"Adina (Bicara Tiga Puluh Satu)"
“Bayangkan kalau rindu tak tertahan, dan hati
meronta-ronta nak diluahkan kata bicaranya?”
Barangkali itu yang terlintas di hati. Dalam pelbagai
persoalan, bicara di fikiran terus bermain tanpa henti.
“Ya, tak mudah berpisah bila dah diikat. Tak senang duduk
bila ada waktunya memikirkan orang yang kita sayang,” bisiknya.
Mungkin juga kerinduan seringkali tercipta. Merindui
seorang suami, tatkala terpisah disebabkan tanggungjawab sebagai pelajar, namun
pada masa yang sama permainan perasaan itu ada ketikanya hanya singgah
sementara.
“Bila berjumpa, girang tak terkata. Bila berdepan,
membisu seribu bahasa,” bisik Abyatina. “Apalah susah nak tutur bicara, padahal
dia tu suamimu...”
Kisahnya, perjalanan Abyatina dan Rizqullah bergelar
sebagai mahasiswa di USM menjadi satu sisi perjalanan yang baru buat mereka.
Setelah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga, dan dikurniakan pula seoarang
anak, maka kisah perjalanan mereka di alam pengajian tinggi bukan sesuatu yang
mudah.
“Mana nak tahan rindu pada suami. Rindu si suami itu satu
ibadah. Lagi mendalam rindu di dalam hati, maka bertambah juga ibadahnya,”
bicara Abyatina kepada Rizqullah dalam satu perbualan telefon.
Ibu Abyatina pula seringkali meminta Rizqullah mencari rumah
sewa di luar kampus supaya Abyatina dan Rizqullah dapat tinggal bersama. Namun
setiap kali permintaan itu disuarakan, maka Rizqullah hanya tersenyum.
“Kenapa tersenyum sahaja?” soal Abyatina.
“Kata orang, kalau nak tambah rasa sayang, maka rindu-rinduan
itu satu pemanisnya...”
Seakan mengerti, lantas Abyatina membalas.
“Jadi dengan kita terpisah, boleh mencetuskan
rindu-rinduan?”
“Tak rindu ke?” balas Rizqullah menjeling dalam usikan
terhadap Abyatina.
Walaupun dibolehkan buat Abyatina dan Rizqullah untuk
menetap bersama pada semester pertama di USM, Rizqullah memutuskan supaya
masing-masing untuk tinggal secara berasingan di kolej kediaman masing-masing.
Abyatina di awalnya kurang bersetuju, namun terpaksa akur.
“Bukannya lama. Masuk semester dua, kita cari rumah sewa.
Tinggal sekali,” pujuk Rizqullah satu masa dahulu.
“Tapi kenapa tak sekarang saja dicarinya rumah? Kenapa
tak terus tinggal sekali?” soal Abyatina.
“Bukan senang nak cari rumah. Kalau jumpa pun belum tentu
sesuai dengan kita. Lagi elok kita tinggal di kolej dulu. Sesuaikan dengan
keadaan dan bila dah tiba masa, semester dua kita tinggal sekali,” balas
Rizqullah. “Lagipun, kalau nak rasa betul-betul jadi pelajar universiti,
kenalah betul-betul rasa seperti orang bujang,” bicara Rizqullah sedikit
berseloroh.
“Bujanglah sangat. Jangan sampai bujang, mata meliar mencari
yang lain...” balas Abyatina mencebik bibirnya.
“Kalau ada rezeki, apalah salahnya...” balas Rizqullah
mengusik.
Maka sepantas kilat Abyatina mencubit tangan Rizqullah. Gerakan
spontan terjadi dek usikan dari Rizqullah itu.
Kisah seterusnya, maka Abyatina dan Rizqullah
mendaftarkan diri di USM. Pengalaman pertama bergelar seorang pelajar, ternyata
debaran dan gementar itu lebih banyak dirasai Abyatina. Berbanding Rizqullah
yang telah biasa berjauhan dengan keluarga sewaktu menyambung pengajian di
maktab perguruan beberapa tahun sebelumnya, bagi Abyatina, inilah pengalaman
pertama buatnya.
“Jaga diri Abyatina. Moga tenang hati. Jangan resahkan
fikiran,” pesan Rizqullah saat Abyatina melangkah meninggalkannya menuju ke blok
kediaman perempuan di USM. Rizqullah hanya memerhati dari jauh saat Abyatina
perlahan-lahan melangkah meninggalkannya.
“Abang juga...” bisik Abyatina melangkah meninggalkan
suaminya itu.
Hati Abyatina memang sangat sebak namun cuba
disembunyikan dalam dirinya. Wajahnya langsung tidak menoleh ke belakang untuk
melihat Rizqullah. Walaupun hati memberontak untuk melihat sekali lagi wajah
suaminya, namun niatnya itu dihalang. Andai ditoleh kembali, mungkin degup
sedih akan terpancar di wajahnya.
