Yazid dan Hazwani; dua dunia berbeza berkongsi jiwa dan hati

Agak romantis barangkali tajuk entri kali ini. Berpuitis dalam bicara, barangkali mahu mencambahkan kasih dan sayang. Suami dan isteri; kuncinya ialah bahagia berkasih sayang.

Memang fitrah yang diciptakan untuk manusia, lelaki dan wanita akan saling ditakdirkan untuk mencintai di antara satu sama lain. Apabila wujud hati diserikan dengan rasa cinta; maka dua hati akan bersatu, mencipta hati dan jiwa yang saling melengkapi. Iya, saling melengkapi. Kita hidup untuk saling memerlukan, melengkapkan mana yang kurang.

Kata orang, pasangan yang ideal haruslah mempunyai persamaan di antara satu sama lain. Dari persamaan itulah, maka kita akan lebih mudah untuk berkongsi hidup. 

Kalau ikut teorilah. Tapi teori tak semestinya benar. realiti kehidupan lebih kompleks dari apa yang diteorikan.

Isteriku lebih mudah dariku; malah jurang umur juga agak jauh. Hakikatnya, aku tidak pernah berniat untuk mencari seorang wanita bergelar isteri yang lebih muda dari usiaku. Namun apabila kunfakun, maka kunfayakun akhirnya. Takdir dan ketentuan Ilahi adalah lebih besar mengatasi segala perancangan kita. 

Barangkali jurang umur itu jugalah, maka teori yang menyatakan bahawa pasangan itu harus mempunyai minat yang sama bagi mengecapi bahagia dalam rumah tangga mungkin agak kabur dalam konteks di antara aku dan isteriku.

Iya, memang banyak perbezaan minat jika mahu dibandingkan di antara aku dan isteriku. Bagai langit dan bumi; namun itulah indah dalam berumah tangga.


Introvert vs ekstrovert

Satu perkara yang paling ketara di antara aku dan isteriku adalah personaliti. Sejak kecil lagi, aku memang mempunyai sifat perwatakan introvert; lebih selesa untuk bersendirian, tidak banyak bercakap dan bergaul dengan orang lain, dan suka menghabiskan masa di rumah. Untukku berada di majlis sosial seperti kenduri dan majlis-majlis lain adalah amat berat bagiku; walaupun kebanyakan waktu aku memaksakan diriku untuk ke sana (takut juga digelar kera sumbang, tak nak bergaul dengan orang lain). Hakikatnya, jiwaku lebih selesa untuk tidak berada di tempat-tempat yang ramai orang. Mungkin ada sesetengah menyatakan bahawa aku ini seorang pemalu. Iya, barangkalu ada betulnya juga.

Namun perwatakan itu sangat berbeza buat isteriku. Orangnya lebih berani barangkali, sangat suka bergaul dan berbual dengan orang lain. Sentiasa ceria dan sukakan majlis-majlis sosial; dan tahu untuk membawa diri di tempat awam. Seorang yang tidak malu untuk bertanya, dan sentiasa kehadapan apabila diperlukan. Dalam soal hubungan dengan masyarakat di luar, isteriku sangat mudah untuk mesra. Maka tidak hairanlah sejak menetap di Taiping; kenalan dan rakan isteriku di Taiping lebih banyak berbanding diriku.

Namun, itulah yang indah. Apabila ektrovert dan introvert disatukan dengan ikatan perkahwinan; apa yang aku sedar ialah kami saling melengkapi di antara satu sama lain. Tidak pernah ada konflik disebabkan perawatakan ini; kerana di setiap kelemahan masing-masing akan dilengkapi dengan kelebihan masing-masing juga.


Minat lagu

Salah satu perkara yang menunjukkan perbezaan ketara di antara aku dan isteriku adalah minat lagu. Genre lagu yang aku minati ternyata sangat berbeza dengan apa yang diminati isteriku. Untukku, arah minat muzikku adalah lebih ke arah muzik hip hop, indie dan rock alternatif. Barangkali disebabkan aku membesar di zaman kemuncak muzik indie; di saat radio Xfresh FM sangat popular (radio ini dah tak wujud malangnya) dalam kalangan remaja; dan di saat band-band seperti Hujan, Bunkface, Meet Uncle Hussein, Estranged mula mencipta populariti. Di zaman remaja, aku berada dalam gelembung genre muzik yang berbeza pada waktu itu. Lagu dan muzik yang aku minat memang tidak mengikut arus perdana (mainstream). Maka disebabkan itu jugalah, minat muzikku agak berbeza dengan mereka yang lain.

Sehingga kini, aku tidak boleh mengikuti muzik-muzik terkini yang dimainkan di radio dan Youtube. Jiwaku tidak boleh masuk dengan rentak lagu-lagu popular masa kini. Aku tidaklah nyatakan bahawa genre muzik pada hari ini berkualitu rendah; namun di sudut pandanganku; kualiti yang dipersembahkan muzik masa kini tidak kena dengan seleraku. Disebabkan itu jugalah, aku jarang mendengar siaran radio baik Hotfm mahupun stesen-stesen radio yang lain.

Bagiku, sebuah lagu dan muzik itu harus bersifat ensentrik dan unik. Liriknya juga harus mendalam dan puitis. Bukanlah sebuah lagu yang tipikal dan lirik bak budak tadika yang menulis. Muzik sekarang terlalu murah.

Itu pandanganku.

Namun berbeza dengan isteriku. Genre muzik yang menjadi kegemaran isteriku lebih ke arah arus perdana. Isteriku masih boleh melayan dan menikmati lagu-lagu masa kini; baik artis baru mahupun yang lama. Lagu-lagu rock jiwang seperti Spin, Spoon dan lagu sezaman dengannya menjadi minat isteriku. Malah setiap lagu viral di Youtube mahupun di Instagram dan Tik Tok mudah dihadam dan diminati isteriku. Barangkali disebabkan itu jugalah, lagu yang aku minati mungkin susah untuk dihadam isteriku; dan begitu sebaliknya, lagu yang isteriku minati juga susah untukku hadam dan hayati.

Namun yang pasti, walaupun kami mempunyai minat genre muzik yang sangat berbeza, kami pasti akan menemui titik persamaan di akhirnya. Ada lagu yang diminati isteriku; di awalnya tidak aku suka. Namun perlahan-lahan aku juga mula jatuh cinta dengan lagu itu. Lagu Selamanya Cinta nyanyian Shila Hamzah dan Alif Satar adalah antara lagu yang tidakku minati; namun lama-lama menjadi kegemaranku disebabkan isteriku.

Itulah namanya, saling melengkapi. Berbeza, namun senada akhirnya.


Susu, kopi, dan teh; kesukaan suami namun tidak bagi isteri

Satu perbezaan ketara di antara aku dan isteri adalah dari sudut minuman kegemaran. Bagiku, kopi adalah segala-galanya buatku; kerana aku merupakan pencinta kopi. Namun berbeza dengan isteriku; yang memang tidak menyukai segala jenis minuman berkafein. Begitu juga dengan susu; isteriku juga tidak begitu menggemarinya.

Memang agak janggal tatkala tidak mempunyai teman untuk menikmati dan menghirup kopi atau teh di rumah. Namun itulah keindahannya; kerana jimat sikit untuk beli kopi dan teh di rumah. Ok baik, itu bukan alasan yang konkrit.

Walaupun isteriku bukan pecinta kopi; isteriku selalu membeli kopi atau minuman berkafein lain untukku. Iya, memang selalu isteriku yang akan belanja bila berjalan-jalan berdua dengannya.


Kami anak sulung; ya itulah persamaan yang ada!

Memang agak banyak perbezaan di antara kami berdua. Dalam banyak segi, memang kami ini diibaratkan seperti langit dan bumi. Namun di antara langit dan bumi itu, akan bertemu juga di garisan ufuk. 

Hakikatnya, kami suami isteri ialah anak sulung dalam keluarga. Aku sulung lelaki, mempunyai 5 orang adik; isteriku pula sulung perempuan yang mempunyai 3 orang adik. Satu perkara yang boleh diakui; masing-masing memang matang dalam mengharungi perlayaran rumah tangga. Dalam segenap segi; amat jarang sekali emosi menguasai masalah dalam rumah tangga kami. Semua perkara akan diharungi dengan penuh kematangan.

Ada yang berkata, sulung dengan sulung adalah kombinasi yang kurang baik untuk sebuah perkahwinan. Namun untukku dan isteri; kami tidak pernah menghadapi sebarang masalah; walaupun kami merupakan anak sulung. Barangkali disebabkan aku lebih tua dari isteriku, maka kami jarang menghadapi sebarang konflik. Masalah sikit-sikit itu memang biasalah; dalam berumah tangga pasti akan ada masalah. Namun setiap masalah haruslah ditangani dengan tenang dan matang.


Aku dan dia; dua dunia berkongsi satu sanubari

Memang aku dan isteri mempunyai banyak perbezaan. Namun perbezaan itulah yang membuatkan kami saling melengkapi di antara satu sama lain. Kelemahan yang ada padaku akan dilengkapi dengan kelebihan yang ada pada isteriku. Dan setiap kekurangan yang ada pada isteriku; akan dilengkapi dengan kelebihan yang ada padaku.

Dalam realiti dunia ini, tiada istilah kesempurnaan. Hakikatnya kita memang dicipta untuk memiliki kelebihan dan kekurangan. Manusia adalah insan kamil, bersifat kerdil dan tidak sempurna. Maka sama-samalah kita untuk saling melengkapi; saling bertolak ansur, dan senantiasa hormat di antara satu sama lain.

Apa yang penting, kebahagiaan dalam berumah tangga semuanya bermula dengan hati yang ikhlas.

Terima kasih buat Wawaku. Secebis hati yang disatukan; membentuk satu jiwa yang indah. Diselimuti dengan cinta dan bahagia. Sentiasa mengasyikan untuk dihayati jauh ke dalam sanubari. Keindahan bagaikan sebuah hablur oniks.

Alhamdulillah.


Salah satu cara untuk menampakkan isteri tinggi apabila bergambar ialah; suami harus duduk. Ok, sekadar gurauan sahaja.






 





Ulasan

Catatan Popular