"Adina (Bicara Lima Belas)"
“Rezeki datang tanpa disangka, bila hati sudah berbicara
menyatakan putus asa. Jika sabar menjadi tunjangnya, maka andai berjaya ditahan
dugaan itu, maka akan tiba waktunya nikmat rezeki akan muncul mencurah-curah.
Sabar kunci kenikmatan, kerana sabar itu ujian keimanan”
Abyatina termenung panjang di pagi hari, terkenangkan
perjalanan yang telah ditempuhi. Dugaan yang melanda ternyata menguji kekuatan
hati. Kesakitan dan kepedihan menjadi titik tolak kepada satu perubahan.
“Benar, semakin hari semakin diam. Semakin lama, semakin
suram,” bicara Ustaz Man, ayah Abyatina.
“Kenapa si Abyatina orangnya lawa, tapi dugaannya
banyak?”
“Tiap-tiap dugaan adalah tiap-tiap kasih sayang Allah
buatnya,” balas Ustaz Man.
Pandangan orang kampung semakin serong. Pelbagai versi
cerita kedengaran. Fitnah berbaur sentimen kebencian. Rangkuman diletakkan
nyatakan si Abyatina gadis sumpahan beri kekacauan buat sesiapa sahaja yang
mendekatinya. Ada pula yang menyatakan si Abyatina telah kurang siuman. Terus
termenung seharian, tanpa sebarang peranan. Terus berada di kampung halaman,
tatkala Rizqullah bersendirian di rumah.
“Mengapa Abyatina? Mengapa semuanya tentangnya?” soal ibu
Abyatina dalam satu perbualan selepas solat Isyak.
Keluhan demi keluhan serabutkan pemikiran. Maka
terwujudlah kecelaruan yang hilangkan keceriaan. Saat kesihatan Abyatina
semakin tak ketentuan, maka semakin banyaklah cabaran buat Rizqullah suami si
Abyatina.
“Tak mengapa Abyatina. Pulihkan dulu semangat Ina.
Sihatkan dulu diri. Soal lain, kita fikirkan kemudian,” bicara Rizqullah
terngiang-ngiang di ingatan Abyatina.
“Bukan Ina abaikan abang….” Bisik Abyatina di jendela
bersendirian.
Rizqullah setiap hari akan berulang alik dari rumah ke
kampung Abyatina. Paginya ke sekolah, dan petangnya menuju ke kampung
menghantar Abyatina. Malamnya kemudian pulang semula ke rumah, sama ada bersama Abyatina, atau
berseorangan. Kadangkala Abyatina ditinggalkan di kampung dek kasihankan
Abyatina yang kelihatan keletihan.
“Kalau kamu sabar, maka nikmatnya tak terkata,” bicara
Ustaz Man memberi semangat buat Rizqullah.
Kisah ulang alik dari rumah ke kampung adalah semata-mata
kerana Abyatina. Kesihatan Abyatina yang tak menentu menyebabkan keputusan
akhir dipilih. Perubatan tradisional pula menjadi alternatif dan Ustaz Man
memang mempunyai kepakaran itu. Maka, tanpa jemu dan letih, Rizqullah
berdedikasi memastikan Abyatina dihantar ke kampung setiap hari.
“Tinggallah di kampung jika Ina rasa tenang,” kata-kata
Rizqullah diluahkan. Rizqullah tahu, Abyatina tenang di hati bila berada di
kampung halaman.
“Di mana tempat suami buat Ina?” soal Abyatina.
“Tempatmu adalah jiwa yang tenang, hati yang tenteram.
Jika kamu bahagia, tak kira di mana saya berada, Ina sentiasa ada bersama
saya,” balas Rizqullah tersenyum.
Tujuanmu mudah. Jika Abyatina merasa tenteram apabila
berada di kampung halamannya, maka Rizqullah tidak mempunyai masalah untuk
meninggalkannya di sana. Lagi tenang jiwa si Abyatina, maka lagi cepatlah
proses pemulihan kesihatannya.
“Santaukah, atau sihirkah? Siapakah? Dari manakah?”
“Payah nak dikata. Santau atau sihir, dua-duanya syirik.
Dua-dua sakitnya sama,” balas Ustaz Man menjawab pertanyaan besannya, Cikgu
Hamdawi yang berkunjung pada satu petang.
