Selasa, 31 Januari 2012

Baucar Buku 1Malaysia haruslah digunakan sebaiknya


Pemberian Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) oleh pihak kerajaan kepada para pelajar IPTA dan IPTS adalah satu langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Langkah ini adalah satu peluang keemasan buat para pelajar yang sudah semestinya jarang-jarang diperolehi. Namun, di sebalik peluang yang diberi, kelihatan terdapat sesetengah para pelajar mengambil kesempatan dengan menggunakan baucar tersebut bagi tujuan yang lain. Malah, kini timbul isu penjualan baucar tersebut  oleh segelintir pelajar di internet dan perkara ini semestinya amat mengecewakan.

Pemberian baucar ini merupakan satu peluang buat para pelajar bagi menggunakannya untuk membeli buku dan peralatan tulis. Hakikatnya, baucar yang diberi sudah pasti akan meringankan sedikit beban yang ditanggung para pelajar yang dikelilingi dengan tekanan kewangan. Maka seharusnya peluang yang diberi ini wajar digunakan sebaik-baiknya oleh para pelajar bagi mengelakkan berlakunya pembaziran. Hakikatnya, kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang cukup besar bagi tujuan pemberian baucar ini, dan jika pelajar tidak memanfaatkannya, maka wang rakyat pastilah akan dibazirkan.

Di Malaysia, kadar pembacaan buku dalam kalangan rakyatnya adalah sangat rendah. Rakyat Malaysia hanya membaca secara purata 8 buah buku dalam tempoh setahun. Hal ini amat berbeza jika dibandingkan dengan negara seperti Jepun yang purata membaca buku dalam kalangan rakyatnya adalah sebanyak 20 hingga 30 buah buku setahun. Jurang perbezaan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Maka, dengan pemberian baucar buku ini, diharapkan budaya membaca dapat disemai dalam kalangan pelajar.

Hakikatnya, terdapat pelbagai buku yang berkualiti dijual di pasaran. Menerusi pemberian baucar buku ini, para pelajar sebenarnya diberikan peluang keemasan bagi memlilih pelbagai jenis bahan bacaan di kedai buku. Sekiranya baucar berjumlah RM 200 itu digunakan dengan sebaiknya, para pelajar dapat mendapatkan bahan bacaan yang cukup berkualiti seterusnya menjana pemikiran mereka secara lebih kreatif dan kritis. Harus diakui, buku-buku tulisan penulis atau tokoh terkenal seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad bukanlah murah dari segi harganya, kerana buku-buku sebegini mencecah ratusan ringgit. Menerusi pemberian baucar ini, maka para pelajar hakikatnya berpeluang untuk membeli buku-buku sebegini yang mungkin selama ini hanya merupakan impian sahaja untuk dimiliki.

Penjualan baucar buku di internet seperti yang dilakukan oleh sesetengah pelajar merupakan satu tindakan yang sangat merugikan. Tindakan ini ibarat melepaskan peluang keemasan yang diberi oleh kerajaan. Hakikatnya, banyak manfaat yang dapat diperoleh oleh para pelajar andai baucar ini digunakan dengan sebaiknya. Tindakan menjual baucar ini mungkin adalah berpunca daripada sikap pelajar itu sendiri yang lebih mengutamakan wang ringgit berbanding ilmu pengetahuan. Nilai materialistik yang wujud inilah menyebabkan sesetengah pelajar itu sanggup melupakan kepentingan membeli bahan bacaan, sebaliknya lebih mengutamakan pembelian barang-barang mewah untuk penampilan diri sahaja.

Malah, penjualan baucar buku ini juga menurut pendapat beberapa pakar agama mungkin mempunyai unsur riba’ sekiranya nilai baucar yang dijual itu lebih rendah dari nilai asal baucar tersebut. Pandangan ini ada kebenarannya, kerana didapati bahawa bagi setiap baucar yang dijual itu, wang tunai yang diterima akan lebih rendah dari nilai asal baucar tersebut. Alasan yang diberi oleh pembeli baucar ini adalah kerana untuk mendapatkan keuntungan. Jelas, tanpa sedar, penjualan baucar ini mempunyai unsur riba’ dan seharusnya dielakkan oleh para pelajar terutama bagi para pelajar yang beragama Islam.

Masalah yang timbul dalam isu penjualan baucar buku ini adalah berpunca dari sikap para pelajar itu sendiri. Sekiranya para pelajar menyedari akan kepentingan pemberian baucar ini, maka semestinya mereka akan memanfaatkan dengan sebaiknya baucar tersebut. Hakikatnya, baucar ini merupakan pencetus dalam kalangan rakyat supaya mempunyai sikap untuk menjadikan membaca buku sebagai satu budaya. Langkah kerajaan adalah sangat tepat, namun andai tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh para pelajar, maka segala manfaat itu hanya akan menjadi sia-sia.



2 ulasan :

hana banana berkata...

Hana terkejut masa dengar ratusan pelajar dah jual baucer itu untuk duit (masuk paper lagi, jelas nampak kepincangan pelajar sekarang)=/

* attitudinal problem perhaps

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Itulah. Sikap pelajar sekarang memang hanya tahu nak berseronok dari nak dapatkan peluang untuk tambahkan ilmu.