"Adina (Bicara Sembilan Belas)"
“Agak-agak apa nama yang nak diberi ya?”
“Amboi, jauhnya imaginasi. Belum apa-apa dah fikir
namanya...” balas Abyatina.
“Tak salah bukan kalau difikirkan awal-awal,” bicara
Rizqullah.
Perbualan petang dimulakan dengan sesi bual kosong. Petang
itu Rizqullah tiba-tiba menimbulkan persoalan mengenai cadangan nama bagi bakal
anak mereka. Hakikatnya, persoalan itu hanya diajukan sekadar untuk mengusik
Abyatina sahaja.
“Baru dua bulan, entah lelaki entah perempuan. Manalah
boleh letak nama lagi...” kata Abyatina.
“Eh, kita bagi cadangan nama laki dan perempuan. Bila ada senarai nama, baru senang nanti...”
“Lambat lagi... Tujuh bulan lagi tau...” balas Abyatina.
“Tujuh bulan hanya tujuh kali purnama. Bunyinya macam
lama, tapi rasanya sekejap saja...”
Rizqullah dan Abyatina melapangkan minda. Minum petang di
tepi jendela, merasai tiupan angin petang yang dingin setelah hujan
renyai-renyai turun beberapa ketika sebelumnya. Pisang goreng dari Abyatina
menjadi sajian di petang itu. Mungkin melegakan sedikit kerisauan yang melanda
buat Abyatina.
Absyar masih lagi terlantar di hospital. Perkhabaran
berita pada petang dua hari sebelumnya memberikan impak yang cukup besar. Akibat
satu perselisihan faham, dek emosi yang tak terkawal, tanpa diduga abang
Abyatina itu ditikam di perut. Mujur tikaman itu tidak mengenai sebarang organ
penting, namun parahnya masih tetap ada.
Kisahnya bermula di sebuah warung. Absyar bersantai
bersama rakan-rakannya. Menikmati teh tarik sambil berborak kosong, maka tak
lama kemudian muncul beberapa pemuda lain singgah di warung itu. Apabila
dilihat Absyar di warung itu, maka bermulalah sesi perli memerli. Kumpulan
pemuda itu kelihatan cuba mencari api.
“Kalau adiknya tu kaki penggoda, tak hairan si abang pun
sama. Kalau dah keturunan selalu nak rosakkan orang lain, pusing kot mana pun
mesti jadi perosak,” bicara seorang pemuda tersebut.
“Entah macam mana pulak dia boleh kahwin dengan Rizqullah
tu. Pelik, orang luar jugak yang dipilih. Jangan-jangan dah buat noda kat
kampung ni....” bicara pemuda lain.
“Aku dengar, dulu Abyatina tu dah kena rogol. Tu yang
kelam kabut nak pi kahwin cepat-cepat tu...”
“Orang lawa, kalau hati kotor buat apa. Entah rogol ke
entah yang lain. Jangan-jangan dia dok syok berzina kat ladang getah tu...”
“Dah banyak orang dok kata. Dah jadi meluat pulak...”
“Aku kalau boleh, tak nak dah si Abyatina tu ada kat
kampung lagi...”
“Tu adiknya. Abangnya entah-entah pun sama jugak. Yalah,
sampai sekarang tak kahwin lagi....”
“Mu ni, tak baik cakap macam tu. Keluarga Ustaz Man yang
mu dok kata tu. Keluarga baik-baik...”
“Bapak memang alim. Tapi anak-anak macam setan!”
Lantas, tanpa sedar Absyar yang duduk tidak jauh segera
bangun. Terus dihampiri kumpulan pemuda itu.
“Kurang ajar mu!” kata Absyar.
Sepantas kilat penumbuk diberikan terhadap salah seorang pemuda
tersebut. Lantas secepat itu jugalah pergaduhan tercetus. Huru hara berlaku di
warung itu. Tendang, sepak dan terajang menjadi permainan petang itu. Suasana
menjadi semakin kecoh apabila lebih ramai pemuda masuk campur. Ada yang mahu
mententeramkan keadaan, ada juga yang mengeruhkan suasana. Kerusi mula
dibaling, cawan dan gelas menjadi objek melepaskan kemarahan.