“Kalau cemburunya tinggi,maka semuanya boleh jadi,”
bicara Cikgu Hamdawi.
Kunjungan tersebut lebih berkisar kepada pertanyaan
khabar sihat si Abyatina. Namun, semakin panjang bualnya, maka semakin banyak penceritaan.
Dari situlah dibuka kisah ketidakwarasan Yaqzan, sebuah kisah amukan di waktu
petang beberapa minggu sebelumnya. Tangannya bersama parang, cuba diacukan
kepada Rizqullah. Dipersalahkan Rizqullah kononnya telah menyeksa si Abyatina
dalam kesakitan.
“Apa yang terjadi padanya?” soal Cikgu Hamdawi.
“Petang tu juga polis datang. Petang tu juga Yaqzan
ditahan”
“Mungkin ada yang tak kena pada Yaqzan tu,” bicara ibu
Abyatina menyambung bicara Ustaz Man.
“Kita tak boleh paksa hati orang. Soal hati perkara yang
halus. Lagi disentuh, lagi tersentuh,” luah Ustaz Man tersenyum.
“Kefanatikan dan kegilaan yang membawa kemusnahan buat
dirinya. Seharusnya dia terima kenyataan. Abyatina dah bersuami. Apa lagi yang
harus dia perjuangkan?” bicara Cikgu Hamdawi.
Kisah berikutnya adalah perjalanan Abyatina menuju ke
klinik kesihatan yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Tiada siapa yang tahu,
tiada siapa yang sedar. Senyap-senyap menyelinap keluar, perlahan-lahan
berjalan tanpa sebarang bunyi.
“Bukan mahu menyalahkan sesiapa, tapi andai inilah
dinamakan sebuah perkahwinan, maka di mana rasa tanggungjawab itu? Dibiarkan
sahaja si Ina? Suaminya lepas tangan?”
Bicara semalam yang terus bermain di fikiran Abyatina
saat kakinya melangkah menuju ke klinik desa. Itulah bicara Zaafarani, abang
sulung Abyatina. Seorang polis, maka mungkin ketegasan bicara meluahkan
ketidakpuasan terhadap Rizqullah dilontarkan secara terbuka sewaktu makan malam
berlangsung. Mujur Rizqullah tiada pada waktu itu.
“Mengapa abang Zaf begitu marahkan suamiku? Apa salah
Rizqullah?” soal Abyatina dalam perjalanan menuju ke klinik.
Perseteruan antara Rizqullah dan abang iparnya
sememangnya telah wujud sejak awal perkahwinan Abyatina. Malah, perkahwinan
Abyatina dan Rizqullah juga tidak dipersetujui oleh Zaafarani.
“Mengapa sejauh itu si Abyatina perlu menerima jodohnya?
Manjung? Kenapa bukan di sini, Taiping? Bukankah sukar di masa kelak nanti? Mu
tak fikir Ina? Bagaimana nanti dengan abah dan mak? Mahu berenggang dan semakin
jauh?” soalan dilontarkan Zaafarani sewaktu mengetahui berita peminangan
Rizqullah terhadap Abyatina. Bicara itu tercetus saat Zaafarani baru pulang
dari Sabah setelah sebulan berkursus di sana.
“Apa hakmu nak nafikan jodoh Ina? Jika dia setuju, mu tak
boleh pertikaikan. Ini hak hatinya. Bukan dipaksa,” balas Ustaz Man dengan
tegas.
“Bukankah Zaf adalah walinya selepas abah? Salahkah jika
pandangan diberikan?” soal Zaafarani.
“Bukan saat ini mu lontarkan pandanganmu, kerana
tiap-tiap keputusan berkaitan jodoh Abyatina telahpun diputuskan,” balas Ustaz
Man.
Imbauan demi imbauan lama mencipta lamunan. Benar, dek
lamunan itu maka kakinya tersadung. Akar pokok rambutan, maka kisah berikutnya
Abyatina jatuh. Tersepak akar yang agak besar, namun mujurlah tiada luka.
“Gedebak gedebuk. Macam nangka busuk, jatuh dan
tergolek,” monolog si Abyatina tersenyum malu. Mujur tiada yang melihatnya.
