Sabtu, 14 Januari 2012

Pasca 901 Anwar Ibrahim




Umum memang mengetahui cerita yang sudah berlaku pada Januari 9 yang lalu dan umum juga telah mendengar kisah yang berlaku di UPSI pada tarikh yang sama. Kisah 2A, Anwar dan Adam Adli, tarikhnya sama, nasibnya berbeza. Anwar bebas, Adam Adli tergantung selama tiga semester.

Banyak teka-teki mula ditimbulkan saat sabitan pertuduhan liwat terhadap Anwar diputuskan tidak bersalah di mahkamah. Memang rata-rata pihak mengakui bahawa keputusan itu adalah suatu yang mengejutkan, kerana jika dilihat dari atmosfera  politik negara, rata-rata merasakan bahawa Anwar bakal dipenjarakan sekali lagi.

Soalnya kini, apakah kesan selepas keputusan mahkamah itu dibuat?

Di pihak Barisan Nasional, keputusan ini mungkin menjadi satu ‘bonus’  buat mereka, untuk dijadikan modal menyatakan bahawa proses transformasi dalam sistem pentadbiran eksekutif dari mempengaruhi sistem kehakiman negara dilihat telah berjaya. Badan kehakiman kini dilihat telah bebas dan mampu membuat sebarang keputusan tanpa pengaruh badan eksekutif. Imej Najib mungkin akan naik selepas keputusan kes Anwar ini.

Kedua, keputusan makamah ini mungkin akan mengelakkan berlakunya gelombang kuat rakyat untuk menyokong Anwar. Jika dilihat sewaktu kes Anwar tahun 1999, keputusan memenjarakan Anwar oleh mahkamah telah mencetuskan gelombang besar simpati rakyat untuk menyokong Anwar . Kesannya, tsunami politik 1999 berlaku, menyaksikan Terengganu jatuh ke tangan Pas. Makanya, BN dilihat beruntung, kerana mereka tidak perlu berhadapan dengan gelombang kedua seperti tahun 1999.

Ketiga, keputusan mahkamah ini juga bakal menyaksikan peluang BN untuk menang dalam pilihanraya akan cerah jika pilihanraya itu dibuat dalam masa terdekat. Beberapa tinjauan yang dibuat memperlihatkan bahawa sokongan dan populariti Najib semakin meningkat jika dibandingkan pada tahun 2008. Dengan ketiadaan gelombang sokongan terhadap Anwar, selepas Anwar telah dibebaskan dari pertuduhan, maka BN tidak lagi perlu risau memikirkan soal mengembalikan sokongan terhadap mereka. Apa yang perlu dilakukan mereka kini hanyalah mengatur strategi untuk meraih sokongan rakyat sahaja.

Itu analisis di pihak Barisan Nasional. Di pihak Pakatan Rakyat pula, keputusan kes Anwar juga turut beri signifikannya yang tersendiri.

Pertama, keputusan Anwar ini bakal menyaksikan satu lonjakan sokongan kepada mereka, kerana segala tohmahan dan tuduhan oleh media perdana sebelum ini akan dilihat sebagai tidak benar dan tidak tepat. Segala macam tuduhan terhadap Anwar di media perdana, baik di akhbar mahupun di televisyen kini boleh dipertikaikan. Malah pihak-pihak yang terus menghukum Anwar dengan melabelkan beliau sebagai ‘Anwar al-Juburi’, si gila seks di luar tabii’ juga mungkin menjadi terkelu seketika.  Hakikatnya, media perdana seolah-olah telah menghukum Anwar bahawa beliau telah bersalah, walhal mahkamah belum pun membuat keputusan.

Kedua, keputusan ini juga bakal menyaksikan imej Anwar akan dibersihkan, dan ini akan menjadi bonus buat Pakatan Rakyat. Kini, apa yang perlu dilakukan oleh Anwar ialah memberi fokus pada PRU 13, dengan menyusun strategi terbaik buat PR bagi memenangi hati rakyat. Bagi rakyat pula, ketakutan untuk memilih pemimpin yang ‘tidak bersih’ akan hilang dengan keputusan mahkamah tersebut. Situasi ini membolehkan PR dengan mudah dapat memancing hati rakyat tanpa perlu berhadapan dengan isu moral pemimpinnya.

Ketiga, keputusan tersebut juga bakal menyaksikan kebolehpercayaan  rakyat terhadap media arus perdana akan merosot. Rakyat akan mula mempersoalkan kredibiliti dan kebenaran berita yang disampaikan oleh media perdana. Keputusan kes Anwar ini ibarat satu ‘impak’ besar buat media perdana, dan satu tamparan hebat buat mereka yang selama ini kelihatan telah menghukum Anwar sebagai bersalah. Situasi ini kemudiannya akan melemahkan BN apabila media perdana yang menjadi medium bagi mereka dalam meraih sokongan rakyat mungkin tidak akan dipedulikan lagi. Itulah yang terjadi terhadap akhbar Utusan Malaysia apabila mengalami kemorosotan mendadak dalam penjualan akhbar mereka. Itu jugalah yang terjadi pada slot berita Buletin Utama di TV3 apabila sesetengah penonton seperti kelihatan mula hilang tarikan untuk menontonnya.

Namun, persoalan akan masih terus muncul. Soalnya, sejauh manakah keputusan kes Anwar ini akan memberikan impak politik terhadap BN dan PR. Pihak manakah yang akan lebih mendapat untung dari keputusan ini? Apakah Anwar akan terus relevan? Apakah Najib akan terus menerima peningkatan sokongan rakyat? Apakah PR akan lebih berkuasa atau BN akan kembali mendapatkan maruahnya yang tercalar pada tahun 2008?

Hakikatnya, keputusan kes Anwar pada 901 hanya akan mencetuskan persoalan tentang masa depan politik negara. Akhirnya, rakyatlah yang akan menunjukkan kuasa mereka yang sebenar.




*Entri ini bersifat neutral dan tidak memihak pada mana-mana parti.

Tiada ulasan :