Nur Kasih The Movie- Menyelusuri sebuah kisah panjang Nur, Adam, dan Aidil
"Mak tak nak anak-anak mak hidup tanpa keberkatan. Mak nak anak-anak bahagia sampai akhirat. Itu tugas mak"
Bait kata diungkapkan ibu Adam diluahkan kepada Adam. Kekuatan ibunya, sanggup pastikan sepanjang masa anak-anaknya bahagia sampai ke akhirat. Kasih ibu, menyinari kasih anak-anaknya.
Mungkin bait itu yang paling saya ingati setelah menonton filem Nur Kasih The Movie. Ungkapan diluahkan ibu Adam lakonan Liza Othman sangat berkesan. Dalam nada agak sebak, cuba menenangkan Adam yang ditimpa dugaan, ketabahan berhadapan dengan pelbagai dugaan ditonjolkan ibunya.
Permulaan cerita ditampilkan dengan sebuah persoalan yang buatkan semua tertanya-tanya:
"Apa yang terjadi dengan letupan itu?"
Kisah kemudian dimulakan dengan perjalanan Nur dan Adam setelah enam tahun berlalu selepas episod akhir drama Nur Kasih dulu. Satu demi satu kisah lama dirungkaikan. Kenangan ayah Adam, kenangan zaman muda Adam, kisah kesepian ibu Adam tanpa suami di sisi, dan diikuti konflik dalaman yang dilalui Aidil.
Kehilangan Aliya, isteri Aidil beri keserabutan dalam jiwa Aidil. Diibaratkan layang-layang keputusan tali (kebetulan punca kematian Aliya disebabkan dilanggar kereta sewaktu mengambil layang-layang anaknya), Aidil seperti jadi separuh gila yakni senantiasa bermurung dan bersedih. Babak Aidil membaca Yaasin di masjid dalam keadaan tersangkut-sangkut dan kemudian Adam muncul membantu Aidil membaca dengan tenang punyai siginifikannya. Jika dulu dalam drama Nur Kasih, Aidil membantu Adam membaca Yaasin untuk ayah mereka di kubur, kini kontras berlaku apabila Adam pula yang membantu Aidil membaca Yaasin. Mesejnya, dalam keluarga, abang dan adik pasti akan saling bantu membantu bagi menghadapi kesusahan.
Plot seterusnya difokuskan pada sebuah pusat pemulihan remaja yang disertai Nur dan Adam. Di situ, Adam dilihat mengajar anak-anak remaja yang ingin mencari jalan yang sebenar mengenal Islam yang sebenar. Persoalan mengorbankan benda yang disayangi untuk mendapat keredhaan Allah dibangkitkan. Seorang remaja lelaki dalam kumpulan perbincangan tersebut mempersoalkan kewajarannya:
"Bro, kalau aku bagi benda yang sayang sikit je macam mana?"
Adam membalas tersenyum: "Balasan yang akan dapat juga akan setimpal dengan apa yang kita bagi"
Kesedihan Aidil sedikit terubat apabila berita gembira dikhabarkan kepadanya. Adik iparnya, Nur Amina disahkan mengandung, dan berita itulah telah mengukir senyuman Aidil. Kegembiraan dirasai namun dirasakan hanya sebentar. Nur keguguran tidak lama kemudian. Kesedihan dirasai Adam dan Nur. Aidil memainkan peranan pula untuk memulihkan semangat Adam yang kelihatan seperti tidak redha dengan takdir yang dilalui. Pesan Aidil buat Adam:
"Kenapa bila kita ditimpa kesusahan, kita nak jauhkan diri dari Allah?"
Maka kisah seterusnya menyaksikan Adam dan Nur menunaikan umrah. Selesai urusan ibadah itu, mereka berkunjung ke bumi Jordan melawat tempat-tempat bersejarah Islam. Maka persoalan letupan pada awal penceritaan filem ini terjawab. Nur dan Adam terlibat dalam kemalangan kereta api di sana. Saat itu Adam menjumpai Nur terbujur kaku di padang pasir. Sangkaan Adam, mungkin Nur mati. Dia kemudian berdoa dengan lafaz:
"Kau ambillah apa sahaja, tapi jangan Nur" (ni ayat yang power juga)
Kembali di hotel setelah mengalami kemalangan, Adam menyedari cincin kahwin Nur telah hilang. Pencarian cincin Nur dilakukan Adam dan tanpa sedar sewaktu pencarian, Adam diserang sakit jantung dan kemalangan. Pencarian Nur terhadap Adam bermula pula dengan dibantu Aidil yang tiba-tiba muncul di Jordan. Saat pencarian itu juga, seorang wanita Arab Badwi memberitahu Aidil bahawa Nur telah mengandung. Akhirnya Adam dijumpai bersama keluarga Arab dan dalam keadaan sangat parah.
Di Kuala Lumpur, Adam disahkan mempunyai masalah jantung kesan letupan yang berlaku di Mumbai tujuh tahun lalu (tengok drama Nur Kasih baru boleh faham). Akibatnya, Adam punyai harapan tipis untuk hidup. Nur berhempas pulas mendapatkan rawatan buat Adam. Belanja tinggi perubatan buatkan Nur sedikit tertekan mencari sumber kewangan. Namun, sesukar mana pun hidup, Nur masih berpegang pada kekuatan agama. Maka dengan berani dia menolak projek membina kelab malam yang ditawarkan firma arkitek diketuai oleh seorang lelaki koporat lakonan Jehan Miskin.
Nur dan Adam pulang ke kampung dan menetap di sana. Adam telah bersedia untuk menemui ketentuan menghadapi kematian. Dia ingin menghabiskan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Saat inilah kita dapat melihat emosi yang cukup kuat. Babak Adam dan ibunya berbual di ruang tamu sangat merentap emosi. Terlalu menyentuh perasaan ditambah pula dengan latar muzik yang tepat, maka tergambarlah betapa tingginya kasih ibu buat anaknya.
Adam dan Nur berbual di atas katil sambil Adam menulis nota pada buku kecil. Saat itulah dada Adam tiba-tiba terlalu sakit dan menyebabkan Nur menjadi panik dan dia juga pada masa yang sama telah sarat mengandung.
Di suatu tempat di dalam terowong pejalan kaki, Aidil dibelasah seorang remaja lelaki yang berdendam dengannya dek dikatakan mengganggu teman wanitanya (remaja perempuan ini selalu menghadiri kelas agama yang dikendalikan Aidil di pusat pemulihan remaja). Itulah babak "Mukhsin" menyebut 'anjing' kepada Aidil dan kemudian membelasahnya.
Adam dibawa ke hospital. Aidil dibelasah dengan teruk. Nur pula sarat mengandung. Apakah penyudahnya? Siapakah yang meninggal? Siapa yang didoakan di kubur itu? Persoalan saya tinggalkan untuk kalian menonton sendiri di pawagam. Yang pasti penyudahnya sangat memuaskan hati semua.
Secara keseluruhannya selepas menonton filem ini, saya simpulkan memang berbaloi untuk ditonton. Mainan emosi yang cukup baik dihasilkan Kabir Bhatia. Kepuasan memang dapat saya rasai.
Seperti yang pernah saya nyatakan dalam bicara sebelum ini, Kabir gemar bermain dengan warna dalam sinematografinya. Ya, untuk filem Nur Kasih The Movie, sekali lagi warna menjadi permainan utama dalam menampilkan dan menonjolkan lagi emosi pelakonnya.
Warna tudung Nur menjadi perhatian saya. Bagi saya, kepelbagaian warna tudung yang dipakai Nur sepanjang perjalanan cerita ini menunjukkan kepelbagaian emosi Nur. Sewaktu bersama Adam melukis di tali air, Nur bertudung ungu, menunjukkan emosi yang bahagia dan tenang. Situasi ini berbeza sewaktu Nur menemani Adam yang telah sakit melukis di belakang rumah di kampung. Tudung biru dengan awning hitam melambangkan kebahagiaan yang bercampur dengan perasaan duka. Tudung yang dipakai Nur sewaktu melancong bersama Adam di Jordan pula ditampilkan putih, melambangkan hati yang sebelum ini celaru telah disucikan selepas mengerjakan umrah. Begitu juga sewaktu Nur bersama polis mencari Adam di Jordan. Tudung dipakainya berwarna hitam, melambangkan kecelaruan dan kesedihan yang dihadapinya.
Saya juga tertarik dengan warna baju yang ditampilkan dalam filem ini. Babak ibu Adam terkenang kembali arwah suaminya sambil melihat album gambar, baju yang dipakainya berwarna hitam melambangkan kesunyian dan kesedihan. Begitu juga baju Nur yang berwarna hitam sewaktu meluahkan rasa rindunya pada Aliya, melambangkan juga keperitan hati merindui orang yang tiada.
Sinemetografi filem ini juga bijak memilih ton warna bagi menambahkan lagi emosi. Jika dilihat dengan teliti sewaktu Nur dan Adam gembira dengan berita kedatangan orang baru, babak gembira ini dipaparkan di rumah mereka. Latar dinding berwarna putih menguasi babak tersebut menyebabkan babak tersebut secara tak langsung nampak cerah. Maka di sinilah secara simbolnya kecerahan itu bermaksud kegembiraan.
Cuba lihat pula sewaktu Nur keguguran dan kemudian pulang ke kampung. Dinding rumah kampung yang gelap menyebabkan babak perbualan Aidil dan Adam tersebut kelihatan malap. Malap yang dipaparkan ini melambangkan kesuraman. Begitu juga dengan babak Aidil menangis berseorangan dibilik mengenangkan Aliya. Warna gelap menguasai babak itu seterusnya menampilan kesdihan yang ingin ditampilkan.
Filem ini juga menampilkan kesatuan alam dan manusia dalam membentuk sebuah emosi. Alam sekeliling juga digunakan sepenuhnya oleh Kabir Bhatia untuk menambahkan lagi emosi dalam setiap babak. Cuba lihat babak Nur berkata pada Aidil meluahkan rasa rindu pada Aliya, perhatikan latar belakang babak tersebut. Sawah padi yang baru dituai dan kini kosong dengan hanya kelihatan tanah yang tandus. Latar belakang ini tanpa sedar selari dengan emosi yang dirasai Nur dan Aidil yang merindui dalam kesedihan. Tandus seolah-olah kehilangan sesuatu yang sebati dengan mereka. Itulah juga rindu tanah akan padi yang sebati dengannya.
Lihat juga babak sewaktu Nur keguguran. Babak Nur di hospital menampilkan hujan sebagai latar alamnya. Hujan ini melambangkan kesedihan dan kesugulan. Itulan emosi yang dirasai Nur dan Adam ketika itu. Begitu juga titisan air hujan yang menitis akibat atap yang bocor, dan menitis ke dalam mangkuk sewaktu berada di kampung, melambangkan titisan air mata yang dirasai Nur ketika itu. Bunyi titisan air itu saja cukup untuk melambangkan kesugulan yang dihadapi.
Lihat pula babak Nur sewaktu berada di balkoni hotel di Jordan. Latar alamnya menunjukkan ribut pasir sedang membadai kawasan padang pasir. Dengan latar belakang awan hitam, situasi alam ini melambangkan gelora kerisauan Nur memikirkan Adam yang telah hilang.
Perhatikan pula babak Nur dan Adam melukis lukisan di tali air. Sawah padi yang menguning ditambah pula dengan awan yang membiru, menunjukkan keceriaan dan kegembiraan yang sedang dilalui Nur dan Adam.
Babak Nur dan Adam di Jordan menyaksikan keindahan bentangan padang pasir melambangkan emosi kekaguman dan kekerdilan manusia terhadap ciptaan Ilahi. Padang pasir yang luas menjadi latar utama dalam babak ini, melambangkan kebesaran Allah dan kekerdilan manusia.
Perhatikan pula babak Nur memberitahu dirinya mengandung kepada Adam yang sedang memandu. Lihat latar belakangnya menggunakan sawah padi. Mengapa bukan kawasan lain? Sawah padi itu lambang ketenangan dan kegembiraan. Maka tepat benarlah pemilihan latar alam ini selari dengan berita gembira yang ingin disampaikan Nur.
Filem ini juga banyak memaparkan babak jendela dalam kebanyakan babak-babak yang dipaparkan. Menerusi babak jendela itu, kita dapat menyelusuri perasaan watak Nur, Adam, dan Aidil. Saat gembira Adam mengetahui isterinya mengandung dipaparkan menerusi jendela rumah, apabila dilihat Aidil memeluk Adam sambil mengucapkan tahniah. Begitu juga babak sedih Nur di kampung sebaik keguguran, juga dipaparkan menerusi jendela. Babak Adam dan Nur di rumahnya bahagia menanti kelahiran anaknya, juga dipaparkan menerusi jendela. Tak lupa juga, babak menyentuh hati perbualan antara Adam dan ibunya di ruang tamu, juga dipaparkan melalui jendela rumah.
Mengapa terlalu banyak babak sebegitu? Mengapa jendela? Apakah maksud tersirat dengan penggunaan jendela itu? Pada saya, jendela itu diibaratkan sebagai sebuah paparan perasaan yang tersembunyi yang dipendam bagi semua watak. Mereka gembira, tapi gembira itu masih terpendam. Perasaan gembira mereka hanya dapat dilihat di sebalik jendela, dan itu menunjukkan perasaan yang terpendam. Jendela itu seolah-olah mengepung setiap perasaan watak, baik gembira atau sedih. Kabir Bhatia cuba menyatakan bahawa perasaan yang dialami watak-watak tak diketahui oleh orang di luar sana. Dan sebagai penonton (orang luar), kita diberi peluang untuk mendalami perasaan mereka apabila jendela itu dibuka. Selaman perasaan terpendam pada watak inilah yang buatkan kita lebih tersentuh dengan emosi.
Perwatakan bagi setiap watak dalam Nur kasih The Movie ternyata menunjukkan perubahan. Setelah enam tahu berlalu, watak Nur dilihat lebih matang. Jika sebelum ini Nur mudah untuk menangis, mudah untuk mengadu sesuatu, malah mudah juga untuk melenting, ditambah pula dengan sifat keanak-anakannya, bagi watak dalam filem ini, semua perwatakan tersebut telah dikurangkan atau telah hilang. Nur dilihat sangat matang, tenang dan bijak menghadapi situasi. Lihat saja sewaktu babak Nur di sawah bendang bermain-main dengan anak-anak Aidil. Perwatakan seorang ibu dapat dilihat dengan jelas. Namun, sifat kedegilan itu masih ada, dan ini dapat dilihat sewaktu Nur mencari Adam di Jordan. Nur tetap berkeras mencari Adam walaupun Aidil menasihatinya agar Nur tidak mengikutnya mencari Adam.
Watak Adam juga dilihat sangat berbeza dan sangat matang. Adam dilihat lebih kukuh fahaman agamanya sehingga dia boleh pula untuk membimbing remaja yang hanyut. Adam juga dilihat tidak lagi panas baran, malah tidak ada satu babak pun yang memaparkan Adam sebagai seorang yang panas baran. Adam juga dilihat sebagai seorang yang sangat bertanggungjawab dan ini dibuktikan menerusi babak Adam mencari cincin Nur di Jordan. Kesungguhannya mencari cincin yang sangat mustahil untuk dicari itu membuktikan Adam sangat menyayangi Nur. Namun saya paling tertarik adalah sewaktu babak Adam sakit. Saya dapat melihat dengan jelas watak ini menyamai watak ustaz Hassan yang sakit dahulu. Nada suara Adam yang sakit hampir sama dengan nada suara ustaz Hassan sewaktu sakit. (kalau tengok drama Nur Kasih baru boleh faham)
Tiz Zaqyah telah berjaya membawa wataknya dengan baik. Rasa sedih yang ditonjolkannya dalam filem ini sangat berkesan. Nampak real, dan tak dibuat-buat. Begitu juga Fizz Fairuz, kagum juga saya apabila berjaya membawa watak sedih seorang suami yang merindui isterinya. Lihat perbezaan wajahnya sewaktu menyimpan pakaian ke dalam almari. Apabila imbas kembali terhadap arwah isterinya terjadi, kita dibawa kepada suasana isteri Aidil yang bermain-main dengan anak-anaknya. Wajah Aidil ternyata sangat berbeza. Wajah gembiranya kelihatan bercahaya. Apabila dia tersedar kembali dari imbas kembali itu, kita kembali melihat wajah sedihnya. Kesugulan dan dipenuhi dengan malap kesedihan. Ternyata Fizz berjaya membawa wataknya apabila berjaya membezakan wajah mukanya yang sedih dan gembira.
Saya juga kagum dengan watak kanak-kanak bernama Ilyias, anak kepada Aidil. Ternyata kanak-kanak ini berjaya menunjukkan kesepian dan kesunyian dirasainya terhadap umminya. Walaupun sikit babaknya, ekspresi muka Ilyias sangat berkesan dan membuatkan penonton tersentuh. Babak paling tersentuh sewaktu Ilyias bertanya pada Aidil mengenai nak tidur dengan siapa, ternyata menyentuh hati saya. Saya dapat rasakan seorang anak kecil yang sedih cuba bermanja dengan ayahnya yang turut sedih.
Watak Mariam lakonan pelakon cilik Mia Sara pasti menarik perhatian. Keletahnya buatkan semua terhibur dan tersenyum. Mariam tidak memahami akan kehilangan umminya. Maka tak hairanlah apabila perbualan antara Adam dan Mariam ini terjadi:
"Pak Su sakit sikit ke sakit banyak?" soal Mariam.
"Sakit sikit" balas Adam.
"Owh. Kalau sakit banyak, nanti boleh meninggal macam ummi"
Tergelak dibuatnya dengan dialog tersebut. Namun cukup bermakna menunjukkan anak kecil yang tak memahami sebuah kehilangan dalam hidupnya.
Jangan lupa juga watak ibu Adam lakonan Liza Othman. Wataknya cukup berjaya dibawa terutama babak perbualan Adam dan dirinya di ruang tamu itu. Sangat menyentuh hati saya dengan rasa hiba dan terharu. Liza Othman berjaya menyentap emosi dengan kata-kata paling bermakna yang telah saya nyatakan di permulaan tulisan ini.
Ketelitian terhadap perincian dalam filem ini sangat mengkagumkan saya. Setiap babak punya signifikan tersendiri. Jika dilihat dari trailer yang dipaparkan, sebenarnya kesemua babak itu adalah point atau titik bagi perjalanan cerita itu yang bila disambung setiap titik itu, barulah kita akan faham jalan ceritanya. Babak letupan besar, babak Nur memberitahu Adam bahawa dirinya hamil, babak kanak-kanak Arab bermain bola sepak di padang pasir, babak Aidil dibelasah samseng, babak di kubur, semuanya penting dalam perjalanan cerita ini.
Filem ini membawa tema kekuasaan Allah mengatasi segalanya. Jika menerusi drama dulu, temanya mengenai pengorbanan cinta sesama manusia, kini tema filemnya skopnya jauh lebih luas. Pengorbanan cinta seorang manusia terhadap Allah, maka itulah tema yang diangkat. Pengorbanan yang dibuat akan berikan satu pulangan yang dikurniakan Allah. Sejauh mana kita mencintai seseorang, Allah jualah punyai hak untuk menarik kembali.
Babak yang paling terkesan buat saya terdapat dua babak. Satu pastinya babak Adam yang sakit berbual dengan ibunya di ruang tamu, dan satu lagi babak Adam menyerahkan kembali cincin kepada Nur di Jordan. Sangat menyentuh hati. Tahniah buat pengarah muzik filem ini iaitu Hafiz Hamidun yang berjaya meletakkan muzik latar kena pada waktunya. Banyangkan, setiap kali terdengarnya muzik latar seperti lagu Nur Kasih, lagu Bertemu Cinta, dapat dirasakan satu lonjakan emosi dalam diri saya. Muzik yang dimainkan berjaya menyentap emosi penonton.
Pesanan saya buat yang ingin menonton, sila ambil perhatian pada beberapa perkara dalam filem ini. Pertama suara latar yang mengikuti cerita itu yang dialunkan oleh Datuk Rahim Razali dengan permulaan bicaranya berbunyi:
"Masa semakin singkat. Masih banyak yang belum diceritakan"
Kedua, lihat pada babak tangan seorang wanita yang menyentuh padi yang menguning. Ketiga perhatikan buku nota yang dapat dilihat di permulaan filem ini. Keempat, perhatikan juga bola yang dipaparkan sewaktu babak di Jordan. Kelima lihat pula mangkuk yang berisi air dengan titisan air hujan yang berterusan mengisi mangkuk tersebut di rumah ibu Adam. Keenam, perhatikan pula babak seorang remaja lelaki yang menyoal satu soalan berkaitan dengan korbankan benda yang sayang untuk Allah sewaktu sesi perbincangan dengan Adam. Ketujuh perhatikan pula tiga lukisan yang dilukis oleh Adam. Kelapan, perhatikan pula layang-layang yang dilihat Aidil dan Ilyias di halaman rumahnya. Kesembilan, lihat pula pada jam yang dipakai Adam. Kesepuluh, lihat pada permulaan cerita yang menunjukkan gerhana matahari seterusnya membentuk tajuk "Nur Kasih" itu.
Sepuluh perkara saya mahu kalian yang tak menonton lagi untuk melihatnya. Setiap perkara itu adalah simbol bagi suatu perkara yang penting dalam cerita ini. Carilah maksud disebalik perkara yang saya nyatakan itu.
Namun, tiga perkara yang awal iaitu naratif Datuk Rahim Razali, buku nota kecil, dan sentuhan tangan wanita pada padi yang menguning adalah pokok kepada perjalanan cerita ini. Kalau tak percaya tontonlah sendiri.
Di akhir filem ini barulah saya faham maksud Nur Kasih itu. Saya dapat melihat kasih sayang mereka senantiasa dipenuhi dengan dugaan, dan dugaan itulah yang melayakkan mereka menerima nur atau cahaya dalam kasih sayang mereka. Nur itulah yang mengikat cinta dan sayang mereka itu. Apa yang pasti, penyudah filem ini mengejutkan semua dan tak disangka-sangka namun akan memuaskan semua penonton. Percayalah cakap saya ni...
Filem ini sesuai dijadikan bahan kajian kerana mempunyai banyak perkara yang punyai maksud tersirat. Pengarah filem lain sepatutnya mencontohi Kabir Bhatia dalam penghasilan filem ini. Barulah filem Melayu punyai tarikan yang kuat untuk penonton datang ke pawagam.
Ya, filem ini berbaloi untuk ditonton dan sangat memuaskan hati. Ya, saya yakin, kutipan filem ini juga pasti agak tinggi. Maka, buat mereka yang tak tonton lagi, saksikanlah di pawagam berhampiran. Kalian pasti berpuas hati. Insyaallah, saya jamin.
Lima bintang saya berikan buat filem Nur Kasih The Movie disebabkan nilai tersirat yang cukup banyak dalam filem ini.
p/s: Babak di kubur itu paling suspen. Siapa yang mati? Itu yang akan muncul di fikiran...
* maaf sebab panjang review filem Nur Kasih The Movie ni....
** ada yang kata movie ni 'kurang' sikit dari dramanya. Tu pendapat dioranglah. Maybe tak tonton betul-betul movie ni atau tak pernah ikut 100% drama bersiri dulu. Bagi saya, movie ni ok dan menarik.
Ulasan
hehe..
gud2...