“Selamat tinggal Abyatina...” bisik Rizqullah pula sambil
tangannya cuba melambai-lambai ke arah Abyatina. Walaupun Abyatina tidak sekali
pun cuba menoleh kembali ke arah Rizqullah, namun tangannya terus melambai buat
isterinya itu.
Sebak juga dirasakan buat Rizqullah. Perpisahan yang
terjadi itu dirasakan cukup berat untuk dirasakan. Bagai perpisahan dalam
tempoh yang cukup lama. Barangkali mereka tidak pernah berpisah sedemikian,
maka baik Abyatina mahupun Rizqullah, saat itu degupan rasa sayu ternyata
dialami mereka.
Saat itu juga, langkah yang berat diatur buat Rizqullah.
Berjalan menuju ke blok kediamannya. Agak jauh juga, dan ditambah pula dengan
perasaan yang bercampur baur, maka langkah yang diatur itu bukanlah sesuatu
yang mudah. Gundah gulana menguasai diri, bagaikan menjerit hatinya seolah-olah
mahu saja menerkam kembali Abyatina dan pulang bersama.
“Oh, kegilaan. Bayang-bayang dah jadi gila. Gila bayang
nampaknya...” bisik Rizqullah di dalam hatinya. Sedikit tersenyum sambil kaki
melangkah menuju ke biliknya yang baru saja didudukinya.
Malam itu, hanya Abyatina dan Rizqullah saja yang tahu
detik rindu yang dirasakan. Bertemankan kain pelikat yang dicuri ambil dari beg
pakaian Rizqullah, maka Abyatina cuba melelapkan mata yang ternyata keletihan.
Bagi Rizqullah pula, dirinya hanya terus berjaga di tengah malam, keluar dari
biliknya mengambil angin malam, berjalan-jalan menikmati kenikmatan udara yang
dingin.
“Kalaulah ini yang Abyatina rasa bila aku tinggalkan dia
dulu, memang aku yang bersalah,” bisik Rizqullah di dalam hatinya. Saat kaki
terus melangkah tanpa arah tujuan, fikirannya melayang mengenangkan rasa gundah
gulana yang dirasai ketika ini. Rasa susah hati tatkala berpisah dengan
Abyatina buat sementara, maka rasa mengantuk langsung tak dirasai. “Nyenyakkah
Abyatina malam ni? Mungkin sama macam aku? Susah di hati?”
Hakikatnya, memang Abyatina merasai susah di hati malam
itu juga. Namun bezanya, lena Abyatina tercipta dengan mudah. Malah barangkali
disertai dengan rima dengkuran keletihan.
“Tu dia. Dengkur macam kereta api...” bicara rakan
sebilik Abyatina yang baru dikenalinya.
Perjalanan minggu orientasi bukan suatu kebiasaan. Dalam
tempoh baru memulakan hidup di USM, maka barangkali minggu suai kenal itu
menjadi satu peluang buat kesemua pelajar untuk saling mengenali. Mungkin juga
menjadi detik merbahaya buat Rizqullah. Satu ancaman berkemungkinan.
“Nama awak siapa?” soal seorang pelajar lelaki yang
tiba-tiba menyapa tatkala Abyatina sedang menikmati hidangan sarapan pagi.
Abyatina hanya membisu. Hanya tersenyum dan serentak
dengan itu bangun meninggalkan lelaki tersebut. Mungkin rimas dengan gangguan
yang tak diundang itu. Pertama kali melalui pengalaman sedemikian dan saat itu
kelibat Rizqullah tidak kelihatan. Namun di saat itu jugalah, fikiran Abyatina
terlintas kembali akan perjanjian yang dibuat dengan suaminya itu.
“Rahsiakan hubungan kita. Mungkin sementara...” bicara
Abyatina sehari sebelumnya.
Maka ujian pertama mungkin tercipta. Buat pertama
kalinya, Abyatina menjadi tarikan di kampus. Seorang lelaki barangkali
menunjukkan minat terhadap Abyatina pada pagi itu dan saat itulah Abyatina
merasakan satu panahan dugaan buatnya. Benar, tiada siapa yang tahu statusnya.
Tiada siapa yang tahu Rizqullah itu suaminya.
“Dan kenapa boleh timbul idea mengarut tu? Kenapa nak
berlakon bagai orang yang masih bujang? Kalau salah langkah, padah jadinya”
Bicara Raiqah muncul di waktu tengah hari tatkala buat
pertama juga Abyatina menghubungi kakaknya itu. Perbualan menerusi telefon itu
menjadi agak panjang dengan perkongsian kisah pengalaman pertama di universiti
menjadi tajuk perbualan utamanya.
“Kalau awal-awal dah tahu statusnya, takut nanti tak
ramai kawan yang nak berkenalan...” balas Abyatina dalam perbualan telefon itu.
“Kalau yang nak berkenalan denganmu semuanya lelaki,
bukankah itu masalah nanti?” soal Raiqah.
“Hebat sangatkah Ina sampai semua lelaki nak berkenalan?”
Raiqah ketawa kecil. Barangkali ketawa sinis dengan
kata-kata Abyatina itu. Hakikatnya, Abyatina pasti akan menjadi tarikan di
mana-mana. Hatta di kampung halamannya dulu pun, pelbagai kisah dan siri-siri
fitnah tercetus dek tarikan wajah Abyatina itu. Maka tidak mustahil tarikan itu
tetap juga wujud tatkala Abyatina melangkah masuk ke USM. Cantik Abyatina bukan
kepalang. Keindahannya bagai cahaya rembulan, pasti menarik mana-mana lelaki
untuk mendekatinya.
“Putihnya kulit Abyatina, carilah seluruh kampung...
memang takkan jumpa”
Bicara Ustaz Man satu masa dahulu, tatkala Abyatina baru
sahaja menjadi tunangan Rizqullah. Bicara itu disampaikan kepada Rizqullah dan
kisah itu terus terngiang-ngiang dalam kepalanya.
“Memang cantik Abyatina tiada tolok bandingnya...”
monolog Rizqullah sendirian.
Waktu tengah hari tatkala pelajar baru yang lain berehat
dan menikmati hidangan, Rizqullah hanya termenung panjang, duduk di tepi tasik
menikmati sedikit hembusan angin yang dapat dirasakan. Sejak malam semalam,
Rizqullah masih terus termenung. Angau si Abyatina menguasai dirinya sejak kali
pertama menjejakkan kaki ke USM.
“Bukan tak pernah mu berpisah dengan Rizqullah...” bicara
Raiqah yang masih rancak dengan perbualan telefonnya bersama Abyatina. “Dulu
pun, Rizqullah pernah tinggalkanmu. Lama juga tempohnya...”
Kisah lama muncul pula dalam kotak fikiran Abyatina.
Ujian dan dugaan dahulu muncul kembali. Krisis dan pelbagai halangan yang dihadapi
Abyatina sewaktu di awal perkahwinan dahulu ternyata bukan sesuatu yang mudah
untuk dilupakan. Masih segar lagi di ingatan, saat kemuncak dugaan itu tatkala
mereka hampir sahaja menuju ke arah penceraian.
“Pisah yang dahulu dengan pisah yang sekarang jangan
disamakan. Dua perkara berbeza, dengan dua situasi yang berbeza,” balas
Abyatina terhadap kenyataan Raiqah itu.
“Apa mu memang nak balas dendam?” soal Raiqah.
“Dendam apa pulanya?”
Barangkali seakan menghidu, Raiqah membicarakan perihal
dendam. Kisah dulu-dulu, maka ingatan kembali segar. Abyatina ternyata
seringkali menjadi mangsa keadaan satu masa dahulu tatkala dugaan demi dugaan
muncul. Saat dugaan itulah, maka seringkali juga Abyatina ditinggalkan
Rizqullah di kampung. Perpisahan yang disengajakan, dicipta Rizqullah atas
alasan mahu mententeramkan keadaan, namun mungkin cukup menyeksakan buat
Abyatina.
“Ya... memang rindu teramat sangat waktu tu. Bila
ditinggalkan di kampung, hati selalu ingat dia...” bicara Abyatina saat
terkenangkan kisah lama.
Tatkala Abyatina ditinggalkan di kampung, maka rasa rindu
itu bertambah-tambah terhadap suaminya. Benar, Abyatina banyak terasa di hati
walaupun senantiasa tersenyum tatkala Rizqullah muncul semula di kampung untuk
mengambilnya.
“Tapi untuk berdendam jauh sama sekali,” bicara Abyatina
terhadap Raiqah.
“Jadi, kenapa nak dirahsiakan hubungan suami isterimu?
Bukan itu permintaanmu pada Rizqullah?” soal Raiqah.
Abyatina terkelu seketika. Diungkitkan pula syarat yang
diberikan Abyatina terhadap Rizqullah saat sebelum mereka mendaftar diri di
USM.
“Hebat betul permainan kakak aku ni...” bisik Abyatina di
dalam hatinya.
Satu demi satu, maka di akhirnya Raiqah berjaya
memerangkap soal yang utama. Kisah permintaan Abyatina supaya hubungan
perkahwinannya itu dirahsiakan menjadi satu perkara yang mendapat perhatian.
“Kenapa nak rahsiakan?” soal Raiqah.
Ibarat seperti membalas dendam yang lama, itulah yang
diperihalkan Raiqah. Jika dulu, Abyatina menderita dek rindukan Rizqullah yang
meninggalkannya, namun kini Abyatina pula yang cuba menjarakkan diri dengan
Rizqullah. Mungkin membalas apa yang pernah dirasakan Abyatina satu masa
dahulu.
“Memang rindu bukan kepalang...” bisik Rizqullah dalam
hatinya. Masih berada di tepi tasik dan terus termenung, inilah pertama kalinya
Rizqullah dilanda demam rindu terhadap isterinya.
Sejak awal pagi lagi, maka perkara pertama dibuat
Rizqullah adalah mencari kelibat isterinya Abyatina. Namun, dalam keramaian
pelajar baru di USM, dengan kesibukan hari pertama orientasi, di akhirnya
Rizqullah masih tidak ketemu Abyatina. Tiada cara lain yang dapat dilakukannya,
hanya matanya terus meliar-liar di awal pagi itu, mencari Abyatina.
“Apakah ini balasan dengan apa yang aku buat dulu?
Tinggalkan Abyatina....” monolog Rizqullah. Persoalan masih terus berlegar dan
resah di hatinya masih berterusan. “Mungkin nak dirahsiakan sebagai hukuman
untuk aku?”
Rizqullah terus dalam lamunan lagi. Mungkin juga menunggu
azan Zohor yang akan berkumandang tidak lama lagi. Masjid tidak jauh dari tasik
itu.
“Kalau nak diberi sebab, memang tak ada. Cuma apa saja
yang Ina minta, bukannya satu yang menggila,” balas Abyatina terhadap
pertanyaan kakaknya Raiqah, menyambung kembali perbualan terlefon yang
tercipta.
“Jangan mu terlalu banyak bermain jarum. Takut tersalah
cara, luka di jari...” pesan Raiqah. Maka perbualan telefon itu terhenti begitu
sahaja.
Pesanan itu terus terngiang-ngiang dalam fikiran
Abyatina. Mungkin permainan telah dimulakannya, cuba menari-nari dalam soal
perasaan, menguji kerinduan Rizqullah.
Namun, minggu orientasi itu diteruskan tanpa sebarang
musibah yang melanda. Dalam tempoh seminggu itu, maka selama itulah Abyatina
tidak bersua dengan Rizqullah. Ibarat cuba mengelakkan diri, Abyatina seakan
sengaja menjauhi Rizqullah. Ternyata Abyatina memang mengatur satu permainan.
Hanya dirinya sahaja tahu gerak tari permainan itu.
“Di mana dirimu Ina?....” keluh Rizqullah.
Di satu hari, selepas selesai solat Jumaat yang pertama
di USM, maka Rizqullah mengatur langkah menuju ke kafetaria untuk menikmati
hidangan tengah hari. Langkah longlai barangkali dirasakan tatkala hati semakin
resah terkenangkan Abyatina. Hampir seminggu tidak bersua, maka pelbagai
persoalan muncul di fikiran.
“Assalamualaikum”
Langkah terhenti. Tangannya ditarik seseorang dari
belakang. Tatkala itu, Rizqullah menoleh. Maka hatinya bagai dilanda satu
gelodak perasaan yang gembira tak terkata. Abyatina kini berdiri di hadapannya,
muncul setelah hampir seminggu tak bersua. Saat itu, mahu sahaja dipeluk
Abyatina seerat-eratnya.
“Allahuakbar... Lama sungguh tak berjumpa!” tutur
Rizqullah dalam nada gembira. Tangannya terus menggenggam erat tangan Abyatina.
Jari jemari Abyatina disentuh penuh kelegaan, menghilangkan rindu yang dirasakan.
Kelibat para Adam yang baru sahaja pulang dari masjid tidak lagi dipedulikan
Rizqullah.
“Erk... abang...”
Genggaman itu dilepaskan Abyatina. Barangkali segan dengan
situasi di khalayak ramai itu atau mungkin juga tidak menduga serindu itu yang
dijelmakan Rizqullah. Namun, di fikiran Abyatina menjaga kerahsiaan hubungan
mereka sebagai suami isteri itu lebih banyak berlegar dalam situasi sebegitu.
“Kenapa, takut orang tahu?” soal Rizqullah tatkala
Abyatina melepaskan genggaman tangannya.
“Abang dah janji bukan? Suami isteri itu jadi rahsia di
sini?” balas Abyatina.
“Di tengah-tengah kepanasan di sini, siapa yang akan
tahu? Siapa yang kita kenal di sini?” balas Rizqullah tersenyum sinis.
“Janji tetap janji. Rahsia tetap rahsia...”
“Ina nak tinggalkan abang lagi?” soal Rizqullah.
Abyatina tersenyum. Tangan suaminya terus ditarik.
Rizqullah menurut sahaja Abyatina.
“Hari ini abang ikut saja Ina,” bicara Abyatina yang
kelihatan agak teruja.
“Dari mana dan nak ke mana?”
“Dari hati yang gundah gulana, menuju jiwa yang dalam
gembira,” balas Abyatina berkias. “Mungkin Ina perlu bayar hutang seminggu
untuk abang?”
“Mampukah Ina membayar hutangnya?” usik Rizqullah pula.
Mereka terus berjalan meninggalkan perkarangan masjid menuju ke destinasi yang
hanya diketahui mereka.
Seharian mereka menghabiskan masa bersama. Buat kali
kedua, Abyatina dan Rizqullah seolah-olah berbulan madu sekali lagi di Pulau
Pinang. Imbasan masa lalu, maka pasti masing-masing terkenangkan kisah kali
pertama mereka bersama-sama ke Pulau Pinang. Waktu itu, Abyatina dan Rizqullah
melawat Ustaz Man yang dirawat di Hospital Pulau Pinang. Menyelusuri perjalanan
menggunakan kereta api dan kemudian diteruskan pula dengan feri sebelum tiba di
bandar Georgetown, kisah pengembaraan mereka itu ternyata tidak dapat
dilupakan.
“Mungkin aturan Allah, kesudahannya Ina berbulan madu
dengan abang waktu tu...”
Bicara Abyatina mengimbas kembali kisah beberapa tahun
yang lalu. Kisah ketika Abyatina dan Rizqullah baru sahaja mendirikan rumah
tangga.
“Mungkin aturan Allah juga, sekali lagi takdir kita di
sini...” kata Rizqullah pula. Saat perbualan itu tercipta, masing-masing sedang
menikmati hembusan bayu di Batu Ferengghi. Menenangkan jiwa dan mungkin juga
cuba mencetuskan rasa romantis di antara mereka.
“Erk... tolonglah. Nak romantis lagi?” bicara Abyatina
spontan.
“Hah?” Rizqullah terkejut tatkala secara tiba-tiba
Abyatina berbicara sedemikian. “Kenapa pula?”
Abyatina hanya tersengih dan tersipu-sipu. Mungkin malu
dek tersasul bicara yang terlintas dalam hatinya.
“Bagaimana pula boleh terlepas cakap di mulut ni?”
monolog Abyatina di dalam hati.
“Jadi, macam mana seminggu di USM? Senyap saja Ina,
langsung tak jumpa abang...” kata Rizqullah meneruskan kembali perbualan
mereka.
“Banyak kisahnya...”
“Kongsikan saja. Banyak masa yang kita ada...” balas
Rizqullah. Ternyata Rizqullah seakan berminat untuk mendengar celoteh
perkongsian isterinya itu.
“Ada banyak siri kisahnya...”
“Mulakan dengan siri yang pertama,” kata Rizqullah.
“Siri pertama bunyinya begini...”
Kisahnya, terdapat seorang lelaki cuba mendekati
Abyatina. Pada hari pertama orientasi, seorang lelaki dengan namanya Hijazi
muncul beberapa kali untuk menegur sapa Abyatina. Ibarat satu kuasa magnetik,
maka ke mana sahaja Abyatina berada pasti Hijazi akan memunculkan diri. Namun,
walau ditegur beberapa kali sekalipun, Abyatina sekadar membisukan diri membuat
tidak peduli.
“Cemburu?” soal Abyatina dalam nada serius walaupun
hakikatnya cuba mengusik Rizqullah.
“Siapa tak sayang bini ooi....” balas Rizqullah
berseloroh.
Hari kedua orientasi, Hijazi muncul lagi. Kali ini
tatkala waktu sarapan, maka Hijazi dengan beraninya terus duduk di meja tempat
Abyatina menikmati hidangan pagi. Kejutan melanda, dan serta merta dalam
situasi spontan, Abyatina mencurahkan air teh panas ke arah Hijazi. Serta-merta, kekecohan tercipta di pagi itu.
“Kenapa tak dicurah satu teko saja teh panas?” usik
Rizqullah.
“Kalau ada sebaldi air pun, memang Ina curahkan...” balas
Abyatina.
“Tapi, kenapa sampai nak dicurah airnya?”
“Terkejut mungkin...” jawab Abyatina. “Selain dari abang,
tak ada lelaki lain yang pernah duduk serapat itu dengan Ina. Semuanya
spontan...” terang Abyatina. “Sebab tu boleh tercurah air panas”
“Mungkin bagus juga. Satu pengajaran buat yang cuba
menganggu isterinya Rizqullah,” bicara Rizqullah.
“Tapi tak boleh salahkan mereka. Siapa yang tahu hubungan
kita kecuali kita berdua sahaja?”
“Tapi kenapa Ina nak rahsiakan?” soal Rizqullah yang
ternyata ingin tahu jawapannya.
“Abang tak nak tahu kisah seterusnya?” Abyatina membalas
dengan soalan juga, cuba mengubah tajuk perbualan. Lantas tumpuan Rizqullah
kembali ke arah penceritaan Abyatina semula.
“Teruskan...”
“Siri kedua bunyinya begini...”
Hari pertama Abyatina mendaftar masuk ke USM, maka dengan
mudah dan tanpa dirancang, Abyatina telah bertemu dengan kenalan yang baru.
Seorang sahabat baru ini datang tiba-tiba dan terus menghampiri Abyatina. Terus
disapa Abyatina sebagai tanda perkenalan. Tatkala sesi perkenalan berlangsung,
maka Abyatina seakan terkejut.
“Kenapa terkejut?” soal Rizqullah.
“Sebab namanya seakan-akan Ina,” jawab Abyatina.
“Namanya, Absarina...”
Sahabat baru itu berasal dari Kedah, fasih berbicara
walaupun pekat dengan loghat utaranya. Secara kebetulan juga, Absarina juga
mengambil bidang kursus yang sama seperti Abyatina. Di akhirnya, Abyatina dan
Absarina ditempatkan di bilik yang sama. Maka saat itu, terjalinlah
persahabatan yang baru. Dua nama yang hampir sama, kini saling mengenali.
“Jadi, sebab tu Ina langsung tak terfikir nak jumpa
abang?” soal Rizqullah. “Sebab dah jumpa kawan baru?”
“Abang tak ada kawan baru di sini?” soal Abyatina
kembali.
Rizqullah hanya membisu sahaja kerana hakikatnya
sepanjang minggu orientasi, dirinya lebih banyak menyendiri. Apabila hati
seringkali rindukan isterinya, maka semua yang lain bagai tak penting baginya.
“Jadi, apa kisah seterusnya?” soal Rizqullah mengubah
tajuk perbualan.
“Kisah ketiga bunyinya begini...”
Pada hari ketiga orientasi di USM, maka setelah tamat
slot taklimat di pagi hari dan tatkala itu Abyatina sedang berjalan menuju ke
kafetaria, maka Absarina rakan baru Abyatina bergegas menghampirinya. Lantas
terus dihulurkan sepucuk surat kecil berwarna putih kepada Abyatina.
“Surat apa dan dari siapa?” soal Rizqullah ingin tahu.
“Surat cinta mungkin...”
“Cinta? Dari siapa cinta tu?”
Abyatina tidak tahu pengirim surat itu. Hanya nama yang
tercatat sebagai Rizqin dilihat dalam surat itu. Isi kandungannya sekadar
membicarakan mengenai niat untuk berkenalan, mahu berkawan dengan Abyatina.
Namun di sudut hati Abyatina, dirinya tahu, kawan itu bukan bermaksud kawan.
“Tapi yang menariknya, kenapa namanya hampir sama dengan
nama abang?” bicara Abyatina dalam persoalan.
“Tapi, Abyatina tahu siapa orangnya?”
“Sampai sekarang, Rizqin namanya ada tapi orangnya tetap
misteri,” balas Abyatina.
Rizqullah membisu sahaja selepas itu. Barangkali rasa
cemburu terdetik di hati. Namun tatkala itu jugalah, maka hatinya seakan ketawa
kecil. Tidak disangka, Abyatina masih punya tarikan. Masih lagi punyai peminat
rahsia yang mungkin mengharapkan sesuatu daripada Abyatina.
“Abang cemburu?” soal Abyatina.
“Cemburu di hati memanglah ada. Tapi cemburu pada
hakikatnya mungkin tak ada. Walau apa pun, Ina tetap isteri abang, dan tidak
ada sesiapa pun yang boleh nafikan perkara tu,” balas Rizqullah tersenyum. “Cinta
bukan sekadar pada keindahannya saja. Cinta itu adalah bahagia yang disulamkan
dengan kesusahan dan kesabaran”
“Insya-Allah...”
Abyatina memegang erat jari jemari Rizqullah. Melepaskan
rindu setelah hampir seminggu tak bersua. Perbualan mereka terhenti setakat
itu. Masing-masing membisu selepas itu. Lebih banyak menikmati keindahan
panorama yang terbentang luas di hadapan mereka. Hembusan angin pantai
menyegarkan wajah masing-masing. Dilanda bahagia dalam ketenangan, petang itu
masa dihabiskan sebaiknya buat Abyatina dan Rizqullah.
Tatkala dalam keasyikan nikmat alam itu, maka azan fardhu
Asar kedengaran. Maka sepantas itu Rizqullah bangun menuju ke masjid yang
terletak tidak jauh dari tempat mereka berada. Abyatina mengikut suaminya namun
langkahnya sedikit perlahan. Langkah tetap diteruskan dan mereka berjanji akan
berjumpa semula di tempat yang sama sebaik sahaja selesai solat fardhu Asar. Rizqullah
dibiarkan melangkah pantas meninggalkan Abyatina yang berjalan perlahan.
“Eh, Siti Abyatina kan?”
Belum pun sempat kaki melangkah masuk ke dalam masjid,
tiba-tiba Abyatina disapa seseorang. Lantas matanya melihat kelibat yang menegur
itu dan ternyata Abyatina tidak mengenalinya. Kehairanan melanda seketika.
“Ya... saya Abyatina...” balas Abyatina. Wanita separuh
abad sedang berdiri di sebelahnya. “Mak cik kenal saya?” soal Abyatina
kemudian.
“Abyatina tak kenal saya?” soal wanita itu.
“Maaf mak cik. Saya tak pasti...”
Wanita itu tersenyum seketika, terus menghulurkan tangan
untuk bersalam dengan Abyatina.
“Saya Mak Lang Nab. Mak menakan suami hang. Ingat tak?”
soal wanita itu. Abyatina terus menyambut salam yang dihulurkan. Dicium tangan
wanita itu.
“Lah... Maaflah Mak Lang. Saya tak berapa kenal
sangat....” balas Abyatina sedikit rasa bersalah di hati.
“Tak apa. Lagipun, seingat Mak Lang, Abyatina tak pernah
lagi jumpa Mak Lang berdepan macam ni...”
“Oh...”
“Jom lekas. Kita pi solat dulu. Sat lagi kita sembang
panjang punya...” kata Mak Lang.
Dalam keadaan yang masih terpinga-pinga, Abyatina
kelihatan masih mencari-cari ingatan yang mungkin telah luput seketika.
Hakikatnya, tatkala salah seorang ahli keluarga terdekat Rizqullah menyapa
Abyatina dan dirinya tidak dapat mengenal pasti orang itu, maka sudah
semestinya rasa serba salah muncul. Namun, perkara utama didahulukannya. Solat
Asar berjemaah diselesaikan dahulu. Maka barulah sesi bicara bersambung kembali
selepas itu.
“Jadi, apa yang Abyatina buat di Pulau Pinang ni?” soal
Mak Lang tatkala berjalan keluar dari dewan solat bersama-sama Abyatina.
“Saya sambung belajar di sini,” jawab Abyatina.
“USM?”
“Ya. USM...”
“Suami hang macam mana? Dia izinkan?”
“Dia pun sambung juga. Sekali dengan saya,” balas
Abyatina.
“Oh... lah. Baguslah. Senang jadinya,” kata Mak Lang Nab
sebelum duduk di kerusi kayu yang terletak di luar perkarangan masjid.
“Eloklah. Tak berjauhan. Masalah tak timbul”
“Insya-Allah,” balas Abyatina sebelum duduk di sebelah
Mak Lang Nab.
“Baguslah. Jaga baik-baik suami hang. Jangan jadi macam
dulu...”
“Macam dulu?” Abyatina hairan.
“Yalah. Mak Lang tak naklah Rizqullah bercerai lagi macam
dulu...”
Serentak itu, Abyatina bagaikan dilanda dengan panahan
kejutan. Sebaris ayat seakan-akan perkara yang cukup mustahil untuk didengarnya.
Memang Abyatina tidak mengerti dan tidak percaya.
“Apakah benar?” monolog Abyatina dalam hatinya. “Apakah
abang pernah berkahwin sebelum ni?”
Monolognya lagi.
Perbualan di antara Mak Lang Nab dan Abyatina tiba-tiba
terhenti begitu sahaja. Abyatina terus berlalu pergi meninggalkan Mak Lang Nab.
Memang Abyatina tidak pernah bertemu Mak Lang Nab sebelum ini, namun tatkala
mendengar perkhabaran yang dinyatakan Mak Lang Nab itu, maka segalanya seakan
berubah. Tidak tahu untuk menyatakan reaksi, Abyatina terus meinggalkan
perkarangan masjid tanpa sempat untuk menyalam tangan Mak Lang Nab.
“Salahkah aku cakap tadi?” soal Mak Lang Nab sendirian.
Wanita itu di akhirnya turut meninggalkan perkarangan masjid tak lama selepas
itu. “Tak sempat nak sembang panjang dengan isteri baru Rizqullah ni...”
Sementara itu, tidak lama selepas itu, Rizqullah kembali
ke tempat yang dijanjikan, di tepi pantai yang sama. Namun sebaik tiba, kelibat
Abyatina tidak kelihatan. Rizqullah menunggu di situ mengharapkan supaya
Abyatina muncul dalam beberapa tempoh lagi. Terus menanti.