Tuan warung cuba mengawal keadaan. Namun, bangku kecil di
warung itu dibaling ke arahnya. Penyudahnya, Pak Hassan sekadar memerhati
sahaja pergaduhan itu, sekadar melihat kemusnahan warungnya di petang itu.
Secara tiba-tiba, tanpa diduga oleh sesiapa, seorang
pemuda meluru masuk ke dapur. Pemuda bernama Hamdan itulah yang menjadi
pencetus pergaduhan tersebut. Dialah yang memulakan sesi perbualan mencerca
Abyatina dan keluarganya. Sebaik keluar sahaja dari dapur, Hamdan berlari
pantas menghampiri Absyar. Sepantas itu jugalah satu tikaman dihunuskan ke
perut Absyar. Pisau dapur menjadi senjata pergaduhan petang itu.
Pergaduhan sekelip mata terhenti tiba-tiba. Tikaman
tersebut mengejutkan semua orang. Absyar rebah di atas tanah memegang perutnya yang tersembur darah.
“Moga abangmu selamat dari bencana...” bisik Rizqullah
pada Abyatina sewaktu menikmati hidangan petang. Lamunan Abyatina terhadap
abangnya Absyar terhenti.
“Sebab Ina, abang tertikam...”
“Ketentuan Allah, Ina.... Jangan dipersoalkan”
Sejak peristiwa tersebut, Abyatina sangat jarang pulang
ke kampung. Abyatina tidak mahu kehadirannya di kampung mencetuskan suasana
kurang senang penduduk kampung di sana. Bukan mudah buat Abyatina, namun
digagahkan dirinya juga.
Perseteruan di antara Rizqullah dan Zaafarani, abang
Abyatina juga mengeruhkan lagi keadaan. Rizqullah mula merasakan berat hati
untuk pulang ke kampung Abyatina. Ada sahaja alasan diberikan sekiranya
Abyatina menyuarakan hasrat untuk pulang ke kampung. Bagi Rizqullah, kampung
Abyatina adalah suatu tempat yang perlu dielakkan.
Hari demi hari, Abyatina mula merasakan kesunyian. Semakin
waktu berlalu, maka semakin banyak kerisauan dirasai. Saat Abyatina mula
melalui fasa-fasa untuk menjadi seorang bakal ibu, saat itu jugalah dugaan
semakin bertambah.
Rizqullah mula bersikap dingin setiap kali Abyatina
menyuarakan hasratnya untuk pulang ke kampung. Rizqullah tidak memberi sebarang
jawapan, membiarkan sahaja Abyatina berseorangan dalam persoalan. Abyatina
sangat hairan dengan perubahan sikap Rizqullah itu. Namun Abyatina hanya mampu
membisu tidak mempersoalkan Rizqullah.
“Tak apa.... Mungkin suamimu ada sebabnya...” bicara ibu
Abyatina menerusi perbualan telefon. Abyatina meluahkan rasa pada suatu pagi
dengan menghubungi ibunya di kampung.
“Tapi kenapa abang Riz tak nak langsung balik kampung?
Kalau dulu mudah saja...” luah Abyatina.
“Entahlah Ina... Tak tau sebabnya. Tapi mu kena ingat,
walau apa pun, tempat isteri itu sentiasa pada suaminya. Walau apa pun keadaan,
isteri perlu patuh pada suaminya...”
Satu pagi, Raiqah kakak Abyatina berkunjung ke rumah.
Raiqah muncul bersama suaminya. Rizqullah pada waktu itu berada di sekolah, dan
Abyatina pula sedang sibuk mengemas rumah. Kunjungan kakak Abyatina itu
merupakan satu kejutan, dan ternyata beri kegembiraan buat Abyatina.
“Dah dekat dua bulan tak balik kampung, rindu pula nak
berjumpa,” kata Raiqah saat kaki melangkah masuk ke rumah Abyatina.
“Bukan tak nak balik....” luah Abyatina sedikit sugul.
“Akak tau... Tapi kita orang perempuan kena sabar. Tempat
kita memang untuk suami. Kalau suami tak bagi, kita kena ikut,” balas Raiqah.
“Ina tak faham...Kenapa tiba-tiba abang Riz berubah? Apa
sebabnya?” soal Abyatina. “Kalau dulu tak ada masalah nak balik”
“Mungkinkah sebab abangmu Zaafarani?”
“Kenapa dengannya?”
“Kita tak tau apa yang berlaku sebenarnya. Mungkin
perseteruan mereka lebih dahsyat? Sampai berat hati suamimu nak pulang ke
kampung...”
“Dan Ina di tengah ni jadi mangsanya? Itu tak adil
namanya...”
“Mesti ada perkara yang terjadi sebelum ni yang kita tak
tau. Mesti ada....”
“Kalau ikut logik, abang Zaf pun jarang balik
kampung. Jadi, takkan sebab tu abang Riz berat hati nak pulang?”
“Mungkin juga sebab Pak Long?”
“Pak Long dengan abang Riz pun ada masalah juga ke?”
“Ina seorang saja yang tak tau... Kat kampung banyak yang dah tau”
Mungkin ada hikmah di sebalik perkara yang terjadi itu. Ketidakhadiran Abyatina di kampungnya itu dilihat memberi rahmat buatnya. Sejak
peristiwa serangan ke atas abangnya Absyar itu, sakit Abyatina bagai hilang
seketika. Tempoh dua bulan tidak pulang
ke kampung itu, Abyatina dilihat sihat dan ceria.
“Mungkin ada rahmat. Ina mengandung, Allah beri kemudahan.
Tiap-tiap perancangan Allah, lebih baik dari perencanaan manusia,” bicara
Raiqah.
“Alhamdulillah. Dah masuk empat bulan, semuanya tak ada
masalah. Lagi mudah pula jadinya. Senang sangat sekarang ni. Tak pernah sakit lagi” balas Abyatina
tersenyum puas.
“Kalau Ina tak dapat balik kampung, tak apa. Mungkin ada
sebabnya. Tak apa, kami boleh melawat Ina selalu kat sini,” pujuk Raiqah. “Pun
boleh kan?”
“Tapi tak sama dengan balik kampung....”
“Taat suami bawa ke syurga Ina...” bicara Raiqah.
“Oh ya, apa cerita dengan abang Lang sekarang?” soal
Abyatina menukar topik perbualan.
“Absyar?”
Kisah utama yang mencetuskan kisah kelam kabut dua bulan
yang lalu menjadi tumpuan kembali. Berita gembira mengenai kehamilannya yang dikhabarkan secara tidak
sengaja oleh Abyatina pada petang hari tersebut diakhiri dengan berita
mengejut. Seluruh keluarga mula kelam kabut bergegas ke hospital untuk
mengetahui keadaan Absyar yang ditikam. Kecederaan Absyar agak ternyata agak
serius namun tidaklah parah.
Absyar terlantar di hospital selama hampir sebulan. Dalam
tempoh itu, Abyatina sempat melawatnya untuk beberapa kunjungan. Namun, saat
Absyar dibenarkan pulang, Abyatina tidak punyai kesempatan lagi. Itulah waktu
Rizqullah menjadi berat hati untuk pulang ke kampung.
“Kamu kenal Tasha?” soal Raiqah menghentikan lamunan
Abyatina mengenai abangnya.
“Tasha yang rumahnya kat tepi masjid tu ke?”
“Hah, yalah tu”
“Kenapa dengan dia? Dia bakal jadi keluarga baru kita
ke?” soal Abyatina.
“Eh, kamu dah terlebih tahu?”
“Lebih awal dari sesiapa pun. Ina tau pun sebab mak Tasha
tu pernah datang ke rumah. Masa tu mungkin tengah merisik abang Lang kot...”
“Owh... dan tau tak apa perkembangan sekarang?”
“Dah nak kahwin ke?”
“Eh, taklah sepantas tu. Tapi kira-kiranya insya-Allah,
tak lama lagi bertunanglah dengan abang Lang mu tu,” balas Raiqah.
“Wah, menjadi juga akhirnya!”
Perbualan terhenti setakat itu. Tak lama kemudian Raiqah
berangkat pulang. Sepanjang tempoh tersebut, suami Raiqah tidak banyak
bercakap. Hanya memerhati dan mendengar sahaja perbualan di antara Abyatina dan
Raiqah. Memang itulah sifatnya, seorang pendiam.
Malam itu, selepas selesai mendirikan solat Maghrib
berjemaah, Rizqullah menghampiri Abyatina. Hakikatnya, sudah lama mereka tidak berjemaah, dan semestinya sudah lama Rizqullah tidak menghampirinya sebegitu apatah lagi untuk berbisik. Lantas tak lama kemudian, dibisikkan sesuatu ke telinga
Abyatina.
“Ina, tolong abang. Tolong ajar mana yang kurang lagi...” bisik Rizqullah. Tangannya memegang naskah al-Quran.
“Insya-Allah. Sama-sama kita mulakan dengan Bismillah...”
Maka, perlahan-lahan naskah al-Quran dibuka. Rizqullah
duduk bersila di hadapan Abyatina. Tak lama kemudian, bermulalah sesi tadarus
buat mereka berdua. Memang benar, Rizqullah agak kekok dari sudut pembacaan,
seringkali tersangkut dan seringkali tersalah baca. Namun, kehadiran Abyatina
di hadapannya memberikan ketenangan. Sememangnya Abyatina tidak mempunyai
masalah dalam pembacaan al-Quran. Maka setiap kali tersalah sebutan dari
Rizqullah, Abyatina senantiasa bersedia memperbetulkannya. Dalam soal ini,
Rizqullah benar-benar belajar dari Abyatina. Bimbingan diberikan mengukuhkan
lagi hubungan antara mereka.
“Abang bukan jahil. Cuma jarang dibaca hingga hilang
kelancarannya,” bicara Rizqullah di pertengahan bacaan, meluahkan sedikit rasa
hatinya.
“Tak lancar tak apa. Lama-lama biasa, semuanya tak ada
masalah,” balas Abyatina tersenyum.
Sesi itu berterusan hinggalah masuk waktu Isyak, dan
mereka kemudian berjemaah bersama. Selesai sahaja solat, maka Abyatina terus
menarik tangan Rizqullah. Mereka memandang antara satu sama lain. Masing-masing
terkelu seketika.
Hakikatnya, ibu Abyatina ternyata rindukan Abyatina. Walaupun
tak pernah diluahkan ibunya, namun Abyatina tahu. Maka, pada malam itu Abyatina
meluahkan rasa hatinya yang telah terpendam agak lama. Malam itu bicara
bertentang mata berlaku di antara Rizqullah dan Abyatina. Setelah sekian lama
Rizqullah bersikap dingin setiap kali dibicarakan perihal pulang ke kampung,
malam itu Abyatina mahu mendapatkan penjelasan.
“Abang, Ina dah empat bulan mengandung. Makin lama, makin
dekat masanya...” bicara Abyatina menarik tangan suaminya untuk duduk atas
katil.
“Abang tau...”
“Ina sunyi sangat abang... Ina takut... Ina risau... Ina
nak ada teman... Ina... Ina, nak orang yang boleh sembang dengan Ina....”
“Dengan mak kan boleh?” balas Rizqullah. “Kalau Ina
sunyi, duduk saja rumah mak. Bukannya jauh pun dari rumah kita...”
“Iya... tapi.... Ina....Ina....”
“Abang faham. Ina rindukan mak Ina di kampung bukan?”
Abyatina hanya tunduk. Tidak memberikan sebarang jawapan,
namun difahami Rizqullah.
“Bukan Ina nak lawan cakap abang. Ina tahu, abang
tak suka Ina balik. Tapi, Ina tak dapat tahan lagi abang. Ina memang nak sangat
balik ke kampung...”
“Bukan abang tak nak....”
“Kenapa abang berat nak balik?” soal Abyatina. “Ada
sesuatu ke?”
Rizqullah membisu cukup lama. Dirasakan amat berat untuk
menjawab pertanyaan Abyatina itu. Rizqullah cuba bangun, mungkin mahu mengelak
untuk menjawab persoalan yang diajukan Abyatina itu. Namun genggaman erat
tangan Abyatina menyebabkan Rizqullah tidak sampai hati. Lantas dengan tenang
Rizqullah bersuara.
“Berat abang nak cakap. Tapi.... tiap-tiap yang berlaku
itu, ada sebabnya. Bukan abang tak suka, tapi abang tak sanggup nak balik ke
sana...”
“Sebab abang Zaf ke? Pak Long?”
Rizqullah tidak menjawab pertanyaan tersebut. Sekali lagi
membisu seperti menyimpan satu rahsia yang cukup besar. Sikap dingin muncul
lagi. Namun, dingin itu dilembutkan tatkala Abyatina mengusap-ngusap dada
Rizqullah. Tenang dirasai Rizqullah.
“Tak apalah. Kalau Ina nak balik kampung, abang izinkan.
Berehatlah di sana. Abang tak halang lagi...” bicara Rizqullah.
Tersenyum Abyatina. Senyuman manis tidak dapat dibendung
lagi. Serta merta terus dipeluk erat Rizqullah. Itulah saja tanda penghargaan
atas bicara yang diluahkan suaminya itu.
Malam itu mereka bahagia. Malam itu mereka di alam
kayangan. Kasih dan sayang disuburkan semula. Mungkin satu detik terindah
setelah dua bulan gundah gulana.
“Apabila si isteri menyentuh hati si suami, maka
ucapkanlah kata-kata baik buatnya. Sesungguhnya setiap sentuhan itu adalah
ibadah, dan sesungguhnya setiap kasih sayang itu adalah pengikat bahagia. Maka,
bicaralah dari hati ke hati, moga segala yang kusut dapat dileraikan”
Pagi itu bicara diluahkan lagi di atas kertas. Hari demi
hari, helaian demi helaian semakin dipenuhi tulisan-tulisan luahan hati
Abyatina. Setiap helaian itu menceritakan kisahnya, ibarat satu diari yang
menceritakan detik-detik indah dan dukanya. Abyatina setia menulis setiap kali
punyai kelapangan.
“Ina, selamat gembira untuk hari ini,” kata Rizqullah
saat mahu memulakan perjalanan untuk menghantar pulang Abyatina ke kampung pada pagi keesokannya.
Belum sempat perjalanan dimulakan, sebuah kereta
tiba-tiba muncul di halaman. Abyatina dan Rizqullah terkejut di pintu rumah. Tetamu
tak dirancang muncul secara tiba-tiba. Masing-masing kehairanan.
“Siapa tu?” soal Rizqullah.
“Barangkali kenalan abang?”
“Eh, tak. Tengok pun tak pernah...”
Seorang wanita keluar dari kereta tersebut. Kecil molek
orangnya, berjalan penuh sopan sambil membetulkan sedikit tudungnya. Lantas
menghampiri tangga rumah.
“Assalamualaikum. Tumpang tanya, ni rumah Abyatina ke?”
soal wanita itu.
“Waalaikumussalam. Ya, ini rumah kami,” balas Abyatina. “Kenapa
ya?”
“Saya Tasha...” bicara wanita itu memperkenalkan diri.
“Tasha?” soal Abyatina spontan. “Apakah ini bakal teman
hidup abang Lang?” monolog pula Abyatina sendirian.
Senyuman Tasha memberikan pelbagai persoalan. Namun,
tetamu yang muncul itu terus dipelawa untuk naik ke rumah.
“Lawanya... boleh jadi nombor dua ni...” seloroh
Rizqullah kepada Abyatina. Serta merta Abyatina mencuit pinggang Rizqullah.
Senyuman yang terus terukit di wajah Tasha memberikan
pelbagai persoalan buat Abyatina.
“Mengapa dia muncul di sini? Mengapa tiba-tiba? Apa tujuannya? Bagaimana dia boleh kenal aku?” monolog
Abyatina kehairanan.
*Tamat sudah Bicara Sembilan Belas*
Mengapa Tasha muncul secara tiba-tiba? Ikuti kisahnya di lain bicara.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari
perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri
kekaguman buat saya.
*Terima kasih kepada saudari Mastura atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini. Untuk mengetahui lanjut mengenai beliau, layari blognya: masturarama2.blogspot
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan