"Adina (Bicara Lima Belas)"




“Rezeki datang tanpa disangka, bila hati sudah berbicara menyatakan putus asa. Jika sabar menjadi tunjangnya, maka andai berjaya ditahan dugaan itu, maka akan tiba waktunya nikmat rezeki akan muncul mencurah-curah. Sabar kunci kenikmatan, kerana sabar itu ujian keimanan”

Abyatina termenung panjang di pagi hari, terkenangkan perjalanan yang telah ditempuhi. Dugaan yang melanda ternyata menguji kekuatan hati. Kesakitan dan kepedihan menjadi titik tolak kepada satu perubahan.

“Benar, semakin hari semakin diam. Semakin lama, semakin suram,” bicara Ustaz Man, ayah Abyatina.

“Kenapa si Abyatina orangnya lawa, tapi dugaannya banyak?”

“Tiap-tiap dugaan adalah tiap-tiap kasih sayang Allah buatnya,” balas Ustaz Man.

Pandangan orang kampung semakin serong. Pelbagai versi cerita kedengaran. Fitnah berbaur sentimen kebencian. Rangkuman diletakkan nyatakan si Abyatina gadis sumpahan beri kekacauan buat sesiapa sahaja yang mendekatinya. Ada pula yang menyatakan si Abyatina telah kurang siuman. Terus termenung seharian, tanpa sebarang peranan. Terus berada di kampung halaman, tatkala Rizqullah bersendirian di rumah.

“Mengapa Abyatina? Mengapa semuanya tentangnya?” soal ibu Abyatina dalam satu perbualan selepas solat Isyak.

Keluhan demi keluhan serabutkan pemikiran. Maka terwujudlah kecelaruan yang hilangkan keceriaan. Saat kesihatan Abyatina semakin tak ketentuan, maka semakin banyaklah cabaran buat Rizqullah suami si Abyatina.

“Tak mengapa Abyatina. Pulihkan dulu semangat Ina. Sihatkan dulu diri. Soal lain, kita fikirkan kemudian,” bicara Rizqullah terngiang-ngiang di ingatan Abyatina.

“Bukan Ina abaikan abang….” Bisik Abyatina di jendela bersendirian.

Rizqullah setiap hari akan berulang alik dari rumah ke kampung Abyatina. Paginya ke sekolah, dan petangnya menuju ke kampung menghantar Abyatina. Malamnya kemudian pulang semula  ke rumah, sama ada bersama Abyatina, atau berseorangan. Kadangkala Abyatina ditinggalkan di kampung dek kasihankan Abyatina yang kelihatan keletihan.

“Kalau kamu sabar, maka nikmatnya tak terkata,” bicara Ustaz Man memberi semangat buat Rizqullah.

Kisah ulang alik dari rumah ke kampung adalah semata-mata kerana Abyatina. Kesihatan Abyatina yang tak menentu menyebabkan keputusan akhir dipilih. Perubatan tradisional pula menjadi alternatif dan Ustaz Man memang mempunyai kepakaran itu. Maka, tanpa jemu dan letih, Rizqullah berdedikasi memastikan Abyatina dihantar ke kampung setiap hari.

“Tinggallah di kampung jika Ina rasa tenang,” kata-kata Rizqullah diluahkan. Rizqullah tahu, Abyatina tenang di hati bila berada di kampung halaman.

“Di mana tempat suami buat Ina?” soal Abyatina.

“Tempatmu adalah jiwa yang tenang, hati yang tenteram. Jika kamu bahagia, tak kira di mana saya berada, Ina sentiasa ada bersama saya,” balas Rizqullah tersenyum.

Tujuanmu mudah. Jika Abyatina merasa tenteram apabila berada di kampung halamannya, maka Rizqullah tidak mempunyai masalah untuk meninggalkannya di sana. Lagi tenang jiwa si Abyatina, maka lagi cepatlah proses pemulihan kesihatannya.

“Santaukah, atau sihirkah? Siapakah? Dari manakah?”

“Payah nak dikata. Santau atau sihir, dua-duanya syirik. Dua-dua sakitnya sama,” balas Ustaz Man menjawab pertanyaan besannya, Cikgu Hamdawi yang berkunjung pada satu petang.

“Kalau cemburunya tinggi,maka semuanya boleh jadi,” bicara Cikgu Hamdawi.

Kunjungan tersebut lebih berkisar kepada pertanyaan khabar sihat si Abyatina. Namun, semakin panjang bualnya, maka semakin banyak penceritaan. Dari situlah dibuka kisah ketidakwarasan Yaqzan, sebuah kisah amukan di waktu petang beberapa minggu sebelumnya. Tangannya bersama parang, cuba diacukan kepada Rizqullah. Dipersalahkan Rizqullah kononnya telah menyeksa si Abyatina dalam kesakitan.

“Apa yang terjadi padanya?” soal Cikgu Hamdawi.

“Petang tu juga polis datang. Petang tu juga Yaqzan ditahan”

“Mungkin ada yang tak kena pada Yaqzan tu,” bicara ibu Abyatina menyambung bicara Ustaz Man.

“Kita tak boleh paksa hati orang. Soal hati perkara yang halus. Lagi disentuh, lagi tersentuh,” luah Ustaz Man tersenyum.

“Kefanatikan dan kegilaan yang membawa kemusnahan buat dirinya. Seharusnya dia terima kenyataan. Abyatina dah bersuami. Apa lagi yang harus dia perjuangkan?” bicara Cikgu Hamdawi.

Kisah berikutnya adalah perjalanan Abyatina menuju ke klinik kesihatan yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Tiada siapa yang tahu, tiada siapa yang sedar. Senyap-senyap menyelinap keluar, perlahan-lahan berjalan tanpa sebarang bunyi.

“Bukan mahu menyalahkan sesiapa, tapi andai inilah dinamakan sebuah perkahwinan, maka di mana rasa tanggungjawab itu? Dibiarkan sahaja si Ina? Suaminya lepas tangan?”

Bicara semalam yang terus bermain di fikiran Abyatina saat kakinya melangkah menuju ke klinik desa. Itulah bicara Zaafarani, abang sulung Abyatina. Seorang polis, maka mungkin ketegasan bicara meluahkan ketidakpuasan terhadap Rizqullah dilontarkan secara terbuka sewaktu makan malam berlangsung. Mujur Rizqullah tiada pada waktu itu.

“Mengapa abang Zaf begitu marahkan suamiku? Apa salah Rizqullah?” soal Abyatina dalam perjalanan menuju ke klinik.

Perseteruan antara Rizqullah dan abang iparnya sememangnya telah wujud sejak awal perkahwinan Abyatina. Malah, perkahwinan Abyatina dan Rizqullah juga tidak dipersetujui oleh Zaafarani.

“Mengapa sejauh itu si Abyatina perlu menerima jodohnya? Manjung? Kenapa bukan di sini, Taiping? Bukankah sukar di masa kelak nanti? Mu tak fikir Ina? Bagaimana nanti dengan abah dan mak? Mahu berenggang dan semakin jauh?” soalan dilontarkan Zaafarani sewaktu mengetahui berita peminangan Rizqullah terhadap Abyatina. Bicara itu tercetus saat Zaafarani baru pulang dari Sabah setelah sebulan berkursus di sana.

“Apa hakmu nak nafikan jodoh Ina? Jika dia setuju, mu tak boleh pertikaikan. Ini hak hatinya. Bukan dipaksa,” balas Ustaz Man dengan tegas.

“Bukankah Zaf adalah walinya selepas abah? Salahkah jika pandangan diberikan?” soal Zaafarani.

“Bukan saat ini mu lontarkan pandanganmu, kerana tiap-tiap keputusan berkaitan jodoh Abyatina telahpun diputuskan,” balas Ustaz Man.

Imbauan demi imbauan lama mencipta lamunan. Benar, dek lamunan itu maka kakinya tersadung. Akar pokok rambutan, maka kisah berikutnya Abyatina jatuh. Tersepak akar yang agak besar, namun mujurlah tiada luka.

“Gedebak gedebuk. Macam nangka busuk, jatuh dan tergolek,” monolog si Abyatina tersenyum malu. Mujur tiada yang melihatnya.

Segala permasalahan dan konflik disimpan sahaja saat kaki melangkah masuk ke klinik desa. Disambut jururawat, dan kemudian bertemu dengan doktor. Maka, pemeriksaan demi pemeriksaan dijalankan. Tiada siapa mengetahui tujuan Abyatina tiba-tiba berkunjung ke klinik desa.

Wajah kuntuman senyuman bila semuanya selesai. Maka langkah seterusnya Abyatina menuju ke bendang, sekadar mahu mengambil angin menenangkan fikiran. Mungkin mahu merehatkan minda, setelah terperap lama di rumah. Agak lama juga matanya dilontarkan, meneliti pemandangan sejauh yang mampu. Saat yang jarang dirasai, selepas berkahwin dengan Rizqullah.

“Kalaulah semuanya semudah yang disangka….” bisik Abyatina.

Malam itu Rizqullah tidak muncul. Janji tidak ditepati, dan itu adalah pertama kalinya. Sepatutnya malam itu Rizqullah mengambil Abyatina untuk pulang ke rumah, namun sehingga selesai makan malam, kelibat suami Abyatina tidak juga kelihatan. Pelbagai andaian mula ditimbulkan, dan kebetulan Zaafarani abang sulung Abyatina turut ada pada malam itu.

“Suamikah macam tu? Bertanggungjawabkan itu?” lontaran diberikan Zaafarani kepada Abyatina.

Abyatina sekadar membisu terus menunggu di beranda, sambil ditemani ibunya dan Ustaz Man. Teh dihirup, sekadar mahu legakan tekak, tenangkan fikiran.

“Jika benar katamu, mengapa susah payah si Rizqullah setiap hari ulang alik dari Manjung ke sini, semata-mata untuk Abyatina. Apakah tak cukup buktinya?” soal Mak Cik Ros, ibu Abyatina.

“Jadi yang si Ina masih menunggu di sini, dan Rizqullah tak muncul-muncul apa pula maksudnya?” soal Zaafarani.

“Mu memang kalut dari dulu sampai sekarang. Tak sabar, dan cepat menggelabah. Jangan sebab Rizqullah tak datang malam ni, mu terus nak hukum dia,” bicara pula Ustaz Man. Tegas bunyinya.

“Bang Zaf memang tak tahu apa yang Ina tahu….” bicara Abyatina sebelum bingkas bangun masuk ke dalam rumah. Kecewa, mungkin itu yang dirasakan.

Abyatina mengurung diri dalam bilik. Pintu dikunci. Tiada siapa tahu apa yang terjadi pada Abyatina. Maka, sepuas-puasnya, tangisan tanpa suara mula terjelma. Sedikit demi sedikit air mata menitis, mungkin menahan sedih atau memeram rasa kecewa. Itulah saat paling pedih yang pernah dirasai Abyatina.

“Di mana abang?” persoalan tak terjawab. Abyatina terlelap dalam persoalan.

Setiap kisah sesungguhnya punyai sebab tersendiri. Bagi Abyatina, walaupun mungkin seribu alasan dihujahkan, tenang jiwa sukar dirasai. Tiada ungkapan di pagi hari, sekadar membisu menikmati sarapan. Seluruh keluarga tidak beri reaksi, mungkin faham perasaan Abyatina.

“Sampai pagi belum muncul? Tak sayang binikah?” soal Zaafarani memecah sunyi di pagi hari. Meluahkan lagi rasa marah terhadap Rizqullah yang masih belum muncul di kampung.

“Zaf, mu teringin tak nak mandi dengan seteko air kopi panas?” soal Mak Cik Ros dalam nada perli.

Maka, bicara terhenti setakat itu.

Sekali lagi, Abyatina menuju ke bendang. Melalui lorong-lorong, menikmati bunyi air yang mengalir di tali air. Udara sejuk menyegarkan minda, mungkin seketika menenangkan jiwa. Mahu dilupakan kusut melanda, mungkin itu tujuan utama si Abyatina.

“Bukan Ina bencikan abang, tapi kenapa abang kecewakan Ina?” bisik Abyatina saat berada di bawah pokok mangga, tempat yang seringkali menjadi kawasan rehat buat Abyatina saat berada dalam kekusutan.

