Jam kesembilan: Kisah Jalan 4, Taman Sungai Mas, Taiping.

Saya telah menetap di Taiping sejak lahir lagi. Kampung saya di Taiping, dan membesar juga di Taiping. Malah saya juga bersekolah di Taiping sehingga di tingkatan 3. Saya kemudian masih terus menetap di Taiping walaupun menyambung pengajian di asrama penuh, kerana saya ditawarkan untuk belajar di MRSM Taiping. Benar, Taiping telah sebati dengan saya.

Telah hampir 19 tahun keluarga saya menetap di Taman Sungai Mas. Usia itu sebaya dengan usia adik saya, Izhar Rosly. Taman Sungai Mas memang terletak di bandar Taiping. Maka, jika berbasikal dari rumah, sepuluh minit sahaja diperlukan untuk ke pusat bandar.

Kisah Jalan 4 ternyata banyak boleh dikongsikan. Di sinilah rumah saya berada. Maka, selama hampir 19 tahun menetap, pelbagai kisah boleh dikongsikan.

Jalan 4, Taman Sungai Mas, Taiping


Saya masih ingat, sewaktu di tahun 6, sewaktu saya berseorangan di rumah pada petang hari, tiba-tiba satu kemalangan motosikal berlaku di hadapan rumah saya. Dua buah motosikal terlibat dalam kemalangan itu, yang membabitkan tiga individu. Seorang remaja lelaki, dan seorang kanak-kanak lelaki, manakala seorang lagi merupakan remaja perempuan Cina. Pada waktu itu saya terkejut, tetapi tidak pula keluar dari rumah untuk menghulurkan bantuan. Saya sekadar melihat dari dalam rumah perkara yang berlaku itu.

Mengapa saya tak membantu?

Pada waktu itu saya berseorangan, dan telah menjadi kebiasaan buat saya untuk tidak keluar dari rumah selagi mak dan ayah tidak pulang ke rumah.

Jiran India sebelah rumah saya akhirnya keluar dan menhulurkan bantuan. Jeritan kedengaran dari remaja lelaki itu, dan mungkin kakinya itu telah patah. Akhirnya remaja itu dibawa menggunakan sebuah kereta di kejiranan itu untuk dibawa ke hospital. Kanak-kanak lelaki itu tidak cedera dan begitu juga dengan perempuan Cina tersebut.

Kisah berikutnya diketahui. Remaja lelaki itu sebenarnya membawa adik lelaki untuk ke kedai gunting rambut walaupun telah dilarang ibunya. Mungkin disebabkan kedegilan remaja itu, maka akhirnya dia terlibat dengan kemalangan.

Kisah kedua, saya juga masih ingat akan kisah jiran Cina di hadapan rumah saya. Wanita tua yang berusia lingkungan 60-an itu mempunyai masalah mental. Namun, masalah tersebut bukanlah senantiasa berlaku, kerana hanya akan berlaku pada waktu-waktu tertentu. Dia mempunyai seorang anak lelaki.

Apa yang menarik, wanita Cina ini bukanlah calang-calang orang. Fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris, selain mampu memandu kereta ke mana-mana tempat yang ingin ditujuinya, maka saya simpulkan jiran saya ini mungkin merupakan pesara kerajaan.

Setiap hari dia akan bangun seawal 4 pagi untuk membasuh kereta. Dia kemudian akan menyidai baju di ampaian sebelum mengemas rumah. Anaknya pula akan keluar dari rumah seawal 7 pagi sebelum pulang kembali dengan membawa akhbar The Star di tangannya. Setiap pagi, anaknya itu akan membaca akhbar di luar rumah.

Penyakit gilanya muncul pada waktu tertentu. Pernah satu ketika pada tengah malam, tiba-tiba wanita Cina ini keluar dari rumahnya, dan kemudian bercakap seorang diri di hadapan rumahnya. Gaya bercakapnya tak ubah seperti ahli politik sedang melakukan perbahasan di parlimen. Dengan gaya tangannya dan cara berdirinya itu serta suara lantangnya, saya yakin jiran saya ini sedang bersyarah seorang diri walaupun saya tak faham kerana dia menggunakan Bahasa Cina.

Apa yang menarik, jiran ini sangat baik dengan keluarga saya. Namun, semua itu tidak kekal lama apabila pada satu hari wanita Cina ini tiba-tiba mengamuk dan mengacukan parang ke rumah jiran sebelahnya. Disebabkan peristiwa itu, wanita Cina ini berpindah, dan hubungan kami dengannya akhirnya terputus.

Saya juga masih ingat, sewaktu Hari Kebangsaan tahun 2007, kawasan rumah saya tiba-tiba bertukar kecoh. Rupa-rupanya di luar kelihat seorang ibu dan ayah sedang mengetuk pintu jiran saya (Melayu). Kemarahan jelas terpancar di wajah si ayah. Lantas ayah saya terus bertanya pada lelaki itu. Menurut lelaki itu, dia berasa marah disebabkan anak perempuannya kini sedang berada di dalam rumah jirannya. Anaknya itu bermalam dengan anak lelaki jiran saya. Mereka bersekedudukan.

Tambah menyedihkan, sewaktu peristiwa itu berlaku, jiran saya sedang menunaikan ibadah haji di Mekah. Bayangkan betapa kecewanya nanti jiran saya ini apabila mendapati anak lelakinya bermalam dengan si gadis.

Saya tak pasti, apakah yang dilakukan mereka pada malamnya, namun andai zina telah tercetus, maka pasti kepedihan akan dirasai jiran saya ini. Kisah berakhir dengan si ayah itu menarik anak gadisnya masuk ke dalam kereta, dan dikhabarkan ayahnya itu akan membuat laporan polis.

Itulah sekadar secebis perkongsian tiga kisah yang pernah berlaku di Jalan 4. Hakikatnya, banyak lagi yang ingin dikongsikan, namun disebabkan keterbatasan waktu, maka sekadar itulah sahaja perkongsian ini.

Kata orang, di mana ada manusia, di situ pasti akan ada kisahnya. Benar, kerana manusialah yang membentuk cerita itu.


Wallahualam.


*Jam kesembilan bagi "12 jam tanpa henti bicara di blog" ditamatkan. Jumpa di jam berikutnya.











Ulasan

Tanpa Nama berkata…
from taiping with love~~ hehe
taiping sentiasa di hati... :)
Unknown berkata…
sy pn tgl cna..jalan 3...jalan 4 uma cik biah..
Oh ya ke. Kita berjiranlah rupanya.

Catatan Popular