Sembang Selasa: Menyelusuri memori KUO 8.G.3 (2014)





Barangkali semester 8 merupakan perjalanan akademik yang penuh dengan penceritaan dan cetusan memori. Ada mungkin juga semester 8 ini menjadi platform bagi setiap yang berada dalam kelompok itu untuk mencipta seberapa banyak kenangan yang mungkin sebelum berpisah. Maka, tanggal 13 Jun 2014, perjalanan saya sebagai pelajar UPSI telah tamat dan kisah penceritaan saya sepanjang 4 tahun di UPSI ini ternyata cukup banyak andai ingin dikongsikan. Namun untuk entri kali ini, fokusnya ditumpukan pada ulasan mengenai sahabat-sahabat serumah sewaktu di semester 8.

Jodohnya, maka bermula Februari 2014, saya telah ditempatkan sekali lagi di Kolej Ungku Omar UPSI. Jika dulu sewaktu di semester 6 saya ditempatkan di blok 7 KUO, kali ini saya diletakkan di blok bersebelahan, blok 8. Harus diakui, tatkala kaki menjejak semula bumi UPSI setelah 4 bulan berpaktikum di Taiping ditambah pula dengan 2 bulan cuti di rumah, ternyata rasa berat hati wujud. Maklumlah, hampir 6 bulan tak menjadi pelajar di UPSI.

Maka, setelah mendaftar masuk, saya terus berkenalan dengan seorang sahabat yang manis orangnya. Cukup mesra. Ya, itulah Khiruddin atau lebih selesa dipanggil sebagai Din. Maka saya untaikan satu persatu rakan-rakan serumah dengan serba ringkas berdasarkan pengamatan dan permerhatian saya. Barangkali silap sedikit atau barangkali tepat.



Khiruddin
Sahabat yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini dan kini menetap di Kulim, Kedah merupakan orang pertama yang saya kenali di rumah setelah mendaftar masuk ke rumah. Kebetulan Din sebenarnya berpraktikum di Gunung Semanggol tak jauh dari Taiping dan secara kebetulan juga Din merupakan rakan serumah kepada sahabat saya, Izzat sewaktu tempoh praktikum itu. Namun mungkin kerana kebetulan namun tiada rezeki, saya tak pernah jumpa Din di Taiping sewaktu berpraktikum di Taiping dulu. Din merupakan pelajar Sejarah, orangnya memang cukup mudah mesra dengan orang baru dan saya merasai pengalaman itu. Walaupun tak sampai sehari berkenalan dengan Din, ternyata Din sangat mudah untuk berbual dengan saya. Kalau di rumah, Din orangnya memang cukup cermat dan jimat. Dalam soal perbelanjaan harian, saya akui Din memang pandai berjimat.

 Dalam bab mengemas rumah terutama di ruang dapur, memang Din sangat cermat dan teliti. Kalau masuk ke biliknya, meja kerjanya, katilnya, semua tersusun dengan rapi  dan teratur. Ketika entri ini diltulis, sahabat saya ini telahpun menjadi seorang suami. Maka itu seperkara lagi yang boleh saya nyatakan, kerana sepanjang Din serumah dengan saya, melalui pengamatan saya, dapat dirasakan bahawa Din seolah-olah sedang melakukan persediaan untuk berkahwin. Telahan itu tepat apabila pada awal Jun 2014 yang lalu, Din telah selamat mendirikan rumah tangga dengan pasangannya. Ya, walaupun hanya beberapa bulan mengenali Din, saya seolah-olah seperti telah kenal lama sahabat ini. Kalaulah dapat mengenali Din lebih awal, mungkin persahabatan yang terjalin akan lebih akrab.



Azrul
Sahabat sebilik ini merupakan pelajar Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK). Berasal dari Pahang, Azrul orangnya cukup mudah tersenyum. Dari cara pertuturannya, harus diakui Azrul sangat sopan dalam percakapan. Pada awalnya, memang saya rasa agak kekok untuk berkawan dengan Azrul, namun lama-lama saya rasa sangat selesa. Harus diakui, Azrul merupakan rakan sebilik yang terbaik yang pernah saya ada sepanjang 4 tahun berada di UPSI. Ya, saya telah seblik dengan 7 sahabat yang lain, namun sahabat ini ternyata sahabat sebilik yang paling menyenangkan saya. Azrul memang tak banyak berbicara dan apabila berbicara ada isinya. Suka menonton filem menerusi komputer ribanya, dan cukup gemar dengan permainan video, dan tatkala Azrul bermain permainan komputer di bilik bersama rakannya, suasana bilik memang menjadi meriah dan ceria. Saya akui, memang saya tak dapat sertai minat Azrul kerana minat itu telah hilang seiring dengan usia. Namun saya masih terhibur melihat rakan-rakan lain masih mempunyai minat sebegitu.


Irwan
Sahabat yang berasal dari Tawau, Sabah ini merupakan kawan rapat kepada Azrul. Dengan jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Irwan orangnya agak pendiam dan selalu berkurung dalam bilik. Namun itu tak bererti bahawa Irwan seorang yang anti-sosial kerana apabila berbual dan bergaul dengannya, maka kemesraan dan keramahannya jelas tergambar. Irwan seringkali mengusik Azrul tatkala Azrul berada di bilik. Usikan-usikan ini ternyata mneceriakan susasan bilik saya. Salah satu persamaan yang ada pada Irwan dan Azrul ialah cara mereka bercakap. Sangat lemah lembut dan sopan, dan apabila mendengar mereka bercakap, memang sejuk mendengarnya. Entahlah, barangkali kursus yang mereka ambil ini (PAKK) menyebabkan mereka mampu bertutur sebegitu. Oh ya, insya-Allah, khabarnya calon isterinya berasal dari Perlis. Maka senanglah kalau nak pergi ke sana kalau berlangsungnya majlis perkahwinan nanti. Mungkin.


Sheqal Iskandar
Sahabat ini merupakan rakan sekolah kepada sahabat rapat saya Cik Ju (Nurul Najjua). Berasal  dari Selama,Perak yang memang tak jauh dari Taiping, Sheqal orangnya memang kelihatan senantiasa bersahaja. Pelajar jurusan Pendidikan Moral ini memang agak pendiam di awalnya dan saya agak sukar untuk bercakap dengannya. Namun lama kelamaan apabila saya selalu masuk ke biliknya berbual dengan Din, di akhirnya kemesraan itu tercipta. Sheqal merupakan bekas Suksis, begitu juga dengan Din. Maka, dari sudut disiplin saya nampak Sheqal orangnya agak teratur dalam pengurusan masa. Tidaklah kelihatan tak terurus, malah sepanjang masa nampak tersusun cara bekerjanya. Dari sudut cara bekerja, saya nampak sahabat ini agak santai dan tenang untuk melakukan sesuatu tugasan. Tidak pernah nampak dalam keadaan tertekan walaupun mungkin melakukan kerja di saat terakhir. Oh ya, seperkara lagi yang pasti tidak akan saya lupakan tatkala tinggal serumah dengan Sheqal ialah teh o aisnya. Mana mungkin dapat melupakan teh o aisnya yang senantiasa disediakan menjelang tengah hari.  Saya kadangkala merasakan teh buatannya itu dan telah menjadi rutin untuk Sheqal menyediakannya sewaktu makan tengah harinya.



Faiz
Sahabat yang berasal dari Kelantan dengan jurusan ICT ini merupakan sahabat serumah yang paling kurang saya berinteraksi. Barangkali disebabkan Faiz senantiasa sibuk dengan tugasan dan projek akhir tahunnya, maka kesempatan untuk saya mengenali dengan lebih rapat Faiz sedikit terbatas. Namun itu tidak memberi maksud bahawa Faiz orangnya sombong. Apabila dapat berbual dengannya, Faiz tidak kekok untuk berbicara. Walaupun pekat dengan loghat Kelantannya, itu tidak membataskan komunikasi sesama kami di rumah. Faiz dilihat seorang yang sangat rajin kerana kelihatan setiap malam, pasti akan keluar ke rumah rakannya untuk menyiapkan tugasan kerja yang diberikan. Ya, harus diakui sebagai pelajar ICT, beban tugasan mereka agak berbeza dengan pelajar jurusan lain. Selain harus menyiapkan projek akhir tahun mereka, pelajar ICT juga harus menyiapkan tesis. Maka, bebanan tugasan menjadi sekali ganda berbanding kebiasannya.

Kesemua ahli rumah KUO 8-G-3 merupakan pelajar semester akhir di UPSI. Masing-masing telah mengharungi perjalanan praktikum yang sememangnya penuh dengan dugaan dan cabaran. Kesusahan yang dihadapi itulah yang mematangkan kami semua. Maka barangkali disebabkan itu, walaupun kebanyakan dari kami tak pernah bersua sebelum ini, namun apabila ditakdirkan untuk serumah bersama, kemesraan dan ukhwah itu ternyata mudah saja terbentuk dan terjalin. Dari ukhwah itu terlahir kemesraan dan keceriaan. Dari keceriaan itulah maka terwujud memori-memori yang cukup indah.

Barangkali selepas ini saya pasti akan sukar untuk bertemu dengan rakan-rakan serumah yang lain. Semestinya semua akan membawa haluan masing-masing untuk meneruskan sisi perjalanan hidup yang baru pasca siswazah UPSI. Apa yang diharapkan, moga kalian semua berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Di akhir bicara ini, sekalung ucapan penghargaan diberikan buat semua. Buat Azrul, Din, Irwan, Sheqal, dan Faiz, ingin di sini saya ucapkan terima kasih dan salam perpisahan buat kalian semua. Tempoh perkenalan selama satu sem, yakni 4 bulan ini ternyata cukup bermakna, meninggalkan satu coretan manis yang akan dikenang sampai bila-bila. Terima kasih semua dan insya-Allah moga kita ketemu lagi di lain kesempatan.

Assalamualaikum dan selamat berjaya. 


Kolej Ungku Omar UPSI dalam kenangan





Ulasan

Catatan Popular