Segala permasalahan dan konflik disimpan sahaja saat kaki
melangkah masuk ke klinik desa. Disambut jururawat, dan kemudian bertemu dengan
doktor. Maka, pemeriksaan demi pemeriksaan dijalankan. Tiada siapa mengetahui
tujuan Abyatina tiba-tiba berkunjung ke klinik desa.
Wajah kuntuman senyuman bila semuanya selesai. Maka
langkah seterusnya Abyatina menuju ke bendang, sekadar mahu mengambil angin
menenangkan fikiran. Mungkin mahu merehatkan minda, setelah terperap lama di
rumah. Agak lama juga matanya dilontarkan, meneliti pemandangan sejauh yang
mampu. Saat yang jarang dirasai, selepas berkahwin dengan Rizqullah.
“Kalaulah semuanya semudah yang disangka….” bisik
Abyatina.
Malam itu Rizqullah tidak muncul. Janji tidak ditepati,
dan itu adalah pertama kalinya. Sepatutnya malam itu Rizqullah mengambil
Abyatina untuk pulang ke rumah, namun sehingga selesai makan malam, kelibat
suami Abyatina tidak juga kelihatan. Pelbagai andaian mula ditimbulkan, dan
kebetulan Zaafarani abang sulung Abyatina turut ada pada malam itu.
“Suamikah macam tu? Bertanggungjawabkan itu?” lontaran
diberikan Zaafarani kepada Abyatina.
Abyatina sekadar membisu terus menunggu di beranda,
sambil ditemani ibunya dan Ustaz Man. Teh dihirup, sekadar mahu legakan tekak,
tenangkan fikiran.
“Jika benar katamu, mengapa susah payah si Rizqullah
setiap hari ulang alik dari Manjung ke sini, semata-mata untuk Abyatina. Apakah
tak cukup buktinya?” soal Mak Cik Ros, ibu Abyatina.
“Jadi yang si Ina masih menunggu di sini, dan Rizqullah
tak muncul-muncul apa pula maksudnya?” soal Zaafarani.
“Mu memang kalut dari dulu sampai sekarang. Tak sabar,
dan cepat menggelabah. Jangan sebab Rizqullah tak datang malam ni, mu terus nak
hukum dia,” bicara pula Ustaz Man. Tegas bunyinya.
“Bang Zaf memang tak tahu apa yang Ina tahu….” bicara
Abyatina sebelum bingkas bangun masuk ke dalam rumah. Kecewa, mungkin itu yang
dirasakan.
Abyatina mengurung diri dalam bilik. Pintu dikunci. Tiada
siapa tahu apa yang terjadi pada Abyatina. Maka, sepuas-puasnya, tangisan tanpa
suara mula terjelma. Sedikit demi sedikit air mata menitis, mungkin menahan
sedih atau memeram rasa kecewa. Itulah saat paling pedih yang pernah dirasai
Abyatina.
“Di mana abang?” persoalan tak terjawab. Abyatina
terlelap dalam persoalan.
Setiap kisah sesungguhnya punyai sebab tersendiri. Bagi
Abyatina, walaupun mungkin seribu alasan dihujahkan, tenang jiwa sukar dirasai.
Tiada ungkapan di pagi hari, sekadar membisu menikmati sarapan. Seluruh
keluarga tidak beri reaksi, mungkin faham perasaan Abyatina.
“Sampai pagi belum muncul? Tak sayang binikah?” soal
Zaafarani memecah sunyi di pagi hari. Meluahkan lagi rasa marah terhadap
Rizqullah yang masih belum muncul di kampung.
“Zaf, mu teringin tak nak mandi dengan seteko air kopi
panas?” soal Mak Cik Ros dalam nada perli.
Maka, bicara terhenti setakat itu.
Sekali lagi, Abyatina menuju ke bendang. Melalui
lorong-lorong, menikmati bunyi air yang mengalir di tali air. Udara sejuk
menyegarkan minda, mungkin seketika menenangkan jiwa. Mahu dilupakan kusut
melanda, mungkin itu tujuan utama si Abyatina.
“Bukan Ina bencikan abang, tapi kenapa abang kecewakan
Ina?” bisik Abyatina saat berada di bawah pokok mangga, tempat yang seringkali
menjadi kawasan rehat buat Abyatina saat berada dalam kekusutan.
