"Adina (Bicara Tiga Belas)"
Persoalan dan dilema tak terjawab kadangkala harus
diselesaikan dengan sebuah penelitian yang cukup mendalam. Dalam situasi yang
tak menentu, satu keputusan yang tepat harus dilakukan. Tambah memberi beban,
bila tubuh tak berdaya mengharungi dugaan.
“Saya tak ada masalah. Peluang yang ada, maka rebutlah.
Namun, keadaan Ina sekarang bukan sesuatu yang cukup menyenangkan untuk
diberikan izin buat Ina menyambung pengajian”
Bicara diluahkan malam itu tanda persetujuan diberikan
Rizqullah. Pada dasarnya, suami Abyatina itu memberi izin buat Abyatina bagi
menyambung pengajiannya di IPSI. Namun, kekangan lain memberatkan hati
Rizqullah membenarkan Abyatina berada di bumi Tanjung Malim.
“Ina nak capai cita-cita, tapi andai izin abang dalam
keberatan, maka sepenuh hati Ina lepaskan peluang yang diberikan”
“Bukan tak izin.
Tapi sihat Ina yang berselang seli dengan sakit, berterusan macam tak ada
kesudahan. Saya tahu, Ina memang punyai cita-cita yang cukup besar. Tapi, dalam
sakit macam ni, macam mana nak dikejar cita-cita? Takut mudarat yang lebih
banyak menimpa”
Tarikh yang semakin hampir mencetuskan persoalan besar.
Hari pendaftaran pengajian tinggal seminggu sahaja lagi. Bukan soal keizinan
yang menjadi keutamaan. Kesihatan Abyatina yang menjadi tajuk bualan. Rizqullah
memberi izin namun tak merelakan kepergian Abyatina menyambung pengajian. Takut
kesihatan yang tak menentu semakin melarat.
“Jangan dirisaukan. Suami itu perlu ada isterinya di
sisi. Tempat paling bahagia buat seorang isteri adalah di samping suaminya.
Lupakan sahaja IPSI, kerana masa depan Ina bukan tentang diri sendiri, tapi
tentang abang”
Abyatina meluahkan rasa. Abyatina berkorban. Pengorbanan
luar biasa, lupakan impian yang terbina sekian lama. Maka, diletakkan sahaja
surat tawaran itu di atas meja.
Sejak peristiwa pengsan di bilik air itu, Abyatina
seringkali berulang alik ke hospital. Rawatan demi rawatan diterima, namun tiada
penyelesaian berjaya ditemui. Sakit Abyatina membingungkan doktor. Simptomnya ada, penyakitnya tak diketahui.
Misteri menyelubungi, Rizqullah kebingungan. Tidak tahu apa yang perlu
dilakukan, penyelesaian terbaik bagi menyembuhkan Abyatina.
“Sabarlah,” bisik Rizqullah pada malam Abyatina pengsan
di bilik air itu.
Hari-hari sebagai seorang isteri adalah saat yang penuh
dengan nilai tanggungjawab dan kesetiaan. Rasa cinta semakin tersemai, dan
hari-hari bersama Rizqullah dirasakan semakin indah. Setiap pagi, Abyatina
menyediakan sarapan, dan Rizqullah menikmatinya sebelum menaiki basikal menuju
ke sekolah yang tak jauh dari rumah. Masa lapang di waktu pagi itu kemudian
dimanfaatkan dengan mengunjungi rumah ibu mertuanya yang terletak tidak jauh
dari rumahnya. Maka, dihabiskan masa Abyatina bersama ibu mertuanya mengemas
rumah, dan mungkin juga memasak.
Pagi itu, Abyatina seperti biasa berkunjung ke dapur ibu
mertuanya. Tarikannya untuk berkunjung melihat
sendiri ibu mertuanya memasak sangat kuat. Ibu Rizqullah cukup hebat dan
mahir memasak, dan kerana itu Abyatina seringkali berkunjung dek mahu belajar
dan mendapatkan sesuatu darinya.
“Hang kena pikat perut laki hang, baru dia melekat kat
rumah,” bicara ibu Rizqullah.
“Tapi, Rizqullah tu nampaknya macam tak rajin nak keluar
rumah. Kenapa?”
“Kerana itulah sikapnya sejak kecil lagi,” balas ibu
Rizqullah tersenyum. “Lebih terperap dari merayap”
Namun, setiap kali kunjungan yang pada mulanya untuk
belajar memasak, diakhiri dengan perbualan panjang dengan ibu mertuanya.
Ditambah pula dengan teknik memasak si ibu Rizqullah yang cukup sukar difahami,
dek sukatan bahan-bahan masakannya hanya disukat menggunakan jari jemari dan cubitan
jari mengikut gerak rasa hati, maka Abyatina sekadar melopong tanda tak
mengerti.
“Bau bancuhan pun ada sukatan? Cubitan garam pun ada
besar dan ada kecil? Nak sukat kepekatan kena rendamkan jari pada bancuhan? Titisan air
bancuhan juga merupakan satu bentuk sukatan ? Ah, apakah ilmu sukatan sebegini?
Planet mana ibu mertuaku belajar ni? Mananya mangkuk, mananya camca? Mengapa
tidak sukatan cara biasa digunakannya?” soal Abyatina bermonolog.
“Takkan dari planet Zaragoza lagi kot...” Rizqullah
berseloroh saat menikmati hidangan tengah hari di rumah selepas pulang dari
sekolah. Istilah planet Zaragoza menjadi popular saat pertama kali diperkatakan
oleh adik Abyatina, Zabarjad suatu masa dahulu.
Petang itu,
Abyatina kelapangan. Maka, masa terluang diisi dengan menarikan penanya di atas
kertas. Kisah bicara hidupnya, maka diluahkan tanda melahirkan gembira
bercampur debar. Pengkisahan merakamkan segala detik terindah di alam rumah tangga.
Maka, catatan dibuat oleh si Abyatina.
“Dalam kesamaran dan debaran, kadang kala tercetus rasa
bahagia. Dalam kesenangan dan kebahagiaan, dugaan menjelma, menguji kesabaran.
Dunia ibarat ujian, kerana tiap-tiap bahagia itu ada harga yang perlu dibayar
dengan sebuah pengorbanan. Apakah sakit itu tanda kesenangan di masa depan?
Sesungguhnya, pohon dipinta, moga dikekalkan bahagia rumah tangga dengannya”
Abyatina tersenyum merehatkan seketika bicara dalam
bentuk tulisan. Matanya merenung jauh ke jendela. Tenangkan jiwa menghirup
angin luar.
Sayup-sayup kedengaran alunan ayat-ayat suci. Bacaan
al-Quran tiba-tiba kedengaran. Walau tak jelas, namun mudah didengarinya. Abyatina
sedikit terkejut. Itulah kali pertama kedengaran Rizqullah mengalunkan
ayat-ayat al-Quran. Lantas Abyatina bangun menuju ke ruang tamu. Maka,
kelihatan Rizqullah duduk di tikar sejadah, sambil membaca al-Quran.
“Abang....” bisik Abyatina terkejut.
Bacaan tersangkut-sangkut sedikit demi sedikit, walaupun
perlahan, namun digagahkan juga untuk dibaca. Memang kelihatan sedikit
merangkak-rangkak saat Rizqullah membaca al-Quran, namun suami Abyatina itu
tanpa jemu terus membaca walaupun kelihatan agak sukar.
“Apakah suamiku ini mahu memperbetulkan mana yang kurang?
Moga Allah beri hidayah buatnya,” bisik Abyatina.
Perlahan-lahan Abyatina menghampiri Rizqullah. Dia duduk
di sebelah Rizqullah. Bacaan merangkak-rangkak Rizqullah kemudian dibantu
Abyatina. Sedikit demi sedikit Abyatina membantu suaminya membaca al-Quran
dengan lancar. Saat paling mengharukan pada petang itu. Abyatina membimbing
Rizqullah.
“Cukup didikan agamanya. Dari kecil sampai besar, tak
putus-putus ilmu diberikan. Soal amal dengan tak amal sahaja yang menjadi
perbezaannya. Tahunya sudah, tapi amalnya terpulang kepada masing-masing”
Bicara ibu Rizqullah sewaktu memasak bersama Abyatina.
Kata-kata itu terngiang-ngiang kembali di telinganya. Perihal didikan agama
terhadap anak-anak ibu mertuanya, maka itulah yang dibualkan oleh ibu Rizqullah
bersama Abyatina.
“Soal didikan agama, haruslah berterusan, tanpa ada
hentinya,” terang ibu Rizqullah.
Bukanlah Rizqullah itu seorang yang teralpa. Abyatina
tahu, suaminya itu tak pernah meninggalkan solat lima waktu. Tidak pernah juga
lupa menjauhi perkara yang dilarang dan tidak alpa dalam melaksanakan segala
suruhan-Nya. Mungkin kadangkala, dek terleka sedikit, maka ada perkara yang
mungkin tertinggal.
“Memang dah lama tak baca al-Quran. Bukan mahu
tinggalkan, tapi tak ada kesempatan. Mohon Ina beri tunjuk ajar moga lancar
kembali bacaan,” bicara Rizqullah pohon bantuan.
“Insyaallah abang. Insyaallah”
Abyatina hasil didikan Ustaz Man. Beri kekuatan jiwa buat
si Rizqullah mendekatkan lagi dirinya kepada pencipta-Nya. Ilmu yang ada
dicurahkan kepada Rizqullah. Hari demi hari, Abyatina setia menanti, duduk di
sisi membantu Rizqullah melancarkan bacaan ayat-ayat suci. Hari demi hari penuh
kesabaran, Rizqullah tekun belajar dan memahami setiap isi pengajaran, dan
Abyatina senantiasa melemparkan senyuman manis beri ketenangan jiwa buat
Rizqullah dalam proses pembelajaran itu.
“Kadangkala kita perlu merendahkan diri
serendah-rendahnya dalam soal menuntut ilmu. Buangkan ego lelaki tu, kerana ego
itu adalah musuh utama untuk kita sebagai lelaki memperbetulkan diri,” bicara
Marzuq, abang Rizqullah pada satu petang.
Petang itu juga sekali lagi Abyatina pengsan di dapur.
Pada mulanya pening melanda, sakit di dada muncul, dan akhirnya rebah saat
menyediakan teh di dapur. Maka Rizqullah sekali lagi dilanda kejutan. Namun,
kejutan terbesar pastilah dirasai Marzuq, abang ipar Abyatina kerana itulah
pertama kali dia melihat Abyatina pengsan di dapur.
“Memang selalukah begini?” soal Marzuq.
“Bilangannya dah tak terkira,” balas Rizqullah sambil
mengangkat Abyatina menuju ke bilik.
“Kenapa tak diusahakan sesuatu?”
“Dah banyak kali jumpa doktor, tapi puncanya sampai
sekarang tak diketahui. Sakitnya macam tak ada punca,” keluh Rizqullah.
“Kenapa tak cuba cara orang kampung?”
Rizqullah terkedu. Fikiran yang tak pernah terlintas di
akalnya. Mungkin kerana dilanda dugaan, maka ketenangan mencari penyelesaian
juga berada dalam kebuntuan.
Maka setahun berlalu, begitulah yang diharungi Abyatina
dalam tempoh tersebut. Tiada siapa yang tahu perihal masalah kesihatan Abyatina
melainkan Rizqullah. Perihal dugaan itu dirahsiakan selama tempoh itu dari
pengetahuan sesiapa pun, bahkan keluarganya sendiri pun tidak tahu. Kemunculan
Marzuq saat Abyatina pengsan di dapur, maka rahsia disimpan diketahui.
Terkejut, namun tak menduga selama hamper setahun Abyatina dan Rizqullah
menyimpan rahsia.
“Mengapa begitu lama rahsianya?” soal Marzuq kehairanan.
Tiada jawapan dapat diberikan menjawab persoalan yang
diajukan. Sejak petang itu, maka berita kesihatan Abyatina yang tak menentu
mula tersebar dalam kalangan keluarganya. Ibu Rizqullah terkejut, dan terus
tersebar berita ini kemudian ke pengetahuan Ustaz Man dan Mak Cik Ros.
“Setahun Abyatina pendamkan rahsia? Kenapa?” ibu Abyatina
terduduk terkejut saat menerima berita tersebut.
Ustaz Man yang separuh lumpuh bertambah terkejut. Saat
Abyatina yang seringkali pulang ke kampung menjenguk tahap kesihatannya, pada
waktu sama jugalah si Abyatina menghadapi saat kesihatan yang tak menentu.
“Mengapa?” soal Ustaz Man.
Ada juga cakap-cakap yang menyalahkan Rizqullah kerana
dikatakan bersikap berdiam diri seolah-olah seperti menyeksa si Abyatina.
Peramkan Abyatina melalui kesakitan, tak pernah cuba memberitahu yang lain. Ada
juga menyatakan bahawa perkahwinan Abyatina dan Rizqullah adalah satu kesilapan
terbesar yang dibuat oleh Abyatina.
“Mu seksa
Abyatina, mu kata mu sayang dia?” soal Pak Long kepada Rizqullah saat
suami Abyatina itu baru tiba di kampung.
Kisah mengenai Abyatina bila dikatahui ahli keluarga yang
lain akhirnya telah mencetuskan konflik. Rizqullah dihentam berterusan acap
kali berkunjung ke kampung halaman Abyatina.
“Bukan salah abang. Bukan salah abang,” bicara Abyatina
beri ketenangan buat Rizqullah.
“Tapi, siapa yang mengerti?” luah Rizqullah.
Hakikatnya, kisah rahsia yang disimpan selama setahun itu
adalah kesepakatan yang telah diputuskan oleh Rizqullah dan Abyatina. Bukan
tidak ada usaha diikhtiarkan, cuma ikhtiar itu tak diketahui oleh ahli keluarga
yang lain. Itulah yang terpaksa ditelan Rizqullah. Kerahsiaan yang terbongkar
mencetuskan tohmahan sesetengah ahli keluarga yang lain.
“Cukup. Kalau dah pandai sangat nak mengajar, biar
Abyatina tinggal terus di kampung ni. Biar semua yang ada di sini jaga dia.
Siapalah saya yang tak pandai menjaga Abyatina ni!”
Secara tiba-tiba Rizqullah melenting di ruang tamu saat
ahli keluarga yang lain berkumpul membicarakan akan perihal kesihatan Abyatina.
Hakikatnya, ahli keluarga Ustaz Man senantiasa menyokong Rizqullah, namun ahli
keluarga yang lain terutama keluarga Pak Long yang kuat mengkritik Rizqullah.
Seraya terus Rizqullah keluar dari rumah. Rizqullah
meninggalkan hadirin dalam nada kemarahan. Kesemua hadirin di ruang tamu
terkejut. Kereta dipandu Rizqullah meninggalkan perkarangan rumah. Abyatina
terkedu. Amukan suaminya tak dijangka.
“Apa dah jadi dengan Rizqullah?” soal Ustaz Man terkejut.
*Tamat
sudah Bicara Tiga Belas*
Apakah
Rizqullah hilang kesabaran? Menyambung kisah di lain bicara...
**Adina
ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s:
‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup
mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat
saya.
Ulasan