“Bukankah sabar itu tanda orang beriman?”

Satu suara bisikan tiba-tiba muncul di telinga Abyatina. Suaranya halus, namun berbisa. Seraya, Abyatina menoleh ke belakang. Terkedu tanpa suara.

“Maaf….”  Sebaris bicara diungkapkan oleh suara itu.

Abyatina terus memeluknya. Maka itulah kemunculan mengejut Rizqullah saat Abyatina kekusutan. Menangis sepuas-puas melepaskan segala rasa gundah gulana yang dirasakan. Pelukan yang cukup lama, tanda Abyatina mahu meluahkan rasa hatinya kepada suaminya. Rindu, mungkin itu yang terwujud.

“Maaf…” bicara Rizqullah sambil mengusap air mata Abyatina yang menitis di pipinya.

“Jangan ada yang kedua kalinya….” pinta Abyatina.

Tidak ada sebarang soalan diujarkan oleh Abyatina. Tiada sebarang alasan dipinta terhadap Rizqullah. Bagi Abyatina, cukup sekadar suaminya itu muncul di sisinya, maka segala kisah duka malam sebelum akan terus dilupakan.

Petang itu, setibanya di rumah, Rizqullah dan Abyatina menghabiskan masa sebaiknya. Tidak ada sebarang detik pun dibazirkan. Petang itu diserikan dengan irama muzik, dan mereka menari buat pertama kalinya. Walaupun mungkin langkah tarinya sumbang, namun salah tari itulah yang menghasilkan gelak ketawa antara satu sama lain. Masing-masing ketawa dan menikmati detik paling menggembirakan petang itu. Bila dua manusia menari buat kali pertamanya, maka kekok muncul namun digagahkan juga untuk ditarikan. Kekok itulah yang menghasilkan kelucuan.

“Ina tengok kat TV  macam ni abang. Langkah ke depan, dan kemudian sedikit ke kanan…” bicara Abyatina.

“Eh, bukan. Dalam cerita P. Ramlee, tarinya begini…” bicara Rizqullah.

“Itu zaman 60-an. Sekarang ni dah hujung 80-an abang….”

“Habis tu, mana yang betul?”

“Asalkan kaki bergerak, dan seakan sama rentaknya dengan lagu, maka itulah namanya tarian”

“Tarian ciptaan Abyatina mungkin?”

“Ciptaan kita, abang…” tersenyum Abyatina.

Tiada terungkap rasa bahagia bila masa dihabiskan bersama, dan terwujud satu kenangan yang cukup indah. Abyatina dan Rizqullah mencipta bahagia. Hilanglah segala duka dan kekusutan.

“Makan malam mungkin?” soal Rizqullah berbisik ke telinga Abyatina saat mereka masih dalam tarian.

“Kenapa dengan makan malam?” soal kembali Abyatina.

Pintu diketuk. Rentak tarian terus hilang. Abyatina dan Rizqullah serta merta terhenti. Ditutupnya lagu, maka Rizqullah pergi membuka pintu. Walaupun berpeluh, senyuman dikuntumkan Rizqullah buat tetamu yang muncul. Maka, itulah kejutan pertama apabila abang ipar Rizqullah, Zaafarani muncul tiba-tiba.

“Assalamualaikum, “ sapaan diberikan dari tetamu.

“Silakan…”

Zaafarani duduk di ruang tamu. Pertama kali berkunjung, tanda permulaan hubungan. Namun menjadi kehairanan saat melihat Abyatina dan Rizqullah berdiri di satu sudut di ruang tamu. Tersenyum manis melihat Zaafarani.

“Kenapa mu tersenyum, kenapa mu berpeluh?” soal Zaafarani.

Rizqullah dan Abyatina ketawa kecil. Kelucuan sekali lagi melanda.

“Potong stim betul abang Zaf ni….” bisik Abyatina ke telinga Rizqullah. Tersenyum sahaja si Rizqullah.



*Tamat sudah Bicara Lima Belas*

Apakah tarian akan bersambung? Bersambung di lain bicara.


**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 




Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina






Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Sweet je kan diorang menari. :)

Catatan Popular