Dari kaca mata: P. Ramlee bukan seorang legenda?

 Muhammad Yazid Rosly (yazidrosly_my@yahoo.com)







Minggu lalu, pada 29 Mei 2011, maka genaplah 38 tahun seniman agung P. Ramlee meninggal dunia. Anak kelahiran Pulau Pinang ini meletakkan dirinya dalam lipatan sejarah negara sebagai seniman yang terbaik yang pernah dilahirkan di negara ini.

Itu adalah fakta yang umum telah ketahui, diulang-ulang setiap tahun apabila tarikh 29 Mei muncul. Seringkali setiap tahun bila muncul sahaja tarikh tersebut, maka nama P. Ramlee diangkat setinggi yang boleh, dipuja, malah diagung-agungkan. Berulang kali, namun setakat itu sahaja usaha mengangkat beliau. Di akhirnya, industri filem negara masih belum berjaya meneladani perjuangan P. Ramlee dalam industri perfileman.

Jika dilihat kembali kesemua hasil dan buah tangan P. Ramlee, baik menerusi lagu-lagunya, mahupun menerusi filem-filemnya, keunikan tersendiri memang dapat dilihat. Ibarat menghasilkan dengan penuh makna dan tersirat, maka tidak hairanlah hasil seni dan buah tangan tangan P. Ramlee sehingga kini masih belum mencetuskan kebosanan bagi kebanyakan filem dan lagunya.

Mengapa filem P. Ramlee sehingga kini masih ditonton dan dikatakan masih relevan untuk dijadikan panduan dan pengajaran? Semuanya terletak kepada sentuhan halus dari P. Ramlee menghasilkan filem yang datang dari hatinya sendiri, dan bukannya sekadar menghasilkan filem berdasarkan keuntungan jangka pendek.

P. Ramlee di zaman mudanya


Bukan mahu merendah atau memperkecilkan anak-anak seni sezaman dengan P. Ramlee, namun jika dilihat pengarah filem sezamannya, seperti Mat Sentol, M. Amin, Hussain Haniff yang mengarahkan filem komedi ketika itu, dapatlah disimpulkan bahawa filem-filem komedi arahan Mat Sentol dan yang lain-lain itu tidak mempunyai kesan yang cukup mendalam jika dibandingkan dengan filem-filem komedi P. Ramlee. Buktinya, filem P. Ramlee seperti Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Tiga Abdul, dan banyak lagi filem lain masih terus ditayangkan hingga ke hari ini. Perlu diingat juga, P. Ramlee menghasilkan paling banyak filem berunsur komedi berbanding dengan pengarah filem yang lain pada waktu itu.


"Ibarat menghasilkan dengan penuh makna dan tersirat, maka tidak hairanlah hasil seni dan buah tangan tangan P. Ramlee sehingga kini masih belum mencetuskan kebosanan bagi kebanyakan filem dan lagunya"

Namun jika dilihat filem-filem komedi arahan pengarah sezamannya, seperti filem Tiga Botak, Dua Kali Lima, Mabuk Kepayang, dan beberapa filem lain, keberkesanan filem-filem ini tidaklah dapat bertahan untuk menggeletek penonton generasi hari ini. Mungkin komedi yang dipersembahkan lebih kepada komedi jangka pendek, yang hanya relevan pada zaman tayangan filem-filem tersebut. Maka tidak hairanlah, filem-filem komedi ini tidak lagi ditayangkan di televisyen.

Tahun 1960 hingga tahun 1969, menyaksikan era emas bagi filem Melayu. Ketika itu, kebanyakan filem berkualiti dihasilkan oleh studio-studio filem di Singapura. Era keemasan ini wujud disebabkan penerimaan baik penonton filem tanah air terhadap filem Melayu ketika itu. Malay Film Productions dan Cathay Keris Film merupakan dua syarikat pengeluar filem yang senantiasa bersaing sewaktu era tersebut. Pada zaman keemasan inilah, P. Ramlee menjadi anak seni bergelar pelakon, pengarah filem, penyanyi dan pencipta lagu. Inilah mungkin salah satu sebab mengapa P. Ramlee dengan mudah dapat mencipta nama pada era tersebut, sehingga berjaya menghasilkan filem-filem yang cukup menyengat walaupun ditonton berulang kali sehingga ke hari ini.

Keunikan P. Ramlee yang mempunyai bakat serba boleh menyebabkan beliau dengan mudah dapat memahami segenap ciri-ciri berkualiti bagi menghasilkan sesebuah filem. Maka tidak hairanlah, apabila menonton filem P. Ramlee, penonton dapat merasakan elemen lagu, jalan cerita, serta aspek lakonan yang bergerak selari dan sekata. Lagu dilihat bertepatan dengan jalan cerita, manakala lakonan pelakon pula dilihat diselami dengan baik oleh pelakon-pelakonnya.

Cuba lihat filem Semerah Padi atau mungkin juga filem Anakku Sazali. Menerusi filem Semerah Padi, filem kedua arahan beliau dan dianggap sebagai mahakarya P. Ramlee oleh pengkritik filem, aspek sinematografinya sangat dipuji. P. Ramlee telah mengambil contoh dari sebuah filem di Jepun bagi aspek sinematografinya. Itulah yang menghasilkan sinematografi yang cantik menerusi babak Aduka yang meredah hutan bagi mencari Dara yang hilang. Begitu juga bagi filem Anakku Sazali, lagu ‘Anakku Sazali’ yang diangkat menjadi lagu tema filem ini ternyata berjaya menyentuh jiwa penonton. Bait-bait dalam lirik lagu tersebut mempunyai makna yang cukup tersirat serta memberi mesej yang cukup mendalam kepada penonton.

Filem P. Ramlee juga, mempunyai banyak penyampaian mesej-mesej tersirat berserta sindiran-sindiran dan kritikan sosial. Penyampaian dan jalan cerita yang bersahaja, dan disulami pula dengan unsur humor menyebabkan setiap filem yang dihasilkan P. Ramlee memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat.

Lihat sahaja filem Seniman Bujang Lapok, P. Ramlee dengan sinis menyindir masyarakat Melayu ketika itu yang cukup percaya terhadap perkara-perkara tahyul. Sindiran ini dipaparkan menerusi babak Sudin yang membeli batu akik berharga RM10 yang kononnya punyai kuasa hikmat dari seorang penjual di kaki lima. Sudin percaya bahawa batu itu mampu membantu dirinya dan Ramlee mendapatkan wang dari manager mereka. Akhirnya keadaan sebaliknya berlaku apabila Sudin hanya memeroleh RM5 sahaja dari manager Kemat Hassan. Secara tersirat, P. Ramlee cuba menyampaikan mesej bahawa kepercayaan tahyul itu hanya akan mendatangkan kerugian sahaja.

Sebagai pengarah filem berbangsa Melayu kedua dalam sejarah filem Melayu


Dalam filem Bujang Lapok pula, babak Aziz mengintai suami isteri yang bergaduh akibat kesusahan yang dialami dek hutang yang banyak, kesan daripada belanja perkahwinan yang tinggi secara tak langsung mengkritik orang Melayu ketika itu yang taksub untuk bergolok gadai semata-mata mahu menjadikan majlis perkahwinan mereka meriah. Malah mesej ini masih boleh digunakan lagi untuk disampaikan kepada masyarakat hari ini. Kesan dari perbelanjaan tersebut, hutang suami tersebut belum selesai walaupun telah mempunyai enam cahaya mata.

Filem Musang Berjanggut juga mempunyai mesej yang cukup banyak disampaikan secara tersirat. Dialog-dialog perbualan antara Sultan Alam Syahbana dan Tun Nila Utama yang berbicara mengenai ‘perempuan’ dan ‘betina’ mempunyai elemen sindir yang cukup tinggi. P. Ramlee secara tak langsung memberi mesej kepada kaum wanita supaya menjaga maruah diri. Tun Nila Utama berpendapat bahawa perempuan itu memelihara maruahnya, manakala betina itu menjual maruahnya.

Sekadar memberikan beberapa contoh, jika mahu disenaraikan kesemua mesej yang disampaikan oleh P. Ramlee dalam setiap filemnya amatlah panjang jika ingin dihuraikan. Filem seperti Madu Tiga, Antara Dua Darjat, Penarek Becha, Sarjan Hassan, Anakku Sazali, Pendekar Bujang Lapok, sarat dengan mesej-mesej yang cukup berguna buat masyarakat. Malah, setiap mesej yang disampaikan itu masih lagi relevan dengan masyarakat zaman sekarang.

P. Ramlee merupakan pengarah filem berbangsa Melayu kedua selepas Haji Mahadi. Namun bezanya, P. Ramlee mengecapi kejayaan menerusi filem arahan pertamanya iaitu Penarek Becha, manakala kegagalan dihadapi Haji Mahadi menerusi filem arahannya iaitu Permata di Perlimbahan. Kejayaan P. Ramlee ini telah membuatkan dirinya ibarat ‘pisang panas’, menjadi rebutan produser filem.

Sekitar awal 60-an, itulah saat P. Ramlee berada di kemuncaknya. Filem-filem arahan dan lakonannya kebanyakkannya mencatat kutipan pecah panggung. Paling tidak dilupakan adalah kejayaan P. Ramlee menghasilkan filem komedi Pendekar Bujang Lapok yang menyaksikan kutipan filem Melayu tertinggi dalam sejarah ketika itu berjaya dicipta. 


"P. Ramlee merupakan pengarah filem berbangsa Melayu kedua selepas Haji Mahadi"



Malah P. Ramlee juga menempa nama apabila menerima banyak anugerah pengiktirafan. Menerusi Festival Filem Asia, beliau menerima beberapa anugerah. Pada  tahun 1956 (Lagu Terbaik- filem Hang Tuah),  tahun 1957 (Pelakon Lelaki Terbaik- filem Anakku Sazali), tahun 1958 (Fotografi Hitam Putih Terbaik- filem Sumpahan Orang Minyak), tahun 1959 (Filem Komedi Terbaik- Pendekar Bujang Lapok), tahun 1963 (Filem Komedi Terbaik- Nujum Pak Belalang), tahun 1964 (Filem Komedi Terbaik- Madu Tiga).

P. Ramlee dan Bat Latiff memegang trofi ketika di Festival Filem Asia tahun 1963 di Tokyo


Krisis berlaku di Malay Film Productions yang akhirnya menyebabkan P. Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur. Bekerja di bawah Studio Merdeka, inilah saat kejatuhan dan kesuraman P. Ramlee. Kemerosotan ini berlaku atas dua faktor, iaitu sambutan penonton tempatan yang beralih kepada filem Indonesia dan filem Hindustan, serta teknologi yang ketinggalan digunakan di Studio Merdeka.

Maka tidak hairanlah, kualiti filem juga dilihat tidak begitu bagus. Namun, P. Ramlee masih berjaya menghasilkan filem yang terbaik seperti Masam-masam Manis, Anak Bapak, dan siri Do Re Mi. Namun, harus diakui filem Laksmana Do Re Mi kelihatan sangat meleret-leret, malah kualiti filemnya juga dikatakan agak mengecewakan. Perkara ini tidak menghairankan, kerana bajet bagi filem Laksmana Do Re Mi adalah yang terendah dalam sejarah P. Ramlee menjadi seorang pengarah.

P. Ramlee, S. Shamsudin, dan Aziz Sattar dalam filem Seniman Bujang Lapok


Dihujung hayatnya, P. Ramlee dilanda kesuraman. Pernah dihina oleh produser filem dan penerbit lagu, sehingga dirasakan tiada lagi harapannya dalam industri seni ini. Kesuraman inilah yang mencetuskan penciptaan lagu Air Mata Kuala Lumpur, namun lagu ini tidak sempat dirakamkan beliau sendiri. Lagu ini kemudiannya dinyanyikan oleh Saloma selepas P. Ramlee meninggal dunia.

Ibarat kata-katanya, “Aku akan hidup seribu tahun”, maka kini terbuktilah akhirnya. P. Ramlee diangkat menjadi lagenda seni, namun malangnya kesemua kemasyuran, pujian melambung tinggi itu tidak dapat dilihat sendiri oleh P. Ramlee.

Pernah diceritakan oleh rakan-rakan P. Ramlee, sewaktu di penghujung hayatnya, beliau hidup dalam kesusahan sehingga menyebabkan P. Ramlee terpaksa menjamah nasi dan telur, beserta kicap sahaja. Namun ada yang menyatakan bahawa kesusahan ini berpunca disebabkan P. Ramlee seorang kaki judi selain dikatakan kaki botol. Namun, dakwaan ini tidak dapat dibuktikan dan mungkin sekadar cubaan untuk merosakkan nama baik P. Ramlee.

Sayangnya, sewaktu P. Ramlee masih hidup, beliau dicaci dan dihina. Namun, apabila beliau telah tiada, maka pelbagai pengiktirafan diberikan dan kehebatan filemnya mula diperkatakan. Ramai mula menyedari kehalusan seni P. Ramlee yang sebelum ini tidak nampak. Ramai yang mula mengetahui, ketulusan lirik-lirik serta lagu-lagu ciptaannya.

Majlis pengebumian P. Ramlee


Lagu-lagu P. Ramlee pernah diambil oleh sebuah kumpulan orkestra dari Russia untuk dijadikan album orkestra mereka. Penghormatan yang diberikan ini, telah mengangkat P. Ramlee di mata dunia. Malah, di Russia juga, universiti di sana yang menawarkan kursus Bahasa Melayu, menggunakan lagu-lagu ciptaan P. Ramlee dalam pembelajaran mereka. Menurut seorang pensyarah di sana, menerusi lagu P. Ramlee, pelbagai perkataan Melayu yang mudah dapat dipelajari.

P. Ramlee juga telah dianugerahkan gelaran Tan Sri pada tahun 1990. Pada tahun 2005, gelaran Doktor diberikan pula kepada beliau seterusnya meningkatkan lagi taraf nama P. Ramlee.

Setelah 38 tahun pemergiannya, tiada seorang pun yang mampu mengambil tempatnya. Jika ada pun mungkin M. Nasir dan Afdlin Shauki sahaja yang berjaya mengikut sedikit jejak langkah beliau. Sebagai pelakon, pengarah, dan pencipta lagu, M. Nasir pernah mengarahkan filem Merah. Begitu juga dengan Afdlin Shauki yang berjaya mengarahkan filem Buli, Baik Punya Cilok, Sumolah, dan beberapa filem yang lain.

Foto terakhir P. Ramlee yang diambil beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia


Masyarakat harus belajar atas kesilapan yang lalu. P. Ramlee adalah satu kesilapan bagi masyarakat apabila segala hasil kerjanya tidak dihargai sebaiknya semasa hayat beliau. Maka, seharusnya masyarakat perlu menghargai setiap hasil seni penggiat-penggiat seni, terutama hasil seni yang berkualiti. Jangan biarkan sejarah berulang untuk kali kedua.

Jika soalan: “P. Ramlee bukan seorang legenda?” diajukan, maka sudah pasti semua akan mampu menjawab dengan menyatakan penafian terhadap soalan itu. Mungkin sepanjang zaman, P. Ramlee akan terus dikenang sebagai legenda seni tanah air negara.


*Penulis merupakan pelajar jurusan TESL di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan aktif dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil tulisannya dipaparkan menerusi blognya:
www.yazidrosly-mydablog.blogspot.com





Ulasan

Zulhazri berkata…
setkt ni ak rasa inilah entry ko paling aku ske baca..ayatnya muda cerita yang ko sampaikan pun aku tertarik nak baca
hehee. terima kasih banyak-banyak. :)
Tanpa Nama berkata…
Nice entry with great info
Unknown berkata…
Salam. Terima kasih untuk perkongsian. Tidakkah saudara mahu menyambung lagi mesej-mesej yang hendak disampaikan melalui filem-filem arahan Allahyarham P.Ramlee ini?

Catatan Popular