Kaca Mata: Masalah ketagihan seksual, satu pencerahan






Pernahkah anda berhadapan dengan individu tertentu yang walaupun telah berkahwin, namun masih lagi menggatal mencari perempuan lain? Bila ditanya kenapa masih bersikap begitu, maka jawapan yang dibalas, dirinya ‘tak puas’ dengan isterinya. Soalnya, mengapakah itu boleh terjadi? Sedangkan perkahwinan itu sendiri adalah pendinding dan penyerap nafsu syahwat. Namun andai syahwat itu masih lagi tak terkawal, pasti ada faktor lain yang boleh dikenalpasti.

Masalah ini barangkali terjadi dalam kalangan masyarakat hari ini tidak mengira tempat, bangsa, dan agama. Ketagihan seks, atau disitilahkan sebagai ‘sexual addition’ adalah satu situasi seseorang yang mempunyai ketagihan seksual yang melampau sehingga tidak mampu dikawal dengan fikirannya. Barangkali sampai ke satu tahap, menjadi gangguan kepada masyarakat di sekitarnya.

Di Amerika sahaja, hampir 39 juta rakyatnya mempunyai masalah ketagihan seksual. Penularan masalah ini muncul disebabkan beberapa faktor yang tercetus seiring dengan kepantasan teknologi hari ini. Pornografi di hujung jari; dengan kemudahan internet, maka amat mudahlah untuk mana-mana pengguna menatap rangsangan nafsu yang berasaskan gambar-gambar lucah mahupun video pornografi.


"Di Amerika sahaja, hampir 39 juta rakyatnya mempunyai masalah ketagihan seksual. Penularan masalah ini muncul disebabkan beberapa faktor yang tercetus seiring dengan kepantasan teknologi hari ini."

 
Secara spesifik lagi, satu kajian di Amerika mendapati bahawa pada kadar 10% hingga 17% pelajar kolej di sana menghadapi masalah ketagihan seksual. Secara angkanya, jumlah peratusan itu mewakili 3% daripada populasi orang dewasa di Amerika dengan angka sebanyak 17 hingga 37 juta penduduk mempunyai masalah ini.

Secara cerminannya, andai kajian yang sama dijalankan di Malaysia, berkemungkinan angka peratusan itu tidak akan jauh berbeza. Walaupun terdapat perbezaan budaya di antara Amerika dan Malaysia, namun berdasarkan kajian yang dijalankan di Amerika itu, punca utama tercetus ketagihan seks itu bukanlah disebabkan budaya atu sosio masyarakat di sana, tetapi disebabkan masalah akses pornografi yang begitu mudah dilakukan. Dalam erti kata lain, situasi di Malaysia juga tidak ada banyak bezanya kerana laman-laman web lucah dengan mudah dapat diakses tanpa sekatan yang banyak, dan ini menungkinkan angka yang sama boleh tercipta andai sebuah kajian yang sama dijalankan di Malaysia mengenai masalah ketagihan seks ini.

Jadi, apa itu masalah ketagihan seksual?
Secara umumnya, masalah ini berkait dengan ketidakmampuan seseorang untuk mengawal rangsangan-rangsangan seksnya. Seseorang yang mempunyai masalah ini, akan mudah terangsang dengan keadaan persekitaran yang boleh mencetuskan keinginan seksnya. Ada kalanya rangsangan itu agak kecil, namun disebabkan ketidakupayaan diri menahannya, maka rangsangan itu menjadi terlalu sensitif. Perilaku ini akhirnya akan menjerumuskan seseorang untuk mencari jalan bagi memuaskan nafsunya; dan cara paling mudah ialah dengan melakukan mastubarsi atau onani. Ada juga sesetengah kes, seseorang yang ketagihan seks akan dengan lebih kerap melakukan hubungan seks dengan pelacur, menjalinkan hubungan dengan pelbagai wanita secara serentak, malah ada juga yang sanggup memujuk dan barangkali menggoda mana-mana sahaja sasarannya untuk keinginan seksnya.

Bagi individu yang menghadapi masalah ketagihan seksual ini, perlakuan seperti kerap mengunjungi laman-laman chatting, menghantar mesej-mesej pelik kepada individu lain secara rawak, atau mungkin juga membuat panggilan telefon yang berbaur lucah (obscene phone call) kepada mana-mana individu. Matlamat utama kepada perlakuan-perlakuan sebegitu adalah mudah, iaitu untuk mendapatkan kepuasan seksual yang tak tertahan.

"....seseorang yang ketagihan seks akan dengan lebih kerap melakukan hubungan seks dengan pelacur, menjalinkan hubungan dengan pelbagai wanita secara serentak...."




Paraphilias dan ketagihan seksual
Paraphilias ialah masalah yang berkaitan dengan ketidakmampuan untuk mengawal impuls dalam otak disebabkan pengulangan dan tekanan fantasi seksual seseorang, dorongan, dan perilaku melibatkan objek luar biasa, aktiviti-aktiviti, dan situasi-situasi yang tidak dianggap sebagai membangkitkan syahwat atau sexual arousing oleh orang lain (2012).

Dalam bahasa yang mudah, paraphilias ialah masalah kegagalan seseorang untuk mengawal  kewarasan otak terhadap rangsangan seksual sehingga perkara yang tidak pun merangsang syahwat seseorang telah menjadi rangsangan seksual buat mereka yang menghidapi paraphilias ini. Situasi ini menyebabkan penghidap paraphilias ini akan lebih cepat terangsang dari sudut seksual dan ini seterusnya mengganggu kehidupan rutin harian. Andai tiada rawatan atau bantuan diberikan kepada penghidapnya, maka kemungkinan masalah yang dihadapi pesakit ini akan merebak dan menjejaskan masyarakat di sekitarnya.




Siapa yang boleh menghidap paraphilias?
Semua individu boleh menghidap penyakit ini. Masalah ini terbentuk adalah disebabkan tiada kawalan diri terhadap akses-akses yang boleh merangsang tubuh dalam soal seksual; sebagai contoh pornografi internet.  Semua individu normal boleh penjadi penagih seksual sekiranya diri tidak mengawal dari melihat atau mendekati perkara-perkara yang boleh merangsang nafsu. Pun begitu, faktor biologi dan keturunan juga boleh menjadi sebab utama seseorang menghadapi masalah ketagihan seks. Malah, faktor sosial serta psikologi juga turut dikaitkan dengan punca permasalahan yang berlaku ini.

Secara angkanya, sebanyak 55% daripada penjenayah seks di Amerika ialah seorang yang terjebak dengan masalah ketagihan seks. Menerusi angka lain pula, sebanyak 71% daripada pencabul seksual kanak-kanak adalah terdiri dari mereka yang mempunyai masalah ketagihan seks. Menurut dalam satu kajian yang dibuat pula, kuasa keinginan seks disebabkan ketagihan seks ini mampu membuatkan seseorang mempunyai ‘kuasa’ di luar jangka, sehingga menyebabkan seseorang itu mampu melakukan sesuatu perkara di luar kebiasaan mereka. Itulah yang mendorong kebanyakan pesalah jenayah seks melakukan jenayahnya.


"....55% daripada penjenayah seks di Amerika ialah seorang yang terjebak dengan masalah ketagihan seks. Menerusi angka lain pula, sebanyak 71% daripada pencabul seksual kanak-kanak adalah terdiri dari mereka yang mempunyai masalah ketagihan seks"


Secara umumnya, perilaku pesakit yang menghidapi masalah ini terbahagia kepada dua; iaitu perilaku yang bersifat bersendiri dan perilaku yang bersifat ancaman kepada orang lain. Bagi perilaku bersifat bersendiri, maka ketagihan seksual hanya berkisar kepada perlakuan onani yang lebih kerap atau mungkin juga sekadar melayari laman-laman pornografi. Perilaku ketagihannya hanya melibatkan dirinya sahaja dan tidak menjadi ancaman kepada orang lain. Namun, keadaan berbeza bagi perilaku bersifat ancaman kepada orang lain; kerana ketagihan seksual itu akan bersifat mengganggu orang lain. Sebagi contoh, perilaku seperti menghantar mesej-mesej lucah menerusi laman-laman sosial, menyerang atau mencabul wanita, atau mungkin juga sampai ke tahap yang lebih serius iaitu dengan melakukan jenayah rogol. 





Cara mengatasi
Secara perubatan, masalah ini masih lagi belum mempunyai penyelesaian yang konkrit. Namun, berdasarkan tinjauan dan kajian yang dibuat di Amerika, salah satu cara bagi mengatasi ketagihan seksual ini adalah dengan melakukan perjumpaan pemulihan berkumpulan  (recovery group), sama seperti recovery group bagi yang mengalami masalah ketagihan alkohol. Masalah ketagihan seks harus ditangani dengan sokongan orang-orang terdekat supaya motivasi untuk berubah itu akan lebih mudah wujud dalam diri.

Namun terdapat juga rawatan yang menggunakan ubat-ubatan seperti  Seroetoninergic (SSRI)  antidepressants, naltrexone yang dikatakan dapat mengurangkan ketagihan seksual ini. Malah ubat-ubatan yang mengurangkan hormon lelaki dalam tubuh juga dikatakan dapat menghilangkan sedikit demi sedikit masalah ketagihan ini. Namun, keberkesanan ubat-ubatan ini masih belum dapat disahihkan kerana hanya diuji keberkesanannya terhadap sebilangan kecil sahaja pesakit.



Dalam Islam, bagi mereka yang menghadapi masalah ini, adalah sebaik-baiknya mereka cuba mencari jalan ke arah pintu taubat.  Mendekati ke arah pintu taubat bererti mendekatkan diri dengan agama. Apabila mendekati agama, maka didikan untuk mengawal nafsu akan dapat dipupuk. Kawalan nafsu inilah adalah kunci kepada pengurangan terhadap ketagihan seksual. Seperti dalam surah Yusuf, ayat ke 53:

Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang”
(Surah Yusuf, ayat 53)

Berdasarkan ayat di atas, maka nafsu itu seharusnya dikawal dengan sebaiknya. Rahmat Allah terhadap nafsu seseorang akan membolehkan individu itu bertindak mengikut kewarasan dan bersandarkan batas-batas agama. Apabila agama itu menjadi panduan hidup, maka tatkala wujud hatta sedikit pun bisikan-bisikan jahat, maka hati akan menepisnya. Seperti yang dinyatakan dalam surah al-A’raf, ayat ke 201:

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).
(Surah Al-A'raf ,ayat 201)

Dalam surah al-Ankabut, ayat 45 pula:

Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Ankabut, ayat 45)

Dua ayat di atas menerangkan dengan jelas tentang kepentingan dalam menjadikan agama sebagai amalan hidup. Menjadikan amal ibadah seperti solat dan zikir, dengan mengikut segala ajaran agama itu adalah kunci bagi mengelakkan diri daripada terjerumus ke arah perkara keji dan mungkar.

Dalam konteks Islam, mendekatkan diri dengan agama itulah kunci utama dalam mengekang dan mengatasi masalah ketagihan seksual ini. Setidak-tidaknya, apabila wujud rasa takut kepada Allah, maka keinginan terhadap perkara-perkara yang melampaui batas terhadap nafsu syahwat itu akan berkurangan.

Mendekati jalan agama adalah jalan terbaik untuk menghindari dari jalan kemungkaran



Kesimpulan
Masalah ketagihan seksual ini adalah sesuatu yang harus diatasi secara berhemah. Hakikatnya, dalam kalangan masyarakat yang ada di persekitaran kita ini, mungkin terdapat beberapa individu yang mungkin menghadapi masalah ini. Hakikatnya, kita tidak tahu individu yang mempunyai masalah ini, dan itu merupakan satu ancaman terutama buat wanita. Seharusnya, andai  kita dapat mengenal pasti individu yang mempunyai masalah ini, maka seharusnya kita perlu membantu dan membimbing individu tersebut.

Barangkali ada yang menyatakan bahawa salah satu cara bagi mengatasi masalah ketagihan seksual adalah menerusi perkahwinan. Namun, harus diingat bahawa masalah ketagihan ini tidak akan terhenti apabila ikatan perkahwinan wujud. Ada sesetengah kes, walaupun individu itu telah berkahwin, masih lagi terus dengan tabiat ketagihan seks ini. Walaupun telah ‘bersama’ dengan isteri, namun itu dikatakan masih belum ‘cukup’ dan ‘tidak puas’. Walaupun dikurniakan anak, keinginan melampau terhadap seks mungkin masih tak terpadam. Masih terus mencari mangsa dengan barangkali menghantar mesej-mesej berbaur lucah, cuba mengumpan wanita-wanita lain untuk melakukan zina dan mungkin juga cuba mengajak melakukan perkara-perkara tidak senonoh. Barangkali meminta gambar bogel si mangsa, dan tidak cukup dengan itu mungkin menghantar mesej bergambar dengan gambar kemaluan sendiri dihantar kepada mangsa itu.


"Walaupun telah ‘bersama’ dengan isteri, namun itu dikatakan masih belum ‘cukup’ dan ‘tidak puas’. Walaupun dikurniakan anak, keinginan melampau terhadap seks mungkin masih tak terpadam"


Malah, kes itu pasti lebih berat andai ia terjadi dalam golongan yang dilabel sebagai agamawan. Barangkali ada benarnya bahawa individu itu telah berubah dan berhijrah, namun andai dirinya masih terperangkap dengan masalah ketagihan seks ini, maka tidak mustahil akan wujud situasi siang beserban dan malamnya bertanduk. Siangnya alim, malamnya tumbuh sisi-sisi gelap yang tidak dilihat di siangnya.

Jangan kita mudah menghukum. Bimbinglah dan bantulah individu sedemikian. Barangkali individu itu perlukan bantuan dan pertolongan. Mungkin perlukan sokongan supaya masalah ketagihan seksual itu dapat diatasi.

Masalah ketagihan seksual adalah ibarat virus senyap yang mampu menular dan merebak tanpa kita sedar. Maka seharusnya masyarakat sekeliling harus peka dengan persekitaran dan berusaha mewujudkan satu keadaan persekitaran yang sihat dan selesa. Ibu bapa harus peka terhadap perkembangan anak-anak mereka. Pastikan anak-anak tidak terjebak dengan pornografi yang cukup mudah diakses di internet. Bagi kaum muda pula, mantapkan iman di dada. Jangan biarkan kekosongan. Ingatlah, tiap-tiap ketagihan harus bermula dengan satu hentian yang mungkin cukup sukar. Andai berjaya hentian itu, maka berjayalah usaha untuk menghilangkan ketagihan itu.

Wallahualam.









Ulasan

Catatan Popular