“Bukankah sabar itu tanda orang beriman?”
Satu suara bisikan tiba-tiba muncul di telinga Abyatina.
Suaranya halus, namun berbisa. Seraya, Abyatina menoleh ke belakang. Terkedu
tanpa suara.
“Maaf….” Sebaris
bicara diungkapkan oleh suara itu.
Abyatina terus memeluknya. Maka itulah kemunculan
mengejut Rizqullah saat Abyatina kekusutan. Menangis sepuas-puas melepaskan
segala rasa gundah gulana yang dirasakan. Pelukan yang cukup lama, tanda
Abyatina mahu meluahkan rasa hatinya kepada suaminya. Rindu, mungkin itu yang
terwujud.
“Maaf…” bicara Rizqullah sambil mengusap air mata
Abyatina yang menitis di pipinya.
“Jangan ada yang kedua kalinya….” pinta Abyatina.
Tidak ada sebarang soalan diujarkan oleh Abyatina. Tiada
sebarang alasan dipinta terhadap Rizqullah. Bagi Abyatina, cukup sekadar
suaminya itu muncul di sisinya, maka segala kisah duka malam sebelum akan terus
dilupakan.
Petang itu, setibanya di rumah, Rizqullah dan Abyatina
menghabiskan masa sebaiknya. Tidak ada sebarang detik pun dibazirkan. Petang
itu diserikan dengan irama muzik, dan mereka menari buat pertama kalinya.
Walaupun mungkin langkah tarinya sumbang, namun salah tari itulah yang menghasilkan
gelak ketawa antara satu sama lain. Masing-masing ketawa dan menikmati detik
paling menggembirakan petang itu. Bila dua manusia menari buat kali pertamanya,
maka kekok muncul namun digagahkan juga untuk ditarikan. Kekok itulah yang
menghasilkan kelucuan.
“Ina tengok kat TV
macam ni abang. Langkah ke depan, dan kemudian sedikit ke kanan…” bicara
Abyatina.
“Eh, bukan. Dalam cerita P. Ramlee, tarinya begini…”
bicara Rizqullah.
“Itu zaman 60-an. Sekarang ni dah hujung 80-an abang….”
“Habis tu, mana yang betul?”
“Asalkan kaki bergerak, dan seakan sama rentaknya dengan
lagu, maka itulah namanya tarian”
“Tarian ciptaan Abyatina mungkin?”
“Ciptaan kita, abang…” tersenyum Abyatina.
Tiada terungkap rasa bahagia bila masa dihabiskan
bersama, dan terwujud satu kenangan yang cukup indah. Abyatina dan Rizqullah
mencipta bahagia. Hilanglah segala duka dan kekusutan.
“Makan malam mungkin?” soal Rizqullah berbisik ke
telinga Abyatina saat mereka masih dalam tarian.
“Kenapa dengan makan malam?” soal kembali Abyatina.
Pintu diketuk. Rentak tarian terus hilang. Abyatina dan
Rizqullah serta merta terhenti. Ditutupnya lagu, maka Rizqullah pergi membuka
pintu. Walaupun berpeluh, senyuman dikuntumkan Rizqullah buat tetamu yang
muncul. Maka, itulah kejutan pertama apabila abang ipar Rizqullah, Zaafarani
muncul tiba-tiba.
“Assalamualaikum, “ sapaan diberikan dari tetamu.
“Silakan…”
Zaafarani duduk di ruang tamu. Pertama kali berkunjung,
tanda permulaan hubungan. Namun menjadi kehairanan saat melihat Abyatina dan
Rizqullah berdiri di satu sudut di ruang tamu. Tersenyum manis melihat
Zaafarani.
“Kenapa mu tersenyum, kenapa mu berpeluh?” soal
Zaafarani.
Rizqullah dan Abyatina ketawa kecil. Kelucuan sekali lagi
melanda.
“Potong stim betul abang Zaf ni….” bisik Abyatina ke
telinga Rizqullah. Tersenyum sahaja si Rizqullah.
*Tamat sudah Bicara Lima Belas*
Apakah tarian akan bersambung? Bersambung di lain bicara.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari
perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri
kekaguman buat saya.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan