Selasa, 24 Januari 2012

Sembang-sembang Selasa: Tun Dr. Mahathir- A Doctor In The House

Baucer buku yang diberikan kepada setiap pelajar universiti merupakan suatu peluang yang jarang diperoleh. Makanya, apabila baucer itu berada di tangan, pelbagai angan-angan telah mula diatur, mahu membeli itu dan ini, dan serba serbi jadi tak tentu arah mengenangkan jumlah RM200 yang diberi tersebut.

Tolak ketepi soal baucer buku tersebut yang dikatakan merupakan satu umpan untuk meraih sokongan rakyat bagi menyokong Barisan Nasional. Tidak kira apa pun matlamat sebenar pemberian baucer tersebut, hakikatnya baucer tersebut adalah peluang keemasan buat pelajar universiti untuk digunakan bagi mencari sebanyak mungkin buku dan semestinya satu peluang yang jarang kerana jumlah yang diberikan adalah bernilai ratusan ringgit. Ratusan ringgit untuk dibelanjakan bagi pembelian buku, maka itu suatu peluang yang jarang diperolehi.

Angan-angan untuk memiliki buku "A Doctor In The House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad" yang telah berada di pasaran sejak Mac 2011 yang lalu memang telah dipasang sejak buku tersebut dilancarkan. Namun, dek harga yang mahal ditambah pula dengan isi poket yang tak seberapa, maka angan-angan ibarat tinggal kenangan.



Namun, terima kasih atas baucer diberi, maka buku yang diangan-angankan dapat juga dibeli. Dengan harga RM100, maka wajah tersenyum tanda kepuasan dapat mencapai hasrat hati. Buku tersebut berjaya dibeli, maka bermulalah sebuah kisah epik proses pembacaan buku setebal 809 muka surat itu.

Sehingga kini, proses membaca masih lagi berlangsung dan telah pun separuh buku telah dibaca. Harus diakui, buku ini sangat menarik untuk dibaca, dan mampu menjana persepsi pemikiran yang lebih kreatif dan kritis.



Setakat yang telah dibaca, Tun telah berkongsi tentang kisah awal perjalanan hidupnya. Kisah bagaimana dirinya dibesarkan, dan bagaimana Tun diasuh dan dididik oleh ibu bapanya. Bapanya merupakan seorang guru sewaktu zaman British, dan ternyata pemikiran bapanya tentang kepentingan pelajaran itu telah banyak membantu Tun sehingga beliau menjadi seorang doktor.



Kisah yang paling menarik adalah sewaktu Tun berada di Universiti Malaya di Singapura, sewaktu Tun menjadi pelajar perubatan. Kisahnya dibuli pelajar senior, dan kisah beliau membuli pelajar junior diceritakan. Malah kisah kegagalan beliau dalam peperiksaan pada tahun akhir, sehingga menyebabkan beliau terpaksa  mengulang pengajian untuk satu semester lagi turut dikongsi oleh Tun.

Namun kisah yang paling menarik adalah perkongsian Tun mengenai hubungannya dengan Tun Dr. Siti Hasmah, yang pada waktu itu merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu di kolej tempat Tun Dr Mahathir menuntut. Hubungan mereka semakin mesra, dan akhirnya mereka meluahkan perasaan. Tun meluahkan rasa hatinya pada Hasmah, dan tanpa disangka juga, perasaan yang sama turut dirasai oleh Tun Dr. Siti Hasmah.

"Sometimes during the course of the day, I plucked up the courage to tell her exactly how I felt about her. To my great relief, she said she felt the same way about me. That was 23 April 1949 - it was such a happy day that we still celebrate it every year"
(muka surat 136)

Dikongsikan juga kisah Tun yang membeli beberapa jenis kenderaan terpakai. Semuanya adalah untuk memudahkan Tun untuk berjumpa dan membawa Hasmah berjalan-jalan di Singapura di hujung minggu. Kisahnya agak melucukan juga.


"With my earning from the articles I wrote for the Sunday Times, I bought a second-hand BSA 250cc motorcycle. That eased my journeys to Holne Chase, the girls' hostel, to see Hasmah. It also meant we had a set of wheels to go out together, sometimes even for weekends to Johor Baru.

Later I bought a sec
ond-hand 500cc Fiat Marvelette, which broke down all the time. My next purchase was not much better. I bought a dilapidated, second hand Standard Coupe, in which Hasmah and I decided to drive to Kuala Lumpur for the holidays. The roof would collapse every now and then and Hasmah had to hold it up with both hands whenever the road was rough - and the road was rough and bumpy most of the way. Perhaps this was why I wanted to develop high-speed expressways when I became Prime Minister."



(muka surat 137)




Setakat pembacaan terhadap buku ini, didapati bahawa Tun tidak sealiran dengan Tunku Abdul Rahman. Tun seringkali mengkritik Tunku, yang dilihat sebagai lemah dan seringkali mudah tunduk pada desakan kaum bukan Melayu. Tun berpendapat bahawa Tunku tidak begitu prihatin dalam melakukan satu usaha bagi memajukan kaum Melayu pada waktu itu. Tunku menurut Tun hanya mengambil mudah akan perkara-perkara yang cukup kritikal pada waktu tersebut terutama dalam soal hubungan antara kaum yang pada waktu tersebut berada dalam situasi yang agak tegang. Menurut Tun lagi, Tunku masih dibayangi dengan kejayaan mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu, sedangkan pada waktu tersebut, pada lewat tahun 1960-an, Tanah Melayu memerlukan satu lonjakan dalam ekonominya.


Menurut Tun, Tunku gagal dalam memahami tuntutan sebenar pada peringkat akar umbi. Maka tidak hairanlah ada ungkapan menyatakan bahawa Tunku merupakan 'Perdana Menteri paling bahagia' di dunia. Menerusi buku ini, Tun menyatakan bahawa kekalahan teruk yang dialami oleh Parti Perikatan pada piliharaya umum 1969 adalah disebabkan kealpaan Tunku dalam memahami masalah di peringkat akar umbi. Dalam pilihanraya ini, Tun juga turut mengalami kekalahan di tangan calon Pas di parlimen Kota Setar Selatan.


Malah, Tun juga pernah menghantar sepucuk surat kepada Tunku yang mengkritik hebat kepimpinan Tunku. Menurut Tun, bahasa yang digunakan dalam surat tersebut agak pedih, dan bertujuan untuk menyedarkan Tunku dari dibuai mimpi yang lena. Malah, surat yang dikirimkan kepada Tunku itu turut dibuat beratus salinan dan diedarkan secara umum oleh Tun. Tindakan tersebut menurut Tun amat dikesali beliau pada hari ini. Menurut Tun, emosinya mungkin agak panas dek kekalahan mengejut yang dialami beliau di parlimen Kota Setar Selatan.


Kesan surat Tun itu akhirnya menyebabkan beliau dipecat dari UMNO. Pada tahun 1969, Tun menjadi 'persona non grata' dalam dunia politik.






Namun, apabila Tun Abdul Razak mengambil alih kepimpinan dari Tunku, banyak perubahan dilakukan. Menurut Tun, Tun Abdul Razak memahami akan masalah sebenar yang berlaku di Malaysia. Ketegangan kaum yang tercetus adalah disebabkan ketidakseimbangan dalam komposisi penguasaan ekonomi di Malaysia. Maka itulah bermulanya pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh Tun Abdul Razak, dan pada hemat Tun Dr. Mahathir sebagai satu langkah yang tepat.


Harus diakui, setelah membaca separuh dari buku tersebut, Tun dilihat sebagai seorang pemimpin yang berbeza dari pemimpin lain yang sezaman dengan beliau. Konflik antara Tun dan Tunku akhirnya akan memperlihatkan satu siri perjalanan politik panjang buat Tun. Harus diingat, Tunku menyokong penuh penubuhan parti Semangat 46, apabila UMNO diharamkan oleh mahkamah. 


Saya masih dalam proses pembacaan buku tersebut, dan insyaallah akan menamatkan pembacaan dalam beberapa hari lagi. Kisah berkaitan Anwar Ibrahim dan konflik UMNO yang berkait dengan Tun Musa Hitam, dan Datuk Razaleigh Hamzah masih belum dibaca lagi.


Membaca buku ini adalah bertujuan untuk melihat pandangan Tun mengenai isu-isu yang pernah berlaku dalam negara. Itu tidak bermaksud bahawa saya mempercayai bulat-bulat terhadap apa yang diceritakan Tun, namun lebih kepada mendalami pendapat dari sudut Tun sendiri. Mungkin versi ceritanya lain jika dilihat pada sudut pemimpin yang lain.


Buku berbahasa Inggeris ini ternyata amat mudah untuk dibaca dan difahami. Ayat-ayat yang digunakan sangat mudah dan ringkas, malah harus diakui tidak sukar untuk mengikuti setiap penceritaan yang ditulis. Bahasa yang digunakan juga sangat mudah, dan boleh dibaca oleh semua orang tidak kira sejauh mana tahap penguasaan Bahasa Inggeris seseorang.


Buku ini sangat sesuai bagi menambahkan lagi pemahaman akan perjalanan dan sejarah negara kita. Banyak fakta dan maklumat turut dinyatakan dalam buku ini.


Insyaallah, sebaik habis membaca buku ini, ulasan penuh akan dibuat dan akan dikongsikan di blog ini. Namun sehingga kini, sekadar ini sajalah perkongsian yang dapat diberi.


Wallahualam.


























*Sembang-sembang Selasa adalah ruangan bebas untuk sebarang isu yang akan dipaparkan setiap hari Selasa dalam blog ini.


Nota: Sembang-sembang Selasa telah lama tidak muncul di blog disebabkan jadual kuliah saya pada hari Selasa sewaktu semester yang lalu agak padat. Dari jam 8 pagi hingga 7 petang pada hari Selasa, kelas kuliah berterusan. Maka disebabkan itu Sembang-sembang Selasa agak lama menyepi.

5 ulasan :

Muhammad Adam bin Roslan berkata...

terima kasih atas perkongsian..

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Sama-sama

hana banana berkata...

ala...hr tuh time baca post nie internet slow, xtgok gambar...now dah tgok gambar rasa lagi nak beli!

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Heheh. Beli, jangan tak beli. Tak rugi beli buku ni. Sangat berbaloi.

Nora_Aniza berkata...

untung la pandai bi..haha