Farhan terketar-ketar sedikit
ketakutan.
“Cikgu Nadri?” soal Cikgu Adam kehairanan. Haji Mahadi
juga turut dilanda persoalan. Pada waktu itu jugalah, riak wajah Cikgu Nadri
berubah serta-merta. Seolah-olah dilanda kejutan yang terbesar buatnya.
Maka Zahid mula merasakan sesuatu yang tidak kena lantas
terus menyuarakan cadangan kepada Haji Mahadi.
“Cikgu, boleh saya bercakap dengan Farhan di tempat
lain?” tanya Zahid meminta izin. Haji Mahadi mengangguk tanda setuju.
Farhan kemudian dibawa menuju ke bilik kaunseling di
tingkat atas bangunan. Lantas tanpa membuang masa, Zahid terus berbicara dengan
Farhan bersendirian.
“Apa maksud kamu Farah nak jumpa Cikgu Nadri?” soal Zahid
ingin tahu.
“Sebenarnya cikgu, Farah ada hubungan dengan Cikgu
Nadri...”
Riak wajah Zahid berubah serta-merta. Kejutan dirasakannya.
“Apa betul kamu cakap ni? Ini satu tuduhan berat. Jangan
kamu memandai-mandai buat cerita,” bicara Zahid.
“Cikgu, saya kenal siapa Cikgu Nadri yang sebenarnya...”
Maka, satu persatu rahsia dibuka Farhan. Malam kejadian
itu, Farhan terlihat kelibat Farah curi-curi keluar dari bangunan asrama untuk
menuju ke satu destinasi yang tak diketahui. Disebabkan risau akan keselamatan
Farah, maka Farhan bergegas keluar dan mengikut gerak-gerinya. Lantas Farhan
bertemu Farah di pondok menunggu bas di celah-celah rimbunan pepohon angsana.
Farhan cuba menghalang Farah dari meneruskan hasratnya untuk keluar dari asrama
malam itu. Di saat itulah, maka Farah disergah pengawal keselamatan yang
membuat rondaan. Farah tertangkap, namun Farhan sempat melarikan diri.
“Jadi, bukan salah kamu?” soal Zahid.
Farhan hanya mengangguk.
“Tapi kenapa kamu tak ceritakan semuanya sebelum ni?”
soal Zahid.
“Cikgu... kalau saya cerita semua ni dalam bilik Cikgu
Nadri.... di hadapannya... saya tak fikir itu satu tindakan yang bijak,” balas
Farhan. “Sebab semua yang berlaku ni berpunca dari Cikgu Nadri sendiri!”
“Kamu ada bukti?” soal Zahid.
“Buktinya mungkin susah saya nak tunjukkan. Tapi saksinya
banyak,” jawab Farhan.
Kisahnya, Cikgu Nadri bukan seperti yang disangka.
Kehadirannya ke sekolah itu baru sahaja menjengah angka setahun empat bulan.
Namun, kisah sebelum berkhidmat di sekolah itu yang lebih menarik perhatian.
Tatkala itu, punca sebenar pertukaran Cikgu Nadri dari sekolah lama ke sekolah
baru diketahui Zahid. Akibat kesalahan yang hampir sama, menjalin hubungan
dengan pelajar sekolah, maka Cikgu Nadri ditukarkan pula ke sekolah itu.
“Terlalu banyak kisah yang ramai tak tahu cikgu. Tanyalah
pada mana-mana pelajar perempuan sekolah ni. Mungkin ada yang pernah menjadi
mangsanya,” terang Farhan.
“Mangsa?”
Dalam diam tanpa diketahui ramai, Cikgu Nadri musang
berbulu ayam. Menggunakan medium media sosial sebagai batu loncatan untuk
mengambil kesempatan. Mengganggu pelajar dengan ayat-ayat puitis, cuba
memancing untuk bermain cinta. Mesej-mesejnya penuh kejutan, sehingga melarat
ke arah baur kelucahan. Situasi ini berterusan namun tiada siapa yang berani
menyuarakan aduan.
“Kami tak berani nak adukan perkara ni. Sebab kami takut
tak ada siapa yang akan percaya...” kata Farhan.
Perkhabaran itu memberi satu sisi baru Zahid terhadap
Cikgu Nadri. Walaupun sukar untuk dipercayai, namun itulah realiti.
“Apabila tembelang pecah, sekelip mata kepercayaan akan
hilang,” luah Zahid.
Cikgu Nadri orangnya dihormati. Dilihat warak dalam
perwatakan, maka kebanyakan cikgu menghormatinya. Masih bujang di lewat usia,
dia seringkali akan berjemaah di surau sekiranya masuk waktu solat, malah ada
kalanya menggerakkan sendiri majlis-majlis ilmu untuk pengisian rohani pelajar.
Latar belakangnya kuat, kerana Cikgu Nadri anak bongsu Haji Zaki, guru agama
yang sangat dihormati di kampungnya. Maka, tatkala perkara yang berkaitan
dengan hal-hal keagamaan, kepada Cikgu Nadri tempat dirujuki. Imejnya itu
ternyata menjadi contoh buat para pelajar dan guru.
Mendengar kebenaran yang disampaikan Farhan itu, maka
Zahid terus menuju kembali ke bilik pengetua. Farhan pula pada yang sama
diminta untuk terus berada di bilik kaunseling. Perjumpaan dua mata berlangsung
di antara Zahid dan Haji Mahadi. Cikgu Adam, En. Razul, Farah, dan Cikgu Nadri
yang berada di bilik pengetua diminta untuk menunggu di bilik tetamu pejabat
sekolah.
Di pertemuan itu, maka satu demi satu kisah yang
diceritakan Farhan sebelumnya itu disampaikan pula kepada pengetua. Haji Mahadi
ternyata terkejut dan seakan tidak percaya dengan perkhabaran itu. Namun walaupun
sukar dipercayai, tindakan berikut kemudian diatur. Farah dibawa menuju ke
bilik kaunseling ditemani Cikgu Adam. Setibanya di bilik itu, Farah dibawa
berjumpa dengan Cikgu Rohani, guru kaunseling kedua sekolah untuk menerima sesi
kaunseling. Dari sesi kaunseling itulah, maka Farah membuka cerita sebenar.
“Apa kisahnya?” soal Zahid kepada Cikgu Rohani sebaik
tamat sesi kaunseling tersebut.
“Kisahnya memang bukan seperti yang kita sangka...”
Farah mengaku mempunyai hubungan dengan Cikgu Nadri.
Semuanya bermula tatkala Farah berada di tingkatan 4, dan Farah mula tinggal di
asrama sekolah. Di awalnya, Cikgu Nadri sangat mengambil berat dan senantiasa prihatin
dengan masalah yang dihadapinya. Namun, lama kelamaan hubungan lebih intim terjalin.
Di pengakhirannya, hubungan tersebut berlanjutan sehingga Farah terlanjur
dengan Cikgu Nadri.
Persoalan telah terjawab.
Menjelang tengah hari, sebuah kereta polis tiba di
perkarangan sekolah. Cikgu Nadri dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kisah yang terjadi itu tersebar dengan begitu cepat di sekolah. Malah menjadi
tajuk perbualan utama untuk beberapa minggu berikutnya.
Bagi Zahid, situasi yang dihadapinya adalah di luar dari
kewarasan fikirannya. Tanpa disangka, Cikgu Nadri yang dihormatinya itu punyai
tembelang yang telah lama disembunyikan. Kisah itu berlalu hari demi hari,
menjadi pengajaran buat mereka yang lain. Selepas kejadian itu, Farah tidak
pernah lagi hadir ke sekolah. Dikhabarkan juga, keluarganya telah berpindah ke
tempat lain, tidak diketahui oleh sesiapa.
Sementara itu, Farhan masih kekal di sekolah itu.
Meneruskan sesi pengajiannya hinggalah menjelang peperiksaan SPM. Di sebalik
kisah yang terjadi itu, Farhan akhirnya berjaya dalam SPM dan kemudiannya
ditawarkan untuk menyambung pengajian di luar negara.
“Sampai sekarang, Cikgu Zahid tu masih mengajar di
sekolah yang sama. Hampir 15 tahun, tapi masih tetap sama macam dulu,” terang
Haji Midin menamatkan penceritaannya di warung itu.
“Tapi, apa yang terjadi pada Cikgu Nadri tu?” soal Azrul
salah seorang pelajar universiti yang singgah di warung Haji Midin itu.
“Dia didapati bersalah atas tuduhan merogol Farah. Dikenakan
hukuman penjara dengan sebatan,” balas Haji Midin. “Perkhidmatannya sebagai
guru pun ditamatkan serta-merta”
“Jadi, di mana Cikgu Nadri sekarang?” soal Azrul. “Masih
di penjara lagi?”
“Dia dah pun dibebaskan tahun lalu,” balas Haji Midin.
Bagi generasi muda yang menetap di kampung, tiada siapa
yang tahu akan kelibat Cikgu Nadri di kampung itu. Namun bagi kebanyakan orang
lama di kampung itu, segalanya masih tetap segar di ingatan mereka. Tatkala
Cikgu Nadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman, maka seluruh kampung
dilanda kejutan. Haji Zaki paling terkesan dengan situasi yang terjadi sehingga
jatuh sakit tak lama kemudian. Di akhirnya, Haji Zaki meninggal tatkala anaknya
itu masih lagi menerima hukuman di penjara.
“Bila dibebebaskan, semua ahli keluarga arwah Haji Zaki
bersetuju supaya diberikan sebidang tanah di hujung kampung tu untuk Cikgu
Nadri. Dibina sebuah pondok kecil di situ untuk Cikgu Nadri tinggal,” terang
Haji Midin.
Tiada siapa yang
mengunjungi Cikgu Nadri di pondok itu. Hanya sekali-sekala adik perempuannya, Aminah datang menjenguk untuk bertanya khabar.
Rata-rata ahli keluarga arwah Haji Zaki malu dengan apa yang berlaku. Maka
itulah kisahnya, tatkala ada yang melihat pondok kecil di hujung kampung itu.
Di sebalik pondok kecil itu tersembunyi sebuah kisah yang tak ramai ketahui.
Kisah itu semakin lama semakin dilupakan tatkala masa berlalu dengan pantas.
“Jadi, di mana pula Cikgu Zahid sekarang?” soal Azrul.
Seperti kebiasaan rutin harian, maka Zahid pasti akan
singgah ke warung Haji Midin selepas tamat sesi persekolahan. Umurnya kini di
awal 40-an, dan masih tetap mengajar di sekolah yang sama. Zahid ternyata
semakin selesa menetap di kampung itu. Di kampung itulah dia membesarkan
anak-anaknya. Bahagia di samping isterinya, maka kini anak sulungnya baru
sahaja memasuki tingkatan satu di sebuah
sekolah berasrama penuh.
Seperti biasa juga, Zahid akan pulang ke rumah setiap
hari. Setiap hari itu jugalah dia akan disambut dengan senyuman manis
isterinya. Walaupun telah hampir 15 tahun mendirikan rumah tangga, bahagianya
tetap sama.
“Apa khabar isteri abang hari ni?” soal Zahid sebaik tiba
di rumah. “Apa khabar Thahirah?”
“Semanis senyuman seindah kata-kata. Setiap isteri
kewajipannya adalah untuk menyambut suaminya pulang bekerja,” balas Thahirah
mencium tangan suaminya. “Jom kita
makan. Anak-anak dah lama tunggu”
Thahirah dan Zahid mencipta satu sisi kebahagiaan.
Bermula dengan satu persoalan satu ketika dahulu, kini mereka bahagia bersama
tiga orang anak kesayangannya. Moga terus melakar keindahan untuk hari-hari
mendatang. Walau apa pun cabaran dan dugaan, moga mereka kekal hingga ke akhir
hayatnya.
Bagi Cikgu Nadri, hari-harinya kini hanya dihabiskan di
pondok kecil itu. Menghabiskan sisa-sisa kehidupan bersendirian tatkala tiada
siapa yang mengambil peduli. Itulah hukuman dunia, mula dirasakan buat yang
bersalah.
“Tugas sebagai guru adalah satu amanah. Amanah yang
dipegang bukan sesuatu yang ringan dan mudah. Kalau tak amanah dalam tugasnya,
maka itulah yang melahirkan cikgu musang berjanggut,” bicara Zahid di satu
petang menikmati hidangan teh bersama Thahirah.
“Moga menjadi satu pengajaran untuk kita semua,” kataThahirah
menutup kisah. Mungkin itu penamatnya, namun buat mereka, pasti akan ada
kisah-kisah yang bakal dikongsikan satu masa nanti.
*Perkataan "Sizura" dibentuk dari perkataan Bahasa Inggeris "Caesura" yang membawa maksud: berhenti sebentar dan masa antara dua peristiwa atau tindakan.
(Sebuah lagi cerpen hasil nukilan: Muhammad Yazid Rosly )
Turut ditujukan kepada: Farhana, Hamidah, Zaimah dan kesemua pembaca setia blog ini.
Ulasan
Bila dah baca tuh, wow! it's not! haha! I was fooled by the title!
Story well developed, I enjoy reading it :-)