Jumaat, 11 Mei 2012

Muhasabah Jumaat: Apabila penulis jatuh hati...





Bila hati dah tersadung, maka jatuhlah hati itu.

Tak dapat dipastikan soal kewajaran bicara kali ini. Mungkin lebih bersifat peribadi tatkala soal hati dibicarakan. Nak dikatakan jatuh hati, mungkin tidak. Nak dikatakan hati tak terpikat, mungkin boleh disangkal.

Payah juga bila dah terpikat pada seseorang, kita tak dapat berbuat apa-apa.  Nak diluahkan padanya takut tak kesampaian hajat, bila pinangan hati ditolak dengan penuh sopan. Mungkin juga. Jika ikut hati, mahu saja dijerit satu kampus, nyatakan diri dah suka padanya.

Ini bukan bicara omongan kosong. Mungkin ada nilai ‘queer’ atau mungkin juga satu bentuk ‘sarcasm’ sebagai pengejek utama kepada hati. Namun, bila hati telah bersuara, nyatakan ‘kamu dah terpikat padanya’, maka keserabutan melanda.

Bukanlah suka padanya sebarangan. Suka itu dalam bentuk keikhlasan. Andai nafsu jadi panduan, maka hanyutlah hati, rosaklah jiwa. Keindahan perasaan tatkala dibuai rasa suka padanya, maka magisnya mungkin muncul tiba-tiba separuh kesedaran. Sukar nak nyatakan penangan cinta, kerana tiap-tiap kecintaan itu disusuli dengan angan-angan serba keindahan.

Dari mana bermula? Bagaimana terjadi kisah hati yang tiba-tiba terjatuh pada hati yang lain?Siapa orangnya?

Ah, indahnya bila memikirkannya. Serba manis, serba ayu, serba sopan. Mudah tersenyum, tunduk pandangannya. Berkurung putih, bertudung biru. Jalannya penuh ketenangan, wajahnya penuh keayuan. Gunturkan jantung tatkala melihatnya. Debarannya bukan kepalang.

Wajahnya itu serba keindahan. Memandangnya saja cukup mendebarkan. Ya, dia senantiasa di hadapan, tatkala mata yang memerhati sentiasa duduknya di belakang. Entah dari mana mulanya, tiba-tiba degupan terjadi. Hati dah terpikat, namun terus diam memendam perasaan. Untuk diluahkan bagai satu kemustahilan.

Mungkin ini dinamakan panahan cinta. Namun bukanlah dalam kegelojohan nafsu, cuba diterkam sehingga terlupa iman di dada. Tatkala rasa cinta terwujud, seharusnya didekatkan diri dengan Allah diberi petunjuk dan perlindungan moga tidak hanyut dalam kesesatan. Cinta itu tak salah. Pecinta itulah yang seringkali merosakkan cinta dengan kemaksiatan.

Jika ditanya siapakah orangnya, maka memang siapa pun mungkin tak mengenalinya. Orangnya bukanlah seangkatan dalam bidang pengajian. Sekadar kenal-kenalan di layar skrin kecil, bertanya khabar dan berbual kesederhanaan. Orangnya cukup manis, sejuk mata pandangan. Dari mana berkenalan? Dari sesi pengajian, maka itulah permulaan.

Memang perit bila hati dah bersuara. Memanggil-manggil dia seolah-olah mahu sahaja diluahkan. Namun, itu bukan adabnya. Adabnya ialah dengan kesabaran. Perasaan itu harus dipendam. Tak perlu dinyatakan padanya kerana sekali luahan, sekali tersalah cara, maka sekali juga merasa kekecewaan.

Cinta melahirkan keindahan. Cinta juga mampu cetuskan ketidaktentuan. Cinta ialah fitrah, namun harus dirasai dengan penuh berhemah. Bukan nafsu yang jadi panduan, iman yang seharusnya menjadi teman. Menikmati cinta itu bukan satu kesalahan, namun perlu merasai nikmat atas kesyukuran pada-Nya.

Mungkin ini bicara yang paling peribadi pernah ditulis, nyatakan satu bicara jauh di lubuk hati. Namun hakikatnya, bicara yang ditulis ini juga bukanlah dapat menggambarkan dengan tepat rasa tak keruan tak kala hati terpikat padanya.

Hanya kepada-Nya sahaja jiwa dan hati ini diserahkan. Sesungguhnya  Dialah yang berkuasa ke atas setiap satu hambanya, dan Dialah yang merencanakan setiap perjalanan hambanya.

Mungkin ini dinamakan cinta. Namun mungkin ini sebagai satu tanda ingatan bahawa hati ini perlu senantiasa mengingati-Nya. Moga apa saja yang berlaku selepas ini adalah berada di bawah panyungan-Nya. Insya-Allah.

Buat dirinya yang mungkin tidak menyedari bahawa bicara ini ditujukan padanya, salam persahabatan buatmu.


“Mungkinkah kau bermimpi punyai bidadari, yang bisa bawakan kau terus ke alam seakan syurga…”
(Hujan- Bahgia)


Mungkin satu angan-angan dalam keindahan tatkala memerihalkan tentang cinta dan jatuh hati pada dirinya.