Adam Adli dan macam-macam cerita
Adam Adli dan konco-konconya
UPSI sekali lagi digegarkan dengan isu panas. Sekali lagi
nama Adam Adli disebut, dan sekali lagi perhatian diberikan kepada UPSI. Jika
dulu isu banner Najib diturunkan, kini muncul pula isu perhimpunan di malam
tahun baru menuntut kes Adam Adli
digugurkan oleh pihak universiti di depan pintu UPSI.
Menyentuh isu di PWTC, pelbagai pendapat diberikan
berikan justifikasi terhadap isu Adam Adli ini. Soalnya timbul, apakah terdapat
kewajaran tindakan Adam menurunkan banner Najib di PWTC? Apakah itu satu
tindakan kurang ajar?
Hakikatnya, jka dilihat dari simboliknya, isu penurunan banner
itu bukanlah satu isu yang cukup besar, kerana di akhirnya, banner itu kembali
dinaikkan semula. Jika diteliti pada mesejnya, maka sesungguhnya apa yang ingin
diluahkan oleh pendemostrasi itu hanyalah untuk melahirkan kekecewaan terhadap
kepimpinan Najib.
Namun, jika dilihat dari satu sudut yang lain, tindakan
itu bolehlah dilihat sebagai tidak wajar. Bertandang ke 'tempat orang' perlu
ada adab dan kesopanan. Menurunkan bendera pemimpin UMNO di tempat keramat
UMNO, maka kelihatan seperti Adam Adli biadab dan tiada nilai hormat bagi
sesetengah pihak. Maka tidak hairanlah muncul golongan ‘Panglima Ludah’ yang
dengan begitu ‘gagahnya’ memberi mesej ugutan menyatakan kemarahan dek maruah
pemimpin mereka telah dicalar, walaupun hakikatnya ‘Panglima’ ini juga bersikap
kurang ajar.
Hakikatnya, ramai yang lebih menghukum Adam Adli sebelum
melakukan penilaian terhadap tindakannya itu. Ada cakap-cakap menyatakan bahawa
majoriti pelajar UPSI hakikatnya langsung tidak mengambil peduli akan hal ehwal
politik, dan apabila tercetusnya isu Adam Adli ini, maka masing-masing kelihatan
melatah dan terus menghukum Adam Adli tanpa justifikasi yang sepatutnya.
Isu perhimpunan di hadapan pintu UPSI sekali lagi
mencetuskan polemik baru. Rata-rata pelajar UPSI menggelengkan kepala dengan
apa yang terjadi. Ibarat sudah menyala api, disimbahnya lagi minyak tanah, maka
masalah demi masalah dilihat semakin timbul. Apa yang berlaku hanya akan
menambahkan lagi beban masalah yang perlu dihadapi oleh UPSI.
Itu kata sesetengah orang.
Bagi sesetengah pihak, Adam Adli dilihat mencalarkan imej
UPSI di mata masyarakat. Namun, bagi sesetengah pihak pula, Adam Adli dipandang
sebagai seorang pejuang. Justifikasinya berbeza, dan isunya masih tetap sama.
Hakikatnya, Adam Adli memang banyak menarik perhatian ramai sejak Pilihanraya
Kampus UPSI tahun lalu lagi. Soalnya, sejauh manakah populariti ini akan mengubah
atmosfera politik di UPSI?
Mungkin dek AUKU semua jadi haru biru. Namun mungkin haru
biru itu satu perjuangan. Pelbagai tafsiran boleh dihuraikan. Semuanya
bergantung pada ideologi masing-masing.
Mungkin juga ucapan sekalung terima kasih buat Adam Adli
dan konco-konconya kerana mereka telah berjaya menjadikan UPSI lebih popular
daripada biasa.
Mungkin juga ucapan kemarahan buat Adam Adli dan konco-konconya dek mereka telah berjaya mencalarkan imej UPSI.
Mungkin juga ucapan kemarahan buat Adam Adli dan konco-konconya dek mereka telah berjaya mencalarkan imej UPSI.
Semua berkemungkinan.
Serangan
pembuli blog
Baru-baru ini saya dikejutkan dengan serangan bertali arus dari
seorang pemberi komen dengan gelaran “Tanpa Nama”. Individu ‘anonymous’ ini
telah memberi komen tersebut menerusi entri “Hablur Oniks” sebuah cerpen
pertama yang diterbitkan di blog. Harus diakui sehingga kini tidak dapat
dipastikan siapa sebenar individu tersebut, walaupun cuba dicari identitinya
itu.
Ironinya, kemunculan komen-komen individu ini telah menarik ramai
pihak untuk membaca cerpen tersebut. Angka pengunjung bagi entri tersebut
meningkat tiga kali ganda dalam tempoh sehari sahaja selepas individu tersebut
meletakkan komennya di entri “Hablur Oniks” tersebut. Dikatakan dek komen itu,
ramai yang tertarik untuk mengetahui jalan cerita cerpen tersebut.
Sebagai penulis, dihentam dan dicaci adalah asam garam yang perlu
dihadapi. Soalnya sejauh mana ketahan diri, dan sejauh mana sabar itu diuji.
Hakikatnya, komen itu tiada memberi kesan, namun mendatangkan senyum. Ya, dek
komen si penulis misteri itu, “Hablur Oniks” sepantas kilat menjadi entri kedua
paling popular di blog bagi tahun 2011.
Terima kasih buat individu bernama ‘Tanpa Nama’. Bak kata orang, rezeki kadang-kadang datang
tanpa disangka-sangka. Mungkin.
Adab dan
sopannya dalam Facebook
Harus diakui, kesopanan dan adab itu satu perkara yang perlu dijunjung
setinggi-tingginya. Namun, kadangkala dek kealpaan atau mungkin keterujaan,
nilai itu tertinggal seketika. Entah di mana silapnya, Facebook kadang-kadang
mendatangkan aib buat diri sendiri tanpa disedari individu itu sendiri.
Mungkin dalam nada gurauan dengan niat mahu mewujudkan kelucuan,
kenyataan yang diluahkan di Facebook kadang kala amat memalukan bagi seorang
wanita mahupun lelaki. Dalam soal ini, saya pernah beberapa kali terlihat komen
atau status berbaur keaiban diri, dan kadang kala tanpa disedari beunsurkan
nilai-nilai erotik.
Itu yang berlaku dalam komen dibaca baru-baru ini di Facebook. Itu
pun hanya disedari selepas seorang sahabat lain menceritakan kisah komen yang
agak panas itu. Memang tak ‘selalu’ memantau apatah lagi melihat komen-komen di
Facebook. Namun kali ini tarikan tertumpu pada sebaris ayat tersebut.
Walaupun dalam keterujaan menikmati saat-saat bahagia melalui alam
rumah tangga, kewajaran mengeluarkan kenyataan sebegitu amatlah tidak wajar.
Perkara sesulit itu seharusnya tidak diceritakan walaupun mungkin komen itu
sekadar satu bentuk gurauan. Ironinya, hampir belasan ‘like’ diklik pada komen
tersebut.
Kesannya, ramai yang membaca komen tersebut, dan di peringkat
seterusnya pelbagai andaian dan fikiran akan timbul dalam minda pembaca-pembaca
komen tersebut.
Bukanlah mahu menghukum, kerana itu bukan justifikasi yang adil
dalam membuat tafsiran jika tidak diketahui akan hal sebenar. Namun seharusnya,
sebagai pelayar Facebook, setiap individu itu punyai tanggungjawab untuk
menjaga adab dan tatasusila. Maka, berhati-hati dengan apa yang ditaip di
Facebook.
Untuk berfikiran positif, maka diandaikan sahaja bahawa komen yang
ditulis itu sebagai satu gurauan untuk menimbulkan suasana ceria. Mungkin.
“buatnya dah selalu, jadinya belum.”
Najwa
Latif punya cerita
Kisah penyanyi budak sekolah yang bernama Najwa Latif dikatakan
mendatangkan fenomena baru dalam dunia seni. Pendapat itu banyak diberikan oleh
orang lain, namun sejauh manakah kebenarannya?
Hakikatnya, jika Najwa ini muncul lebih awal beberapa tahun
sebelumnya, mungkin ada kebenaran bahawa individu ini memberikan satu fenomena
baru. Namun, kemunculannya yang baru setahun jagung ini boleh dijustifikasikan
sebagai telah menjadi suam.
Benar ataupun tidak, setiap
ciri yang ada pada Najwa Latif sebagai penyanyi muda dari Youtube telahpun
diambil oleh penyanyi sensasi Yuna. Mungkin disebabkan itu, sesetengah pihak
menyatakan bahawa Najwa Latif hakikatnya tidak mempunyai keistimewaan yang
boleh menjadi identiti uniknya.
Jika dikatakan bahawa Najwa merupakan penyanyi berbakat yang
dikenali menerusi Youtube, maka Yuna telahpun melakukannya dahulu. Jika
dikatakan bahawa Najwa Latif merupakan penyanyi bertudung bercirikan gadis
urban, maka Yuna juga terlebih dahulu mempunyai imej sedemikian. Jika dikatakan
Najwa Latif pencipta dan penulis lirik yang berbakat, Yuna juga telah
melakukannya terlebih dahulu.
Jika dikatakan lagu ‘Cinta Muka Buku’ itu satu lagu yang santai
dan sangat menarik perhatian sehingga mencetuskan fenomena, maka Yuna juga
telah melakukannya dahulu dengan lagu ‘Dan Sebenarnya’.
Itulah pendapat sesetengah pihak. Kemunculan Najwa Latif dikatakan
agak lewat dan menyebabkan kelihatan tiada keunikan kerana unik itu telah pun
disambar dahulu oleh Yuna.
Bezanya, Yuna mempunyai pendidikan tinggi, dan Najwa masih di
bangku sekolah. Yuna kelihatan matang, dan Najwa kelihatan kebudak-budakan.
Soal paras rupa, tidaklah adil untuk dibandingkan kerana setiap wajah itu
kurniaan Ilahi. Mana mungkin boleh diulas apatah lagi untuk dikutuk.
Mungkin sekadar pendapat mereka. Mungkin.
Penulis blog kelas
F
Dalam dunia penulisan maya menerusi blog, kadang kala
terdapat sesetengah penulis ini tergolong dalam kumpulan F, atau dalam bahasa
yang mudah penulis yang ‘gagal’. Mereka inilah yang kadang kala mencetuskan polemik
murahan yang hakikatnya tidak sepatutnya timbul. Maka itulah yang berlaku bagi
sebuah blog yang menjadi kontroversi dek hujah dangkal penulisnya.
Dengan nama blog ‘Pas Untuk Kesejahteraan Ummah’, penulis
blog ini kelihatan sangat dangkal dan kurang bijak dalam memberikan hujah dan
isi-isi bagi setiap kata-katanya. Lucunya apabila isu posting bagi ISMP dilihat
oleh si penulis ini dalam sudut yang sangat menampakkan kejahilan dan
kebodohannya. Menurutnya, graduan ISMP ini sangat manja, sehingga meminta-minta
dari kerajaan untuk mendapatkan tempat dalam alam pekerjaan. Menurutnya lagi,
bagi graduan bukan ISMP, mereka terpaksa bersusah payah untuk mendapatkan
kerja. Baginya, graduan ISMP manja terlebih-lebih.
Itulah yang berlaku apabila si penulis tidak memahami
sepenuhnya maksud ISMP. Penulis tidak sedar bahawa ISMP hanya bergantung kepada
kerajaan kerana kerajaan sahajalah yang boleh memberikan penempatan buat
bakal-bakal guru ini. Memang daif si penulis ini.
Penulis itu ada beberapa jenis.
1) Menulis
dengan mengeluarkan hujah, berdasarkan fakta dan bukti yang ada melalui bacaan
dan sumber-sumber yang dipercayai.
2) Menulis
dengan mengeluarkan hujah, berdasarkan fakta dan bukti yang ada, namun melalui
bacaan dan sumber-sumber yang diragui.
3) Menulis
dengan mengeluarkan hujah, tidak berdasarkan fakta dan bukti yang ada, malah
tidak langsung melakukan pembacaan dan rujukan mengenai isu-isu tersebut.
4) Menulis
tanpa mengeluarkan hujah, namun semberono menghentam membuta tuli mengikut hawa
nafsu.
Sesungguhnya, penulis kelas A adalah penulis yang banyak
membaca dan melakukan rujukan sebelum membuat sebarang tafsiran atas sesuatu
isu. Mereka akan membuat tafsiran cukup mendalam sebelum mengeluarkan hujah.
Barulah isi-isi yang diberikan dilihat sangat matang dan tidak boleh
dipertikaikan.
Bagi penulis kelas F?
Mereka ini hakikatnya menampakkan sisi kejahilan dan
seterusnya menyebabkan golongan ini akhirnya ibarat ‘si luncai terjun dengan
labu-labunya’
Mungkin ada betulnya. Mungkin.
Ulasan