“Assalamualaikum”
Bicara salam kedengaran dan Rizqullah sedikit terkejut.
Kejutan dilanda Rizqullah.
“Apa khabar Rizqullah?”
“Yaqzan?” soal Rizqullah yang ternyata terkejut. Tanpa
diduga, seteru lama muncul semula. Pelbagai persoalan muncul tatkala Yaqzan
secara tiba-tiba muncul di situ. “Bagaimana dia tahu aku di sini?” monolog Rizqullah
kemudian.
“Di mana Abyatina?” soal Yaqzan. Namun Rizqullah hanya
membisu, tidak faham dengan situasi yang dihadapinya. Persoalan pertama, kenapa
Yaqzan muncul? Persoalan kedua, bagaimana Yaqzan tahu dirinya dan Abyatina
berada di situ?
“Niat jahatkah lagi si Yaqzan ni?” monolog Rizqullah.
Namun di saat itu, di lokasi yang tak diketahui
Rizqullah, Abyatina berlinangan air mata. Terus berjalan selagi kaki boleh
melangkah, tidak mempedulikan keadaan di sekeliling. Abyatina tiada arah tuju,
tidak ada destinasi yang jelas tatkala kaki melangkah. Hakikatnya, perkhabaran
yang disampaikan Mak Lang Nab di masjid itu tadi ternyata sangat
mengejutkannya. Kisah silam Rizqullah disingkap sedikit tanpa disengajakan.
Maka serentak dengan itu, rasa di hati Abyatina seakan ditipu.
“Apakah suamiku menipu aku selama ini? Apakah perkahwinan
aku satu yang palsu?” bisik Abyatina. “Apakah benar aku isterinya yang kedua?
Kenapa nak dirahsiakan kisah lamanya?”
Persoalan terus bermain di fikiran. Hati Abyatina pada
waktu itu seakan berkecai. Kecewa barangkali sehingga seluruh kepercayaan
terhadap suaminya ibarat hilang begitu sahaja pada waktu itu. Abyatina dalam
kekusutan.
“Siti Abyatina!”
Nama Abyatina tiba-tiba dipanggil. Saat itu, tidak jauh
dari tempat Abyatina berada, kelihatan kelibat seorang lelaki sedang
melambai-lambai tangan ke arahnya.
“Hijazi?”
Hijazi, lelaki yang cuba untuk berkenalan dengan Abyatina
sepanjang minggu orientasi secara kebetulan turut berada di Batu Ferengghi.
Lantas Hijazi terus menghampiri Abyatina. Kisah di akhirnya, Abyatina menaiki
kereta bersama Hijazi pulang ke kampus USM. Hakikatnya, tindakan Abyatina itu
dibuat secara separa sedar setelah Hijazi mempelawanya berkali-kali.
“Di mana sebetulnya isterimu Abyatina?” soal Yaqzan
meneruskan perbualan yang tak dirancang itu.
“Kenapa ditanya begitu?” soal Rizqullah kehairanan.
“Sebab, kalau si suami ada di sini, dan kemudian si
isteri ada di sana memang ada yang tak kena,” kata Yaqzan. “Tambah tak kena,
kalau si isteri tu naik kereta dengan lelaki lain...”
“Maksudnya... Abyatina?”
Rizqullah terus terduduk di atas batu besar di tepi
pantai itu. Fikirannya semakin keliru dan serabut. Tidak faham dengan situasi
yang sedang berlaku.
“Bagaimana si Yaqzan boleh muncul tanpa diundang? Kenapa
pula Abyatina menaiki kereta dengan lelaki lain?” monolog Rizqullah dalam
hatinya menyatakan pelbagai persoalan yang muncul di fikirannya. Di hadapan
Yaqzan, monolog itu hanya terbicara dalam hatinya. Rizqullah hakikatnya hanya
membisu seribu bahasa.
“Kenapa terdiam?” soal Yaqzan.
Petang itu, langit cerah. Angin yang bertiup juga
ternyata mendamaikan. Namun bagi Rizqullah, semua kenikmatan alam itu ibarat
lesap dari derianya. Persoalan Abyatina dan kemudian Yaqzan berlegar-legar di
fikirannya. Seakan satu mimpi ngeri yang penuh dengan teka-teki.
“Kegilaan apakah ini? Apakah semuanya benar?” monolog
Rizqullah. “Allahuakbar....”
*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Satu*
Apakah yang berlaku pada Abyatina? Mengapakah Yaqzan
muncul secara tiba-tiba? Akan bersambung di siri akan datang.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
*Terima kasih kepada sahabat dari UPSI, saudari Nur Syafinaz Muhamad Rafee atas
memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan