Selasa, 17 Januari 2012

"Adina (Bicara Tiga Belas)"






Persoalan dan dilema tak terjawab kadangkala harus diselesaikan dengan sebuah penelitian yang cukup mendalam. Dalam situasi yang tak menentu, satu keputusan yang tepat harus dilakukan. Tambah memberi beban, bila tubuh tak berdaya mengharungi dugaan.

“Saya tak ada masalah. Peluang yang ada, maka rebutlah. Namun, keadaan Ina sekarang bukan sesuatu yang cukup menyenangkan untuk diberikan izin buat Ina menyambung pengajian”

Bicara diluahkan malam itu tanda persetujuan diberikan Rizqullah. Pada dasarnya, suami Abyatina itu memberi izin buat Abyatina bagi menyambung pengajiannya di IPSI. Namun, kekangan lain memberatkan hati Rizqullah membenarkan Abyatina berada di bumi Tanjung Malim.

“Ina nak capai cita-cita, tapi andai izin abang dalam keberatan, maka sepenuh hati Ina lepaskan peluang yang diberikan”

“Bukan  tak izin. Tapi sihat Ina yang berselang seli dengan sakit, berterusan macam tak ada kesudahan. Saya tahu, Ina memang punyai cita-cita yang cukup besar. Tapi, dalam sakit macam ni, macam mana nak dikejar cita-cita? Takut mudarat yang lebih banyak menimpa”

Tarikh yang semakin hampir mencetuskan persoalan besar. Hari pendaftaran pengajian tinggal seminggu sahaja lagi. Bukan soal keizinan yang menjadi keutamaan. Kesihatan Abyatina yang menjadi tajuk bualan. Rizqullah memberi izin namun tak merelakan kepergian Abyatina menyambung pengajian. Takut kesihatan yang tak menentu semakin melarat.

“Jangan dirisaukan. Suami itu perlu ada isterinya di sisi. Tempat paling bahagia buat seorang isteri adalah di samping suaminya. Lupakan sahaja IPSI, kerana masa depan Ina bukan tentang diri sendiri, tapi tentang abang”

Abyatina meluahkan rasa. Abyatina berkorban. Pengorbanan luar biasa, lupakan impian yang terbina sekian lama. Maka, diletakkan sahaja surat tawaran itu di atas meja.

Sejak peristiwa pengsan di bilik air itu, Abyatina seringkali berulang alik ke hospital. Rawatan demi rawatan diterima, namun tiada penyelesaian berjaya ditemui. Sakit Abyatina membingungkan doktor.  Simptomnya ada, penyakitnya tak diketahui. Misteri menyelubungi, Rizqullah kebingungan. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan, penyelesaian terbaik bagi menyembuhkan Abyatina.

“Sabarlah,” bisik Rizqullah pada malam Abyatina pengsan di bilik air itu.

Hari-hari sebagai seorang isteri adalah saat yang penuh dengan nilai tanggungjawab dan kesetiaan. Rasa cinta semakin tersemai, dan hari-hari bersama Rizqullah dirasakan semakin indah. Setiap pagi, Abyatina menyediakan sarapan, dan Rizqullah menikmatinya sebelum menaiki basikal menuju ke sekolah yang tak jauh dari rumah.  Masa lapang di waktu pagi itu kemudian dimanfaatkan dengan mengunjungi rumah ibu mertuanya yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Maka, dihabiskan masa Abyatina bersama ibu mertuanya mengemas rumah, dan mungkin juga memasak.

Pagi itu, Abyatina seperti biasa berkunjung ke dapur ibu mertuanya. Tarikannya untuk berkunjung melihat  sendiri ibu mertuanya memasak sangat kuat. Ibu Rizqullah cukup hebat dan mahir memasak, dan kerana itu Abyatina seringkali berkunjung dek mahu belajar dan mendapatkan sesuatu darinya.

“Hang kena pikat perut laki hang, baru dia melekat kat rumah,” bicara ibu Rizqullah.

“Tapi, Rizqullah tu nampaknya macam tak rajin nak keluar rumah. Kenapa?”

“Kerana itulah sikapnya sejak kecil lagi,” balas ibu Rizqullah tersenyum. “Lebih terperap dari merayap”

Namun, setiap kali kunjungan yang pada mulanya untuk belajar memasak, diakhiri dengan perbualan panjang dengan ibu mertuanya. Ditambah pula dengan teknik memasak si ibu Rizqullah yang cukup sukar difahami, dek sukatan bahan-bahan masakannya hanya disukat menggunakan jari jemari dan cubitan jari mengikut gerak rasa hati, maka Abyatina sekadar melopong tanda tak mengerti.

“Bau bancuhan pun ada sukatan? Cubitan garam pun ada besar dan ada kecil? Nak sukat kepekatan  kena rendamkan jari pada bancuhan? Titisan air bancuhan juga merupakan satu bentuk sukatan ? Ah, apakah ilmu sukatan sebegini? Planet mana ibu mertuaku belajar ni? Mananya mangkuk, mananya camca? Mengapa tidak sukatan cara biasa digunakannya?” soal Abyatina bermonolog.

“Takkan dari planet Zaragoza lagi kot...” Rizqullah berseloroh saat menikmati hidangan tengah hari di rumah selepas pulang dari sekolah. Istilah planet Zaragoza menjadi popular saat pertama kali diperkatakan oleh adik Abyatina, Zabarjad suatu masa dahulu.

 Petang itu, Abyatina kelapangan. Maka, masa terluang diisi dengan menarikan penanya di atas kertas. Kisah bicara hidupnya, maka diluahkan tanda melahirkan gembira bercampur debar. Pengkisahan merakamkan segala detik terindah di alam rumah tangga. Maka, catatan dibuat oleh si Abyatina.

“Dalam kesamaran dan debaran, kadang kala tercetus rasa bahagia. Dalam kesenangan dan kebahagiaan, dugaan menjelma, menguji kesabaran. Dunia ibarat ujian, kerana tiap-tiap bahagia itu ada harga yang perlu dibayar dengan sebuah pengorbanan. Apakah sakit itu tanda kesenangan di masa depan? Sesungguhnya, pohon dipinta, moga dikekalkan bahagia rumah tangga dengannya”

Abyatina tersenyum merehatkan seketika bicara dalam bentuk tulisan. Matanya merenung jauh ke jendela. Tenangkan jiwa menghirup angin luar.

Sayup-sayup kedengaran alunan ayat-ayat suci. Bacaan al-Quran tiba-tiba kedengaran. Walau tak jelas, namun mudah didengarinya. Abyatina sedikit terkejut. Itulah kali pertama kedengaran Rizqullah mengalunkan ayat-ayat al-Quran. Lantas Abyatina bangun menuju ke ruang tamu. Maka, kelihatan Rizqullah duduk di tikar sejadah, sambil membaca al-Quran.

“Abang....” bisik Abyatina terkejut.

Bacaan tersangkut-sangkut sedikit demi sedikit, walaupun perlahan, namun digagahkan juga untuk dibaca. Memang kelihatan sedikit merangkak-rangkak saat Rizqullah membaca al-Quran, namun suami Abyatina itu tanpa jemu terus membaca walaupun kelihatan agak sukar.

“Apakah suamiku ini mahu memperbetulkan mana yang kurang? Moga Allah beri hidayah buatnya,” bisik Abyatina.

Perlahan-lahan Abyatina menghampiri Rizqullah. Dia duduk di sebelah Rizqullah. Bacaan merangkak-rangkak Rizqullah kemudian dibantu Abyatina. Sedikit demi sedikit Abyatina membantu suaminya membaca al-Quran dengan lancar. Saat paling mengharukan pada petang itu. Abyatina membimbing Rizqullah.

“Cukup didikan agamanya. Dari kecil sampai besar, tak putus-putus ilmu diberikan. Soal amal dengan tak amal sahaja yang menjadi perbezaannya. Tahunya sudah, tapi amalnya terpulang kepada masing-masing”

Bicara ibu Rizqullah sewaktu memasak bersama Abyatina. Kata-kata itu terngiang-ngiang kembali di telinganya. Perihal didikan agama terhadap anak-anak ibu mertuanya, maka itulah yang dibualkan oleh ibu Rizqullah bersama Abyatina.

“Soal didikan agama, haruslah berterusan, tanpa ada hentinya,” terang ibu Rizqullah.

Bukanlah Rizqullah itu seorang yang teralpa. Abyatina tahu, suaminya itu tak pernah meninggalkan solat lima waktu. Tidak pernah juga lupa menjauhi perkara yang dilarang dan tidak alpa dalam melaksanakan segala suruhan-Nya. Mungkin kadangkala, dek terleka sedikit, maka ada perkara yang mungkin tertinggal.

“Memang dah lama tak baca al-Quran. Bukan mahu tinggalkan, tapi tak ada kesempatan. Mohon Ina beri tunjuk ajar moga lancar kembali bacaan,” bicara Rizqullah pohon bantuan.

“Insyaallah abang. Insyaallah”

Abyatina hasil didikan Ustaz Man. Beri kekuatan jiwa buat si Rizqullah mendekatkan lagi dirinya kepada pencipta-Nya. Ilmu yang ada dicurahkan kepada Rizqullah. Hari demi hari, Abyatina setia menanti, duduk di sisi membantu Rizqullah melancarkan bacaan ayat-ayat suci. Hari demi hari penuh kesabaran, Rizqullah tekun belajar dan memahami setiap isi pengajaran, dan Abyatina senantiasa melemparkan senyuman manis beri ketenangan jiwa buat Rizqullah dalam proses pembelajaran itu.

“Kadangkala kita perlu merendahkan diri serendah-rendahnya dalam soal menuntut ilmu. Buangkan ego lelaki tu, kerana ego itu adalah musuh utama untuk kita sebagai lelaki memperbetulkan diri,” bicara Marzuq, abang Rizqullah pada satu petang.

Petang itu juga sekali lagi Abyatina pengsan di dapur. Pada mulanya pening melanda, sakit di dada muncul, dan akhirnya rebah saat menyediakan teh di dapur. Maka Rizqullah sekali lagi dilanda kejutan. Namun, kejutan terbesar pastilah dirasai Marzuq, abang ipar Abyatina kerana itulah pertama kali dia melihat Abyatina pengsan di dapur.

“Memang selalukah begini?” soal Marzuq.

“Bilangannya dah tak terkira,” balas Rizqullah sambil mengangkat Abyatina menuju ke bilik.

“Kenapa tak diusahakan sesuatu?”

“Dah banyak kali jumpa doktor, tapi puncanya sampai sekarang tak diketahui. Sakitnya macam tak ada punca,” keluh Rizqullah.

“Kenapa tak cuba cara orang kampung?”

Rizqullah terkedu. Fikiran yang tak pernah terlintas di akalnya. Mungkin kerana dilanda dugaan, maka ketenangan mencari penyelesaian juga berada dalam kebuntuan.

Maka setahun berlalu, begitulah yang diharungi Abyatina dalam tempoh tersebut. Tiada siapa yang tahu perihal masalah kesihatan Abyatina melainkan Rizqullah. Perihal dugaan itu dirahsiakan selama tempoh itu dari pengetahuan sesiapa pun, bahkan keluarganya sendiri pun tidak tahu. Kemunculan Marzuq saat Abyatina pengsan di dapur, maka rahsia disimpan diketahui. Terkejut, namun tak menduga selama hamper setahun Abyatina dan Rizqullah menyimpan rahsia.

“Mengapa begitu lama rahsianya?” soal Marzuq kehairanan.

Tiada jawapan dapat diberikan menjawab persoalan yang diajukan. Sejak petang itu, maka berita kesihatan Abyatina yang tak menentu mula tersebar dalam kalangan keluarganya. Ibu Rizqullah terkejut, dan terus tersebar berita ini kemudian ke pengetahuan Ustaz Man dan Mak Cik Ros.

“Setahun Abyatina pendamkan rahsia? Kenapa?” ibu Abyatina terduduk terkejut saat menerima berita tersebut.

Ustaz Man yang separuh lumpuh bertambah terkejut. Saat Abyatina yang seringkali pulang ke kampung menjenguk tahap kesihatannya, pada waktu sama jugalah si Abyatina menghadapi saat kesihatan yang tak menentu.

“Mengapa?” soal Ustaz Man.

Ada juga cakap-cakap yang menyalahkan Rizqullah kerana dikatakan bersikap berdiam diri seolah-olah seperti menyeksa si Abyatina. Peramkan Abyatina melalui kesakitan, tak pernah cuba memberitahu yang lain. Ada juga menyatakan bahawa perkahwinan Abyatina dan Rizqullah adalah satu kesilapan terbesar yang dibuat oleh Abyatina.

“Mu seksa  Abyatina, mu kata mu sayang dia?” soal Pak Long kepada Rizqullah saat suami Abyatina itu baru tiba di kampung.

Kisah mengenai Abyatina bila dikatahui ahli keluarga yang lain akhirnya telah mencetuskan konflik. Rizqullah dihentam berterusan acap kali berkunjung ke kampung halaman Abyatina.

“Bukan salah abang. Bukan salah abang,” bicara Abyatina beri ketenangan buat Rizqullah.

“Tapi, siapa yang mengerti?” luah Rizqullah.

Hakikatnya, kisah rahsia yang disimpan selama setahun itu adalah kesepakatan yang telah diputuskan oleh Rizqullah dan Abyatina. Bukan tidak ada usaha diikhtiarkan, cuma ikhtiar itu tak diketahui oleh ahli keluarga yang lain. Itulah yang terpaksa ditelan Rizqullah. Kerahsiaan yang terbongkar mencetuskan tohmahan sesetengah ahli keluarga yang lain.

“Cukup. Kalau dah pandai sangat nak mengajar, biar Abyatina tinggal terus di kampung ni. Biar semua yang ada di sini jaga dia. Siapalah saya yang tak pandai menjaga Abyatina ni!”

Secara tiba-tiba Rizqullah melenting di ruang tamu saat ahli keluarga yang lain berkumpul membicarakan akan perihal kesihatan Abyatina. Hakikatnya, ahli keluarga Ustaz Man senantiasa menyokong Rizqullah, namun ahli keluarga yang lain terutama keluarga Pak Long yang kuat mengkritik Rizqullah.

Seraya terus Rizqullah keluar dari rumah. Rizqullah meninggalkan hadirin dalam nada kemarahan. Kesemua hadirin di ruang tamu terkejut. Kereta dipandu Rizqullah meninggalkan perkarangan rumah. Abyatina terkedu. Amukan suaminya tak dijangka.

“Apa dah jadi dengan Rizqullah?” soal Ustaz Man terkejut.



*Tamat sudah Bicara Tiga Belas*

 Apakah Rizqullah hilang kesabaran? Menyambung kisah di lain bicara...

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 



 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina









4 ulasan :

Peminat Abyatina berkata...

Makin rumit kisah Abyatina ni. Bagus. Terbaik!

hana banana berkata...

mana boleh tinggalkan abyatina kat kampung...sob3...nak dia sentiasa dengan suami dia...

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Setiap yang manis, pasti ada yang pahitnya. Dalam bahagia, pasti ada dugaannya.

leHeart berkata...

bagus, kagum dgn gaya penulisan yg baik dn teratur..